Artikel "Utama" Terkini
El-Nino, Aktiviti Pertanian Padi di Terengganu Tidak Terjejas
KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Aktiviti pertanian di Terengganu terutama padi tidak mengalami masalah bekalan air walaupun ketika ini mengalami musim kemarau.
Ahli Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, ia berikutan usaha kerajaan negeri secara intensif menaik taraf sistem pengairan dan saliran padi.
“Buat masa ini, tiada sebarang masalah dihadapi, malah kita tidak mempunyai sebarang laporan mengenai pesawah terjejas kerana musim kemarau sebab kita mempunyai sumber bekalan air yang mencukupi.
“Kerajaan negeri telah membelanjakan RM2.5 juta bagi projek pembangunan padi pada tahun 2021 dan RM700,000 tahun 2022 dalam usaha memastikan infrastruktur sawah padi terutamanya sistem pengairan dilengkapi sebaiknya bagi memastikan bekalan air mencukupi walaupun berdepan keadaan kemarau yang panjang,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Menurut Azman, jumlah keluasan kawasan penanaman padi di Negeri Terengganu ialah 12,542 hektar dimana 5,323 hektar adalah kawasan dalam jelapang, sementara 7,221 hektar bagi kawasan luar jelapang.
Tambahnya lagi, kebanyakan sumber bekalan air bagi sawah padi berpunca dari takungan empangan yang berpunca dari aliran sungai dan bukan aliran semulajadi yang mudah terkesan dengan perubahan iklim terutamanya kemarau.
MetMalaysia baru-baru ini menjangka fenomena El Nino akan melanda negara pada bulan ini hingga Julai dengan kebarangkalian 62 peratus.
10 May 23
260
Bantuan Banjir Diagih Sepenuhnya Selepas Terima DKKP
KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Kerajaan negeri masih menunggu baki Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau royalti petroleum bagi menyelesaikan agihan bantuan banjir kepada mangsa yang belum menerima bantuan tersebut.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kelewatan penerimaan DKKP itu antara punca kerajaan negeri masih belum lagi dapat menyelesaikan bayaran bantuan banjir sepenuhnya terutama di daerah Besut yang paling terjejas.
"Selepas kerajaan negeri menerima wang itu daripada kerajaan pusat, barulah bantuan banjir yang belum diselesai akan diagihkan secara serentak pada tarikh yang ditetapkan
"Terdapat dua jenis kategori bantuan yang dijanjikan untuk mangsa banjir iaitu satu daripada kerajaan pusat yang disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) manakala satu lagi bantuan kerajaan negeri," ujarnya ketika ditemui pemberita di majlis sambutan hari raya Aidilfitri Kelab Wisma Darul Iman di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa DKKP akan dibayar seperti biasa ke Terengganu iaitu pada bulan Mac dan September.
Namun, sehingga kini Ahmad Samsuri berkata, Terengganu masih belum bayaran penuh DKKP bagi bulan Mac sebagaimana dijanjikan.
Tambah beliau, selain masih menunggu wang daripada kerajaan pusat, masalah kelewatan agihan juga disebabkan masih ada lagi pertindihan tuntutan bantuan banjir.
"Kita dapati masih ada lagi pertindihan tuntutan suami isteri...rumah yang sama tapi buat tuntutan berasingan di PPS berbeza menyebabkan kita terpaksa buat semakan yang sangat teliti," jelasnya.
Katanya, bantuan banjir hanya akan dapat diselesaikan untuk semua mangsa selepas kerajaan negeri menerima duit DKKP dan selepas proses pemutihan yang kini sedang berjalan selesai sepenuhnya.
10 May 23
2564
MBKT Rangka Strategi 'Pulihkan' Stesen Bas Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Mei - Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) telah merangka beberapa strategi bagi memulihkan semula Hentian Bas Kuala Terengganu yang kini tidak semeriah dahulu.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, pihaknya sedar peredaran zaman memberi kesan terutama apabila orang ramai semakin kurang menggunakan pengangkutan bas.
Katanya, keadaan itu sedikit sebanyak menyulitkan para peniaga di hentian terbabit berikutan kekurangan pembeli.
"Dahulu ramai orang gunakan bas, sehingga mendapat permintaan tinggi, jadi apabila ramai yang tidak menggunakanya jadi tidak ada lagi 'demand'.
"Mengenai peniaga kita ada bincang di peringkat ahli majlis untuk bawa mereka ke Pasar Payang baharu, tetapi kapasiti yang ada tidak cukup untuk menempatkan keseluruhan peniaga jadi kita terpaksa 're-treat' balik serta cari strategi lain bagaimana untuk meningkatkan perniagaan mereka," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Majlis Apresiasi dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kepada Petugas Kebersihan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Camelia Ballroom, Paya Bunga Hotel, di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak serta timbalannya Ahmad Shah Muhamed.
Kata Rosli, beberapa masalah yang dibangkitkan di hentian berkenaan telah turut diberi perhatian seperti atap bocor, kerajaan negeri telah mengeluarkan peruntukan segera bagi membaikinya.
Mengenai tandas pula katanya, ia akan dianiktaraf, sebelum ini dikatakan kotor kerana syarikat yang dilantik menguruskan tandas tidak mengambil kira keadaan apabila musim perayaan.
"Sepatutnya mereka lebih sensitif perlu ambil kira keadaan yang berubah ketika musim perayaan," katanya.
Dalam pada itu beliau menegaskan saman yang dikenakan pada kenderaan yang diletakkan di haluan yang salah adalah tindakan tepat tanpa kira waktu siang atau malam.
"Ini bagi memastikan keadaan di hentian berkenaan terkawal dan selamat.
"Diletakkan di tempat yang salah menyusahkan orang lain, apabila ditularkan adakah kita hendak menjaga nama satu orang sahaja sedangkan kita bekerja untuk pastikan bandar bersih dan selamat.
"Jam satu, dua pagi kita telah ada petugas kerana matlamat kita bukan untuk berniaga dengan mengenakan saman sebaliknya hendak memastikan kesejahteraan bandar terjaga," ujarnya.
07 May 23
1537
KPDN Lancar Ops Manis Tangani Isu Kekurangan Gula
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Ops Manis bagi menangani isu kekurangan gula di Negeri Terengganu dan Kelantan.
07 May 23
308
Mazli Mazlan Dilantik Ketua Polis Terengganu Baharu
Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, DCP Datuk Mazli Mazlan, dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Terengganu baharu bagi menggantikan DCP Dato' Rohaimi Md Isa.
07 May 23
373
Tiada Lagi Isu Sampah Ketika Perayaan
KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Hasrat untuk memastikan masalah sampah yang sering kali menjadi isu ketika waktu perayaan akhirnya dapat diatasi setelah tiada aduan ditularkan di media sosial sebagaimana tahun sebelum ini.
Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata kejayaan itu hasil daripada kesungguhan para wira yang tidak didendang iaitu petugas-petugas kebersihan yang telah bertungkus lumus menjayakan Pelan Tindakan ditetapkan.
Justeru katanya, buat julung-julung kalinya seramai 196 para petugas termasuk tenaga sokongan menerima inisiatif sebagai bonus tambahan berjumlah RM58,800.
"Masing-masing menerima RM300 atas pengorbanan yang dilakukan bagi memastikan Bandar Raya Kuala Terengganu berada dalam keadaan bersih sepanjang perayaan.
"Jadi, majlis hari raya yang diadakan pada malam ini sebagai tanda kebersamaan, jumlah yang diberikan dengan mengharapkan mereka akan bermotivasi dan terus cemerlang.
"Kerana telah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) jadi kita hargailah mereka dahsyat mereka berkerja, sehingga berjaga malam selama dua hingga tiga malam dan pada hari raya tertidur atas jalan.
"Ketika orang lain bertakbir raya, mereka pula meraikannya dan melaungkan takbir di tepi tong sampah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Majlis Apresiasi dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kepada Petugas Kebersihan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Camelia Ballroom, Paya Bunga Hotel, di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Kerajaan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Ahmad Shah Muhamed Dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif.
Mengulas lanjut katanya, bagi menjayakan tindakan kerja pembersihan itu seluruh tenaga MBKT yang ada dikerahkan bagi membentuk satu pasukan khas yang mantap.
"Selain itu kita juga menyediakan 'tong roro' serta memastikan lori-lori yang digunakan dapat beroperasi dengan baik selama operasi dijalankan jika berlaku kerosakan akan dibaiki segera.
"Bagi pihak saya sangat bersyukur dan saya telah memaklumkan perkara ini kepada Menteri Besar (Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) dalam 'Mesyuarat EXCO' bahawa tahun ini kita sehingga tidak menerima lagi sebarang aduan," ujarnya lagi.
04 May 23
603
Pemaju Janji Siapkan Segera Perumahan Gong Cempedak
KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Pemaju Perumahan Gong Cempedak berjanji untuk memulakan kembali projek Perumahan Gong Cempedak fasa 3 yang sudah terbengkalai lama.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata, pihaknya sebelum ini telah banyak kali berunding dengan pihak pemaju swasta bagi memastikan nasib pembeli terbela walaupun ia bukan projek kerajaan negeri.
"Kita telah melakukan rundingan di Kuala Lumpur dia bersetuju selepas raya hendak memulakan kembali projek ini, sebelum ini masalahnya ialah kekurangan kewangan, duit tidak cukup untuk memulakan kembali.
"Memang dari segi kewangan dia tenat, bank dah tak nak bagi pinjaman lagi jadi dia cari 'partner' untuk meneruskan projek ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Majlis Apresiasi dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kepada Petugas Kebersihan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Camelia Ballroom, Paya Bunga Hotel, di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Muhamed dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif.
Tambah Dato' Dr Alias, pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan projek tersebut.
"Jadi buat masa ini bagi pihak Kerajaan negeri kita boleh berunding bagi memastikan dia (pemaju) akan memulakan balik projek, saya yakin nampak kesungguhan dia itu ada termasuk mencari partner untuk 'support' dari sudut pelaburan.
"Namun, kita akan sentiasa pantau agar projek ini siap," ujarnya lagi.
Untuk rekod, projek swasta itu terbengkalai lebih 10 tahun kerana masalah kewangan yang dihadapi pemaju.
Pihak pembeli memohon campur tangan kerajaan negeri bagi memastikan nasib mereka terbela.
Sebelum ini, Dr Alias berkata pihaknya sudah mencari kontraktor penyelamat dalam usaha membantu menyiapkan projek itu.
04 May 23
762
KPDN Lancar Ops Manis Tangani Isu Kekurangan Gula
KUALA NERUS, 3 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini melancarkan Ops Manis bagi menangani isu kekurangan gula di Negeri Terengganu dan Kelantan.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Dato' Azman Adam berkata, operasi khas khusus di dua negeri itu dilaksanakan dalam tempoh seminggu dahulu dan akan melihat apa tindakan selanjutnya.
"Ops Manis ini adalah salah satu operasi yang kita mulakan pada hari ini untuk menguruskan isu-isu berkaitan dengan bekalan gula.
"Objektif utama Ops Manis adalah untuk memulihkan bekalan dan memastikan semua tempat ada gula tidak kira di bandar mahupun luar bandar.
"Selain memastikan tidak berlaku aktiviti menyorok gula oleh penjual tidak bertanggungjawab dan mengelak pembelian panik oleh pengguna, " ujarnya kepada pemberita semasa memantau bekalan gula di sebuah gudang pemborong di Gong Badak, hari ini.
Menurut beliau, pasukan penguatkuasa KPDN di kedua-dua negeri terbabit juga akan buat pemantauan secara terperinci bagi memastikan bekalan gula sampai kepada pengguna seperti yang dijadualkan.
"Semalam kami telah mengadakan mesyuarat tergembar dengan kedua-dua syarikat pengeluar utama gula iaitu MSN dan CSR dan mereka memberikan komitmen untuk memastikan pengguna tidak menghadapi masalah besar berkait dengan bekalan gula.
"Justeru, pemborong yang dapat bekalan gula diharap dapat edar dengan segera dan beri penekanan kepada pelanggan biasa. Peruncit pula jangan sorok bekalan dan jual dengan harga tinggi. Kalau ada yang buat kita akan ambil tindakan tegas, " ujarnya.
Menurut Azman, di Kelantan pihaknya menerima 11 aduan membabitkan kesalahan menyorok, enggan menjual dan meletakkan harga mahal.
"Di Terengganu, setakat ini kita tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung kekurangan gula dan keadaannya masih terkawal, " jelasnya.
03 May 23
444
Projek Jangka Panjang Air Marang Siap 85 Peratus
Projek naik taraf bekalan air Marang untuk penyelesaian jangka masa panjang yang bernilai hampir RM60 juta kini siap 85 peratus.
30 Apr 23
104
Padah Buat Aksi 'Wheelie', Dua Remaja Ditahan
HULU TERENGGANU, 27 April - Tindakan dua remaja lelaki berusia 14 dan 15 tahun yang melakukan aksi 'wheelie' membawa padah apabila ditahan dalam operasi OP Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Hasmerra Hassan berkata, polis berjaya mengesan sebuah motosikal ditunggang bersama seorang pembonceng melakukan aksi mengangkat tayar hadapan (wheelie) pada jarak kira-kira 50 meter.
"Suspek berjaya ditahan di bahu jalan hadapan Empangan Jenagor, Kuala Berang kira-kira jam 6.15 petang dan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.
"Suspek juga telah dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk lakukan ujian air kencing dan hasil saringan terhadap suspek adalah negatif," katanya dalam satu kenyataan disini hari ini.
Katanya, dua remaja terbabit disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana melakukan aksi mengangkat tayar hadapan, yang mana aksi itu amat merbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
Tambah Hasmerra lagi,
sebanyak tujuh saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terhadap penunggang motosikal dan sebuah motosikal turut disita.
"Antara kesalahan yang berjaya dikesan antaranya melibatkan lesen kenderaan motor (LKM) yang telah tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, menunggang motosikal bawah 16 tahun, aksesori tidak sempurna dan tidak memakai topi keledar,"ujar beliau.
27 Apr 23
243