lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kenaikan Harga Barang, Salah Siapa?
Kenaikan Harga Barang, Salah Siapa?
KUALA TERENGGANU, 8 Jun – Isu kenaikan harga barang tidak pernah lekang daripada meniti di bibir rakyat-rakyat Malaysia dan di laman-laman media sosial, apatah lagi masyarakat kini dihimpit dengan pelbagai masalah.  Perihal ini semakin berterusan dan siapa yang patut bertanggungjawab atas senario ini? Siapakah yang patut dipersalahkan dan mengambil tanggungjawab atas kesengsaraan rakyat menanggung bebanan kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat?  Adakah pihak kerajaan telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menangani isu ini?  Adakah peniaga-peniaga mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan ketika Malaysia mengalami krisis sebegini? Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sekitar beberapa lokasi tumpuan penduduk mendapati masih ada peniaga berupaya menjual barangan jualan dengan harga yang sama  meskipun hanya untung sedikit. Di Pasar Payang misalnya masih ada peniaga menjual barangan jualan dengan harga terkawal  kerana bagi mereka keuntungan sedikit itu lebih baik daripada kehilangan pelanggan setia. Ibrahim Jusoh, 70, seorang peniaga kuih muih berkata isu peniaga menaikkan harga barangan sesuka hati bukanlah perkara baru, sebaliknya telah berlarutan sejak sekian lama.  “Saya masih jual kuih macam biasa dengan harga yang sama sejak dulu lagi sebab kadang-kadang harga jualan ni bergantung kepada peniaga itu sendiri.Kadang-kadang harga naik tak jejas pun tapi harga jualan tu naik sekali ganda. “Sebenarnya boleh lagi jual murah…bukan tak boleh untung pun, masih lagi dapat tapi tak banyak berbanding jika jual mahal pelanggan takkan beli dah lepas tu,” katanya yang berniaga hampir 53 tahun. Katanya lagi, peniaga-peniaga yang mengamalkan sikap jujur tidak akan kehilang¬an pelanggan mereka dengan mudah malah bilangan pelanggan akan bertambah dari semasa ke semasa. Bagi peniaga batik dan songket, Nadia Hafizah Awang Yong, 34, kenaikan kos pembuatan batik sebanyak 80 peratus menyebabkan dia terpaksa menjual batik dengan harga yang lebih tinggi. "Kos bahan mentah yang sentiasa meningkat selain permintaan terhadap kain batik itu yang sering turun naik pasti memberi tekanan kepada kami golongan peniaga yang terpaksa mengeluarkan modal yang tinggi namun untung sedikit. “Jualan agak perlahan dan menurun jika dibandingkan sebelum ini walaupun masih ada pelanggan setia yang mencari batik,” katanya yang mengharap kerajaan mampu mengawal harga bahan mentah supaya harga batik terkawal.
08 Jun 23
299
Rakyat Terengganu Harap PM Tunai Janji
Rakyat Terengganu Harap PM Tunai Janji
KUALA TERENGGANU, 7 Jun-  Rakyat Terengganu berharap agar Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menunaikan janjinya bertindak adil dan melunaskan semua pembayaran Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau royalti petroleum kepada kerajaan negeri menurut jadual yang telah ditetapkan. Rata-rata yang ditemui berkata, sudah tiba masanya wang royalti diserahkan sepenuhnya kepada Terengganu bagi membolehkan lebih banyak projek pembangunan dijalankan untuk rakyat di negeri ini. Seorang peniaga rempah di Pasar Besar Kedai Payang , Nur Ahmad Muhammad, 35, berkata, apabila peruntukan yang sepatutnya disalurkan kerajaan pusat diterima oleh kerajaan negeri, sudah pasti pelbagai manfaat yang akan diperolehi rakyat. Justeru katanya atas semangat federalisme, kerajaan Persekutuan dan negeri patut menyelesaikan isu DKKP dengan berhemah supaya tidak merugikan nasib rakyat dan Terengganu. “Sebagai peniaga kita mengharapkan sesuatu yang baik dari pihak kerajaan, contohnya dengan naik taraf ruang-ruang niaga, tambah baik fasiliti dan sebagainya bagi membolehkan kami berniaga dengan selesa sekali gus meningkatkan ekonomi negeri. “Sudah pasti, pembayaran DKKP oleh kerajaan pusat mengikut jadual yang telah ditetapkan sangat membantu untuk kemajuan rakyat dan Negeri Terengganu dalam pelbagai aspek termasuk pembangunan, kebajikan, pendidikan, sukan dan lain-lain,” ujarnya kepada pemberita di premis perniagaannya, hari ini. Sementara itu, Siti Maisarah Taib, 43, yang bertugas sebagai Pembantu Pengurusan Murid meminta kerajaan Persekutuan memulangkan hak rakyat Terengganu. “Bagi saya, sepatutnya DKKP dipulangkanlah kepada Negeri Terengganu demi untuk kepentingan rakyat. “Royalti ini hasil Negeri Terengganu, jadi sewajarnya dikembalikan untuk rakyat. “Kita tengok hari ini masih ada lagi pembayaran untuk kebajikan rakyat seperti bantuan banjir yang belum boleh disalurkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri disebabkan kekangan kewangan ekoran bayaran baki DKKP yang belum dilunaskan kerajaan pusat,” ujarnya.
07 Jun 23
1208
MB Tak Termakan ‘Game Plan’ Ahmad Said
MB Tak Termakan ‘Game Plan’ Ahmad Said
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan beliau tidak termakan dengan permainan atau ‘game plan’ politik Pengerusi Umno Terengganu yang kini giat menimbulkan pelbagai isu.
07 Jun 23
194
Warga Emas 'Gagah' Demi Kecintaan Terhadap Wau
Warga Emas 'Gagah' Demi Kecintaan Terhadap Wau
Mencipta wau yang bukan sahaja mampu menegak dan menongkah angin tetapi juga dengan hiasan yang indah serta berseni menuntut kemahiran yang tinggi.
06 Jun 23
184
Himpunan 4x4 Terengganu Zahirkan Sokongan Pemilik Kepada Program Kebajikan
Himpunan 4x4 Terengganu Zahirkan Sokongan Pemilik Kepada Program Kebajikan
KUALA NERUS, 6 Jun- Kehadiran lebih 200 peserta dalam Himpunan 4x4 Negeri Terengganu 2023 semalam menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi pemilik pacuan empat roda itu terhadap program-program kebajikan. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, kehadiran mereka juga adalah satu mesej dan harapan agar parti PAS terus mantap mempertahankan kepentingan Islam, Melayu dan rakyat keseluruhannya. “Saya bagi pihak kerajaan negeri dan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan jawatankuasa dan ahli kelab 4x4 di daerah masing-masing yang sentiasa komited membantu mereka yang memerlukan pertolongan. “Pemilik pacuan empat roda ini bukan hanya menggunakan kenderaan mereka untuk tujuan peribadi sahaja tetapi berkhidmat untuk masyarakat, buktinya ketika berlaku bencana banjir kumpulan inilah antara yang menonjol menghulurkan bantuan bukan hanya di Terengganu tetapi di luar negeri. “Inilah sebenarnya hasrat kita agar saling memberi manfaat kepada orang lain melalui sumbangan yang boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk,” ujarnya ketika berucap merasmikan Himpunan 4x4 Negeri Terengganu 2023 di Pantai Teluk Ketapang, disini. Sementara itu, pengarah program tersebut Abdul Rahim Embong berkata, ianya bukan sahaja bertujuan mengumpulkan dan menyatukan pemilik kenderaan 4x4, malah mengeratkan hubungan kekeluargaan. “Program dibawah Lajnah Tarbiyyah PAS Negeri Terengganu kali ini melibatkan lebih 100 kenderaan 4x4 dan pesertanya terdiri daripada pemilik dan keluarga masing-masing. “Antara pengisiannya termasuk gotong-royong membersihkan kawasan pantai, pertandingan memanah dan juga perarakan kenderaan 4x4 bermula dari Pasarnita ke Pantai Teluk Ketapang,” ujarnya. Katanya, sebanyak 10 buah kelab 4x4 di negeri ini yang bernaung dibawah Terengganu Adventure Group (TAG) mengambil bahagian antaranya Ranggok, Padat, Evergreen dan lain-lain.  
06 Jun 23
406
Primula Fishing Challenge 2.0 Tawar RM20 Ribu Untuk Kaki Pancing
Primula Fishing Challenge 2.0 Tawar RM20 Ribu Untuk Kaki Pancing
KUALA TERENGGANU, 6 Jun - Primula Fishing Challenge 2.0 (PFC 2.0 ) kembali beraksi dengan lebih gah buat kaki pancing dalam berentap merebut gelaran juara bagi membawa pulang wang tunai bernilai RM20,000.  Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun berkata pihaknya mensasarkan penyertaan seramai 500 peserta dari pelbagai kelab memancing di dalam dan di luar negeri Terengganu membolehkan para kaki pancing mempamerkan bakat dan kebolehan mereka. “Cabaran memancing itu turut menawarkan hadiah wang tunai RM4,000 kepada naib juara, ketiga (RM2,000), keempat (RM1,000), ke 5 hingga 10 (RM300) dan ke 11 hingga 80 (RM200 setiap seorang).  “Primula Beach Hotel turut menyediakan 51 hadiah cabutan bertuah antaranya sebuah motosikal, TV android, barangan elektrik dan baucer penginapan tajaan hotel-hotel sekitar Negeri Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan. Menurutnya, penganjuran PFC 2.0 adalah selaras dengan inisiatif Environment, Social and Environment (ESG) yang dipraktikkan Primula di mana bertujuan menpergiatkan aktiviti Green Tourism Negeri Terengganu, menggalakkan aktiviti riadah memancing serta merapatkan silaturahim dalam kalangan kakitangan serta komuniti setempat. Katanya lagi, selain daripada memberikan ruang kepada para kaki pancing untuk menonjolkan bakat masing-masing, ia juga sebahagian daripada inisiatif Primula untuk menonjolkan lagi kawasan pantai sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Terengganu. Tambah Suaibah, beliau tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan pertandingan seumpama itu pada tahun hadapan. Juara cabaran memancing PFC 2.0 dimenangi oleh Razali dengan kejayaan menaikkan ikan buntal seberat 4.8 kilogram dan turut membawa pulang wang tunai lumayan bernilai RM20,000. 
06 Jun 23
267
Warga Emas 'Gagah' Demi Kecintaan Terhadap Wau
Warga Emas 'Gagah' Demi Kecintaan Terhadap Wau
MARANG, 6 Jun – Mencipta wau yang bukan sahaja mampu menegak dan menongkah angin tetapi juga dengan hiasan yang indah serta berseni menuntut kemahiran yang tinggi. Tidak ramai yang berminat dan mampu menguasai warisan ini, justeru mereka yang meneruskan usaha sebegini lazimnya warga tua yang melakukannya kerana minat dan bagi menambah rezeki. Namun bagi warga emas berusia 70 tahun, dia tidak menjadikan usianya sebagai penghalang untuk menyertai  Program FIESTA Wau NEGAK Beautiful Terengganu 2023 bertempat di Kampung Surau Haji Yaakob, di sini hari ini. Abdullah Mohd dari Kampung Rusila  berkata minat mendalam terhadap wau sejak dari zaman kanak-kanak memberi semangat kepadanya menyertai pertandingan itu. “Wau telah sebati dalam hidup saya sejak dari usia kanak-kanak, selagi masih sihat dan mata masih ‘cerah’… saya akan terus buat wau dan terbangkannya kerana ia bukan hanya memberi kepuasan peribadi sebaliknya saya anggapnya sebagai satu tanggungjawab yang harus terus dipertahankan. “Arwah bapa pernah memarahi kerana terlalu taksub dengan wau tapi akhirnya memberikan kebebasan untuk saya meneruskan hobi ini,”katanya ketika ditemui selepas program tersebut. Majlis perasmian Program FIESTA Wau NEGAK Beautiful Terengganu 2023 disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah yang juga merupakan Ahli dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong. Tambah datuk kepada 15 cucu ini, selain sayangkan seni warisan bangsa, permainan tradisional ini turut menjadi sumber rezeki keluarga sejak dirinya berusia belasan tahun lagi iaitu sekitar tahun 60-an lagi. Sementara itu, Mohd Nor berkata semua pihak khususnya anak muda perlu mempunyai keinginan dalam diri untuk memartabatkan khazanah warisan bangsa ini. “Nasihat saya, ini adalah peninggalan nenek moyang kita yang harus dipertahankan. Paling tidak pun, jadikannya hobi untuk kita luangkan pada masa lapang supaya warisan ini sentiasa berkekalan.  “Pertandingan ini juga ternyata berjaya memupuk semangat kerjasama di kalangan masyarakat setempat yang berbilang kaum,” katanya
06 Jun 23
169
KMI Healthcare, PKENPs Tandatangan MoU Untuk Pembangunan Kesihatan di Perlis
KMI Healthcare, PKENPs Tandatangan MoU Untuk Pembangunan Kesihatan di Perlis
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) bahagian penjagaan kesihatan di bawah TDM Berhad dan Pembangunan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi pembangunan perkhidmatan kesihatan di Perlis. Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata usahasama dengan pihak PKENP ini bakal menjadi tanda aras kepada kerjasama yang berterusan antara dua negeri. "Dengan kepakaran dan kualiti perkhidmatan daripada pihak KMI Healthcare dan TDM Berhad ianya bukan sahaja dapat memenuhi permintaan dan menambah pilihan perkhidmatan perubatan dalam negeri. "Ia juga berupaya menjadikan satu mercu tanda baharu di Utara tanahair," ujarnya di Majlis menandatangani perjanjian itu di Mandarin Oriental Kuala Lumpur, semalam. MoU berkenaan turut disaksikan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, dan Menteri Besar Perlis, Tuan Mohd Shukri Ramli. MoU tersebut adalah bagi meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan hospital swasta atau fasiliti kesihatan di Perlis yang akan ditentukan perinciannya selepas penyelidikan yang lebih rapi dilakukan oleh kedua-dua pihak. Sementara itu, Tuan Mohd Shukri berkata, hospital yang mesra ibadah ini mampu menarik ramai rakyat Perlis untuk mendapatkan rawatan di sini.  "Selain daripada memberi manfaat dari sudut kesihatan, saya juga mengharapkan peluang pekerjaan dapat disediakan khususnya buat warga Perlis.  "MoU yang termeterai pagi ini dapat menatijahkan hubungan yang erat di antara kedua negeri ini dan seterusnya paling penting menjadi antara pilihan utama rakyat Perlis dan penduduk sekitarnya dalam menerima penjagaan kesihatan," ujarnya lagi. Manakala Ketua Pengarah Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Rayney Azmi Ali berkata, Perlis menjadi pilihan atas dasar permintaan masyarakat setempat dan juga saranan kerajaan negeri. "Di tambah lagi ianya adalah sebahagian dari pelan pembangunan strategik lima Tahun KMI Healthcare untuk memperkembangkan perniagaan kesihatan kami supaya lebih berdaya saing. “Dalam masa yang sama, KMI juga ingin mengimbangkan kedudukan hospital di jaluran Pantai Timur Malaysia, khususnya bandar-bandar utama seperti di Kuala Terengganu, Kuantan dan InsyaAllah di Kemaman dan juga Kelantan," katanya.
04 Jun 23
396
Gelombang Rakyat Pilih PN Berterusan
Gelombang Rakyat Pilih PN Berterusan
Gelombang rakyat memilih Perikatan Nasional (PN) tidak dapat dihentikan serta dihalang kerana pengundi akan terus memberi kepercayaan kepada gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
04 Jun 23
196
Yayasan Terengganu Jalin Kolaborasi Dengan UMP
Yayasan Terengganu Jalin Kolaborasi Dengan UMP
Yayasan Terengganu (YT) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) semalam memeterai memorandum persefahaman (MOU) dan perjanjian bersama (MoA) bagi menjalin kolaborasi dalam bidang akademik dan pengantarabangsaan. 
04 Jun 23
104