Artikel "Utama" Terkini
Peluang PAS Menang Seberang Takir Cerah
KUALA NERUS, 2 Ogos - Gelombang rakyat memilih Perikatan Nasional (PN) meningkatkan peluang parti itu untuk memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir dalam Pilihan Raya Umum (PRU) DUN nanti.
Calon PAS-PN Seberang Takir, Khazan Che Mat berkata, analisis PRU peringkat Parlimen pada November lalu menunjukkan Seberang Takir bukan lagi kubu kuat Barisan Nasional (BN) apabila calon PAS menang bergaya dengan Seberang Takir mencatatkan 5,000 lebih majoriti memihak PAS.
"Jadi saya lihat PAS-PN berpeluang utnuk menang, ditambah lagi sekarang ini banyak isu berkaitan parti kerajaan di Peringkat Persekutuan, gabungan mereka (UMNO) dengan PKR, terutamanya DAP ini menyentuk sensitiviti dan perasaan orang Melayu.
"Apa yang berlaku di peringkat pusat selepas PRU yang lalu itu akan membentuk gelombang yang lebih besar di Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa berkempen sempena PRU DUN di sini, hari ini.
Beliau bersama pasukan kempennya hari ini telah menyantuni rakyat di warung-warung sekitar jeti Seberang Takir, pengusaha bot, orang ramai yang menggunakan bot penambang serta para peniaga dari DUN berkenaan.
Katanya, penerimaan rakyat sepanjang kempen terhadap PAS-PN adalah sangat baik dan para pengundi sedia untuk melaksanakan tanggungjawab mengundi pada 12 Ogos nanti.
"Insya-Allah saya yakin dan percaya PAS-PN mampu menang, kita cuma perlu terus memberikan penerangan kepada masyarakat terutamanya pengundi-pengundi di Seberang Takir agar mereka tidak lagi memilih BN namun memberikan undi kepada PN-PAS," ujarnya.
02 Aug 23
579
Ahli Politik Dalang 'Drama Murahan' Jatuhkan PAS
KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - PAS Terengganu menegaskan isu 'drama murahan' membabitkan calon PAS Kemasik dengan seorang wanita yang ditimbulkan menjelang hari pengundian didalangi ahli politik tertentu.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata pihaknya percaya perkara itu telah dirancang lama dan ia dimainkan bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap PAS.
"Perkara ini tiba-tiba muncul, kami mendapat maklumat drama ini didalangi oleh pihak tertentu, pada kebiasaan apabila mereka kehabisan modal, akan timbulkan isu-isu peribadi dan saya yakin sebaik sahaja selesai pilihan raya dia akan berakhir begitu sahaja.
"Sejarah sebelum ini membuktikan, pada PRU ke-4, PRU ke-13 pimpinan PAS diserang isu-isu peribadi tetapi akhirnya tiada tindakan pun diambil setelah berakhir pilihan raya.
"Kalau ada isu boleh bawa ke Pejabat Agama untuk tindakan pihak berwajib, jadi ini satu tindakan yang tidak 'gentleman', sangat tidak bertamadun, madani jauh sekali dalam kempen untuk meraih undi rakyat Terengganu," ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, berkata demikian pada sidang media di Pejabat Perhubunagn PAS negeri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, memang kempen murahan itu bermatlamat untuk menjejaskan kredibiliti calon untuk mengalihkan sokongan rakyat yang pada ketika ini berpihak kepada PAS.
"Mainan politik menjelang pilihan raya, kalau ada bukti kukuh boleh terus ke pejabat agama, buat masa ini (didapati) ia hanya isu politik yang direka, kalau betul kenapa isu ini sebelum ini tidak didedahkan dan hanya ditimbulkan selepas penamaan calon.
"Saya rasa rakyat Terengganu cerdik dan setiap kali menjelangnya pilihan raya isu ini ditimbulkan bagi mengaibkan calon-calon, ini strategi kotor daripada pihak musuh, kita tidak pernah gunakan isu sebegitu untuk lawan calon musuh, kita hanya bagitahu apa yang telah dibuat dan akan dibuat untuk rakyat," ujarnya.
Tambah Dr Alias, pemilihan calon Kemasik itu telah melalui tapisan ketat dan segala perkara mengenai dirinya telah diteliti dengan sangat mendalam sebelum dipilih oleh kepimpinan.
"Isu ini jika dipanjangkan akan mengaibkan orang tidak bersalah jadi ia merupakan perkara yang tidak baik sebagai orang Islam.
"Saya difahamkan beberapa tindakan telah diambil oleh calon, sekiranya tidak berhenti menyebarkan berita palsu ini dia akan mengambil tindakan saman, calon berani buat tindakan tersebut bermakna dia (menyatakan) tidak bersalah," ujarnya.
01 Aug 23
696
Anwar Pertahan Zahid Suburkan Politik Wang?
KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menyuburkan amalan rasuah dan politik wang sangat memalukan negara.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, perkara tersebut bukan hanya mengundang kecaman rakyat tetapi turut mengheret bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Presiden parti MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk turut menentang budaya tidak sihat itu.
"Beberapa hari lepas Zahid Hamidi tanpa segan silu mengumumkan pemberian wang lebih 'setengah juta ringgit' kepada belia Terengganu sambil mengharapkan anak muda mengikut Gelombang Biru (BN) dan Gelombang Merah (PH).
"Perkara ini sangat memalukan, ia mencabul proses demokrasi, namun malangnya Anwar Ibrahim dengan tegas mempertahankan Zahid Hamidi," ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, berkata demikian pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS negeri, di sini, hari ini.
Tegasnya, Malaysia akan rosak jika budaya tidak sihat tersebut terus disuburkan serta tidak dibendung.
"Masyarakat akan hilang rasa hormat terhadap agensi kerajaan dan kerajaan jika acuh tidak acuh dalam perkara ini," katanya.
Ujarnya, kini di Terengganu rentetan daripada tindakan Zahid itu, amalan rasuah tersebut sudah menjadi ikutan di peringkat bawahan UMNO itu sendiri.
"Tersebar di media sosial, calon BN di beberapa DUN di Terengganu menghulurkan wang kepada orang ramai.
"Kelakukan itu seolah-olah seperti mahu mencabar pihak berkuasa dan undang-undang negara, beberapa isu ini juga menunjukkan betapa tidak 'madaninya' PH-BN dalam berkempen. Kami berharap agar tindakan tegas dapat diambil oleh pihak berkuasa," ujarnya.
Tambah belau, kelakuan tersebut menjadi bukti nyata betapa kerajaan campuran hari ini gagal serta hanya sekadar bercakap tentang ketelusan serta menentang rasuah.
"Jika diimbas sebelum ini mereka jugalah yang lantang bersuara agar isu rasuah dan politik eang dijauhkan dalam kempen pilihan raya. Namun kini kita boleh melihat siapa sebenarnya bercakap benar dan siapa hanya pandai bermain kata-kata.
"Kita yakin rakyat Terengganu dan lima negeri lagi menolak budaya politik kuno sebegini dan akan menghukum PH-BN dalam PRU DUN kali ini," ujarnya.
01 Aug 23
162
TDM Sasar 100 Peratus Pekerja Am Tempatan Menjelang 2027
KUALA TERENGGANU, 1 Ogos- TDM Berhad melalui anak syarikatnya, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) menetapkan sasaran untuk mencapai kadar 100 peratus pekerja am dan 70 peratus penuai tempatan di ladangnya menjelang 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif TDMP, Hamdan Ibrahim, berkata, ianya merupakan sebahagian pelaburan TDM demi memartabatkan keupayaan dan potensi masyarakat tempatan, sekaligus membuktikan kadar kebergantungan industri perladangan terhadap pekerja asing dapat dikurangkan dengan usaha bersama serta meningkatkan sosio-ekonomi rakyat Terengganu.
“Kami yakin bahawa usaha ini adalah penting dalam memastikan kejayaan perniagaan kami dan kesejahteraan komuniti setempat, terutamanya pada kadar jangka masa yang panjang.”
“Pelan hala tuju strategik TDMP ke arah masa depan yang lebih mampan menjadi contoh progresif terutamanya dalam industri perladangan, yang juga mencerminkan komitmen syarikat terhadap tanggungjawab sosial,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sementara itu Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, TDMP merangka pelbagai strategi serta pendekatan yang efektif.
“Syarikat merancang untuk meningkatkan penggunaan mekanisasi dan teknologi pertanian tepat (Precision Agriculture) di ladang-ladang sawit bagi meningkatkan kecekapan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh manusia.
“Penggunaan mekanisasi ini juga diharapkan dapat menarik minat pekerja tempatan untuk menyertai industri perladangan. Selain itu, program latihan berterusan juga akan disediakan kepada pekerja tempatan untuk memperkasakan kemahiran dan teknik-teknik moden menggunakan peralatan-peralatan yang terkini,” jelasnya.
Katanya, sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), TDM akan menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan bagi mempromosikan peluang pekerjaan di ladang-ladang sekaligus meningkatkan kesedaran masyarakat tentang manfaat serta kelebihan menjadi sebahagian kakitangan perladangan di TDMP.
“Syarikat juga komited dalam menyediakan insentif yang menarik buat para penuai tempatan, termasuk gaji berasaskan prestasi, penghargaan atas usaha kerja keras dan dedikasi para penuai,” ujarnya.
01 Aug 23
203
Wan Hassan Sangkal Tuduhan Jahat Presiden UMNO
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli menafikan sekeras-kerasnya berhubung tiga perkara yang dibangkitkan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu video dan menyifatkannya sebagai tuduhan fitnah.
Dalam video tersebut, Ahmad Zahid mendakwa Wan Hassan menaiki kapal terbang bersamanya bagi melawat mangsa banjir di Dungun, memakai pakaian tidak sesuai ketika menyantuni mangsa banjir serta dakwaan Wan Hassan ahli Umno.
Wan Hassan menegaskan ketiga-tiga tuduhan yang dinyatakan Presiden Umno itu adalah tidak berasas dan pembohongan secara terang-terangan.
"Kalau perkara sekecil ini pun kita dapati sudah tidak betul, bagaimana dalam perkara-perkara yang lebih besar.
“Saya nafikan sekeras-kerasnya tidak pernah saya bercakap dengan Ahmad Zahid berkait dengan urusan banjir di Dungun dan saya tidak naik kapal terbang bersama dengannya.
“Mengenai pakaian pula, saya turun ke kawasan banjir, menyantuni mangsa banjir dan juga menyampaikan sumbangan dengan pakaian yang layak untuk berada di kawasan dan tempat banjir,” ujarnya.
Katanya, beliau merupakan ahli PAS tulen dan pernah menjawat beberapa jawatan penting di bawah pentadbiran PAS termasuk sebagai Exco Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 1999
“Pada tahun 2008 saya dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura serta tahun 2013, 2018 serta 2022 Ahli Parlimen Dungun,” jelasnya.
31 Jul 23
1391
Kerajaan Negeri Komited Perkasa Golongan Wanita
Kerajaan Terengganu sentiasa memartabatkan golongan wanita di negeri ini yang memainkan peranan penting dalam pembangunan keluarga dan masyarakat demi kemajuan negara.
30 Jul 23
46
Amzad Yakin Menang Majoriti Lebih Besar
Setelah kembali diumumkan sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad yakin mampu mencapai kemenangan dengan majoriti yang lebih besar berbanding sebelum ini 40,907 undi.
30 Jul 23
62
Ahmad Samsuri Pertahan Kerusi Rhu Rendang
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bakal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri, 12 Ogos ini.
30 Jul 23
116
564 Rumah Bakal Dibina di Alor Limbat
Sebanyak 564 unit rumah mampu milik (RMM) dan bercampur akan dibina di Kampung Alor Limbat, di sini menjadikannya projek perumahan terbesar dalam daerah Marang.
30 Jul 23
598
Buat Kajian, Pilih Calon Terbaik- Ariffin
MARANG, 30 Julai- Rakyat Terengganu dinasihatkan membuat pilihan bijak memilih calon dan parti yang mempunyai rekod serta pencapaian baik pada hari pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15, 12 Ogos nanti.
Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, setiap satu undi mereka penting dalam menentukan kerajaan yang memerintah untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Rakyat Terengganu perlu memilih calon yang terbaik untuk diangkat sebagai pemimpin dengan membuat kajian terlebih dahulu.
“Jangan terima bulat-bulat apa yang dijanjikan oleh calon yang bertanding di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, kaji dulu, buat kajian,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi DUN Alur Limbat, di Kolej Al-Quran Terengganu, semalam.
Terdahulu, Ariffin yang juga calon PAS Alur Limbat berkata, beliau bersyukur proses penamaan calon di DUN tersebut lancar tanpa sebarang provokasi daripada penyokong PAS dan Barisan Nasional (BN).
“Saya bersyukur kepada Allah S.W.T kerana proses penamaan calon berjalan dengan baik. Peringkat awal kiranya sudah selesai, maknanya DUN Alur Limbat hanya dua calon bakal bertanding iaitu saya mewakili PAS dan Yuseri Isa (BN).
“Saya mengharapkan proses kempen juga dapat berjalan dengan baik. Kita yakin dapat mempertahankan DUN Alur Limbat untuk penggal kali ini,” ujarnya.
30 Jul 23
228