Artikel "Utama" Terkini
Ahmad Samsuri Gesa Rakyat Bantu Palestin
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober- Rakyat negeri ini diseru agar terus menghulurkan bantuan untuk meringankan beban serta membolehkan rakyat Palestin meneruskan kelangsungan hidup.
Katanya, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memainkan peranan untuk menyalurkan derma kepada rakyat Palestin.
“Diharap semua pihak ‘feel free’ (tidak teragak-agak) untuk menyumbang ikut kemampuan masing-masing,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penganugerahan Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu 2023 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan kepada semua umat Islam untuk melaksanakan solat hajat bagi mendoakan kejayaan pasukan Hamas yang pada ketika ini berusaha keras bagi mengembalikan semula tanah air Palestin kepada rakyatnya.
“Saya percaya diantara kita ini rasa bertanggungjawab untuk mendoakan kesejahteraan sahabat, saudara Islam kita yang berada di Palestin.
“Termasuklah pejuang-pejuang yang memainkan peranan yang cukup besar untuk membebaskan bumi Palestin,” ujarnya.
10 Oct 23
145
Golden Pharos Jayakan Program 'Walking With Giant'
HULU TERENGGANU, 9 Oktober - Anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC), Golden Pharos Berhad (GPB) telah menjayakan Program 'Walking With Giant' (WWG) bagi menerapkan amalan pembangunan secara lestari.
Ketua Pegawai Eksekutif GPB, Dr Mohd Zaki Hamzah, berkata ia bertepatan dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030) yang menganjurkan pembangunan perlu lestari dengan alam sekitar, kemasyarakatan serta perkara-perkara berkaitan.
Ujarnya, program WWG yang diadakan di 'Elephant Conversation Village' (KECV) melibatkan lebih 300 peserta terdiri daripada kakitangan GPB, subsidiari, komuniti terdekat, penduduk Orang Asal dan pelatih Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).
"Ini merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang pertama diadakan oleh pihak kami. GPB bersama subsidirinya telah menyumbang sebanyak RM50,000 ringgit untuk digunakan oleh KECV dalam penjagaan, penyelenggaraan dan sebagainya.
"Insya-Allah harapan kami agar program seumpama ini akan terus diadakan di masa-masa akan datang dan ini merupakan satu tanggungjawab kami terhadap kehidupan liar.
"Bersama persijilan 'Forest Stewardship Council (FSC) bersama tanggungjawab dalam tadbir urus atau ESG, kita buat suatu aktiviti yang merangkumi semua dan inilah merupakan suatu program besar bagi kami dan harapan memberikan manfaat kepada kumpulan kami sendiri," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di program berkenaan baru-baru ini.
Dalam pada itu, Dr Mohd Zaki berkata, GPB merupakan syarikat pembalakan milik kerajaan negeri Terengganu yang diberi amanah oleh kerajaan negeri bagi menjaga kawasan hutan seluas 123,900 hektar di Dungun dan Kemaman.
"Hutan berkenaan adalah hak milik negeri dan kami hanya menjaga sahaja dan melaksanakan tanggungjawab berdasarkan garis panduan yang ditetapkan, kami menguruskan hutan berkeluasan besar iaitu hampir 124,000 hektar dan catuan tebangan dilakukan iaitu 1,900 hektar setiap tahun sahaja.
"Setiap tahun pengeluaran kayu sebanyak 45 meter padu perhektar dan GPB merupakan satu-satunya anak syarikat kerajaan negeri di Malaysia berjaya menguruskan pengeluaran produk kayu daripada hutan," ujarnya.
09 Oct 23
271
Kerajaan Negeri Pertimbang Lantik ADUN Lantikan Pembangkang
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di kalangan pembangkang dan perkara tersebut masih dalam pertimbangan.
Ahmad Samsuri berkata, pihaknya akan meneliti keperluan ADUN lantikan yang berperanan sebagai semak dan imbang dalam pentadbiran negeri itu dalam tempoh terdekat berpandukan kriteria yang ditetapkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
“Kita akan pertimbangkan untuk buat pelantikan (ADUN lantikan) berdasarkan kriteria-kriteria yang ada dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
“Kita tidak menolak ADUN lantikan, malah ketika ini sedang meneliti perkara tersebut dan melihat keperluannya dalam masa terdekat ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penganugerahan Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu 2023 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja.
Katanya, menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, jumlah maksimum ADUN lantikan adalah seramai empat orang berpandukan kepada syarat yang telah ditetapkan.
“Kouta ada sebanyak empat orang dan kena ada syarat-syaratnya, jadi samada satu, dua, tiga atau empat itu kita akan tengok kepada keperluan,” ujarnya.
Sementara itu katanya, kerajaan negeri sentiasa mengambil kira setiap teguran dan kritikan rakyat termasuk aduan kepada mana-mana agensi kerajaan bagi sebarang penambahbaikan.
“Rakyat berperanan sebagai semak dan imbang kerajaan dan bebas menegur sekiranya terdapat kekurangan yang perlu diperbaiki.
" Setiap agensi dan jabatan ada sistem perhubungan masing-masing, sama ada melalui portal, website dan sebagainya yang sedia menerima pandangan , kritikan atau teguran daripada rakyat,” ujarnya.
09 Oct 23
443
Setiu Daerah Penelur
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober - Industri ternakan ayam penelur bakal diwujudkan di daerah Setiu bagi memastikan rakyat Malaysia tidak mengalami masalah gangguan telur.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan makanan dan Komoditi, Dr. Azman Ibrahim berkata, tanah 300 ekar di Setiu telah disediakan bagi memenuhi keperluan itu.
Katanya, langkah itu juga dibuat bagi memastikan bidang itu tidak dikuasai pihak kartel.
"Pagi ini lawatan dan perbincangan yang sangat positif kami adakan bersama pengurusan Ladang Ternakan Ayam Penelur, Sekasih Aman Sdn Bhd.
"Sebuah syarikat milik orang Melayu anak jati Terengganu yang beroperasi di Kalumpang, Hulu Selangor," ujarnya melalui satu kenyataan di facebooknya, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, syarikat tersebut mempunyai kira-kira 1 juta ekor ternakan ayam penelur dengan kapisiti pengeluaran melebih 500,000 butir dalam sehari.
"Menariknya kerana syarikat ini (juga) memiliki ladang penetasan anak ayam dan kilang makanan sendiri," ujarnya.
Terdahulu, pada tahun lalu Dr Azman berkata kerajaan membuka peluang kepada sesiapa yang berminat mengusahakan penternakan ayam penelur dengan menyediakan tanah penternakan di Setiu.
Katanya, kerajaan negeri sangat mengalu-alukan rakyat yang berminat untuk mengusahakan ternakan ayam telur bagi meningkatkan hasil sumber makanan negeri kerana Terengganu masih sebelum ini bergantung sepenuhnya bekalan telur dari luar kerana masih belum ada yang mengusahakannya.
09 Oct 23
385
MB Seru Rakyat Bermunajat Agar Tanah Air Palestin Dikembalikan
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru seluruh rakyat untuk mengadakan munajat khusus bagi mendoakan kejayaan pasukan Hamas yang pada ketika ini berusaha keras bagi mengembalikan semula tanah air Palestin kepada rakyatnya.
"Saudaraku di bumi Malaysia, Pasukan Hamas dan Jihad Islami telah melancarkan serangan menentang kezaliman Israel dalam Operasi Taufan Al-Aqsa.
"Marilah sama-sama kita berdoa bersungguh-sungguh, bermunajat dan menunaikan solat hajat buat saudara-saudara Islam kita di bumi Gaza yang kini sedang berjuang mengambil kembali tanah air mereka, Palestin daripada rejim Israel," ujarnya melalui facebook rasminya, di sini, hari ini.
Tambah beliau, rakyat Malaysia harus membuktikan solidariti walaupun berada jauh daripada negara jantung hati umat Islam itu yang sekian lama mengharapkan Palestin akan dibebaskan daripada Rejim Zionis,
"Dengan sama-sama kita menunaikan solat hajat, membaca doa qunut nazilah dan bermunajat untuk saudara kita di bumi Gaza," katanya.
Terdahulu, kumpulan pejuang Palestin iaitu Hamas dan Jihad Islami melancarkan operasi ketenteraan mengejut ke atas negara haram Israel yang dikenali sebagai 'Taufan Al-Aqsa' yang dilancarkan dari darat, udara dan laut.
Sehingga kini lebih 2,200 serangan roket dilancarkan ke atas wilayah Palestin yang dijajah Zionis Israel seperti Utara Gaza, Esklain, Bir Al-Saba, Ashdoud, Tel Aviv dan Jerusalem.
08 Oct 23
572
Jawatankuasa Baharu Masjid Akan Dilantik Tahun Hadapan
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Proses pelantikan ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang baharu di negeri ini akan bermula pada 1 Januari tahun hadapan.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Sheikh Ismail berkata, AJK masjid sebelum ini telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk meneruskan lagi perkhidmatan selama tiga bulan
"Sepatutnya tempoh perkhidmadtan berakhir pada 30 September baru-baru ini, namun atas perkenan Tuanku, ia dilanjutkan hingga akhir tahun ini.
"Jadi AJK di masjid dan surau yang ada sekarang ini akan tamat pada 31 Disember 2023, jawatankuasa baru akan diproses bermula 1 Januari 2024 dan akan tamah tempoh lantikan pada 31 Disember 2026, selama tiga tahun," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat MAIDAM baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, 16 orang akan dilantik sebagai AJK masjid yang baharu setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu.
"Dalam 16 orang itu 10 orang akan dilantik oleh Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang terdiri Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Bendahari.
"JHEAT juga akan meluluskan baki enam lagi jawatankuasa dengan sekurangnya diwakili dua orang wanita dan dua orang belia setelah dipilih oleh anak mukim atau komuniti setempat," ujarnya.
Katanya, penambahbaikan yang akan dilakukan itu nanti berdasarkan hasil tinjauan yang telah dijalankan selama ini supaya institusi berkenaan tambah diperkasakan.
"Dalam masa enam bulan kita juga akan aturkan kursus wajib untuk dihadiri oleh ahli jawatankuasa di 510 buah masjid ini untuk mengendalikan masjid dan memainkan peranan serta tugas bagi memastikan masjid akan lebih meriah dan diamarahkan.
"Hendak tengok ada perubahan dalam melakukan kegiatan masjid kerana wawasan kita selama ini kalau boleh kita hendak tengok Solat Subuh jemaahnya hadir macam waktu Solat Jumaat," ujarnya.
08 Oct 23
1598
Kerajaan Negeri Ambil Serius Isu Solat
KUALA TERENGGANU, 8 oktober - Kerajaan negeri mengambil serius teguran rakyat dalam memastikan setiap rakyat yang hadir dalam setiap program tidak mengabaikan kewajipan menunaikan solat fardu.
Pengerusi Jawatankuasa, Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerajaan negeri sangat menghargai akan kecaknaan pihak terbabit yang prihatin dan memberikan pandangan agar berlaku penambahbaikan untuk setiap program yang akan diadakan selepas ini.
Ujarnya, isu mula timbul apabila wujud dakwaan segelintir pengunjung yang hadir ke program Persembahan TATU Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diadakan baru-baru ini tidak menunaikan solat
"Dengan adanya isu seperti yang dibangkitkan oleh saudara Sukri Sulaiman itu, pihak kerajaan negeri melihat ia suatu perkara yang serius, bahkan pihak kerajaan akan mengambil langkah yang proaktif dalam memastikan perkara seperti itu tidak akan berulang kembali.
"Di samping pada penggal ini usaha melalui portfolio EXCO Dakwah, Penerangan dan Pelaksanaan Syariah akan mengambil pendekatan (memperkasakan dakwah) melalui penerapan penghayatan dan pegangan 'Indahnya Hidup Bersyariat' bagi mendokong hasrat dalam mencapai maskud slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera," ujarnya.
Beliau berkata demikian melalui hantaran di facebooknya, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, sikap sebilangan besar pengunjung yang kelihatan mendirikan solat walaupun dalam keadaan sesak dengan lautan pengunjung sewajarnya dijadikan contoh.
"Sikap individu rakyat Terengganu seperti ini amatlah patut diberi pujian kerana memahami akan tanggungjawab sebagai seorang muslim menunaikan kefarduan solat tanpa mengharapkan alternatif daripada mana-mana pihak dalam menunaikan kewajipan solat itu.
"Tempat wuduk dan ruangan solat sememangnya sudah ada disediakan bagi tujuan kemudahan kepada para pengunjung yang hadir bagi program tersebut.
"Bahkan ia suatu kelaziman yang berlaku dari sesi penggal yang lalu terutama bagi memberi kemudahan dalam program-program seperti ini contohnya penganjuran perlawanan bola sepak," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, sejak penggal yang lalu lagi kerajaan Terengganu telah menerapkan kesedaran rakyat mengenai kewajipan menunaikan rukun Islam yang kedua tersebut.
"Bagi menghidupkan solat fardu secara berjemaah di lokasi program terutamanya kalangan anak muda, Namun program TATU yang berlangsung baru ini ada sedikit terlepas pandang oleh pihak kerajaan untuk mengambil perjalanan secara berfokus dalam perkara ini.
"Dengan harapan para pengunjung sedia memahami apa yang sepatutnya masing-masing lakukan dalam menunaikan tanggungjawab kewajipan solatan ke atas setiap individu muslim. Bahkan sebelum ini pengunjung mampu untuk menguruskan pergerakan mereka dalam menunaikan kewajipan solat.
"Terutama pada ruangan stadium ketika perlawanan bola sepak diadakan di situ," katanya.
08 Oct 23
234
Gelagat UAI Curi Tumpuan Malam TATU ATM
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) tidak melepaskan peluang menyaksikan Persembahan TATU Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diadakan semalam.
Persembahan tersebut bersempena dengan sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan KDYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
UAI yang hadir bersama keluarganya itu menerima sorakan yang meriah oleh orang awam yang hadir semalam.
Murabbi sejuta ummah itu juga sempat meluangkan masa bergambar dengan barisan tentera yang membuat persembahan pada malam tersebut.
Beliau yang hadir pada sekitar jam 7.30 malam itu dikawal dengan baik oleh pembantunya walaupun ribuan manusia yang hadir pada malam tersebut.
Dianggarkan seramai 50,000 orang pengunjung yang berada di dalam dan luar Stadium Sultan Ismail, Nasiruddin Shah semalam.
Orang ramai mula membanjiri tapak perkarangan stadium sekitar jam 4.00 petang serta tidak melepaskan peluang melihat pameran-pameran yang disediakan oleh ATM.
Sebanyak 12 persembahan dihidangkan kepada pengunjung dengan aksi luar biasa yang memerlukan kemahiran profesional seperti menunggang motosikal dengan pelbagai gaya.
Selain itu, kawalan anjing perang juga memerlukan kemahiran yang hanya boleh dikawal oleh anggota tertentu sahaja.
Tembakan bunga api yang penuh warna-warni di udara menamatkan persembahan TATU ATM pada malam tersebut.
07 Oct 23
6137
Persembahan TATU ATM Pukau 50,000 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Persembahan TATU Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memukau lebih 50,000 penonton di dalam dan luar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) di sini, semalam.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Persembahan berkenaan bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Tuanku.
Turut mengiringi baginda, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan YAM Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Program yang berlangsung di bandar raya Kuala Terengganu itu bermula pada jam 8.00 malam.
Orang ramai mula membanjiri tapak perkarangan stadium sekitar jam 4.00 petang serta tidak melepaskan peluang melihat pameran-pameran yang disediakan oleh ATM.
Pameran tersebut melibatkan pelbagai aset yang digunakan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti kereta kebal, helikopter dan sebagainya.
Di samping, turut disediakan jualan makanan kepada pengunjung di sepanjang laluan pameran tersebut.
Sebanyak 12 persembahan disediakan kepada pengunjung dengan pelbagai aksi menarik yang dipersembahkan seperti aksi motosikal oleh pasukan army red warrior.
Turut mencuri tumpuan pada persembahan tersebut adalah demonstrasi menyelamatkan tebusan 11 rejimen gerak khas.
Persembahan tersebut memukau penonton apabila melibatkan bahan letupan bom dan senjata api.
Program yang berakhir pada pukul 12 malam itu berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang meriah oleh para penonton yang hadir.
07 Oct 23
1352
Sultan Mizan Mahu Masjid Berperanan Sebagai Pusat Komuniti
MARANG, 7 Oktober - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru semua masjid memainkan peranan sebagai pusat komuniti dengan mendekati semua lapisan masyarakat dan cakna terhadap perkembangan teknologi masa kini.
Titah Baginda, Masjid juga hendaklah berperanan dengan baik dalam menyampaikan mesej kebaikan kepada masyarakat di samping menjadi tempat ibadah dan pusat penyebaran ilmu.
"Peranan Masjid juga perlu dikembangkan selaras dengan perkembangan semasa. Alat-alat komunikasi moden masa kini perlu dimanfaatkan sebaik yang mungkin.
"Strategi dakwah juga haruslah dirangka dengan baik dan berkesan agar peranan Masjid dalam memupuk nilai-nilai takwa kepada masyarakat benar-benar terlaksana dengan jayanya," titah Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Kubang Ikan di Kampung Chendering di sini semalam.
Baginda juga berkenan menukar nama Masjid Kubang Ikan kepada Masjid Tengku Besar Terengganu pada majlis berkenaan.
Sultan Mizan turut mengingatkan Pengurusan Masjid supaya berperanan sepertimana zaman Nabi
Muhammad SAW dengan melaksanakan pelbagai kegiatan ilmu, aktiviti kemasyarakatan dan kemanusiaan yang berjaya
mengangkat martabat ummah.
"Usaha yang bersepadu bagi mempromosi dan menyemarakkan program-program di masjid perlu diperkasakan dengan pelbagai cara agar ianya sampai ke setiap lapisan masyarakat.
"Beta amat mengharapkan setiap program yang dilaksanakan haruslah dapat mencapai matlamat
ketakwaan dan memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat agar ummat Islam bersatu padu dalam meninggikan syiar Islam di negeri yang kita cintai ini," titah Baginda.
07 Oct 23
301