lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

‘Dapo Mok Kiter’ Angkat Kembali Makanan Tradisi Negeri
‘Dapo Mok Kiter’ Angkat Kembali Makanan Tradisi Negeri
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober - Opok-Opok, Ke’ang, Che Abas Demam, Lempeng Anakkang, Urat Jati, Puli Ubi Kayu, Tepung Pasung, Ghepok Kacang ,Nisan Nyior dan Loklik antara sebahagian daripada 60 jenis makanan tradisi Terengganu yang menjadi tarikan pada Pameran ‘Dapo Mok Kite’ anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu. Pameran bermula hari ini (16 Oktober) sehingga 31 Mac 2024 yang berlangsung di kompleks muzium negeri, bertujuan menonjolkan kembali keunikan, kehebatan seni dan budaya makanan tradisi negeri. Tema ‘Dapo Mok Kite’ dipilih sebagai mengimbau kenangan air tangan orang lama dalam penyediaan makanan dan kuih-muih tradisi yang kini sukar ditemui, dan pihak muzium mengambil inisiatif menonjolkan dalam bentuk ‘fake food’ pada pameran tersebut. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, selain mendedahkan pengunjung mengenai kepelbagaian jenis makanan tradisional Terengganu, pameran tersebut membuka peluang kepada mereka untuk menimba ilmu. “Bukan sahaja di kalangan generasi baharu tetapi generasi lama pun kalau tidak didedahkan dengan pameran sebegini, kadang-kadang kuih-kuih tertentu kita tidak mengetahui kewujudannya. “Saya ucapkan terima kasih kepadap pihak muzium kerana mengambil pendekatan proaktif memastikan perkara-perkara warisan ini dapat terus dihayati oleh generasi sekarang,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran ‘Dapo Mok Kite’ dan Seminar Kearifan Tempatan: Gastrononomi Alam Melayu 2023 di Dewan Mandalika, Kompleks Muzium Negeri Terengganu, hari ini. Turut hadir,  Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah. Sulaiman berkata, program seumpama ini diharap menjadi platform terbaik dalam menatijahkan hasrat kerajaan negeri memartabatkan warisan gastronomi tradisi tempatan. “Saya percaya usaha murni Lembaga Muzium Negeri Terengganu ini amatlah bertepatan dan memenuhi aspirasi kerajaan negeri untuk mengangkat seni dan warisan budaya sebagaimana yang tertera dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 melalui teras pembangunan ke lima iaitu Memperkayakan Personaliti Budaya dan Warisan,” ujarnya.  
16 Oct 23
683
Zahon Cafe Tampil Gaya Jepun, Pertama di Terengganu
Zahon Cafe Tampil Gaya Jepun, Pertama di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober - Yakin suasana santai mampu menarik minat masyarakat setempat, seorang wanita tempatan tampil berani membuka sebuah kafe buku yang mempunyai gaya kedai di negara Jepun di Terengganu. Percaya atau tidak sebaik sahaja anda melangkah masuk kaki ke sini, pengalamannya sungguh berbeza, agak privasi dan memang selesa untuk lepak sambil mengopi, membaca dan makan pun tenang.Anda dapat merasai aura unik selepas memasuki perkarangan kafe ini yang dihias dengan perabot minimal bertemakan Jepun. Kini, kafe yang menghidangkan pelbagai menu minuman dan makanan negara matahari terbit itu , turut disertakan lebih 1,000 buku pelbagai genre di premis. Pemiliknya,  Nor Fatihah Che Mamad, 30,berkata restoran yang beroperasi sejak Oktober tahun lalu memberi pilihan lebih 20 menu masakan Jepun kepada penggemar makanan itu di negara ini. Dia yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti of Queensland, Australia berkata Za Hon Cafe yang beroperasi di Jalan Sungai Rengas juga  mentransformasi bahan berkenaan kepada bahan halal yang sedia ada di negara ini. “Begitupun, keaslian masakan Jepun itu sama sekali tidak terjejas sama seperti mana dirasai jika kita bertandang ke negara Jepun,”ujarnya yang mempunyai 10 pekerja tempatan terlatih Anak kedua dari enam beradik itu berkata, dia juga mendapatkan tunjuk ajar kakak iparnya yang berasal dari negara Jepun bagi memastikan rasa dan kualiti makanan yang dihasilkan sama seperti asal. Menu utama sudah pastinya Japanese Curry, dan ramen dari Jepun seperti Miso Ramen serta Shoyu Ramen termasuk Tobiko Mushroom pasta, Chicken Teriyakidon pada harga mampu milik iaitu RM11.90 hingga RM27.90. Bagi peminat kopi dan dessert pula, Zahon Cafe turut menawarkan pelbagai pilihan seperti Tiramisu Cakebox (Zahon’s signature cake), Strawberry Fresh Cream Cakebox, Chocolate Mochi Cakebox, Taiyaki (sejenis waffle Jepun berbentuk ikan), Mini Burnt Cheesecake, Japanese Caramel Puddings dan beberapa jenis pastri. Nor Fatihah turut menawarkan kepada pelanggan yang berminat untuk mencuba pakaian tradisi Jepun iaitu kimono dengan kadar harga RM5 satu bayaran yang cukup berpatutan dan murah . Kafe ini dibuka setiap hari kecuali selasa bermula jam 12 tengahari hingga jam 10 malam. Bagaimanapun, ia ditutup buat sementara pada waktu Maghrib bermula jam 7:30 malam sehingga 8 malam.
16 Oct 23
3101
Dua Pelumba Cilik Terengganu Ke Pentas Akhir di Sepanyol
Dua Pelumba Cilik Terengganu Ke Pentas Akhir di Sepanyol
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober - Terengganu terus mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang yang secara tidak langsung membanggakan negeri ini di persada dunia. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata terbaharu Terengganu meraih nama di pentas sukan permotoran melalui dua pelumba cilik Qabil Irfan Azlan dan Ariel Marzuki. "Qabil Irfan telah berjaya merangkul gelaran juara dan Ariel Marzuki menyandang gelaran naib juara dalam kategori Kelas 160cc FIM MiniGP Malaysia Series. "InsyaAllah, kedua-dua pelumba cilik kita bakal berentap di Kejuaraan Akhir Dunia di Valencia, Sepanyol," ujarnya di laman rasmi facebook beliau hari ini. Dalam masa yang sama, Ahmad Samsuri berkata beliau dan seluruh rakyat Terengganu akan mendoakan kejayaan di peringkat antarabangsa nanti.
16 Oct 23
1241
PETRONAS Taja 107 Pelajar Terengganu Cemerlang SPM
PETRONAS Taja 107 Pelajar Terengganu Cemerlang SPM
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Seramai 107 pelajar di Terengganu yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu menerima penajaan pendidikan PETRONAS melalui Program Memperkasakan Ilmu Penajaan Pendidikan PETRONAS 2023. Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly berkata, mereka adalah sebahagian daripada 600 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 seluruh negara yang menerima penajaan bernilai RM 340 juta.   "Program Memperkasakan Ilmu Penajaan Pendidikan PETRONAS merupakan komitmen berterusan PETRONAS di dalam aspek Pembangunan modal insan. “PETRONAS yakin bahawa pelaburan di dalam bidang pendidikan melalui akses kepada pendidikan berkualiti, bukan sahaja mampu membantu menghasilkan tenaga kerja profesional, bahkan juga menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan,”ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. Majlis penganugerahan disampaikan oleh Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh di dalam satu majlis yang diadakan di ibu negara.  Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah Tanah Dan Galian Terengganu, Dato’ Haji Ishamudin Hashim. Menurutnya lagi, setiap penerima terpilih, akan menerima tajaan pengajian asasi sehingga ijazah pertama di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) serta universiti-universiti tempatan dan luar negara seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand, China, Jepun, dan Korea Selatan. “Mereka yang terpilih bakal mengikuti kursus di dalam bidang Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Petroleum, Kejuruteraan Mekanikal, Geofizik, Perakaunan, Pemasaran dan Undang-undang.  “Selain daripada itu, PETRONAS juga telah memperluaskan penajaannya merangkumi bidang Sains Data, dan Kejuruteraan Data,”ujar beliau. Tambahnya, semenjak dilaksanakan pada tahun 1975, secara keseluruhannya PESP telah memberi manfaat kepada lebih daripada 38,000 orang pelajar dengan nilai perbelanjaan lebih RM3.5 bilion.  
15 Oct 23
586
Promosi Kenyir Geopark Lokasi Wajib Dikunjungi
Promosi Kenyir Geopark Lokasi Wajib Dikunjungi
HULU TERENGGANU, 12 Oktober - Setiap individu dan pemain industri perlu memainkan peranan untuk  menjadikan Kenyir Geopark sebagai salah satu destinasi wajib dikunjungi para pelancong dalam usaha merancakkan pelancongan di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata dengan penglibatan dan bantuan daripada pihak swasta kerajaan amat yakin bahawa sasaran ditetapkan iaitu 1 juta pelancong ke Kenyir Geopark akan dapat dicapai dengan mudah. "Sebagai contoh jika kita melancong ke negara China, akan ada tempat yang wajib dilawati dalam senarai seperti Tembok Besar...jadi kenapa kita tidak laksanakannya di Terengganu juga. "Ini antara perkara yang akan saya bincangkan dengan pemain industri di Terengganu supaya masukkan Kenyir Geopark ke dalam senarai tempat menarik yang wajib dikunjungi jika datang ke negeri ini,"katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Jom Kenali Geopark di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini hari ini. Turut hadir, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Lizan Che Mat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Zawawi Ismail. Razali turut berkata, apabila pengunjung bertambah, ia akan secara tidak langsung menjana ekonomi penduduk sekitar termasuk pengusaha rumah bot dan restoran. Tambahnya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan universiti-universiti yang pakar dalam bidang Arkeologi khususnya selain mendidik masyarakat setempat tentang nilai geopark tersebut. Dalam masa sama, beliau turut menyarankan para penggiat media sosial  menggunakan platform media sosial dalam mempromosikan produk-produk pelancongan tempatan bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri ini. Katanya, pada masa kini media sosial merupakan medium utama dalam menyebarluaskan maklumat secara pantas ke seluruh dunia yang sewajarnya digunakan untuk mempromosikan produk pelancongan tempatan. "Selain media arus perdana yang memainkan peranan penting, kita juga memerlukan media sosial kerana secara tidak langsung akan membawa lebih ramai pelancong apabila mereka tertarik dengan posting-posting yang dimuatnaik," ujarnya.  
12 Oct 23
1810
Konvoi Motosikal 1,584 Kilometer Promosi Taman Negeri
Konvoi Motosikal 1,584 Kilometer Promosi Taman Negeri
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober - Sebanyak 32 motosikal berkuasa tinggi mengambil bahagian dalam konvoi sejauh 1,584 kilometer (km) sempena mempromosikan Taman Negeri Terengganu. Acara pelepasan peserta konvoi Program Kenali Taman Negeri-North Chapter anjuran Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu itu telah disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja di perkarangan Wisma Darul Iman, hari ini. Tengku Seri Bijaya Raja berkata, aktiviti konvoi bermotosikal tersebut adalah platform untuk memberikan hebahan dan maklumat berkaitan produk yang terdapat di Taman Negeri Terengganu. “Selain memberikan kesedaran awam kepada umum tentang pentingnya alam semulajadi kepada manusia dan tanggungjawab untuk melindunginya yang perlu dipikul bersama,” ujarnya kepada pemberita selepas majlis tersebut. Menurut beliau, konvoi selama tiga hari dua malam itu akan mengunjungi Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. “Di setiap hentian, peserta konvoi bersama-sama pasukan promosi akan melakukan aktiviti hebahan untuk mempromosikan Taman Negeri yang ada di negeri kita antaranya Taman Negeri Setiu Wetlands serta Taman Negeri Kenyir,” ujarnya.  
12 Oct 23
504
'Gold Bar’ RM15 Ribu Menanti Pengunjung Drawbridge
'Gold Bar’ RM15 Ribu Menanti Pengunjung Drawbridge
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober - TI Properties menawarkan ‘Gold Bar’ bernilai RM15,000 melalui kempen Jadilah Pelawat Drawbridge Yang Ke Setengah Juta sebagai penghargaan kepada para pengunjung yang telah berkunjung ke Kuala Terengganu Drawbridge.  Selain itu, sebuah motorsikal jenama Honda ADV turut menanti pengunjung yang bertuah dan pelbagai hadiah berupa barangan elektrik sebagai hadiah sampingan kepada para pemenang yang lain. TI Properties dalam satu kenyataan berkata sebagai anak syarikat yang berada di bawah Terengganu Incorporated, yang diberi mandat dan tanggungjawab untuk mengoperasikan Kuala Terengganu Drawbridge mengadakan kempen ini  untuk memperluaskan lagi jenama Kuala Terengganu Drawbridge ke seluruh Malaysia  “Kuala Terengganu Drawbridge telah memulakan perkhidmatannya kepada orang ramai pada tahun 2019 dengan membuka ruangan Galeri untuk dikunjungi oleh orang ramai. “Memandangkan jumlah pelawat hampir mencecah setengah juta, pihak TI Properties sedang mengadakan dan menaja hadiah istimewa kepada para pengujung yang bertuah sebagai penghargaan di atas pencapaian ini,”ujar kenyataan tersebut. Antara syarat-syarat kempen ini ialah, para pelawat perlu mengimbas kod QR yang telah disediakan untuk tujuan penyertaan Pelawat Drawbridge Yang Ke Setengah Juta dan rujukan pihak penganjur termasuk mengisi nombor kod bar yang tertera di tiket, nama penuh, email, nombor kad pengenalan, nombor telefon, negeri dan skala syor penilaian ketika mendaftar.  Pelawat yang ke setengah juta akan ditentukan apabila rekod capaian mencecah yang ke setengah juta dan menepati syarat-syarat penyertaan Sementara itu, bagi para pelawat yang ingin menyertai cabutan bertuah perlulah membeli minima sebanyak tiga pakej dan produk yang terdapat di Kuala Terengganu Drawbridge.  “Terdiri daripada tiket galeri, lawatan teknikal, memancing dan pembelian barangan cenderahati. pakej galeri bersama lawatan teknikal (Pakej B) dikira sebagai dua pakej yang berbeza,”katanya lagi. Bagi acara cabutan bertuah, peserta yang memenuhi syarat yang telah ditetapkan akan tercalon dalam sesi cabutan bertuah.  Untuk maklumat lanjut, sila layari laman media sosial rasmi Facebook dan Instagram Kuala Terengganu Drawbridge.  
11 Oct 23
3164
60 Penjawat Awam Terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang
60 Penjawat Awam Terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober- Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Ab. Rasid Jusoh yang sebelum ini menerajui Terengganu Football Club Sdn Bhd sebagai Ketua Pegawai Eksekutif antara 60 penjawat awam negeri yang menerima Anugerah Perkhidmatan Awam (APC) 2023, semalam. Mula dilantik sebagai Pegawai Tadbir pada 1 Mei 1997 dengan ditempatkan di Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Ab. Rasid telah berkhidmat dengan kerajaan negeri selama 26 tahun. Beliau merupakan ahli lembaga pengarah bagi Koperasi Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, juga pegawai yang bergiat aktif dalam Persatuan Bola Sepak Negeri dan bertanggungjawab dalam pembangunan bola sepak negeri. Majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Terengganu 2023 itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, semalam. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja. Ahmad Samsuri dalam ucapannya merakamkan ucapan terima kasih dan menghargai komitmen seluruh penjawat awam yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan amanah, ikhlas dan berdedikasi. “Saya berharap semua penjawat awam terus berusaha meningkatkan prestasi dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam melaksanakan tugas agar mendapat kecemerlangan di dunia mahupun akhirat,” ujarnya.  
10 Oct 23
507
'Insinerator' Atasi Masalah Sampah Di Pulau Redang
'Insinerator' Atasi Masalah Sampah Di Pulau Redang
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober- Kerajaan negeri akan membina insinerator dalam masa terdekat sebagai langkah mengatasi isu longgokan sampah yang menghantui penduduk Pulau Redang. Kaedah ini membolehkan sampah-sarap yang diproses melalui teknologi insinerator menghasilkan tenaga sama ada dalam bentuk elektrik dan gas. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan untuk projek pembinaan insinerator itu sudah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) beberapa bulan lalu. “Kita telah buat keputusan untuk membina satu sistem insinerator di Pulau Redang. “Isu-isu berkaitan dengan tanah juga telah selesai, sekarang ini dalam proses pelaksanaan. Dengan adanya insinerator, kita tidak lagi perlu membawa sampah dari Pulau Redang ke daratan (tanah besar) seperti yang dilakukan sekarang ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penganugerahan Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu 2023 di Wisma Darul Iman, hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja. Katanya, ketika ini semua proses kelulusan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga telah selesai cuma menunggu kontraktor untuk membina fasiliti itu. “Kita jangka ianya akan dilaksanakan dalam sebulan dua lagi, kita tidak mengira sangat tentang penjimatan, yang lebih penting adalah untuk menyelesaikan isu sampah,” ujarnya. Mengulas lanjut, beliau mengharapkan pembinaan insinerator tersebut akan memberi kebaikan kepada semua pihak. “Yang lebih penting adalah sikap pengguna di pulau termasuklah pelancong atau penduduk tempatan. “Kalau pihak-pihak ini tidak dapat bersikap lebih berdispilin, pembinaan insinerator tidak membawa apa-apa makna,” katanya.  
10 Oct 23
157
Agamawan Sokong Terengganu Halang Wanita Muslim Sertai Gimnastik
Agamawan Sokong Terengganu Halang Wanita Muslim Sertai Gimnastik
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Persatuan Kebajikan Asatizah Terengganu (PAKAT) menyokong penuh tindakan kerajaan Terengganu tidak membenarkan atlet wanita Islam di negeri ini daripada menyertai sukan gimnastik dalam sebarang kejohanan. Pengerusinya, Abu Usamah Mohd Hanapiah Hussin berkata, pendirian tegas itu adalah selaras dengan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu. Katanya, tindakan segelintir pihak yang mengkritik keputusan yang dtelah dibuat itu perlu mengambil kira pandangan para mufti dan ulama mengenai etika berpakaian seseorang wanita Islam dalam sukan terbabit sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan menyerang secara melulu. "PAKAT berpandangan langkah ini bukanlah ke belakang untuk kemajuan sukan di negeri kita, bahkan ia akan lebih memartabatkan atlet wanita negeri Terengganu, tanpa perlu merasa bimbang terpaksa mengenepikan seketika  prinsip agama dan etika budaya demi untuk memajukan diri dalam bidang sukan. "Langkah ini dapat melahirkan lebih ramai atlet wanita Terengganu yang cemerlang dalam acara sukan lain yang nanti akan lebih diberikan tumpuan dan fokus untuk mendapatkan pingat oleh kontinjen Negeri Terengganu dalam sebarang pertandingan sukan akan datang," ujarnya. Beliau berkata demikian, melaluii suatu kenyataan rasmi di facebook rasmi PAKAT, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut katanya, pihaknya juga turut memberikan sokongan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim dalam mengendalikan isu pematuhan syariah pemakaian atlet Terengganu. "Dengan mengutamakan pendidikan dalam usaha menerapkan garis panduan serta mengelakkan atlet Terengganu daripada terlibat dalam bidang sukan yang terlalu menjolok mata kepada bidang sukan yang lebih 'mesra syariah'. Dalam pada itu katanya, rakyat negeri ini perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan usaha 'serangan pemikiran' oleh pelbagai pihak bagi menjauhkan wanita Islam daripada beramal dengan syariat Islam dalam pelbagai bidang termasuk hiburan, fesyen dan sukan bagi melemahkan kekuatan umat Islam. "PAKAT juga berharap pihak kerajaan negeri dapat menyediakan lebih banyak prasarana sukan yang lebih mesra syariah untuk wanita Terengganu yang tidak menyertai acara sukan berbentuk pertandingan sebagai galakan untuk merancakkan amalan hidup sihat di kalangan wanita negeri ini. "Akhir sekali, PAKAT berpandangan kenyataan bahawa kerajaan negeri tidak menghalang atlet wanita bukan Islam untuk terlibat dalam sukan gimnastik adalah suatu kompromi yang adil dan bijaksana. "Semoga bumi Terengganu lebih sentiasa diberkati oleh Allah SWT jua. 'Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur'," ujarnya.
10 Oct 23
314