Artikel "Utama" Terkini
Tangguh Bayar Royalti Susahkan Rakyat
KUALA TERENGGANU, 30 November - Tindakan Kerajaan Persekutuan yang belum menjelaskan baki bayaran royalti petroleum kepada Terengganu dilihat seolah-olah seperti mahu menyusahkan rakyat.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kerajaan Persekutuan mesti memulangkan dana itu langsung kepada Kerajaan Terengganu yang direkodkan sebagai hasil negeri dengan mengikut jadualnya seperti menjadi amalan sejak sekian lama.
“Mengenai Royalti Petroleum, walau apa juga nama yang digunakan oleh Kerajaan Persekutuan sama ada Wang Ehsan, Bayaran Tunai Petroleum atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan, suka saya tegaskan bahawa ia adalah hak rakyat dan Negeri Terengganu.
“Tindakan bertangguh-tangguh menyerahkannya dan dalam jumlah yang jauh sangat sedikit berbanding yang dianggarkan seperti bayaran ansuran bulanan, umpama sengaja mahu mengganggu dan menggagalkan pentadbiran kerajaan negeri dan kesannya adalah kepada rakyat,” ujar Ahmad Samsuri.
Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri akan terus berbincang dan berunding dengan beberapa pendekatan berasaskan Perlembagaan dan semangat federalisme sehinggalah Kerajaan Persekutuan menyerahkan kembali hak rakyat Terengganu ini.
Untuk rekod, dan berdasarkan kadar harga minyak yang turun naik, pada tahun 2018, Kerajaan Terengganu menerima Royalti Petroleum sebanyak RM1.374 Billion, RM1.497 Billion (2019), RM1.226 Billion (2020), RM1.287 (2021), RM1.393 Billion (2022), dan setakat ini pada tahun 2023 berjumlah RM0.56 Billion.
Dalam pada itu katanya, Kerajaan Terengganu akan memperkasakan sumber sedia ada dan meneroka sumber baharu sebagai strategi untuk menjana pendapat baharu kepada negeri.
“Kita telah mempunyai Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang telah dibentangkan dalam Jawatankuasa Peningkatan Hasil dan Perbelanjaan Hemat Negeri Terengganu pada 7 September 2023 untuk dijadikan strategi utama bagi meningkatkan hasil kerajaan.
Kerajaan optimis bahawa kita berupaya untuk meningkatkan pendapatan negeri secara berfasa. Namun begitu, kita perlu realistik dalam perkara ini,” ujarnya.
Jelas beliau, kesemua perancangan ini ada yang boleh dilaksanakan segera dan ada yang memerlukan masa yang lebih panjang, kerana ia melibatkan banyak pihak dan proses di pelbagai peringkat.
“Untuk memastikan perancangan ini benar-benar bermanfaatkan dan memberikan keuntungan kepada rakyat dan negeri, kita akan sentiasa cermat dan tidak tergesa-gesa dalam mengambil tindakan dan keputusan terutamanya melibatkan hasil baharu,” katanya.
30 Nov 23
427
Kerajaan Negeri Teruskan Pemeriksaan Mamogram Percuma Bagi Wanita B40
Kerajaan negeri akan meneruskan program pemeriksaan kanser payudara (mamogram) dan penyakit kanser perviks (pap smear) secara percuma kepada wanita B40 di Negeri Terengganu.
30 Nov 23
896
Program Pertanian Bandar Perkukuh Fungsi Masjid
Program pertanian fertigasi dan hidroponik yang dilaksanakan pihak masjid berjaya mengukuhkan serta mengembangkan lagi institusi itu sebagai pusat aktiviti masyarakat.
30 Nov 23
83
Bina Taman Industri Hijau di Hulu Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh mencadangkan tanah seluas 5,000 ekar di Hulu Terengganu dijadikan sebagai salah satu Taman Industri Hijau (Green Industry Park) negeri Terengganu.
30 Nov 23
125
Pembuatan Bot Tradisional Pulau Duyong Akan Kembali Bersinar
KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan negeri memberi jaminan perusahaan pembuatan bot tradisional di Pulau Duyong akan kembali bersinar.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, usaha membangunkan semula perusahaan warisan itu akan dibuat melalui pelan penyelarasan kolaborasi produk-produk pelancongan pesisir sungai Terengganu.
"Termasuklah Shah Bandar, Pesisir Payang, Seberang Takir, Pulau Duyong, Pulau Warisan, Kampung Budaya Terengganu, Taman Tamadun Islam dan lain-lain.
"Bagi memartabatkan industri pembuatan bot tradisional di negeri ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr. Zaharudin Zahid, pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ariffin berkata kerajaan negeri turut mempunyai perancangan untuk menyediakan latihan dan kursus bagi pembuatan bot tradisional bagi memastikan lebih ramai yang akan terlibat dalam industri terbabit.
Katanya, kerajaan negeri juga turut merancang untuk berkerjasama dengan Jabatan dan Kementerian Pelancongan serta Malaysian Timber Industry Board (MTIB) bagi penyediaan latihan serta kursus-kursus yang berkaitan pembuatan bot tradisional.
"Buat masa ini kerajaan negeri telah menyediakan latihan ukiran kayu di Desa Ukiran Kayu, Besut.
"Bagi Tabung Pusingan Modal, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) ada menawarkan skim pembiayaan tanapa riba di bawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) dengan had maksima sebanyak RM50,000 tertakluk kepada terma dan syarat.
"Antara skim pembiayaan dan perniagaan yang boleh dipohon termasuklah Sektor Warisan (Pembuatan Bot Tradisional)," katanya.
30 Nov 23
597
Dasar Pelaburan Baharu Bakal Diwarta Suku Kedua 2024
KUALA TERENGGANU, 29 November – Kerajaan negeri akan melaksanakan Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu yang dijangka dapat diwartakan pada suku kedua 2024 nanti
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Khuzaini Ab Rahman berkata langkah tersebut bagi mewujudkan ekosistem mesra pelabur untuk meningkatkan pelaburan ‘Domestic Direct Investment’ (DDI) dan ‘Foreign Direct Investment’ (FDI) ke Negeri Terengganu
Katanya, walau bagaimanapun, pelabur yang berminat untuk melabur di Negeri Terengganu perlulah dipastikan bahawa pelabur yang ‘genuine’ (tulen) bagi menjaga kepentingan Kerajaan Negeri dan rakyat.
“Sebagaimana kerangka, matlamat pelaksanaan dasar tersebut adalah dengan memberi penekanan kepada mengurangkan kerenah birokrasi yang berlaku.
“Tujuan pelaksanaan dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian ini adalah bagi melancarkan proses pelaburan perindustrian di Negeri Terengganu sama ada dari pihak pelabur yang berminat dan juga kepada Kerajaan Negeri dan agensi atau jabatan berkaitan,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Tambahnya, antara intipati kepada pelaksanaan dasar mesra pelabur dengan mengadakan perbincangan langsung dengan pelabur berminat bagi mendapatkan lebih input dan keperluan pelabur.
“Pihak PMINT akan melaksanakan ‘due diligence’ kepada pelabur yang berminat bagi melabur di Negeri Terengganu.
“Ini termasuk kolaborasi yang baik dijalinkan antara Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan seperti MIDA dan ECERDC melalui perkongsian informasi bagi menarik pelabur berpotensi melabur ke Terengganu,” ujarnya.
Beliau juga berkata proses permohonan pajakan tanah oleh pelabur juga akan dipercepatkan dengan mewujudkan Jawatankuasa Pembangunan Industri Negeri Terengganu (MJPINT) yang dipengerusikan olehnya dengan ahli jawatankuasa melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Teknikal dan MIDA.
“Kita akan mempercepatkan proses permohonan dan kelulusan ‘submission’ oleh pelabur dengan mewujudkan kemudahan khidmat runding melalui ‘pre-consult’/’fast lane’ di Peringkat PBT bagi kelulusan pelan.
“Selain itu, kita akan melaksanakan ‘Trade Mission’ serta Ekspo Industri seperti MIDA Series dan ECERDC Invest@ECER Series bagi promosi pelaburan,”katanya.
30 Nov 23
188
Hilang Hasil RM82.5 Juta Selepas Kecualikan Cukai Pintu
KUALA TERENGGANU, 29 November- Kerajaan negeri telah kehilangan hasil sebanyak RM82.5 juta dari kutipan cukai pintu rumah kediaman bagi tempoh 2018 hingga 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pengecualian cukai pintu rumah kediaman adalah antara manifesto PAS yang ditawarkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.
“Sebaik sahaja memenangi PRU14, kita terus melaksanakan janji tersebut.
"Sepanjang tempoh itu, kerajaan negeri telah kehilangan hasil RM82.5 juta yang sepatutnya dikutip oleh tujuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Khazan Che Mat katanya pada Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Belanjawan) di Wisma Darul Iman, hari ini
Mengikut data, pada tahun 2018, kutipan cukai pintu rumah kediaman yang sepatutnya dikutip ialah RM9.7 juta, tahun 2019 (RM12.73 juta), 2020 (RM13.87 juta) dan tahun 2021 (RM14.56 juta).
Pada tahun 2022 pula, hasil yang sepatutnya dikutip meningkat kepada RM15.27 juta dan tahun 2023 sebanyak RM16.38 juta.
Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata pihaknya akan mengkaji dan meneliti cadangan pelbagai pihak agar melaksanakan semula cukai pintu secara bersasar.
Kata beliau, pihaknya telah menerima banyak cadangan dan perkara tersebut akan dipertimbangkan.
"Kerajaan negeri menerima banyak cadangan dari pelbagai pihak agar melaksanakan semula cukai pintu ini secara bersasar.
"Kita akan mengkaji cadangan-cadangan itu terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan muktamad," katanya.
29 Nov 23
429
Adakan Munajat Agar PM Kembalikan Royalti Terengganu
Rakyat negeri ini diseru mengadakan munajat dengan melakukan solat hajat dan berdoa agar Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim dilembutkan hati sekali gus memulangkan kembali hak royalti petroleum.
29 Nov 23
110
Tambah Kawasan Industri, Kurangkan Kebergantungan Hasil Petroleum
Kerajaan negeri disarankan menambah kawasan industri di Terengganu, agar pertumbuhan ekonomi semakin rancak dan kebergantungan pada hasil minyak dapat dikurangkan.
29 Nov 23
99
Pinjaman Tanpa Caj Bantu Belia Ceburi Sektor Pertanian
KUALA TERENGGANU, 29 November- Kerajaan Negeri memperkenalkan kemudahan pinjaman tanpa faedah mulai tahun 2019 bagi penyediaan modal permulaan kepada golongan muda yang berminat menceburi sektor pertanian.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ianya melalui Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) bagi membantu mereka (anak muda) yang terlibat dengan bidang pertanian, penternakan dan perikanan.
“Tumpuan pelaksanaan skim ini adalah kepada aktiviti pengeluaran makanan dan skim bantuan dalam bentuk barangan.
“Pada tahun ini, sebanyak RM 2 juta diperuntuk kepada golongan belia dalam SBMT bagi memulakan projek dalam sektor pertanian,” ujarnya pada Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli yang ingin tahu mengenai apakah strategi kerajaan bagi penyediaan modal permulaan kepada golongan muda yang berminat menceburi sektor pertanian.
Mengulas lanjut katanya, melalui program Agropreneur Muda pula, kerajaan negeri menyediakan bantuan dalam bentuk geran kepada usahawan muda berumur antara 18 hingga 40 tahun yang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan pertanian.
“Kerajaan melalui kerjasama strategik dengan Agrobank juga menyediakan pelbagai program dan inisiatif bagi menggalakkan golongan muda menceburi bidang pertanian.
“Antara bentuk bantuan untuk golongan belia termasuk pemberian dana kerajaan melalui Agrobank sebanyak RM950,000 sebagai modal permulaan petani muda serta peruntukan pinjaman RM100 juta kepada usahawan di bawah usia 40 tahun,” jelasnya.
Menurut beliau, Agrobank menerusi usahasama dengan para rakan strategiknya turut giat menguruskan Program Pembangunan Belia Tani dalam Kalangan Siswazah (PROBEST), terutama dalam penyediaan dana program di samping membangunkan usahawan belia tani dengan membekalkan latihan dan bimbingan keusahawanan, termasuk pemantauan dan pelaporan program.
29 Nov 23
432