lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kes Jenayah Komersial di Terengganu Menurun
Kes Jenayah Komersial di Terengganu Menurun
KUALA TERENGGANU, 29 Januari- Kes jenayah komersial di Terengganu tahun lalu merekodkan penurunan berbanding tahun sebelumnya, ujar Polis Terengganu. Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, sebanyak 1,237 kes jenayah komersial membabitkan jumlah kerugian RM33.32 juta sepanjang tahun 2023, berbanding 1,311 kes dengan kerugian RM24.32 juta pada 2022. Katanya, berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu menunjukkan peningkatan kerugian pada tahun 2023 sebanyak RM8.9 juta atau 37 peratus berbanding tahun 2022. "Bagi tangkapan kes jenayah komersial pula seramai 658 tangkapan bagi tahun 2023, berbanding 536 tangkapan pada 2022 iaitu peningkatan seramai 122 tangkapan atau 18.54 peratus,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam. Mazli berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 27 Januari tahun ini, sebanyak 393 laporan polis telah diterima dan 94 kertas siasatan telah dibuka melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM1.4 juta. Katanya, penyumbang utama kes jenayah komersial adalah melibatkan kes penipuan yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan penipuan kes skim pelaburan tidak wujud didapati menjadi penyumbang tertinggi kepada jumlah kerugian. Justeru katanya, pihak polis menasihati masyarakat supaya sentiasa peka, berwaspada serta membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi, selain mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan skim pelaburan. 
29 Jan 24
370
'Air Naik Begitu Cepat Ranapkan Rumah Kami'
'Air Naik Begitu Cepat Ranapkan Rumah Kami'
DUNGUN, 29 Januari - "Air naik begitu cepat sehingga menyebabkan saya dan isteri terus menaiki kereta untuk ke tempat lebih tinggi dan tidak sempat selamatkan apa-apa," ujar Mohamad Zubir. Mangsa banjir, Wan Mohamad Zubir Wan Suhaidi, 31,  berkata ketika kejadian, tanpa menyedari baru 10 minit berlalu, air banjir telah mencapai paras dua kaki dalam kediamannya. "Kesemua barangan dalam rumah kami telah mengalami kerosakan termasuk barangan elektrik, sofa dan lain-lain akibat banjir itu," jelasnya. Dia berkata demikian kepada pemberita ketika sedang membersihkan rumah di Kampung Shukor, Hulu Dungun di sini semalam. Dia yang tinggal bersama isterinya berkata banjir besar yang melanda Kampung Shukor, Hulu Dungun pada kali ini merupakan paling teruk berbanding tahun 2014. Tambah Zubir, banjir luar biasa itu menyebabkan paras air melepasi bumbung rumahnya sehingga tiada kekuatan untuk melakukan apa-apa. “Kami sekeluarga terpaksa berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terdekat sehingga kejadian banjir beransur pulih,” ujarnya. Sementara itu, lebih 500 peserta Ops Pasca Banjir membanting tulang membersihkan masjid, balai raya, sekolah serta beberapa rumah mangsa banjir di Kampung Shukor. Sukarelawan terdiri daripada agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), KHIDMAT Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia (JAM).  
29 Jan 24
164
EPIC Peruntuk RM2.3 Juta Untuk CSR 2023
EPIC Peruntuk RM2.3 Juta Untuk CSR 2023
KUALA NERUS, 29 Januari- Anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) peruntuk RM2.3 juta bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berbanding tahun sebelumnya RM2.2 juta. Pengarahnya, Datuk Ahmad Amzad Bin Mohamed @ Hashim berkata peningkatan itu berdasarkan kadar pertumbuhan prestas yang berjalan lancer dan berjaya mencatatkan keuntungan lebih besar. “Dengan peruntukan itu, kami mensasarkan untuk meluaskan lagi usaha murni ini agar mereka terjejas beroleh manfaat dan merasai nikmat kehidupan yang lebih baik, “Saya juga berharap menerusi penganjuran pelbagai lagi program dapat memantapkan kerjasama holistik antara pihak EPIC Berhad dan kerajaan negeri dalam membantu golongan-golongan bersasar, badan-badan atau institusi-institusi lain di Negeri Terengganu,”katanya kepada pemberita selepas merasmikan program “EPIC Back to School 2024” di Raia Hotel di sini hari ini. Dalam program tersebut, seramai 100 murid kurang bernasib baik di Kemaman dan Kuala Terengganu yang melibatkan lapan buah sekolah rendah di bawah inisiatif “EPIC Celik” menerima sumbangan kit persediaan sesi persekolahan baharu berupa baucar pembelian uniform sekolah, baucar pembelian kasut, set alat tulis, botol minuman, beg sekolah dan juga hamper makanan bernilai RM500 setiap satu. Ahmad Amzad berkata, sesi pertama program telah dijalankan semalam di premis operasi syarikat di Kemaman bersama 50 murid dari SK Bukit Mentok. "Pada hari ini pula, 50 murid dari  tujuh buah sekolah iaitu SK Pusat Chabang Tiga, SK Paloh, SK Wakaf Mempelam, SK Durian Burung, SK Rengas Bekah, SK Pulau Rusa, dan SK Bukit Losong. “EPIC Berhad  mensasarkan murid-murid dari keluarga kurang berkemampuan dengan menyediakan keperluan penting untuk menghadapi sesi persekolahan baharu bagi memastikan murid-murid kurang bernasib baik tidak ketinggalan dalam membuat persediaan untuk kembali ke sekolah," ujarnya.  
29 Jan 24
443
Pusat Tafaqquh Fi Din Dijangka Dibuka 1 Februari
Pusat Tafaqquh Fi Din Dijangka Dibuka 1 Februari
 Perkampungan Ilmu Tafaqquh Fiddin Tok Syeikh Duyong Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man di sini dijangka mula beroperasi untuk fasa pertama mulai 1 Februari ini.
29 Jan 24
6
Exco, 500 Sukarelawan Bersih Rumah Mangsa Banjir
Exco, 500 Sukarelawan Bersih Rumah Mangsa Banjir
Exco Kerajaan Negeri, Hanafiah Mat bersama lebih 500 peserta Ops Pasca Banjir membanting tulang membersihkan masjid, balai raya, sekolah serta beberapa rumah mangsa banjir di Kampung Shukor, Dungun. 
29 Jan 24
113
Warga Asing 'Perguna' Gadis Tempatan Demi Halalkan Bisnes
Warga Asing 'Perguna' Gadis Tempatan Demi Halalkan Bisnes
KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Wanita di negeri ini diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan janji manis yang diungkapkan warga asing kerana ada niat terselindung di sebalik modus operasi mereka itu. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara taktik licik di sebalik ikatan cinta itu adalah bagi membolehkan mereka tinggal lebih lama di sini sekali gus memberi lesen untuk golongan terbabit menjalankan aktiviti perniagaan. Ujarnya, pihaknya mengambil serius dan memberi perhatian terhadap aduan serta rungutan orang ramai yang melihat perniagaan warga asing mula berkembang di sekitar Terengganu. "Apabila Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjalankan siasatan kebanyakan mereka berniaga dengan menggunakan lesen atas nama isteri. "Saya mengharapakan agar wanita-wanita tempatan berfikir panjang dan mengambil kira banyak faktor jangan sekadar terpikat dengan rupa paras yang hensem supaya tidak menyesal pada masa akan datang. "Kita tidak menolak ketentuan jodoh itu di tangan Allah, tetapi perlu berfikir sebelum mengambil keputusan yang kelak akan memberi kesan yang tidak baik lantaran warga-warga asing ini sengaja mengambil peluang untuk berada di negeri ini dengan sah dan menjadikan kaedah perkahwinan sebagai alat. "Bagi menghalalkan keberadaan mereka di sini dan tanpa ada niat untuk bersungguh-sungguh mendirikan rumahtangga yang akan mengakibatkan berlaku pengabaian, akhirnya menyebabkan rumah tangga porak peranda,  tanpa ada  kebahagiaan dan kesejahteraan itu yang perlu kita bimbangi," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas mengadakan pertemuan dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu bersama PBT, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Azhar Abdul Hamid dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif. Mengulas lebih lanjut kata Wan Sukairi, masalah yang timbul ini mengakibatkan rakyat merasa terancam dan rimas dengan kebanjiran mereka. "Ini juga menyebabkan timbulnya panggilan 'mini Dhaka', juga akan menjadi punca ekonomi akan mula dimonopoli warga asing sekali gus cukai dan zakat tidak dibayar," katanya. Dalam pada itu ujarnya, pertemuan yang diadakan pada hari ini adalah untuk melakukan penyelarasan segala gerak kerja di lapangan dan mewujudkan kolaborasi diantara semua PBT bersama-sama dengan pihak imigresen. "Insya-Allah melalui kolaborasi ini apa-apa misi atau operasi yang akan dibuat akan disertai bersama antara JIM dan PBT jadi saya harap ia akan melancarkan lagi gerak kerja di lapangan bagi memastikan Terengganu akan sentiasa berada di dalam keadaan yang aman dan damai. "Bagi memastikan ewujudan warga asing tidak akan mengganggu-gugat keselamatan rakyat dan menjamin keselesaan anggota masyarakat untuk meneruskan kehidupan," ujarnya.      
28 Jan 24
500
Banjir, ATM Bantu Usung Jenazah
Banjir, ATM Bantu Usung Jenazah
HULU TERENGGANU, 25 Januari - Jenazah seorang wanita berusia lingkungan 80-an terpaksa dibawa ke tanah perkuburan menggunakan bot Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) hari ini berikutan kawasan kediamannya di Kampung Bukit Tadok dilanda banjir. Pegawai Memerintahnya, Leftenan Kolonel Mohd Zaki Jusoh, berkata pihaknya menerima permohonan bantuan menguruskan jenazah Kalthom Mat, 84, yang meninggal dunia akibat sakit tua pada jam 9 pagi tadi. “Kami dimaklumkan oleh keluarga arwah mengenai jalan di kampung itu yang tidak boleh dilalui kenderaan ringan akibat dinaiki air sedalam 0.2 hingga 0.5 meter. "25 anggota Lain-lain Pangkat yang diketuai oleh Mejar Shah Hadi  Shah Budin membawa jenazah menggunakan trak dari rumah arwah ke masjid untuk pengurusan jenazah seterusnya membawa jenazah menggunakan bot ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tadok," ujarnya Tambah Mohd Zaki, pihaknya juga tidak ketinggalan memberi bantuan kepada mangsa- mangsa banjir di Terengganu dengan kehadiran mereka di lokasi-lokasi yang terlibat. Sementara itu, anak lelaki arwah, Mat Sudin Mustafa, 63, berkata laluan keluar ke tanah perkuburan dan masjid mula dinaiki air sejak semalam menyebabkan keluarganya mengalami kesulitan untuk membawa keluar jenazah. "Agak buntu pada mulanya memikirkan bagaimana nak uruskan jenazah ibu tetapi tak lama kemudian penghulu memaklumkan anggota ATM sedia membantu untuk membawa keluar arwah ibu ke Masjid Kampung Bukit Tadok untuk dimandi dan dikafankan seterusnya ke kubur. "Alhamdulillah dan terima kasih ATM sebab sudi bantu kami sekeluarga, sanggup harungi banjir sedalam lebih satu meter mengusung arwah ibu sebelum dibawa dengan trak, dan akan harungi sekali lagi banjir menggunakan bot untuk ke kubur nanti,"katanya.  
25 Jan 24
322
Abdul Hadi Semakin Sihat, Kembali Teruskan Rutin Kuliah Dhuha Esok
Abdul Hadi Semakin Sihat, Kembali Teruskan Rutin Kuliah Dhuha Esok
KUALA TERENGGANU, 25 Januari- Kesihatan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang kini semakin baik dan dijadualkan akan kembali meneruskan rutin menyampaikan kuliah dhuha pada setiap Jumaat di Masjid Rusila, Marang, esok.  Anaknya, Dr Muhammad Khalil memberitahu, Ahli Parlimen Marang berusia 76 tahun itu baru-baru ini berada di Institut Jantung Negara (IJN) bagi menjalani pemeriksaan jantung.  "Alhamdulillah, ayahanda tok guru semakin sihat, dan yang penting adalah semangatnya terus kental membawa agenda memartabatkan agama dan politik Islam dalam negara kita. "Beliau baru sahaja balik dari Kuala Lumpur selepas seminggu yang lalu berada di IJN.  "InsyaAllah, beliau akan meneruskan rutin biasa selepas ini, dan jika diizinkanNya esok ayahanda akan menyampaikan kuliah seperti biasa di Masjid Rusila, " ujarnya. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kesihatan Abdul Hadi pada Majlis Perasmian Program Indahnya Hidup Bersyariat Dan Pelancaran Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) Peringkat Negeri. Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah di Wisma Darul Iman, hari ini.
25 Jan 24
172
Indahnya Hidup Bersyariat, Jadi 'Trademark' Dakwah Terengganu
Indahnya Hidup Bersyariat, Jadi 'Trademark' Dakwah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 Januari- Kerajaan negeri mengangkat slogan ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ sebagai ‘trademark’ agenda dakwah sepanjang tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ianya simbolik kepada salah satu Teras Strategik Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan dan pelaksanaan Syariah Terengganu.  “Pemasyhuran tema rasmi 'Indahnya Hidup Bersyariat' akan terus disemarakkan dan akan diperluaskan ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN). “Garapan dan impak daripada ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ diharapkan bakal menterjemahkan suasana beragama dan penghayatan undang- undang Islam dalam setiap golongan dan lapisan masyarakat. “Antaranya melalui Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS), Pahlawan Subuh, Kempen Solat Berjemaah, Kempen Tutup Aurat Dengan Sempurna, Penutupan Premis Ketika Waktu Solat Jumaat, Pindaan-pindaan terbaharu Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan lain-lain,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Indahnya Hidup Bersyariat Dan Pelancaran Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) Peringkat Negeri yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah di Wisma Darul Iman, hari ini. Pada majlis tersebut, turut dimasyhurkan logo rasmi 'Indahnya Hidup Bersyariat', hebahan pemakaian Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) (Pindaan) 2022 yang mula berkuatkuasa 1 Januari lalu, serta pelancaran Bulan Penghayatan Solat (BPIS) dan pelancaran Terengganu Hijab Day.  Katanya, program-program tersebut menterjemahkan usaha pihak kerajaan negeri yang tidak pernah berhenti meninggikan syiar Islam di bumi Darul Iman ini.  
25 Jan 24
568
Guru Sekolah, Guru Al-Quran Johan Tilawah Hulu Terengganu
Guru Sekolah, Guru Al-Quran Johan Tilawah Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 25 Januari - Guru Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI), Muhammad Azizi Kamaruddin serta Guru Al-Quran, Tuan Aminah Tuan Endot masing-masing muncul johan qari dan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Hulu Terengganu 1445H/2024M, di sini semalam. Muhammad Azizi, 26, dan Tuan Aminah, 62, masing-masing akan mewakili daerah Hulu Terengganu ke peringkat negeri sekali gus menerima wang tunai berjumlah RM2,000 berserta piala iringan, plak cenderahati dan sijil penyertaan.  Kedua-dua johan itu akan mewakili Daerah Hulu Terengganu pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri yang dijadual berlangsung di Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus Terengganu pada 27 hingga 29 Februari depan. Azizi menyifatkan kemenangannya tidak dijangka apabila menerima saingan sengit daripada tiga peserta lain. Beliau yang sebelum ini beberapa kali bertanding di peringkat yang sama berjaya mendapat 82.5 markah dan bertekad untuk memantapkan bacaannya sebelum mewakili daerah ke peringkat negeri pada Februari depan. “Persiapan untuk ke peringkat negeri, saya berlatih dan terus berlatih seperti biasa, menghadap guru talaqi, rutin sebelum dan selepas tilawah adalah sama sahaja, itulah persediaannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan semalam. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Ustaz Maliaman Kassim hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis yang berlangsung di Dewan Solat Masjid Pekan Ajil. Turut hadir, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Lizan Che Mat.  Sementara itu,Tuan Aminah juga tidak menyangka berjaya menjadi johan bagi kategori qariah kerana berhadapan persaingan hebat daripada peserta lain. Beliau yang berasal Kampung Getang Hilir, Telemong turut menyifatkan setiap peserta mempunyai kekuatan dan keistimewaan masing-masing dengan perbezaan markah yang sedikit.   “Alhamdulillah, tak sangka sebab ramai yang hebat-hebat sebelum ini, rasa macam dia menang ni sebab macam hebat sangat, jadi perasaan tu memang tak sangka langsung," ujarnya. Naib johan qari dan qariah pula masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000, mock cheque, trofi dan sijil manakala pemenang tempat ketiga qari dan qariah masing-masing beroleh RM800, mock cheque, trofi dan sijil.      
25 Jan 24
987