Artikel "Utama" Terkini
Aksi Menari 'Alamak Raya Lagi' Boleh Bawa Hukum Haram
KUALA TERENGGANU, 17 April - Aksi tarian menggunakan lagu 'Alamak Raya Lagi' di media sosial boleh membawa kepada hukum haram lebih-lebih sekiranya mendedahkan aurat.
Mufti Terengganu, Prof. Madya Datuk Dr Mohamad Sabri Harun berkata, trend tersebut perlu dielakkan kerana ia dilihat menjatuhkan maruah wanita apabila mempamerkan aurat.
Bahkan katanya, bukan sahaja menyerlahkan reputasi yang negatif kepada pelakunya malah menurutnya akan mencemarkan perayaan Aidilfiltri yang sedang diraikan oleh seluruh umat Islam pada ketika ini.
"Sepatutnya pebutan tersebut dielakkan kerana boleh menonjolkan aurat yang boleh membawa kepada (hukum) haram, sebarang perbuatan yang negatif sudah pasti mencemarkan keharmonian perayaan Aidilfitri itu sendiri," ujarnya sebagaimana yang dilaporkan Sinar Harian ketika dihubungi di sini, semalam.
Dalam pada itu, Mohammad Sabri turut menzahirkan perasaan kesal atas tindakan masyarakat beragama Islam yang begitu mudah terikut dengan trend semasa sehingga melupakan batas agama.
"Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan kepada masyarakat supaya jangan mudah terikut-ikut dengan budaya baharu.
"Fikir dahulu sebelum melakukan sesuatu, jika tidak, dibimbangi akan menjerumuskan diri kepada fitnah yang mencemarkan budaya harmoni kita," ujarya.
17 Apr 24
380
UMT Jalin Kerjasama Dengan NEST
KUALA TERENGGANU, 16 April- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (IBTPL) UMT memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST).
Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, melalui kerjasama tersebut, IBTPL telah merangka pelbagai program termasuk usaha pembangunan modal insan dalam melahirkan pemandu pelancong (guide) yang terdiri daripada komuniti setempat dan memberi pendedahan berkenaan pengetahuan aktiviti pencerapan burung di beberapa lokasi dalam negara.
Katanya, jalinan kerjasama itu bakal memberi manfaat kepada penyelidik dan juga komuniti sekitar.
“Pemeteraian MoU ini juga akan membawa pelbagai manfaat khususnya kepada komuniti tempatan melalui program pemindahan ilmu antara penyelidik UMT serta kepakaran daripada pihak NEST berkaitan ilmu biodiversiti serta aktiviti lain seperti pencerapan burung, pengenalan dan pengecaman kepada spesies burung yang terdapat di kawasan tertentu khususnya Tasik Kenyir.
“Usaha ini mampu merancakkan lagi aktiviti ekonomi dengan kehadiran pelancong sekaligus memberi limpahan rezeki kepada pengusaha rumah inap, resort, pengusaha makanan dan produk makanan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kepakaran yang dimiliki UMT dan kelebihan fasiliti stesen penyelidikan serta sokongan daripada NGO mampu memberi impak besar kepada sektor pembangunan dan pelancongan di Tasik Kenyir.
Sementara itu, penyelidik UMT, Dr. Siti Norasikin Ismail menganggap kolaborasi itu merupakan platform terbaik bagi kerja-kerja penyelidikan selain penghasilan bahan penerbitan berimpak melalui perkongsian sumber serta kepakaran dalam pelbagai bidang seperti pemeliharaan biodiversiti, pembangunan mampan dan kelestarian alam.
16 Apr 24
257
Terengganu Lindung Kepentingan Pengilang Padi Bumiputera
KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Padi Negeri Terengganu mempunyai mekanisma kawalan bagi mengelakkan hasil padi negeri ini dijual ke kilang padi di negeri lain.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh beliau itu melibatkan semua jabatan, agensi dan badan berkaitan dalam kluster padi negeri.
Azman berkata, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mengawal hasil padi dari dijual keluar dengan kerjasama Bernas.
“Justifikasi kawalan ini disebabkan ketidakcukupan padi dalam kalangan pengilang tempatan dan hasil padi dalam Terengganu.
“Di negeri ini terdapat empat kilang padi yang beroperasi dan tiga daripadanya adalah milik bumiputera,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.
Katanya, berdasarkan justifikasi tersebut, kerajaan negeri melalui bahagian Kawalselia Padi Beras negeri Terengganu telah melaksanakan beberapa langkah kawalan bagi melindungi kepentingan pengilang bumiputera.
“Antaranya melalui arahan pembekuan semua permit pemindahan padi keluar dari Terengganu.
“Sebaran pemindahan padi tanpa permit adalah merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994,” ujarnya.
Katanya, selain itu Bernas tidak akan membayar subsidi harga padi kepada petani yang menghantar hasil padinya ke kilang padi di negeri lain.
“Bahagian Kawalselia Padi dan Beras juga menjalankan rondaan dan pemeriksaan berkala di sempadan bagi memastikan tiada pelanggaran arahan dan kesalahan dilakukan.
“Sementara, pihaknya akan membuat pemeriksaan bagi memastikan harga lantai belian padi RM1300/tan di kilang-kilang dalam negeri mengikut ketetapan harga kawalan yang ditetapkan,” ujarnya.
16 Apr 24
307
Mangsa Tragedi Malam Syawal Terima Bantuan Segera
BESUT, 16 April - Kegembiraan jelas terpancar diwajah Mohd Asrol Nizam Mat Hussin, 37 tahun, yang menerima bantuan segera setelah rumahnya hangus dijilat api dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam pertama syawal, Rabu lalu di Kampung Beris Pak Abu.
Sumbangan wang tunai serta pakaian itu disampaikan oleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, Pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Teregganu (MAIDAM), Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pegawai PPD dan Guru Besar Sekolah Kampung Bharu, semalam.
Azbi salleh berkata, sumbangan berkenaan merupakan salah satu daripada tanggungjawab dan sebagai tanda prihatin kepada mangsa.
“Hari ini (semalam), kita juga telah menyumbang bantuan kewangan dan baju sekolah baharu kepada anak mangsa dan berharap ia dapat meringankan sedikit beban mereka.
Biarpun sedikit, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat memberikan semangat baharu kepada mereka sekeluarga” katanya selepas menyerahkan sumbangan itu.
Dalam pada itu, beliau berharap agar musibah yang dialami Mohd Asrol Nizam Mat Hussin dan berharap mereka sekeluarga tabah meneruskan kehidupan.
15 Apr 24
448
Majlis Hari Raya DUN Kuala Besut Disambut Meriah
BESUT, 14 April - Keceriaan tujuh stesen makanan dan minuman dengan lebih daripada 15 menu disediakan telah berjaya menarik ribuan pengunjung untuk datang memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang bertempat di Perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Besut, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, kebiasaanya sebelum ini yang menjadi juadah istimewa sebelum ini adalah gulai kawah namun pada kali ini ditampilkan kelainan dengan mempelbagaikan hidangan dan minuman.
Katanya, majlis sambutan raya pada kali ini juga mendapat kerjasama erat antara DUN Kota Putera, DUN Jerteh, DUN Hulu Besut, Dewan Ulama, PAS Kawasan Besut, Muslimat PAS Kawasan Besut, Pemuda PAS Kawasan tersebut serta Ameerah Kawasan Besut,
"Melalui kerjasama dengan mereka telah berjaya menyediakan pelbagai menu, antaranya gulai kawah, nasi dagang, kambing golek, nasi minyak, sate, locen, apam balik, 10 jenis air balang, kuih-muih dan tidak asing untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri seperti rendang, ketupat dan biskut raya.
"Kemeriahan majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu terhormat, antaranya ADUN Kota Putera Nurkhuzaini Ab. Rahman, ADUN Jerteh,Dr. Riduan Mohammad Nor, ADUN Jerteh,ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin sertra turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Terengganu Senator Dato' Haji Husain Awang," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, bagi menceriakan kanak-kanak yang hadir duit raya turut diberikan juga kepada kanak-kanak yang berusia 12 tahun ke bawah.
"Terima kasih kepada semua pengunjung yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PKM Kuala Besut, yang diadakan bermula jam 9.30 pagi hingga jam 2.30 petang.
"Alhamdulilla, saya lihat jumlah kehadiran yang sangat luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat serta turut dihadiri tetamu dari jabatan-jabatan Kerajaan yang turut serta bagi memeriahkan majlis ini.
"Terima kasih juga diucapkan kepada Pengarah dan AJK Penatia yang bertungkus-lumus bagi menjayakan majlis ini. Terima kasih juga kepada Unit Amal berpanas terik menjalankan tugas bagi melancarkan aliran trafik,"ujarnya lagi.
15 Apr 24
404
Bubur Lambuk Air Tangan Tunku Azizah Buat Penghuni Penjara Marang
MARANG, 8 April - Lebih 3,000 bubur lambuk air tangan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diagihkan kepada penghuni Penjara Marang, di sini, semalam
Kelincahan Baginda 'beraksi' memasak bubur lambuk resepi istimewa berjaya menarik perhatian dan telah menceriakan penghuni di penjara itu.
Baginda berkata, sebanyak tujuh periuk bubur lambuk disediakan dengan menggunakan pelbagai bahan yang segar dengan kandungan protein yang tinggi dan menjadi kesukaan ramai setiap kali disediakan di luar istana.
"Sebenarnya, tiap-tiap tahun sebelum saya jadi Permaisuri pun, memang suka memasak untuk rakyat jelata apatah lagi bubur lambuk memang sinonim dengan kedatangan Ramadan.
"Bermula tahun lepas, saya mula menyediakan bubur lambuk ini di Penjara Penor dan Bentong di Pahang. Alhamdulillah, hari ini rezeki penghuni di Penjara Marang pula merasai sendiri air tangan dari Istana Pahang," titah baginda.
Terdahulu, ketibaan baginda diiringi oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah; serta dua puteri Terengganu iaitu Tengku Puteri Utama, Tengku Dato' Seri Nadhirah Zahrah Sultan Zainal Abidin dan Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra.
Titah baginda lagi, bubur lambuk Terengganu dan Pahang tidak banyak beza berbanding resipi bubur lambuk di negeri lain, terutama Kuala Lumpur yang terkenal dengan bubur lambuk Kampung Baru.
Baginda memaklumkan, resipi bubur lambuk Pahang dan Terengganu banyak menggunakan ikan, pelbagai pucuk paku merah, lada hitam dan santan.
"Namun kali ini, kita bawakan khas resipi bubur lambuk Istana Pahang yang menggunakan ikan tenggiri, udang, sotong dan ayam sebagai ramuan utama di samping bahan lain yang biasa digunakan dalam proses pembuatan bubur lambuk.
"Penjara Marang sangat dekat di hati saya, kerana ada produk keluarannya yang sangat istimewa iaitu songket tenunan asli Terengganu," titah Baginda.
Baginda juga bertitah, sebagai
Penaung Diraja bagi Seni dan Kraf Jabatan Penjara Malaysia, usaha mereka dalam memartabatkan seni warisan sangat dihargai.
"Justeru itu penyediaan bubur lambuk Istana Pahang ini adalah antara inisiatif untuk menceriakan mereka pada Ramadan," kata Baginda.
08 Apr 24
972
Aidilfitri:70,000 Kenderaan Dijangka Masuk Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 April – Polis Terengganu menjangkakan jumlah kenderaan yang memasuki Terengganu dijangka meningkat antara 50,000 hingga 70,000 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata jumlah itu meningkat ketara berbanding hanya antara 16,000 hingga 20,000 kenderaan pada hari biasa, membabitkan perantau yang pulang ke Terengganu dan Kelantan.
Sehubungan itu, pihaknya sudah menambah anggota khususnya bahagian trafik bagi mengawal dan menyuraikan kesesakan lalu lintas untuk memastikan kelancaran serta keselamatan trafik terutama di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
Katanya, bagi memastikan pengguna tidak terperangkap dalam kesesakan, kita akan menggerakkan elemen-elemen trafik untuk melancarkan semua laluan di Terengganu.
"Antara langkah yang akan diambil adalah membuat lencongan jalan atau meletakkan anggota trafik di kawasan lampu isyarat atau kawasan yang mempunyai banyak simpang bagi melancarkan laluan.
"Biasanya daerah Setiu dan Besut akan mengalami kesesakan yang teruk kerana ia turut menjadi laluan perantau yang mahu pulang ke Kelantan," ujar beliau.
Mazli berkata, seramai 210 pegawai dan anggota trafik ditugaskan dengan dibantu balai-balai berhampiran bagi memastikan kelancaran trafik serta memantau jalan yang sesak seterusnya mengambil tindakan perlu.
Katanya, pengguna jalan raya juga diingatkan supaya merancang perjalanan dan mematuhi arahan pihak berkuasa selain mengikuti perkembangan semasa aliran lalu lintas di Terengganu.
Sementara itu, jumlah kenderaan dilihat mula bertali arus memasuki pintu masuk Terengganu sejak semalam berikutan kepulangan perantau untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman.
Tinjauan UPDI mendapati, jumlah kenderaan semakin bertambah sejak malam tadi, namun trafik lancar dan dijangka keadaan itu berterusan menjelang malam raya.
07 Apr 24
162
LPT2 Buka 10 Plaza Tol Bantu Elak Kesesakan
KUALA TERENGGANU, 8 April - Bagi melancarkan pergerakan kenderaan serta membantu pelanggan sempena musim perayaan kali ini, pihak Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) membuka 10 plaza tol untuk semua lorong bagi mengelak kesesakan aliran lalulintas.
Pengurus Wilayah LPT2 TS Shuhaimi Samad berkata walaubagaimanapun LPT2 memberi tumpuan di plaza Tol Ajil di Hulu Terengganu dan Plaza Tol Kuala Terengganu di Bukit Gemuruh.
" LPT2 lebih memberi tumpuan kepada plaza tol Kuala Terengganu memandangkan peningkatan trafik yang dijangka meningkat sehingga lewat petang ini,”ujarnya kepada pemberita.
Beliau juga memaklumkan dua lorong ditambah di Plaza Tol gemuruh bagi memudahkan pembayaran menggunakan pidion bagi melancarkan trafik menjadikan keseluruhan penambahan empat kaunter berbanding tiga sebelum ini.
Dalam pada itu, dijangkakan jumlah kenderaan yang memasuki Terengganu meningkat antara 50,000 hingga 70,000 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri berbanding hanya antara 16,000 hingga 20,000 kenderaan pada hari biasa, membabitkan perantau yang pulang ke Terengganu dan Kelantan.
07 Apr 24
636
163 Banduan Dilepaskan Secara Berlesen Sempena Aidilfitri
MARANG, 7 April - Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) Sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 membawa makna besar kepada 163 banduan dari Penjara Marang, hari ini.
Pengarah Penjara Terengganu, Penolong Kanan Komisioner Hamid Taha berkata, pembebasan itu bagi mencipta peluang kedua kepada mereka untuk berubah sebelum dibebaskan mengikut tempoh sebenar hukuman berakhir.
"Kesemua banduan yang dilepaskan adalah mereka yang melakukan kesalahan- kesalahan kecil seperti mencuri di kedai runcit, menceroboh kawasan larangan dan memiliki dadah (jumlah yang kecil).
"Mereka juga akan terus dipantau dan perlu melaporkan diri mengikut jadual yang ditetapkan oleh pihak penjara.
"Kita berharap kesemua mereka akan memanfaatkan pembebasan ini dengan penuh keinsafan dan kesyukuran untuk menjadi insan yang lebih baik pada masa akan datang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, salah satu komitmen Jabatan Penjara yang bukan sahaja untuk memberi peluang kepada banduan menyambut perayaan bersama keluarga tetapi membuka ruang bagi mereka mendapatkan pekerjaan.
"Kebanyakan mereka diterima masuk untuk bekerja dalam bidang perkilangan, perladangan, penternakan dan produk pembuatan makanan haiwan.
"Gaji mereka sama sahaja dengan pekerja di luar iaitu tidak kurang dari RM1,500 sebulan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua banduan yang masih berada dalam penjara akan diberi kebenaran untuk berjumpa keluarga mereka pada hari raya ketiga Aidilfitri nanti.
"Semoga pertemuan itu nanti dapat meleraikan kerinduan masing-masing dan tanda kesediaan keluarga untuk menerima kepulangan banduan selepas hukuman berakhir," katanya.
Program PBSL ini merupakan antara komitmen Jabatan Penjara Malaysia dalam memperkasakan Pemulihan Dalam Komuniti dan merupakan langkah untuk pengintegrasian semula penghuni di dalam masyarakat dan kesesakan dalam penjara.
07 Apr 24
478
Bekas Pekerja i-MiTS Terima Pampasan RM44, 499
Kuala Terengganu, 8 April- Bekas Pekerja Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat, Samiah @ Azizah Awang, 59,telah menerima faedah hilang upaya kekal oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan pampasan diterima sebanyak RM44, 499.00 secara keseluruhan.
Pengarah PERKESO, Che Farihah Husin berkata bekas kakitangan i-MiTS itu telah dicarumkan di bawah Akta 4 PERKESO oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu (Bahagian Pengurusan).
*Pada 16 Mac 2020 Orang Berinsurans ( OB ) Samiah telah terlibat dalam satu kemalangan jalanraya ketika perjalanan pulang ke pejabat dalam waktu rehat yang dibenarkan majikan.
"Akibat kemalangan tersebut OB telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk mendapatkan rawatan dan telah disahkan mengalami kecederaan pada di kepala dan luka di bahagian kiri badan.
"Pejabat ADUN Alur Limbat telah melaporkan kemalangan tersebut kepada PERKESO dan hasil daripada siasatan yang dijalankan ole Pegawai Faedah, kes disahkan sebagai Bencana Pekerjaan.
"OB telah mendapat Cuti Sakit selama 151 hari dan telah menerima bayaran pampasan Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS) dengan keseluruhan berjumlah RM7046.00, " ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Faedah Hilang Upaya Kekal tersebut bersama ADUN Alur Limbat kepada penerima terbabit, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Farihah berkata Samiah telah menghantar permohonan Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK) ke Pejabat PERKESO Negeri Terengganu pada 19 Jun tahun lalu dan telah dirujuk ke Sidang
Jemaah Doktor PERKESO pada 30 Mac 2023 dangan taksiran hilang upaya sebanyak 20%.
"Peratus keputusan tersebut telah melayakkan OB menerima pampasan bayaran Faedah HUK berjumlah RM44,499.00 yang telah dikreditkan ke akaun OB.
Dalam pada itu, Pengarah PEKESO Negeri Terengganu telah mengumumkan Pejabat ADUN Alur Limbat sebagai Rakan Skuad Prihatin PERKESO.
"Dengan pengikhtirafan ini, diharapkan pejabat DUN ini akan menjadi rujukan dan tempat untuk masyarakat setempat tuju bagi mendapatkan maklumat serta persoalan," katanya.
Sementara itu Ariffin berharap dengan hubungan baik yang terjalin itu akan membantu lebih ramai pencarum untuk menuntut faedah-faedah yang ditawarkan oleh PERKESO serta menjadi hub rujukan.
07 Apr 24
310