Artikel "Utama" Terkini
Pahlawan Subuh 5.0 Tarik Seribu Jemaah
Kira-kira 1,000 jemaah menghadiri Program Pahlawan Subuh 5.0 yang berlangsung di Masjid Al-Furqan, Chendering, di sini pada Jumaat.
06 Jun 24
262
Maahad Tahfiz Fokus Tingkat Kemahiran Teknikal Pelajar
KUALA NERUS, 5 Jun – Maahad Tahfiz Wa’ Tarbiyah Darul Iman (MTT) terus memperbaharui pendekatan pendidikan dengan menekankan pentingnya kemahiran teknikal untuk kesinambungan masa depan pelajar.
Dalam satu perhimpunan di MTT, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Mohamed, memberi penekanan kepada langkah proaktif tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa Maahad Tahfiz telah membuka peluang baru bagi pelajar dengan memasukkan kemahiran vokasional seperti pendawaian elektrik dan jahitan ke dalam kurikulum mereka.
“Langkah tersebut memberi peluang lebih luas kepada pelajar untuk memperoleh kebolehan praktikal yang penting dalam pasaran pekerjaan yang semakin canggih,” katanya ketika majlis berkenaan.
Ahmad Shah menekankan kepentingan sokongan daripada komuniti dalam memastikan setiap pelajar mempunyai akses kepada pendidikan yang relevan dengan keperluan semasa.
Beliau juga bangga dengan Maahad Tahfiz atas usaha institusi itu menyediakan pendidikan yang mudah difahami dan praktikal bagi masa depan generasi muda.
Majlis bersejarah itu berakhir dengan majlis perasmian mini konvokesyen kursus tahfiz vokational MTT untuk 2023, menandakan langkah penting bagi pelajar yang telah dilengkapi dengan kemahiran vokasional yang bermakna.
05 Jun 24
378
Pengguna Perlu Sedar Hak Serta Tanggungjawab
MARANG, 5 Jun - Orang ramai perlu diberi kesedaran bagi membolehkan mereka bertindak sebagai pengguna bijak, tahu hak-hak pengguna dan mengetahui saluran aduan yang sepatutnya.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Ariffin Deraman berkata terdapat lima saluran telah disediakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam usaha menegakkan hak-hak pengguna di Malaysia.
Katanya, saluran itu meliputi Whatsapp, portal e-Aduan KPDN, Call Centre, Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC).
"Setiap aduan berkaitan kenaikan harga barang atau berkaitan bekalan akan diambil tindakan segera sekiranya aduan diberikan lengkap dengan premis yang terlibat.
"Oleh itu jangan teragak-agak untuk membuat aduan sekiranya peniaga membuat kesalahan untuk kepentingan bersama," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Cabaran Troli Pengguna sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu di Pasaraya PXR Wakaf Tapai di sini hari ini.
Dalam program tersebut 48 peserta dari 16 agensi dan jabatan persekutuan telah memyertai pertandingan tersebut.
Menurut Ketua Seksyen Pendayaupayaan Pengguna Pentadbiran dan Kewangan, Alifah Noor Abidin, pemenang dikira berdasarkan perbelanjaan optimum dan berjaya membeli berdasarkan soalan yang diberikan.
Tempat pertama telah dimenangi oleh Jabatan Alam Sekitar yang membawa pulang RM1,000 beserta hamper, naib johan pula jatuh kepada Politeknik Kuala Terengganu (RM700) manakala tempat ketiga dimenangi oleh Majlis Keselamatan Negeri (RM500).
Kesemua johan, naib johan dan tempat ketiga akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan yang bakal diadakan di negeri Perak pada Julai ini.
05 Jun 24
141
YT Jalin Kerjasama Dengan Kumpulan TI Taja Pelajar Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 5 Jun- Yayasan Terengganu (YT) hari ini menandatangani perjanjian YT - TI Young Talent Scholarship Programme 2023 bersama Kumpulan Terengganu Inc (TI) bagi membuka peluang kepada pelajar cemerlang negeri ini mendapatkan pendidikan tinggi terbaik.
Pengarahnya, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, YT telah menubuhkan Tabung Biasiswa GLC pada Tahun 2022 untuk meningkatkan kapasiti tawaran biasiswa dengan sokongan syarikat korporat Negeri Terengganu sebagai alternatif pendidikan tinggi kepada golongan sasar yang layak serta mereka yang memerlukan.
“Terengganu Incorporated Sdn.Bhd bersama-sama kumpulan dibawahnya seperti TDM Berhad, EPIC Berhad, Ladang Rakyat Trengganu Sdn. Bhd, Golden Pharos Berhad dan PTB Group telah menyalurkan sumbangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM500,000 melalui Tabung Biasiswa GLC,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian YT - TI Young Talent Scholarship Programme 2023 antara Kumpulan Terengganu Inc dan Yayasan Terengganu yang disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat di Wisma Darul Iman.
Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.
Mohd Azmi berkata, YT bertanggungjawab mengendalikan dan mengurus biasiswa kepada pelajar cemerlang yang terpilih.
“Fungsi tabung ini bukan hanya tertakluk kepada penajaan semata-mata, malah merangkumi aspek kebajikan serta kesejahteraan pendidikan anak-anak Terengganu di setiap peringkat.
“Sumbangan kepada Tabung Biasiswa GLC ini juga terbuka kepada semua individu, agensi atau syarikat korporat yang berminat untuk turut sama membantu bagi pendanaan biasiswa pelajar-pelajar cemerlang Negeri Terengganu dengan setiap sumbangan layak mendapat pengecualian cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri,” jelasnya.
Katanya, pemeteraian Perjanjian antara YT bersama Kumpulan Terengganu Inc berkenaan merupakan manifestasi kesungguhan kedua-dua entiti dalam usaha menawarkan lebih banyak tawaran biasiswa untuk dimanfaatkan demi pembangunan modal insan minda kelas pertama berserta jaminan peluang pekerjaan bersama Kumpulan TI.
Terdahulu, pada majlis sama turut diraikan 10 orang pelajar yang terpilih sebagai penerima Biasiswa YT-TI bagi ambilan kedua tahun 2023 dengan setiap pelajar memperolehi tajaan biasiswa dianggarkan berjumlah RM50,000 sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun disamping turut menerima peranti ipad atau komputer riba bagi kegunaan pembelajaran.
Kesemua pelajar ini sedang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di beberapa Universiti Awam Dalam Negara dengan pengkhususan bidang Perundangan, Pengurusan Muamalat, Analitik Data, Sains Komputer, Sains Statistik, Pengurusan Alam Sekitar. Pentadbiran Perniagaan dan Teknologi Pertanian.
05 Jun 24
271
PB Hotel Sasar Peroleh Pendapatan RM24 Juta Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 4 Jun – Paya Bunga (PB) Hotel, anak syarikat Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri (PMINT) menyasarkan perolehan pendapatan sebanyak RM24 juta tahun ini.
Pengurus Besarnya, Abdul Hadi Alias berkata, sasaran tersebut berdasarkan peningkatan hampir RM4 juta berbanding perolehan yang direkodkan sepanjang tahun lalu iaitu RM19.8 juta.
Katanya, beliau yakin sasaran itu dapat dicapai menerusi pelbagai pakej perkhidmatan yang ditawarkan selain memfokuskan kepada pakej jualan bilik penginapan, sewaan ballroom dan dewan seminar,termasuk memperhebatkan lagi promosi pakej restoran mereka.
"PB Hotel juga meneroka cabang perniagaan baharu iaitu perkhidmatan katering untuk penyediaan makanan di Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) dan beberapa acara jamuan besar melibatkan Istana Syarqiyyah.
"Perniagaan baharu ini akan turut menyumbang sekurang-kurangnya satu pertiga daripada peningkatan perolehan dan keuntungan PB Hotel pada akhir Disember tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Dalam masa sama, Abdul Hadi berkata, PB Hotel kini dalam perancangan untuk mengadakan pakej perkahwinan di atas bumbung bangunan (rooftop) dan muncul hotel yang pertama memperkenalkannya di Terengganu.
"Konsep sebegini sudah banyak dibuat di sekitar Lembah Klang dan kita sedang berbincang untuk merealisasikannya dalam tempoh satu atau dua tahun lagi," katanya.
PB Hotel pernah mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila dipilih oleh International Travel Award sebagai pemenang bagi kategori 'Best City Hotel' yang telah diadakan di Waldorf Astoria Palm, Jumeirah, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 17 Jun 2023.
“Ini termasuk memenangi anugerah antarabangsa daripada Universal Crescent Standard Centre (UCSC) sebagai Pengiktirafan Standard Kualiti Islam Bagi Kategori Hotel untuk tahun 2021 hingga 2023.
"Kita juga berjaya mengekalkan 'rating' melebihi 8 daripada maksima 10 oleh Hotels.com iaitu 8.2 dan Agoda iaitu 8.7 pada tahun ini," katanya.
04 Jun 24
263
Terengganu Benar Hiburan, Tapi Ada Syarat
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Dakwaan mengatakan bahawa Terengganu tidak membenarkan sebarang hiburan dianjurkan di negeri ini adalah tidak tepat.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, naratif itu sengaja dimainkan setelah kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap satu penganjuran parti oleh pihak tidak bertanggungjawab baru-baru ini.
"Islam tidak haramkan hiburan, sebaliknya memberi garis panduan mengenai hiburan yang sesuai.
"Naratif yang dibawa terhadap isu yang terjadi di Terengganu seolah-olah kerajaan negeri Terengganu hendak mengharamkan semua hiburan.
"Naratif yang sebenarnya ialah kita nak bawa (hiburan patuh syariah), kita tidak menghalang tetapi mestilah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana, Wacana Geopolitik ; Survival Umat Islam, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.
Mengulas lebih lanjut katanya, Islam tidak menghalang apa yang bertepatan dengan fitrah kejadian manusia.
"Begitu juga dengan fitrah manusia kasih kepada harta benda, islam tidak melarang manusia mencari harta benda tetapi pada harta benda itu ada kewajipan seperti mengeluarkan zakat.
"Berbeza dengan dunia barat yang ditegak tidak mengikut fitrah menyebabkan jiwa masyarakatnya kosong walaupun maju dan mencipta pelbagai alatan yang canggih, kerana itu banyak berlakunya kes bunuh diri.
"Di sebelah Timur di Korea, Jepun antara negara yang menunjukkan peratusan paling tinggi golongan belia dan anak mudanya terlibat dalam kes bunuh diri, ini kerana tekanan jiwa dengan pelbagai masalah yang dihadapi kerana mereka melihat manusia hanya dari sudut jasad dan fizikal semata-mata, " katanya.
Ujarnya, Islam telah melalui sejarah panjang yang manis dengan dakwah hari ini semakin tersebar luas dan diterima oleh dunia.
"Kini masyarakat mula sedar dengan islam sehingga dapat menerima sistem yang ada dalam islam mencakupi ekonomi, perundangan dan politik tanpa memaksa bukan Islam menganutinya.
"Apabila mereka menerima Islam maka akan dapat melihat sistem Islam yang begitu adil kerana itu ia tersebar dengan begitu cepat," katanya.
03 Jun 24
665
'Two State Solution' Tak Selesai Masalah
KUALA TERENGGANU, 2 Jun - Tidak wajar jika masih ada umat Islam yang berpandangan bahawa pendekatan dua negara merupakan penyelesaian terbaik dalam menamatkan konflik Palestin dan negara haram Israel.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, zionis sendiri menolak idea 'two state solution' tersebut.
Katanya, selama ini perjuangan rejim zionis adalah memperluaskan negara haram yang mereka bina.
"'Two state solution' ini kita kena faham bahawa yang memerintah Israel hari ini adalah gerakan zionis, akidah dan falsafah zionisme ialah strategi memperluaskan negara haram.
"Tidak ada dalam akidah zionisme 'two state solution' satu negara untuk Israel manakala satu negara lagi untuk Palestin.
"Jadi sesiapa yang mengajak kepada pelaksanaan idea berkenaan adalah salah kerana dalam akidah zionisme negara haram Israel bukan sahaja Palestin, tetapi merangkumi sebagai besar negara timur (seluruh Iraq, Jordan, Lubnan, Sebahagian bedar dari Mesir, Arab Saudi, Yaman, Ethiopia termasuk juga Sudan)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana, Wacana Geopolitik : Survival Umat Islam, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas mengenai 145 negara daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Besatu (PBB) yang kini mengiktiraf kenegaraan Palestin, Muhammad Khalil berkata itu merupakan satu perkembangan yang menarik
"Perkembangan terbaru ini (menunjukkan) semakin hari semakin pecah benteng yang dibina oleh zionisme (melalui) sistem imperialisme, dengan zionisme yang sebenarnya diusahakan untuk halang kebangkitan islam, benteng ini semakin hari semakin rapuh.
"Hari ini kita dapat melihat rakyat dan juga kalangan mahasiswa di Amerika dan Eropah termasuklah dalam United Nation sendiri bangkit (menyokong Palestin) ini merupakan satu perkembangan positif," ujarnya.
02 Jun 24
363
TDM Bantu 200 Asnaf Jerteh
KUALA TERENGGANU, 30 Mei -TDM Berhad dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh hari ini telah menyantuni 200 asnaf melalui program TDM Bersama Masyarakat Jerteh yang diadakan di Dewan Masjid Hadhari Jerteh, Besut.
Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, ia merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab kepada masyarakat.
"Kami warga TDM sedar bahawa masih wujud sebilangan masyarakat yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan seharian.
"Kalau kita lihat dari segi kos sara hidup kini, kesulitan kenaikan harga barang merupakan masalah utama yang membelenggu sebilangan besar rakyat.
"Kali ini kami fokus kepada daerah Besut dalam usaha menjalin hubungan dan memastikan agihan kepada mereka yang memerlukan dirasai oleh semua lapisan masyarakat di peringkat daerah," katanya.
Beliau memaklumkan, objektif utama TDM mengadakan program tersebut adalah untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan, dengan harapan sedikit sebanyak dapat meringankan serta membantu kelangsungan hidup penerima.
"TDM juga merupakan salah satu anak syarikat negeri yang sentiasa menyokong usaha baik kerajaan serta program-program kerajaan terutamanya yang melibatkan kebajikan dan sosial masyarakat," ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, inisiatif yang dilakukan pihak TDM itu seharusnya menjadi contoh kepada pihak lain.
"Berbakti kepada masyarakat serta cakna kepada mereka yang memerlukan adalah menjadi tanggungjawab bersama.
"Semoga hubungan silaturahim yang terjalin terus berkekalan dan ukhuwah sesama kita semakin kukuh melalui program TDM Bersama Masyarakat ini," katanya.
30 May 24
219
Terengganu Bakal Wujudkan Garis Sempadan Tukun Dari Kemaman ke Besut
MARANG, 30 Mei - Kerajaan negeri dan agensi persekutuan sedang merancang projek usaha sama untuk mewujudkan garis sempadan tukun daripada Kemaman sehingga ke Besut sepanjang 245 Kilometer.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sebanyak lapan hingga unit 10 tukun disasarkan bagi dilabuhkan di setiap kelompok.
Katanya, projek itu merupakan satu usaha besar yang akan memberi manfaat kepada 8,309 nelayan Terengganu.
"Alhamdulillah pada tahun ini kita mendapat peruntukan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang kini dalam proses perolehan sebanyak RM3 juta bagi membolehkan sebanyak 100 unit tukan akan dapat dilabuhkan pada tahun ini.
"Usaha berterusan ini semakin lama semakin membuahkan hasil yang diperkatakan di semua peringkat termasuk usaha kita untuk menyelesaikan tiga isu besar nelayan.
"Iaitu pertama isu ketiadaan sumber, kedua isu perlesenan dan yang ketiga isu pencerobohan nelayan asing." ujarnya.
Beliau demikian berkata demikian semasa sidang media di Program Melabuh Tukun Tiruan Konservasi, di Jeti Pelancongan Marang, di sini, hari ini.
Dr Azman berkata pada hari ini sebanyak 12 tukun tiruan dilabuhkan di perairan Pulau Kapas dan Pulau Redang, yang berada dalam kawasan taman laut sebagai tukun konservasi.
"Tujuannya adalah untuk memastikan berlaku pembiakan ikan yang kita labuhkan di kawasan larangan menangkap ikan.
"Usaha selama ini menampakkan impak positif yang sangat sangat ketara di mana peningkatan hasil perikanan Terengganu tahun 2023 berbanding tahun 2022 meningkat kira-kira 32 peratus.
"Suatu peningkatan yang sangat ketara dan maklumat ini diberikan secara langsung oleh para nelayan di lapangan," ujarnya.
30 May 24
309
Multaqa Asatizah Platform Bincang Cabaran, Masa Depan Umat Islam
KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) menganjurkan program Multaqa Asatizah yang menghimpunkan para ulama, pendakwah serta agamawan bagi membincangkan serta bertukar pandangan mengenai cabaran, permasalahan serta masa depan umat Islam.
Pengarah DUAT, Mohd Zulkhairi Ngah berkata, gerak kerja para asatizah yang memperjuangkan agama Islam dan berusaha untuk meletakkan Islam pada kedudukan tertinggi bukan suatu kerja mudah.
“Kita menyaksikan sejarah nabi dan rasul yang menghadapi pelbagai cabaran dan ujian bersama dengan pengikut yang menyokong dan mendokong mereka.
“Menyedari perkara itulah mesti diusahakan sesuatu di Negeri Terengganu ini yang berpegang kepada slogan maju, berkat dan sejahtera.
“Tujuan kita menghimpunkan para asatizah adalah untuk membina penyelarasan, atau satu gerak kerja bagi bergerak seiringan dalam membina dan membentuk rakyat Terengganu mengikut acuan Islam untuk mencapai satu matlamat iaitu mendapat rahmat berpanjangan dari Allah S.W.T,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Multaqa Asatizah Bersama YB Exco Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi di Dewan Auditorium Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, hari ini.
Katanya, para asatizah memainkan peranan penting dalam melaksanakan tujuan tersebut.
“Ia agar kita mampu menghasilkan rakyat Terengganu yang mencapai keimanan dan ketakwaan melalui siri-siri ilmu yang disampaikan oleh para asatizah,” ujarnya.
Terdahulu, dalam sesi dialog para asatizah bersama Muhammad Khalil itu, pelbagai isu, cadangan dan pandangan yang diutarakan dan beliau memberi jaminan akan memberikan perhatian sewajarnya demi untuk memperkasakan agama Islam di negeri ini.
30 May 24
196