Artikel "Utama" Terkini
KUPEKMAS Gesa Kerajaan Turut Beri Perhatian Terhadap Kenaikan Pencen Pesara
KUALA TERENGANU, 22 Julai- Pertubuhan Pesara Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) menggesa kerajaan turut memberi perhatian terhadap kenaikan pencen pesara memandangkan kos sara hidup dan bebanan kewangan yang semakin tinggi.
Presidennya, Dato’ Omar Osman berkata, ia selaras dengan pengumuman khas berkaitan dengan kenaikan gaji 1.5 juta penjawat awam yang akan dibuat kerajaan pada 16 Ogos depan.
“KUPEKMAS memang mengharapkan kerajaan hari ini supaya memberi perhatian terhadap kenaikan pencen pesara.
“Bila berlaku pembatalan kenaikan pencen dua peratus setahun hari itu, kita tidak ada lagi kenaikan tahunan macam biasa. Kita terimalah keputusan kerajaan ketika itu.
“Kita harap ketika Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam tidak lama lagi, akan berlaku kenaikan pelarasan pencen buat pesara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Pesara KUPEKMAS Peringkat Kebangsaan 2024 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan perkara tersebut yang melibatkan kebajikan kira-kira 900,000 pesara.
22 Jul 24
714
Empat Lelaki Bersenjata Serang IPD Hulu Terengganu Dalam Satu Simulasi
HULU TERENGGANU, 22 Julai – Dalam satu simulasi yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, empat lelaki bersenjatakan parang dan pedang menyerang seorang anggota polis yang sedang mengawal pos kawalan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin, berkata simulasi itu bertujuan untuk menguji kesiapsiagaan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menghadapi serangan daripada pihak luar.
Menurutnya, simulasi tersebut menggambarkan senario di mana Balai Polis Kuala Berang diceroboh dan diserang oleh enam lelaki bersenjata yang diketuai oleh penjenayah dikenali sebagai ‘Zainon Al Baghdadi’.
“Dalam senario tersebut, seorang anggota polis mengalami kecederaan pada bahagian rusuk dan kesemua suspek serangan berjaya ditahan.
“Latihan ini melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta JKNT untuk mempersiapkan menghadapi situasi serangan yang melibatkan kebakaran dan kecederaan,” katanya kepada pemberita selepas simulasi berkenaan.
Zainul berkata, simulasi tersebut adalah panduan penting kepada pegawai dan anggota polis dalam menghadapi situasi berkenaan.
“Latihan ini membolehkan kami menguji langkah-langkah kesiapsiagaan kami sambil bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk memperhalusi langkah-langkah keselamatan.
“Ia juga memastikan semua faktor keselamatan di balai polis berfungsi dengan baik dan lebih teliti,” katanya.
Beliau berkata simulasi itu juga bagi memastikan semua pegawai dan anggota polis sentiasa bersedia menghadapi sebarang ancaman atau situasi tidak diingini.
22 Jul 24
1337
Pertima Raih Anugerah Top 500 Trusty Brand Award 2024
KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Pertima Trengganu Sdn Bhd (PERTIMA) berjaya merangkul anugerah berprestij iaitu Top 500 Consumer Certification Trusty Brand Award 2024 dalam satu majlis yang berlangsung di Mandarin Oriental Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Anugerah tersebut merupakan inisiatif Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) untuk mengiktiraf syarikat-syarikat yang telah menunjukkan komitmen dalam memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan dipercayai oleh pengguna.
Pengurus Besar PERTIMA, Tuan Syed Mohd Asdi Tuan Ngah berkata, anugerah tersebut merupakan satu pengiktirafan buat PERTIMA setelah 52 tahun syarikat itu berdiri di negeri Terengganu yang juga merupakan anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).
“Pemilihan bagi anugerah ini perlu melalui penilaian dan proses audit yang sangat ketat serta rujukan daripada pasaran, pengguna ataupun media sosial demi memastikan kebolehpercayaan jenama dan kualitinya.
“Apa yang paling penting, jenama PERTIMA ini akan terus berkembang seiring dengan slogan iaitu ‘Pilihan Bijak Pastinya Citarasa Lokal’,’’ujarnya.
Katanya, MTPN turut mengucapkan tahniah dan berharap agar PERTIMA akan terus berinovasi dan berusaha untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada pengguna Malaysia pada masa hadapan .
21 Jul 24
292
Kerjasama Mantap, ECRL di Terengganu Kini Fasa Tiga
KUALA LUMPUR, 21 Julai - Komitmen serta kerjasama kukuh daripada kerajaan negeri Terengganu telah membolehkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri Terengganu mencapai kemajuan yang sangat memberangsangkan sekali gus membolehkan fasa ketiga bermula.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Datuk Seri Darwish Abdul Razak berkata, projek di Terengganu pada Jun telah pun mencapai kemajuan sehingga 84.43 peratus.
Manakala kemajuan keseluruhan katanya, mencapai 68.68 peratus dengan kerja 'tracklayer' telah pun berjalan sejak Disember 2023.
"Bermula dari Pelabuhan Kuantan, Gebeng bergerak ke Dungun siap sepenuhnya begitu juga dengan jajaran dari Pelabuhan Kuantan ke Maran juga telah siap.
"Kini yang terbaru kita telah mula masuk ke fasa yang ketiga, kita telah memulakan kerja-kerja 'tracklayer' bermula dari Dungun ke Kota Bharu sejauh 205 KM dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2025," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menerima kunjungan delegasi Kerajaan Negeri Terengganu yang mengadakan kunjungan muhibbah dan perbincangan mengenai peluang pekerjaan dalam sektor railway baru-baru ini.
Delegasi Kerajaan terengganu itu diketuai oleh, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman.
Turut hadir, Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), Aminuddin Omar serta wakil-wakil Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari Terengganu.
Dalam pada itu, Darwish berkata ECRL berkenaan dijangka akan dapat disiapkan akhir Disember 2026 dan akan memulakan operasinya pada awal 2027.
21 Jul 24
2904
Maidam Sedia Latih Individu Minat Gunting Rambut
KUALA TERENGGANU, 21 Julai - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) melalui Yayasan Pendidikan Maidam sedia melatih individu terutamanya golongan remaja yang berminat menceburi bidang gunting rambut dalam usaha menghidupkan sunnah.
Yang Dipertua Maidam, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, mereka yang berjaya menamatkan kursus gunting rambut digalakkan membuka kedai terutama pada setiap Jumaat.
“Menggunting rambut pada hari Jumaat besar ganjarannya, kita akan ajar mereka sehingga boleh buka kedai gunting yang bersuaian.
“Kita akan promosikan bahawa menggunting rambut pada hari Jumaat itu besar pahalanya, dengan cara itu, InsyaAllah orang ramai akan pergi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Terengganu Bertadabbur Siri II yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam baru-baru ini.
Tambah beliau, kebiasaan orang ramai menghadapi masalah untuk menggunting rambut pada setiap Jumaat kerana kebanyakan tukang gunting menutup premis perniagaan pada hari tersebut.
21 Jul 24
621
'Terengganu Tuntut Royalti, Bukan Persoal Perbelanjaan Pembangunan'
MARANG, 21 Julai - Kerajaan Terengganu menegaskan bahawa pihaknya menuntut Kerajaan Persekutuan melunaskan pembayaran lima peratus daripada hasil minyak atau royalti petroleum, bukan mempersoalkan mengenai perbelanjaan pembangunan.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bayaran royalti petroleum dan perbelanjaan pembangunan adalah dua perkara yang sangat berbeza.
"Yang dipersoalkan oleh pentadbiran kerajaan dan juga rakyat negeri Terengganu adalah perolehan Dana Khas Kerajaan Persekutuan atau wang ehsan yang kita panggil sebagai royalti.
"Ia berbeza antara 'developement expenditure', 'rolling plan' daripada Rancangan Malaysia dengan pendapatan hasil royalti," ujarnya sambil berkata tidak adil mengaitkan perbelanjaan pembangunan dengan royalti minyak yang sememangnya menjadi hak rakyat Terengganu.
Ahmad Samsuri berkata demikian ketika ditanya mengenai peruntukan pembangunan di Terengganu yang meningkat kepada RM7.23 bilion pada tahun ini berbanding RM5.99 bilion pada 2022.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, ia membabitkan projek negeri dan Persekutuan sekali gus menunjukkan dakwaan kerajaan Persekutuan menyekat peruntukan untuk Terengganu tidak benar.
Mengulas mengenai dakwaan perbelanjaan pembangunan untuk Terengganu meningkat di bawah Anwar Ibrahim berbanding ketika pemerintahan terdahulu, Ahmad Samsuri berkata perkara itu sangat mengelirukan.
"Perbelanjaan pembangunan yang berlaku bukan sehari dua tetapi mengambil masa daripada tahun sebelum-sebelum ini lagi, ada 'developement expenditure' melibatkan projek-projek tertentu yang ambil masa bertahun-tahun atau lima tahun.
"Ada projek zaman atau sebelum zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin lagi dan juga Dato' Seri Ismail Sabri, sebelum daripada PM10 lagi, jadi kalau kita hendak banding perbelanjaan pembangunan begiitu tidak adillah, tetapi kita hargai apa jua jumlah peruntukan yang diberikan," jelasnya.
21 Jul 24
1065
Terengganu Eksport Durian Kampung ke China Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 21 Julai - Industri tanaman durian tempatan bakal memperoleh akses pasaran eksport baharu ke China, sekali gus mampu melonjakkan nilai eksport agro makanan itu bermula tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata kerjasama itu dicapai melalui satu sesi pertemuan dan dialog antara Kerajaan Negeri, delegasi Syarikat Vanton International Sdn Bhd dan Mia Nafas Sdn Bhd bersama pekebun durian Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, baru-baru ini.
“ Syarikat Vanton yang beribu pejabat di Shenzen China nak bawa durian kampung dari Terengganu ke pasaran China dan kerajaan negeri berperanan sebagai pemudah cara.
“Bukan Musang King dan bukan Duri Hitam. Hanya durian kampung dari kebun milik orang kampung,”ujarnya dalam satu hantaran di facebook rasminya semalam.
Dr Azman berkata syarikat pengeksport buah-buahan terbesar di China itu akan memetik durian diusahakan pekebun tempatan dengan tahap kematangan 70 peratus masak.
“Kemudian buah durian akan dieksport ke China secara segar. Bukan dengan kaedah pembekuan seperti buah Musang King,”jelas beliau.
21 Jul 24
550
Budaya Sihat, Jaga Kebersihan Julang Pelancongan Terengganu
MARANG, 21 Julai - Dengan melakukan amalan kehidupan sihat melalui bersukan dan menjaga kebersihan oleh setiap rakyat Terengganu berpotensi untuk memartabatkan negeri ini dan menjadi nilai tambah untuk menarik pelancong ke negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata , kerana itu kerajaan negeri giat mengadakan pelbagi program dan aktiviti ke arah mempromosikan kehidupan sihat dan menjadikan amalan menjaga kebersihan sebagai budaya.
Sepertimana program 'fit Sunnah Hiking' yang diadakan hampir di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bertujuan menarik seramai mungkin bertujuan untuk memastikan komuniti mengamalkan kehidupan sihat.
"Aktiviti begini dapat memupuk semangat diantara komuniti khususnya kepada anak muda. Aktiviti bersukan ini ianya adalah aktiviti yang sangat bermanfaat dan sihat.
"Jadikan aktiviti begini rutin harian dan jadual mingguan, diantara aktiviti sukan yang dapat kita lakukan adalah berjoging , berbasikal dan lain-lain.," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri 'Program Fit Sunnah Hiking', di Bukit Lubuk Batu, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut katanya, menjaga kebersihan dan mengamalkan aktiviti hidup sihat merupakan sunnah Rasulullah SAW.
"Sabda Nabi SAW yang bermaksud 'kebersihan adalah sebahagian daripada Iman' seterusnya menjadikan kebersihan satu produk pelancongan Negeri Terengganu," ujarnya.
Untuk rekod Program yang dianjurkan oleh Urusetia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) telah disertai kira-kira 120 orang dan penyertaan hanya terbuka kepada peserta lelaki sahaja.
20 Jul 24
109
Kerajaan Negeri Baiki Segera 96 Rumah Terjejas Ribut
MARANG, 19 Julai - Sebanyak 96 buah rumah yang dibadai ribut kelmarin mendapat perhatian dan pembelaan segera daripada kerajaan negeri.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya akan memperhalusi segala kerugian dan kerosakan dialami mangsa bagi memudahkan proses penyaluran bantuan agar mereka yang terjejas dapat menduduki kembali kediaman itu dengan selesa.
"Bagi tindakan segera dalam masa sehari dua ini adalah untuk memastikan mereka boleh masuk dahulu, sebab itu urusan membaiki atap dan sebagainya telah kita selesaikan dan hari ini dijangka selesai bahagian membaik pulih bumbung yang rosak.
"Supaya kalau hujan tidak akan merosakkan barangan dalam rumah, yang lain daripada itu adalah untuk memastikan segala sisa-sisa kekotoran ini dapat dibersihkan secepat mungkin," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa mengadakan lawatan ke lokasi bencana ribut bertempat di Pantai Kekabu dan Kampung Seberang Marang, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, rumah terjejas akibat ribut mengalami kerosakan yang berbeza-beza justeru ia memerlukan kos dan bantuan berlainan.
"Kesemuanya telah kita uruskan dan kini dalam proses, kediaman yang paling teruk rosak akan ambil masa sedikit untuk dilakukan pembaikan oleh sukarelawan, segala kerja baik pulih ini secara gotong royong dengan bantuan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta penduduk tempatan.
"Insya-Allah kita akan bantu untuk memastikan mereka boleh masuk rumah terutama bagi rumah yang paling teruk terjejas dengan segera," ujarnya.
Sementara itu katanya, gerai para peniaga Pulau Kekabu tidak mengalami kerosakan yang teruk kerana kebanyakan mereka menghentikan operasi apabila melihat angin yang kuat.
19 Jul 24
719
"Apa Yang Ditakutkan Dengan TikTok Saya?" - Dr Sam
MARANG, 19 Julai - "Apa yang hendak ditakutkan dengan kandungan video TikTok saya yang memaparkan aktiviti saya memberi motivasi kepada pemain bola, menerima kunjungan dari luar (Duta Qatar) 'it's not political, its not 3R'," ujar Menteri Besar Terengganu.
Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya merasa sangat pelik kerana hampir 20 video di TiKTok beliau dipadam tanpa sebarang notis dan alasan.
Katanya, beliau sudah menghantar surat kepada paltform terbabit untuk mendapatkan penjelasan, namun masih bekum menerima jawapan.
"Dalam masa yang sama kami juga akan cuba mendapatkan jawapan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"Saya merasa pelik (dengan perkara ini) dan banyak pihak yang menghubungi saya menyatakan mereka juga hairan dengan apa berlaku.
"Sehingga perkara ini keluar dalam media dan akhbar sama ada yang bukan Bahasa Melayu, seperti English media Mandarin.
"Ini menunjukkan keprihatinan seluruh anggota masyarakat bahawa perkara seperti ini tidak boleh didiamkan, mungkin hari ini kena pada saya mungkin esok pada orang lain," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas mengadakan lawatan ke lokasi bencana ribut daerah Marang di Pantai Kekabu dan Kampung (kg) Seberang Marang, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, adalah penting untuk semua pihak terlibat menegur mengenai perkara yang dilihat cuba untuk menyekat kebebasan bersuara.
"KIta perlu untuk sama-sama menegur supaya jangan jadi seperti ini lagi, kerana ia tidak akan membantu negara kita untuk terus maju ke depan," katanya.
Beberapa hari lalu, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa mempersoalkan kebebasan bersuara di bawah kerajaan hari ini apabila hampir 20 video di TikTok Menteri Besar (MB) Terengganu dipadam tanpa sebarang notis dan alasan.
Beliau terkejut selepas melihat senarai video yang dipadam itu kerana kesemuanya tidak menyentuh perkara sensitif termasuk 3R iaitu race (bangsa), religion (agama) dan royalty (raja).
“Antara video yang dipadam ialah ucapan semangat MB kepada pasukan bola sepak Terengganu sempena perlawanan akhir (1.3 juta tontonan), perkongsian ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Terengganu, 'Aunty Amy Chua’ (5.5 juta tontonan) dan perbahasan MB di Parlimen tentang politik diskriminasi (700 ribu tontonan)," katanya.
Pendedahan itu menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang rakyat berkait kebebasan media di bawah kerajaan hari ini.
19 Jul 24
399