lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Lulus Dua Syarikat Laksana Kajian Lombong REE
Terengganu Lulus Dua Syarikat Laksana Kajian Lombong REE
KUALA NERUS, 3 Oktober - Kerajaan Terengganu sudah meluluskan permohonan dua syarikat untuk melakukan kajian awal bagi menentukan skop perlombongan Unsur Nadir Bumi (REE) di negeri terbabit. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, dua syarikat itu diberi tanggungjawab melakukan proses penerokaan sejak Ogos lalu bagi menentukan tahap kedalaman sebelum proses perlombongan. Ujarnya, dari lapan syarikat yang memohon untuk terlibat dalam proses membabitkan REE tersebut hanya dua syarikat sahaja yang diluluskan setakat ini. "Kerana mereka telah memohon dalam tempoh yang begitu lama bagi melakukan kajian tahap kedalaman melombong termasuk perincian proses menggerudi kawasan perlombongan, semua itu ada kiraannya yang tersendiri. "Selepas kerja awal itu barulah sumber itu boleh dikeluarkan dengan kadar maksimum. "Hasrat kita memang hendak beri kelulusan kepada lapan-lapan syarikat yang telah memohon ini, kita berikan selepas proses kajian dilakukan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Dialog EXCO di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru Kuala Nerus, di sini, kelmarin. Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim. Mengulas lebih lanjut, Nurkhuzaini berkata selepas kajian dilakukan fasa seterusnya akan dapat dilakukan. "Kita jangka dalam Jun tahun hadapan kita akan luluskan lesen perlombongan untuk keluarkan hasil tersebut. "Dalam masa yang sama kita tengah jalinkan hubungan dengan 'player industry' untuk keluarkan karbonat dahulu yang akan diproses untuk dibuat magnet yang menghasilkan kuasa lebih 70 kali ganda, ia digunakan dalam menghasilkan kereta elektrik," ujarnya.  
04 Oct 24
2656
Terus Beri Sokongan Kepada TFC
Terus Beri Sokongan Kepada TFC
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober- Kerajaan negeri menyeru peminat setia bola sepak untuk terus memberi sokongan penuh kepada Terengganu FC (TFC). Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sokongan penyokong penting bagi menaikkan semangat skuad penyu susulan ketiadaan ketua jurulatih selepas Tomislav Steinbruckner yang melepaskan jawatan. “TFC mempunyai penolong-penolong jurulatih yang boleh menjalankan tugas buat sementara. Tidak bermakna kalau tidak ada (jurulatih) itu terus tergantung begitu sahaja dan kita akan uruskan isu ini, dalam senarai pendek nama calon (ketua jurulatih baharu) sudah ada. “Kepada penyokong tentunya kita nak semua berjalan dengan lancar, tetapi ialah dalam mana-mana perjalanan sekali pun akan ada atas jalan raya kita jumpa dengan jalan tidak ada ‘line’, lubang dan sebagainya. Itu perkara biasa sama juga dengan proses kita untuk memperkukuhkan pasukan bola sepak atau pasukan-pasukan lain, akan ada masalah-masalah. “Yang penting ialah penyokong dan peminat pasukan bola harus bersama dengan pasukan untuk memberi sokongan moral supaya walau apa jua cabaran, kita hadapi secara bersama. Insya-Allah dengan cara itu semangat pasukan dan pemain kita akan meningkat,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024-2026 di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, semalam. Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, TFC akan melihat kepada kemampuan terutama faktor kewangan terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk menggantikan ketua jurulatih baharu dengan calon tempatan atau import.  
03 Oct 24
239
RPMM Tok Jembal Siap 95 Peratus, Bakal Diserah Kepada Penerima
RPMM Tok Jembal Siap 95 Peratus, Bakal Diserah Kepada Penerima
KUALA NERUS, 3 Oktober - Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal kini telah mencapai tahap kemajuan 95 peratus dan bakal diagihkan kepada penerima terpilih dalam tempoh dua bulan ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, rata-rata mereka yang memohon rumah itu sudah tidak sabar mendiaminya kerana tertarik dengan reka bentuk serta keindahan warna. "Saya telah pun mengadakan lawatan ke RPMM Tok Jembal beberapa bulan lepas dan dimaklumkan oleh pihak Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bahawa projek itu kini telah berada di fasa terakhir. "Sedikit masa sahaja lagi kerana ada beberapa isu (kecil) yang berlaku dalam pembinaan RPMM tersebut dan sekarang ia telah pun diserahkan kepada kontraktor penyelamat bagi membuat kerja-kerja akhir," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucapa di Program Dialog EXCO di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru Kuala Nerus, di sini, semalam. Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman. Mengulas lebih lanjut, Wan Sukairi berkata dengan melihat kepada kemajuan terkini RPMM Tok Jembal itu rumah berkenaan akan diserahkan segera kepada pemilik yang terpilih sebelum berakhir tahun ini. "Insya-Allah saya menjangkakan dalam tahun ini juga kita akan dapat membuat penyerahan kepada pemilik-pemilik yang telah pun dipilih dan berada dalam senarai penama-penama yang berjaya menduduki rumah tersebut. "Insya-Allah dalam tempoh sebulan dua ini kita akan membuah penyerahan rumah pangsa tersebut," ujarnya.  
03 Oct 24
3543
Terengganu Siap Sedia Hadapi Kemungkinan Banjir
Terengganu Siap Sedia Hadapi Kemungkinan Banjir
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Kerajaan negeri ketika ini dalam keadaan bersiap siaga menghadapi kemungkinan bencana banjir dan hujan lebat yang dibawa oleh angin Monsun Timur Laut. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, satu mesyuarat melibatkan pihak berkuasa negeri telah diadakan baru-baru ini sebagai persediaan menghadapi bencana berkenaan. “Menerusi menyuarat terbabit, kita telah mendapat taklimat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkaitan fenomena yang berlaku. “Ia termasuk bilakah jangkaan Monsun Timur Laut akan sampai dan kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku. Insya-Allah kita bersedia. Setiap tahun kita sentiasa berdepan perkara yang sama, doakan tidak ada banjir buruk di Terengganu,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024-2026 di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, semalam. Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat memaklumkan, lebih RM4.2 juta diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi persediaan menghadapi banjir di Terengganu pada tahun ini.  
03 Oct 24
202
Tindakan Terhadap GISB Tertakluk Keputusan Pihak Berkuasa Agama
Tindakan Terhadap GISB Tertakluk Keputusan Pihak Berkuasa Agama
KUALA TERENGGANU – Sebarang tindakan yang akan dikenakan terhadap rangkaian GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Terengganu akan dibuat berdasarkan keputusan pihak berkuasa agama dan undang-undang sedia ada. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan akan merujuk isu berkenaan terhadap pemegang taruh dan pihak berautoriti dalam masa terdekat. "Saya rasa mungkin dalam masa terdekat ini (kita akan buat beberapa keputusan). Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024 – 2026 di Majlis Bandaraya, Kuala Terengganu (MBKT) di sini, hari ini. Sementara itu katanya, tindakan menyita peralatan perniagaan di premis GISBH perlu dijalankan mengikut peraturan sedia ada. "Kita akan tengok dari segi peruntukan dalam undang-undang apa yang peringkat PBT boleh buat. "Jadi biar kita ikut peraturan sebab kalau tidak ada risiko kena saman maka kita kena lebih cermat," ujarnya. Ketika ditanya mengenai penggantungan lesen GISBH berdasarkan keputusan muzakarah dibuat, beliau menyatakan pihaknya tidak mempunyai perkembangan berhubung isu tersebut setakat ini. "Belum ada perkembangan lagi dan kita tidak boleh tengok isu lesen dan premis sahaja. "Isu lain pun kita tengok supaya tidak timbul kelompongan dari segi penguatkuasaan yang boleh buka ruang kepada tindakan undang-undang lain. "Jadi kami akan ambil sedikit masa (berhubung tindakan gantung lesen) supaya lebih cermat," jelasnya.  
03 Oct 24
257
Sedia Santuni dan Jaga Kebajikan Mualaf di Terengganu
Sedia Santuni dan Jaga Kebajikan Mualaf di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Kerajaan negeri terus komited dalam memberi bimbingan keagamaan kepada mualaf dan seterusnya mempertingkat syiar Islam dan menjaga kebajikan sosioekonomi golongan berkenaan di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata pihaknya bersedia mengadakan pertemuan yang berimpak positif melalui pelbagai agensi kerajaan dengan kerjasama badan bukan kerajaan bagi menyantuni kebajikan golongan itu. Menurutnya, Konvensyen Terengganu Sejahtera 2024 yang buat pertama kali diadakan itu menjadi platform dalam menyatukan golongan saudara baru  bagi melahirkan kesejahteraan melalui dialog dan perbincangan yang diadakan. “Dalam konvensyen ini, kita  bawa satu mesej  iaitu Terengganu sebagai satu negeri maju, berkat dan sejahtera. Ini antara elemen untuk kita bawa kesejahteraan kepada rakyat dan perkara yang kita lihat adalah perkara kepelbagaian kaum dan kepelbagaian agama yang tidak boleh menjadi sebab rasa hilang kesejahteraan . “Jadi apa yang kita buat hari ini adalah merupakan satu langkah untuk membuktikan bahawa agama, bangsa dan seumpamanya adalah merupakan satu kesenian yang kita terima dan dipupuk,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis penutup Konvensyen Terengganu Sejahtera 2024 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini. Tambahnya, walaupun majoriti Islam di Terengganu lebih besar namun keharmonian terserlah sehingga kini tanpa adanya perbalahan kaum. “Inilah yang kita terjemah dan perkasakan di Terengganu bagi  melahirkan negeri maju, berkat dan sejahtera kerana dalam Islam, kita tetap  raikan hak-hak mereka. “Begitu juga dalam aspek bantuan , kita tidak melihat kepada warna kulit dan juga agama kerana kita tengok dari sudut sasaran yang wajar untuk menerima.  “Jadi bantuan untuk fakir miskin di kalangan muslim berlangsung dan untuk bukan Islam pun …kita akan bantu sebab itu tanggungjawab kita bagi membantu rakyat Terengganu,”ujarnya lagi. Sementara itu, Penolong Pengarah Akademi  Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Wan Ahmad Zuki  Wan Ismail  berkata  konvesyen ini merupakan sentuhan awal  daripada pihaknya sebagaimana cetusan dari pihak kerajaan negeri sendiri dalam mendekati golongan mualaf. “Kerajaan sentiasa menitik beratkan hubungan antara kaum jadi kita nak hilangkan jarak antara  muslim dengan bukan  muslim  di Terengganu supaya  masyarakat bukan Islam itu lebih mengenali saudara-saudara mereka yang  muslim. “Dalam masa yang sama,  masyarakat Islam jangan ada  ketakutan  untuk mendekati saudara-saudara  bukan muslim termasuk golongan mualaf,”katanya. Menurut Wan Ahmad Zuki, DUAT akan melaksanakan program-program seumpamanya pada akan datang pelbagai bentuk pengisian dan memperkasakan lagi dengan ruang lebih luas melalui sentuhan-sentuhan baru.  
02 Oct 24
167
PBT Pergiat Pantauan Aktiviti Tidak Bermoral
PBT Pergiat Pantauan Aktiviti Tidak Bermoral
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan sedang melakukan pemantauan teliti berhubung aktiviti tidak bermoral yang berlaku di negeri ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia dilakukan secara berhati-hati bagi mengelak berlakunya sebarang sabotaj daripada pihak tidak bertanggungjawab. "Kalau nak buat (serbuan) pun kita tak akan maklum kepada mana-mana pihak kecuali pihak berkuasa supaya tidak timbul sabotaj dan sebagainya. "Kita sedang pantau dengan teliti (aktiviti berunsur maksiat di Terengganu)...sebab itu lah saya rasa tanggungjawab untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang ini adalah tanggungjawab semua pihak. "Bagi orang Islam, kita laksanakan tuntutan agama, amar ma'ruf nahi mungkar.…bila lihat atau dengar maklumat begini, haruslah disampaikan kepada pihak berkuasa dengan cara masing-masing (yang sesuai)," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024 – 2026 di Majlis Bandaraya, Kuala Terengganu (MBKT) di sini, hari ini. Katanya, aduan boleh dikemukakan kepada ahli majlis PBT atau mana-mana pihak berkuasa. "Insya-Allah kerajaan negeri akan guna ruang yang ada untuk ambil tindakan undang-undang," katanya. Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Imigresen Malaysia menahan 17 wanita warga Thailand dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah. Mereka yang berumur lingkungan 19 hingga 33 tahun ditahan ketika asyik melayan pelanggan dengan berpakaian seksi ala jururawat di sebuah pusat hiburan haram di bandar raya Kuala Terengganu.  
02 Oct 24
94
Terengganu Harap Belanjawan 2025 Adil, Tiada Cukai Baharu
Terengganu Harap Belanjawan 2025 Adil, Tiada Cukai Baharu
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Kerajaan Terengganu mengharapkan peruntukan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober ini dapat disalurkan secara adil untuk semua negeri di samping tiada pengenalan cukai baharu. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengagihan hasil negara harus seimbang mengikut negeri yang lebih memerlukan akibat daripada kesenjangan (jurang) atau ketidakseimbangan pembangunan. “Kita berharap kerajaan pusat lihat apa sebenarnya yang berlaku dalam negara kita kepada rakyat, kepada negeri-negeri, keadilan bukan sekadar diucapkan tetapi hendaklah ditegakkan. “Saya berharap tidak ada tindakan drastik seperti cukai-cukai baharu yang boleh menekan rakyat memandangkan mereka sedia terbeban dengan kos sara hidup dan sebagainya,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024-2026 di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, negeri-negeri pembangkang juga tidak seharusnya dipinggirkan. “Mana-mana negeri tidak kira pembangkang atau tidak adalah negeri yang membentuk satu persekutuan yang kita namakan sebagai Malaysia. “Hasil kerja kuat negeri-negeri dari segi perkhidmatan dan sebagainya turut menyumbang kepada KDNK negara, jadi kalau ada negeri-negeri yang tidak mendapat keadilan yang sewajarnya maka tentunya ia memberi kesan kepada KDNK dan pencapaian negara kita. “Jadi, tentulah isu ini haruslah diselesaikan, politik-politik juga, tetapi selama mana kita ingin berpolitik yang boleh menyebabkan negeri-negeri tertentu dalam negara ini dinafikan hak mereka,” ujarnya.
02 Oct 24
276
Pelajar Terengganu Inovasi ‘Rumah Pintar’
Pelajar Terengganu Inovasi ‘Rumah Pintar’
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober -  Pelajar Terengganu terus ke hadapan mempamerkan bakat dan kreativiti dalam pertandingan Spark Your Creativity Challenge (SYCC) 2024 yang bertemakan ‘Smart Home’ pada edisi kali ini. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat sangat teruja dan kagum dengan daya cipta yang ditunjukkan oleh peserta pertandingan. “Saya sangat berbesar hati dapat menyaksikan pertandingan mencungkil bakat, inovasi dan kreativiti pelajar terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). “Dengan tema ‘Smart Home’, anak-anak kita diberi peluang untuk mempamerkan kebolehan mereka dalam mencipta solusi lebih pintar dan berinovasi untuk masa hadapan. Rumah pintar bukan sekadar tempat tinggal yang dilengkapi teknologi canggih, tapi boleh menjimatkan tenaga, selesa dan lestari. “Pihak Kerajaan Negeri amat menitikberatkan dan memberi sokongan sepenuhnya terhadap sumber manusia dan bakat-bakat yang ada khususnya anak Terengganu, supaya tidak ketinggalan bagi memenuhi keperluan teknologi di masa akan datang,” ujarnya. Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian SYCC 2024 di Auditorium Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini semalam. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Naib Presiden ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc, Nadia Khairene Ismail. Sebanyak 40 buah sekolah dari seluruh Negeri menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh PSKT hasil kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan Pendidikan Yayasan Terengganu, serta penaja utama ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. SK Gong Kapas menjuarai pertandingan SYCC 2024 kategori Sekolah Rendah, membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, piala iringan, plug pertandingan serta sijil penyertaan, naib juara dimiliki SK Sura dan tempat ketiga SK Kelulut. Bagi kategori Sekolah Menengah, SMK Tengku Lela berjaya ketepikan 25 pasukan lain untuk bergelar johan pertandingan, naib johan disandang SMK Rasau Kertih dan diikuti rapat SMK Balai Besar di tempat ketiga.
01 Oct 24
901
Primula Beach Hotel Jadi Hotel Pertama Di Terengganu Tanam MMT
Primula Beach Hotel Jadi Hotel Pertama Di Terengganu Tanam MMT
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober- Primula Beach Hotel mengorak langkah menceburi bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) secara fertigasi di perkarangan hotel berkenaan. Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata, lebih membanggakan apabila Primula Beach Hotel menjadi hotel pertama di negeri ini yang terlibat dengan pertanian secara fertigasi. Katanya, projek fasa pertama dengan tanaman sebanyak 30 pokok MMT yang bermula 8 Ogos lalu kini mula mengeluarkan buah. "Anggaran masa untuk tuaian hasil adalah pada 12 hingga 13 Oktober ini iaitu dalam tempoh 60 hingga 70 hari selepas proses penanaman. " Selain MMT, kita juga usahakan tanaman sawi secara fertigasi yang telah beberapa kali berjaya dituai dalam kuantiti yang cukup memberangsangkan. "Projek fertigasi ini bertujuan untuk mengurangkan kos pembelian sayur-sayuran atau buah-buahan dari luar di mana hasil tanaman ini membolehkan kita menyediakan sayuran segar yang dipetik terus dari kebun ke dapur pelanggan hotel," ujarnya kepada pemberita, hari ini. Menurut beliau, usaha tersebut juga selaras dengan inisiatif hotel dalam menyokong amalan hijau dan kelestarian, dengan mengurangkan jejak karbon melalui penggunaan sumber tempatan dan mengurangkan sisa makanan. "Kita sebenarnya telah menerima pengiktirafan sebagai ‘Hotel Amalan Lestari Terbaik’ di Anugerah Industri Pelancongan 2024 yang diadakan di Royale Chulan Kuala Lumpur, baru- baru ini. "Anugerah itu telah mengiktiraf komitmen teguh Primula Beach Hotel terhadap kelestarian dan usaha inovatif dalam mempromosikan amalan mesra alam dalam industri perhotelan," ujarnya. Katanya, bagi menjayakan projek terbabit, pihaknya dibantu oleh Jabatan Pertanian dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang bertindak sebagai mentor dan memantau kemajuan penanaman.
01 Oct 24
2861