Artikel "Utama" Terkini
10 Keluarga di Pulau Redang Terima Rumah Pemberian Kerajaan Negeri
SETIU, 8 Oktober - Seramai 10 keluarga di Pulau Redang menzahirkan kesyukuran apabila menerima kunci Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Pulau Redang bagi penyerahan kali kedua.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah ketika menyempurnakan penyerahan replika kunci merakamkan penghargaan buat semua pihak yang terlibat hingga mampu menyiapkan projek tersebut.
“Sebanyak 101 unit telah diterima penduduk ketika penyerahan pertama pada September 2022, yang mana telah tertunggak sejak 2013, dan pada hari ini ditambah lagi 10 unit daripada jumlah 160 unit keseluruhannya, bakinya akan diserahkan dengan kadar segera selepas dibaik pulih.
“Hari ini saya bersama Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) meninjau dan melihat kerja-kerja sedang dilakukan oleh kontraktor, kita merasakan dapat menyelesaikan dengan segera bagi unit-unit yang terlibat dan berharap serahan akhir dapat dibuat dalam tempoh segera bagi penduduk Pulau di sini.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk menasihati penduduk yang telah atau bakal mendiami kawasan ini supaya dapat menjaga persekitaran ini sebaik mungkin, terutama dari aspek kebersihan dan keselamatan atau apa-apa perkara yang boleh memberikan kebahagiaan dan keselesaan penghuni di sini,” katanya ketika ditanya pemberita selepas menyempurnakan penyerahan replika kunci rumah RPMM pada hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri; Ir Saiful Azmi Suhail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit; Mohd Shafizi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif PMINT; Dato’ Wan Adnan Wan Derahman.
Dalam pada itu, salah seorang penerima yang berasal, Izyani Mohamed Noor meluahkan rasa syukur dengan penyerahan itu yang dinanti sekian lama.
“Saya seorang ibu tunggal yang memiliki tiga orang anak, sebelum ini menetap bersama keluarga.
"Saya sangat gembira dapat terima rumah pada hari ini, saya mengucapkan terima kasih kepada PMINT dan juga Kerajaan Negeri kerana memberi penyelesaian kepada kami,” ujarnya.
08 Oct 24
703
796 Petugas Kesihatan Terengganu Siap Siaga Hadapi Banjir
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Seramai 796 petugas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan digerakkan untuk membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri pada musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Kasemani Embong berkata daripada jumlah itu, seramai 380 petugas akan mengendalikan aktiviti pencegahan di samping kawalan penyakit sebelum, semasa dan selepas banjir di PPS atau di kawasan yang terjejas banjir.
Katanya, setiap pasukan kesihatan tersebut terdiri daripada tiga petugas iaitu penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pemandu.
“Manakala seramai 416 petugas lagi akan memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, rawatan dan rujukan jika berlaku sebarang kejadian kecemasan di PPS.
“Mereka terdiri daripada pegawai perubatan, pembantu pegawai perubatan, jururawat terlatih, jururawat masyarakat dan pemandu yang sentiasa bersiap sedia apabila diarahkan dan apabila mengetahui ada PPS yang diaktifkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kasemani juga berkata, JKN Terengganu akan memastikan kesiapsiagaan menghadapi banjir di semua daerah dilakukan dengan teliti dan menyeluruh.
“Walaupun kes COVID-19 di Terengganu telah menunjukkan trend penurunan ketara dan sekarang kita berada di dalam fasa hidup bersama COVID-19, tetapi langkah-langkah pencegahan mestilah sentiasa dititikberatkan bagi membendung penularan COVID-19 di PPS.
“Mangsa-mangsa banjir positif COVID-19 dan mereka yang bergejala respiratori digalakkan untuk sentiasa memakai pelitup muka terutama di kawasan banjir atau di PPS yang sesak,” ujarnya lagi.
Tambahnya, selain kesiapsiagaan sumber manusia, kesiapsiagaan di lapangan dari aspek risiko fasiliti kesihatan, ubat-ubatan, alatan dan ambulans serta lain-lain logistik juga telah dibuat persediaan dengan terperinci.
“Terdapat 43 fasiliti kesihatan pelbagai kategori (klinik desa, klinik pergigian, klinik kesihatan, hospital dan pejabat kesihatan) yang berisiko terlibat dengan banjir dan persiapan telah dibuat bagi menghadapi banjir termasuk pemindahan aset-aset kesihatan yang mungkin terlibat.
“Begitu juga pengurusan sajian iaitu penyediaan makanan untuk mangsa banjir di PPS mestilah bersih dan selamat untuk dimakan dan memastikan tidak berlaku penularan COVID-19 atau apa-apa penyakit di PPS,” jelas beliau.
08 Oct 24
158
Terengganu ke Separuh Akhir Piala Tun Abdul Razak 2024
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober- Pasukan hoki lelaki Terengganu berjaya merebut slot separuh akhir dalam kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2024 selepas membenam pasukan Negeri Sembilan dengan jaringan 10-0, semalam.
Ia hasil jaringan lima gol oleh pemain negara Faizal Saari dan hatrik daripada Mohamad Akhimullah Anuar Esook serta satu gol masing-masing daripada Muhammad Adam Haiqal Abdul Razak dan Darwisy Hamdan.
Faizal menjaringkan golnya pada minit ke-22, 32, 41, 52 dan 54.
Akhimullah Anuar Esook (ke-10, 14, 18), Darwisy Hamdan (ke-42) dan Adam Haiqal Abdul Razak (ke-53) membuat jaringan.
Sementara, pasukan Wanita Terengganu berjaya mengikat pasukan yang dibarisi pemain Remaja Negara iaitu Young Tigress dengan keputusan 1-1.
Piala Tun Abdul Razak 2024 diadakan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru bermula 2 hingga 12 Oktober ini .
08 Oct 24
836
Terengganu Tarik Pelaburan RM3.1 Bilion Melalui ECERDC, Jana Lebih 5,000 Kerja
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Terengganu berjaya merealisasikan pelaburan berjumlah RM3.1 bilion di negeri terbabit melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Menteri Besar, Dato Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata daripada jumlah tersebut 98 peratus disumbangkan dalam sektor pembuatan selain sektor pelancongan yang akan mewujudkan sehingga 5,356 peluang pekerjaan serta 102 peluang keusahawanan.
Menurutnya, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan agensi-agensi berkaitan adalah sangat penting untuk menarik pelaburan baharu.
“Projek seperti Projek Pemacu Ekonomi (EAP) memainkan peranan strategik dalam menyelaraskan kementerian, agensi dan sektor swasta, serta membangunkan ekosistem ekonomi yang kukuh.
“Dengan penggunaan rel sebagai pemacu utama pertumbuhan di Pantai Timur, EAP akan merangsang ekonomi setempat dengan meningkatkan trafik penumpang dan barangan di sepanjang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Bandar-bandar kecil seperti Jertih, Dungun dan Kerteh akan menerima manfaat besar daripada peningkatan keterhubungan rangkaian ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ahmad Samsuri telah mempengerusikan satu Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) di kediaman Seri Iman, baru-baru ini.
Beliau juga berkata usaha tersebut dijangka akan mengekalkan momentum negeri ke arah menjadi destinasi pelaburan yang kompetitif dan menarik di Malaysia.
Tambahnya lagi, ia merupakan pencapaian penting bagi mencapai sasaran pelaburan Terengganu sebanyak RM4.2 bilion bagi tahun 2024, sekaligus mengukuhkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi di kawasan ini.
06 Oct 24
824
Terengganu Harap Belanjawan 2025 Adil, Tiada Cukai Baharu
Kerajaan Terengganu mengharapkan peruntukan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober ini dapat disalurkan secara adil untuk semua negeri di samping tiada pengenalan cukai baharu.
06 Oct 24
126
Pelajar Terengganu Inovasi ‘Rumah Pintar’
Pelajar Terengganu terus ke hadapan mempamerkan bakat dan kreativiti dalam pertandingan Spark Your Creativity Challenge (SYCC) 2024 yang bertemakan ‘Smart Home’ pada edisi kali ini.
06 Oct 24
75
Dialog EXCO Platform Terbaik Rakyat Terima Maklumat Tepat
Program Dialog EXCO yang kini sedang giat dilaksanakan secara berperingkat melibatkan lapan daerah di negeri ini disifatkan sebagai landasan terbaik untuk rakyat mendapat maklumat tepat daripada kerajaan.
06 Oct 24
50
Rezeki Tak Salah Alamat, Paksu Tomoi Terima Pakej Umrah
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober – Rezeki tidak pernah salah alamat. Itulah yang berlaku pada seorang warga emas apabila menerima tawaran mengerjakan umrah dari penganjur program permotoran RXZ Members 6.0 yang berlangsung di Terengganu baru-baru ini.
Ismail Abdullah, 68 atau lebih dikenali sebagai Paksu Tomoi tular di media sosial kerana komitmennya yang tinggi menyertai program tersebut walaupun sudah berusia malah sanggup menempuh perjalanan jauh dari Kuala Ketil, Kedah.
Penganjur program, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, penghargaan itu dengan kerjasama Syarikat Hashwat Alharamayn & Tours khas bagi menghargai Paksu Tomoi diatas kesungguhan merentas perjalanan dua hala hampir 1,000 kilometer (km) dari Kedah.
"Biarpun sudah berusia, Paksu Tomoi sanggup datang ke Terengganu bersama RXZ kesayangannya bagi menyokong program yang dianjurkan sejak RXZ Members 1.0 berlangsung.
"Paksu adalah ikon permotoran RXZ dan menjadi idola untuk peminat motosikal ini atas semangatnya.
"Alhamdulillah, kita juga menerima pelawaan daripada sebuah syarikat agensi pelancongan yang berbesar hati menawarkan pakej umrah kepada beliau sebagai penghargaan buatnya," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Hadiah tersebut disampaikan wakil pengurusan dan agensi pelancongan tersebut di kediaman Paksu di Kuala Ketil, Kedah, baru-baru ini.
Mohamad Faizal berkata, Paksu dijadualkan mula berangkat mengerjakan umrah pada 20 November depan.
"Masa beri hadiah pakej umrah itu, mata Paksu nampak 'berkaca', seolah-olah terharu dan sebak dengan penghargaan yang kita berikan.
"Kita harap apa yang kita berikan kepada Paksu ini dapat memberikan kegembiraan dan Paksu sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik," ujarnya.
Sebelum ini, rakaman video tular memaparkan warga emas berserban menunggang motosikal Yamaha RX-Z untuk menyertai program RXZ Members 6.0 yang diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak mendapat perhatian pengguna media sosial.
Rata-rata dalam kalangan mereka memuji kesungguhan lelaki tersebut kerana dalam masa yang sama turut singgah ke masjid untuk menunaikan solat bersama kumpulan anak muda yang berkongsi minat yang sama.
Program RXZ Members 6.0 yang diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus pada September lalu menarik penyertaan lebih 80,000 peserta dari seluruh negara.
06 Oct 24
239
Tanpa Panduan Guru, Tiada Siapa Bergelar Graduan
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Tiada manusia mampu mencapai kejayaan di dunia tanpa kehadiran insan bergelar guru.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat menyeru setiap graduan supaya menghargai pengorbanan dan titik peluh para guru.
“Apabila kita menyebut perihal ilmu pengetahuan dan penuntutnya, semestinya para guru serta murabbi bukanlah insan yang asing.
“Maka Majlis Konvokesyen yang diadakan pada hari ini, seharusnya menjadi satu medan teristimewa, untuk kita semua khususnya para graduan, menyampaikan apresiasi serta penghargaan kepada para guru yang mendidik kita tanpa jemu, menjadi lilin membakar diri, demi menerangi perjalanan kalian sehingga ke akhirnya,” ujarnya
Beliau berkata demikian pada sidang ucapan Majlis Konvokesyen Ke-2 Kolej Yayasan Islam Terengganu (KYIT) 2024 di Pusat Konvokesyen, Taman Tamadun Islam di sini kelmarin.
Turut meraikan, Pengerusi Lembaga Pengelola KYIT; Che Alias Hamid, Pengarah Yayasan Islam Terengganu; Zahanapi Segaf, dan Ketua Eksekutif KYIT; Dzulkefli Mamat.
Untuk rekod seramai 60 graduan diraikan dalam majlis gilang gemilang itu, yang terdiri daripada dua program yang ditawarkan di KYIT iaitu Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Diploma Pengajian Islam.
KYIT turut mengurniakan Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum kepada Nur Anis Solehah Hamzah dan Anugerah Kecemerlangan Akademik, diraih oleh Nurul Ain Rahimi.
Kedua-duanya mencapai kejayaan dalam program Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.
Bagi program Diploma Pengajian Islam, Penerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum disandang oleh Nurul Hikmatul Hijrah Mohd Anuar, manakala Aqilah Ahmad Zaini adalah Penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik.
Majlis turut mengurniakan Anugerah Ketua Eksekutif kepada Nor Asmira Syafika Jais dari Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.
04 Oct 24
225
Dialog EXCO Platform Terbaik Rakyat Terima Maklumat Tepat
KUALA NERUS, 3 Oktober - Program Dialog EXCO yang kini sedang giat dilaksanakan secara berperingkat melibatkan lapan daerah di negeri ini disifatkan sebagai landasan terbaik untuk rakyat mendapat maklumat tepat daripada kerajaan.
Salah seorang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung bagi DUN Batu Rakit, Mohd Fadhil Ismail berkata, program bersemuka itu juga membolehkan rakyat bertanyakan soalan secara langsung kepada EXCO sekali gus menjawab segala persoalan yang berlegar dalam kalangan masyarakat.
"Alhamdulillah melalui program ini kerajaan negeri dapat sampaikan apa jua maklumat kepada rakyat mengenai apa usaha, matlamat dan hulu tuju kerajaan negeri serta perjalanan kerajaan negeri dalam keadaan terhimpit.
"Sepanjang program ini berlangsung, kita telah melihat banyak soalan-soalan yang berkisar tentang kesan ekonomi selepas kerajaan negeri tidak lagi diberikan royalti petroleum seperti biasa.
"Jadi telah diberikan penerangan apa solusi untuk masa hadapan dengan wujudnya usaha bagi menambah pendapatan baharu yang boleh menyakinan penduduk dan Pengerusi JPKK mendapat maklumat yang tepat dalam melaksanakan dasar kerajaan terutama bagi memastikan kebajikan kepada rakyat dapat diteruskan," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Program Dialog EXCO yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru, Kuala Nerus, di sini, kelmarin.
Dalam pada itu, Fadhil berkata program yang dianjurkan oleh UPDI itu perlu diperluaskan lagi dan diadakan secara berterusan agar rakyat faham mengenai apa yang terjadi serta dapat mengetahui info-info terbaharu mengenai setiap perancangan dan agenda yang dijalankan.
"Terima kasih kepada pihak kerajaan negeri serta penganjur yang telah mengadakan program ini sekali gus mendekatkan pimpinan kerajaan negeri bersama rakyat," katanya.
04 Oct 24
124