lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Perak Lebur Impian Juara Terengganu
Perak Lebur Impian Juara Terengganu
KUALA LUMPUR, 26 September- Perak sekali lagi berjaya meleburkan impian pasukan Terengganu untuk bergelar juara TNB Piala Tun Abdul Razak 2020 apabila menumpaskan pasukan Pantai Timur itu dengan jaringan 4-2. Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, Terengganu garang mendahului lawan seawal minit pertama melalui gol sudut penalti yang dijaringkan Faizal Saari. Namun, Perak dapat menyamakan kedudukan melalui gol padang pada minit ke-17 hasil jaringan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal. Selepas itu, segalanya tampak sukar buat anak buah Tai Beng Hai. Terengganu lebih banyak menahan asakan Sang Seladang yang mempamerkan corak serangan pantas. Penggempur Perak yang merupakan tonggak kebangsaan, Muhammad Haziq Samsul berjaya meledak dua gol padang pada minit ke-30' dan 32' membolehkan lawan mendahului 2-1 pada separuh masa pertama. Bersambung babak kedua, Haziq yang terpilih sebagai 'player of the match' malam ini meledak satu lagi gol padang pada minit ke-46 menyentak semangat Terengganu. Ketinggalan 4-1 di awal babak kedua, Terengganu cuba bangkit merapatkan jurang. Pada minit ke-59, Faizal Saari berjaya meledakkan gol melalui sudut penalti, tetapi sayang kebangkitan tersebut tidak dapat diteruskan. Keputusan kekal 4-2 sehingga tamat perlawanan. Untuk rekod, Terengganu tewas buat kali ketiga kepada Perak dalam perlawanan akhir Piala Tun Abdul Razak, setelah tumpas kepada lawan sama pada tahun 2017 dan 2018.  
26 Sep 20
1892
Terengganu FC Menang Mudah
Terengganu FC Menang Mudah
KUALA NERUS, 25 September- Terengganu Football Club (Terengganu FC) mudah menewaskan pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) 4-0 dalam aksi CIMB Liga Super Malaysia, sebentar tadi. Melayan kunjungan pasukan di tangga terakhir liga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Sang Penyu tidak menunggu lama untuk mendahului lawan. Bermula dengan hantaran lintang kapten, Lee Tuck dari sebelah kanan padang ditanduk mudah penyerang, Faris Ramli untuk gol pertama pada minit ke lapan. Perlawanan terus berlangsung dengan penguasaan bola oleh pasukan tuan rumah walaupun beraksi tanpa penyerang utama, Dominic Da Sylva yang cedera dan digantikan penyerang Terengganu FC II, Bruno Suzuki. Pada minit ke-24, Faris dijatuhkan pertahanan The Cops, Ahmad Syahmi Shukri dalam kotak penalti, menghadiahkan penalti kepada tuan rumah. Tendangan tersebut disempurnakan Lee Tuck untuk gol kedua pasukan, seminit kemudian. Terengganu FC hampir menambah gol pada minit ke-39, tetapi tandukan pertahanan, Argzim Redzovic disahkan offside oleh pengadil. Memasuki masa tambahan babak pertama, Lee Tuck berjaya memanfaatkan serangan terakhir pasukan apabila melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti melepasi kawalan penjaga gol, Mohamad Farzly Muhammad. Tamat separuh masa pertama, skor 3-0 memihak kepada Terengganu FC. Bersambung babak kedua, The Cops mengubah corak permainan dengan lebih banyak menguasai bola dan menyerang Sang Penyu. Namun, Terengganu FC ampuh bertahan. Sebaliknya, tuan rumah pula berjaya mendapatkan gol keempat menerusi Faris Ramli. Penyerang kebangsaan Singapura itu menanduk masuk m hantaran cantik Mohamad Arif Fadzillah Abu Bakar pada minit ke-74, melebarkan jurang gol kedua-dua pasukan. Terengganu FC menoktahkan perlawanan dengan kemenangan dalam aksi kesembilan Liga Super 2020.        
25 Sep 20
1446
Dr Azman Pamer Aksi Iras ‘Messi’
Dr Azman Pamer Aksi Iras ‘Messi’
SETIU, 22 September - Dr Azman Ibrahim memperagakan aksi mengelecek iras Messi dalam perlawanan futsal bersama komuniti dan belia semalam. Menggunakan kaki kiri ketika membawa bola menampakkan persamaan antara beliau dengan pemenang terbanyak anugerah Ballon d'Or dari Argentina itu. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri berkata, perlawanan santai futsal itu bukan sahaja bertujuan mengeluarkan peluh semata-mata tetapi untuk merapatkan jurang antara pemimpin dengan masyarakat. "Siang hari biasanya mereka bekerja. Jadi, kita cuba memanfaatkan ruang masa yang ada untuk dekati mereka tanpa rasa ada ‘gap’ sesama manusia. ‘’ Sambil layan anak muda malam ni, kita uji kaji sikit. Alhamdulillah, beres lagi dan masih belum berkarat sangat. Asah bakat sikit, tinggikan stamina boleh masuk ‘tournament’ lagi nanti," katanya selepas  perlawanan futsal di gelanggang futsal Felda Selasih. Turut bersama Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Sudin Awang, Ketua Belia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Jabi, Muhammad Zulkifli dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Felda Selasih, Mazlan.
21 Sep 20
1315
Terengganu Sasar 10 Pingat Emas Bagi Pasukan Perahu Layar
Terengganu Sasar 10 Pingat Emas Bagi Pasukan Perahu Layar
Kerajaan Terengganu menyasarkan jumlah pingat emas yang tinggi untuk Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 bagi Pasukan Perahu Layar Terengganu.
21 Sep 20
129
Pelayar Terengganu Kuasai Kejohanan Di Pantai Tanjung Gelam
Pelayar Terengganu Kuasai Kejohanan Di Pantai Tanjung Gelam
Pasukan Perahu Layar Terengganu mengungguli Kejohanan Liga Layar Terengganu (TSL-TSDP) Siri 2/2020 di Pantai Tanjung Gelam dengan menguasai kategori terbaik keseluruhan kategori Optimist bagi lelaki dan perempuan.
21 Sep 20
612
Nabil Kembali Gagah Di Halaman Sendiri
Nabil Kembali Gagah Di Halaman Sendiri
Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha 31 Racing, Rahimi Nabil Razu memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri untuk mencatat masa terpantas pada saingan Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia 2020 di Litar Permotoran Terengganu.  
20 Sep 20
83
Anak Bukit Payong Kuasai Podium Cub Prix
Anak Bukit Payong Kuasai Podium Cub Prix
Pelumba kelahiran Bukit Payong, Md Danish Aiman Zamrul, 15 tahun, mengekalkan kedudukan teratas keseluruhan apabila memenangi saingan pusingan keempat Kejuaraan Malaysia Cub Prix PETRONAS di Litar Permotoran Terengganu, baru-baru ini.
20 Sep 20
316
Motosikal Milik Mohd Azmi
Motosikal Milik Mohd Azmi
MARANG, 20  September - Sebuah motosikal menjadi milik Mohd Azmi Said, 55 dari Taman Hassan Hussien, Kampung Padang Mengkuang, di sini apabila diumumkan sebagai pemenang paling  bertuah. Mohd Azmi memenangi hadiah tersebut dalam Program BP Fun Ride sempena Hari Malaysia 2020, Rabu lalu. Katanya, dia  tidak menyangka bahawa hadiah cabutan bertuah motosikal itu menjadi rezeki dia. "Saya  datang hari ini harnya untuk memeriahkan program dan agak teruja kerana diumumkan sebagai pemenang paling bertuah, " katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman, selepas program itu. Lebih 500 peserta dari pelbagai daerah menyertai program tahunan itu yang turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri.  Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah. Peserta yang melalui perjalanan sejauh 25 kilometer itu turut ditawarkan pelbagai hadiah cabutan lain antaranya basikal, hamper dan pelbagai barangan  elektrik. Peserta melalui beberapa kampung,  bermula Pekan Bukit Payong menghala ke Kampung Paya Resak - Pekan Kedai Buloh - Kampung Atas Tol - Kampung Laut - Kampung Bukit - Pekan Kedai Buloh - Kampung Undang dan pulang ke Pekan Bukit Payong sebagai garisan penamat. Turut serta dalam Program Fun Ride tersebut, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Penghulu Mukim Bukit Payong, Ahmad Zafiri Ahmad Zaki dan Pegawai-pegawai dari Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong. Mohd Nor merakamkan sekalung tahniah kepada semua peserta yang telah mengambil bahagian dalam program Fun Ride pada hari ini. "Ucapan tahniah kepada semua peserta yang telah mengambil bahagian pada hari ini, sifat kesukanan dan semangat yang sangat baik telah ditunjukkan oleh semua,”katanya.
20 Sep 20
394
Terengganu Sasar 10 Pingat Emas Bagi Pasukan Perahu Layar
Terengganu Sasar 10 Pingat Emas Bagi Pasukan Perahu Layar
KUALA NERUS, 20 September - Kerajaan negeri menyasarkan jumlah pingat emas yang tinggi untuk Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 bagi Pasukan Perahu Layar Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan optimis bahawa skuad atlet perahu layar negeri akan menggondol 10 pingat emas pada Sukma Johor berbanding lapan pingat emas pada Sukma Perak edisi-19 pada 2018 lalu. “Saya diberi mandat sebagai bapa angkat Pasukan Perahu Layar Terengganu. Oleh itu, kita perlu sasar lebih daripada lapan pingat emas yang dipungut pada Sukma Perak yang lalu. “Saya yakin kerana sebahagian besar atlet kita pernah mewakili negara dan menang di peringkat antarabangsa, bukan setakat di dalam negara. “Pihak kerajaan juga akan bekerjasama dengan Persatuan Pelayaran dan Luncur Layar Negeri Terengganu dalam menetapkan masa dan tempat untuk pemberian sagu hati sebagai penyuntik semangat kepada para atlet,” katanya. Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada anak-anak atlet atas komitmen menaikkan nama Terengganu di persada kebangsaan dan dunia, semasa menghadiri majlis penutup Kejohanan Liga Layar Terengganu (TSL-TSDP) Siri 2/2020 di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus, petang semalam. “Kejohanan sebegini memberikan peluang yang baik kepada atlet untuk memahirkan diri dalam menghadapi saingan pada Sukma akan datang," tambahnya. Turut Hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah, Ketua Unit Akademi Majlis Sukan Negeri Terengganu, Mat Noor Bidin serta Ketua Jurulatih Sukan Pelayaran Negeri Terengganu, Abdul Rani Idris. Menurut ketua jurulatih, antara cabaran dalam aspek persiapan skuad adalah kehilangan masa latihan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19. “Cabaran ini dapat diatasi melalui kejohanan seperti ini di mana atlet dapat berlatih bersama skuad Sukma negeri lain. Beliau mengulas, mereka akan menggunakan tempoh sebelum musim tengkujuh untuk berlatih di Tanjung Gelam kerana suasana dan lokasi yang strategik. "Pada bulan November, kita akan kembali berlatih di perairan berdekatan dengan Duyong Marina, Pulau Duyong," ujarnya. Menurutnya, senarai panjang skuad atlet terdiri daripada 25 orang, 17 atlet terpilih akan diumumkan dalam sekitar bulan Disember untuk mewakili negeri di Sukma Johor 2020. “Dua acara yang bakal dianjur dalam negeri iaitu Liga Layar Siri Ketiga dan Kejohanan Tertutup Jemputan Terengganu pada 13 hingga 16 november di Duyong Marina Resort. Acara sebegini adalah di antara proses pemilihan atlet. “Kejohanan kebangsaan akan dijangka berlaku sekitar bulan Disember, tuan rumah belum diketahui lagi tetapi ia adalah proses terakhir untuk pemilihan skuad atlet perahu layar negeri," jelasnya.
20 Sep 20
635
Pelayar Terengganu Kuasai Kejohanan Di Pantai Tanjung Gelam
Pelayar Terengganu Kuasai Kejohanan Di Pantai Tanjung Gelam
KUALA NERUS, 20 September - Pasukan Perahu Layar Terengganu mengungguli Kejohanan Liga Layar Terengganu (TSL-TSDP) Siri 2/2020  di Pantai Tanjung Gelam dengan menguasai kategori terbaik keseluruhan kategori Optimist bagi lelaki dan perempuan. Atlet lelaki terbaik keseluruhan kelas optimis dijuarai oleh Asmadi Azman dalam tiga acara. Manakala, juara keseluruhan kategori perempuan kelas optimis dimenangi oleh Nur Faarihah Abdul Rani. Asmadi Azman, yang merupakan anak jati Pulau Duyung Kecil berkata, antara cabaran yang dihadapi seperti isu angin laut perlahan yang memberatkan lagi perahu layarnya. “Berkat doa ibu bapa dan tidak meninggalkan latihan secara berterusan adalah strategi saya dalam menghadapi cabaran dalam persaingan ini,” katanya petang semalam. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Kejohanan Liga Layar Terengganu Siri 2/2020 yang berlangsung pada jam 5 petang semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah dan Ketua Unit Akademi Majlis Sukan Negeri Terengganu, Mat Noor Bidin. Kejohanan itu disertai oleh 59 orang atlet. Terengganu diwakili oleh 17 orang atlet Sukan Malaysia (Sukma) manakala 31 orang lagi adalah atlet pelapis, manakala 10 orang atlet Sukma mewakili Kedah dan seorang mewakili Pulau Pinang. Ketua jurulatih sukan pelayaran negeri Terengganu, Abdul Rani Idris berkata, kejohanan ini adalah aksi kali pertama atlet selepas terpaksa ditangguhkan atas sebab pandemik Covid-19. Beliau mengulas, di antara fungsi kejohanan itu adalah untuk memperkasakan atlet selain mengenal pasti kelemahan dan ruang untuk penambahbaikan. “Lokasi di Pantai Tanjung Gelam ini membantu dalam persiapan untuk Sukma Johor 2020 kerana lokasi perairan yang terbuka. “Kita akan berlatih di sini dalam tempoh sebelum musim tengkujuh pada bulan November, kemudian latihan akan disambung di kawasan Duyong Marina,” ulasnya lagi. Untuk rekod, kejohanan tersebut melibatkan empat kategori kelas iaitu Optimist, Laser, International 420 dan Windsurfing yang berlangsung di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus selama empat hari bermula pada 16 hingga 20 september.
20 Sep 20
1886