Artikel "Sukan" Terkini
Kompleks Sukan Hulu Terengganu, Jabi Bakal Siap Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 17 November - Kompleks Sukan Hulu Terengganu, Kuala Ping dan Jabi, Setiu dijangka akan siap sepenuhnya pada akhir tahun 2020 dengan kerja-kerja pembinaan kedua-dua kompleks sukan tersebut, setakat ini berjalan lancar dan mengikut piawaian yang telah ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek pembinaan kompleks sukan berkenaan merupakan antara beberapa projek yang telah pun dipersetujui untuk dibuat dengan pembiayaan daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
"Antaranya projek pembinaan Kompleks Sukan di Jabi, Setiu yang bersempadanan dengan Besut menelan kos sebanyak RM6.2 juta. Untuk makluman, sehingga sekarang ini, projek pembangunan di Jabi ini telah pun mencapai kemajuan 82 peratus pembinaan fizikalnya.
"Insya-Allah kita jangka 7 Disember ini projek ini akan siap sepenuhnya. Di samping itu, projek kedua adalah projek pembinaan Kompleks Sukan Hulu Terengganu di Telemong yang menelan belanja sebanyak RM5.39 juta.
"Maklumat terkini yang saya dapat pembinaannya juga telah pun siap sebanyak 63 peratus. Dijangka akan siap pada akhir tahun ini juga dalam pertengahan Disember," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini semalam.
Justeru itu, menurut Wan Sukairi, banyak kemudahan sukan yang boleh digunakan oleh orang ramai sejurus selepas pembinaan kompleks sukan tersebut siap.
Untuk rekod, kompleks itu adalah kemudahan sukan yang kedua dan ketiga untuk rakyat Terengganu selepas Velodrom Azizulhasni Awang di Dungun diumumkan, sebelum ini.
17 Nov 20
2480
Sukan Motocross Bakal Gegarkan Bumi Jabi
SETIU, 8 November – Sukan lasak motocross bakal mengegarkan bumi Jabi selepas litar sukan terbabit yang bernilai RM10,000 siap dibina di Kuala Kubang di sini dalam beberapa masa lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, penganjuran sukan itu turut mampu meningkatkan ekonomi penduduk sekitar.
"Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi ialah sebuah pekan kecil dengan kuasa beli penduduknya yang terhad. Kedai makan, restoran, kedai runcit, kedai sate dan lain-lain lagi dah banyak wujud di Jabi.
"Dengan jumlah pelanggan tempatan yang terhad, kita merancang pelbagai program supaya Jabi menjadi tumpuan pengunjung dari luar.
"Sebelum ini kita buat Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Terengganu, Himpunan Lembu Sado Pantai Timur, Karnival Dun Jabi dan beberapa program lagi. Dengan wujudnya program bersaiz mega sebegini, Pekan Jabi dilimpahi pengunjung.
"Kesan ekonomi sangat ketara. Kedai satay dan kedai makan penuh orang. Stesen minyak penuh kereta. Homestay dan hotel bajet tak cukup bilik dan macam-macam lagi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah melakukan lawatan ke tapak litar motocross yang masih dalam penyelenggaran semalam.
Turut bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Kubang, Aziz Rashid.
Dalam masa yang sama, Dr Azman turut bercadang untuk menghidupkan kembali acara Tebu Mountain Challenge dan mensasarkan dijadikan ia suatu acara bertaraf antarabangsa.
08 Nov 20
524
Terengganu Mara Ke Suku Akhir Piala Malaysia
Aksi sepak mula Piala Malaysia 2020 antara pasukan Terengganu Football Club (Terengganu FC) dan Petaling Jaya City (PJ City) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus semalam menyaksikan Terengganu FC Berjaya membenamkan PJ City 1-0 di laman sendiri.
08 Nov 20
208
Liga Bola Sepak MAKSAK Kuala Terengganu Buka Tirai
KUALA TERENGGANU, 3 November - Liga Bola Sepak Friendly Majlis Kebajikan dan Sukan Aggota Kerajaan (MAKSAK) Kuala Terengganu membuka tirai kejohanan, Ahad lalu dengan perlawanan pertama antara Ibu Pejabat Kontijen Terengganu (IPKT) dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ FC).
Pengerusi Persatuan Pengadil Daerah Kuala Terengganu, Hamdan Awang yang bertindak sebagai penganjur liga memaklumkan, pertandingan berkenaan diadakan buat pertama kali bagi engeratkan hubungan antara kakitangan kerajaan di daerah terbabit bertempat di padang bola sepak Lagoon, Chendering.
"Jadi, untuk kali pertama ini hanya melibatkan lapan pasukan sahaja iaitu pasukan IPKT, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu (IPDKT), Jabatan Hal Ehwal Agama Kuala Terengganu, HSNZ, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Pejabat Perhutanan Terengganu dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
"Pertandingan ini mungkin akan dijadikan sebagai aktiviti tahunan MAKSAK dan berkemungkinan akan membuka Division kedua sekiranya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua pihak," katanya.
Perlawanan pembukaan antara kedua pasukan itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul hadi dan berkesudahan HSNZ FC menewaskan IPKT FC dengan jaringan 4-2.
03 Nov 20
1420
Terengganu Lancar Program Mencari Safawi 2.0
Sebuah program pencarian bakat baharu bola sepak di peringkat akar umbi yang dinamakan Mencari Safawi 2.0 dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
28 Oct 20
191
Pasukan Besut Juara Takraw Burung Baru
DUNGUN, 27 Oktober - Pasukan Besut mengungguli Kejohanan Sepak Takraw Burung Baru sekaligus dinobatkan sebagai juara dan membolot hadiah RM200 beserta pingat dan hamper.
Kejohanan yang dianjurkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Burung Baru itu telah disertai lapan pasukan yang menggunakan nama daerah-daerah di Terengganu.
Ketika berucap di majlis penutup kejohanan yang diadakan di Gelanggang Takraw kampung tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun memuji penglibatan yang dimainkan oleh MPKK, pengusaha dan komuniti setempat di dalam memupuk semangat kerjasama untuk menjayakan program kemasyarakatan.
"Tahniah juga kepada penganjur yang berjaya mengadakan kejohanan ini dalam suasana budaya norma baharu dengan bukan sahaja mematuhi Tatacara Pengendalian Piawaian (SOP) tetapi juga patuh syariah," katanya.
Pada majlisc tersebut, beliau turut menyampaikan hadiah kejuaraan kepada kumpulan Besut, naib juara kumpulan Dungun, Kumpulan Hulu Terengganu dan Setiu di tempat ketiga.
Dalam pada itu, Alias turut mengingatkan peserta agar tidak meninggalkan solat yang merupakan tiang agama ketika bersukan, beriadah dan sebagainya.
"Main sukan, main sukan jugak tapi bila masuk waktu Maghrib tu balik rumah, tunaikan solat, yang lebih baik lagi solat berjemaah di masjid atau surau, mati tidak mengira umur," ujarnya.
27 Oct 20
1435
Bukan Biasa-Biasa, 10 '4X4' Berjaya Tawan Bukit Besar
KUALA TERENGGANU, 26 Oktober – Sukar untuk dibayangi apabila mendengar 10 buah kenderaan pacuan empat roda (4x4) berjaya meredah hujan, laluan trek hutan berbonggol dan berlumpur dalam menawan Bukit Besar.
Namun begitu, sekumpulan belia daripada Kelab Kole Ganu Crawler (KGC), berusia lingkungan 20-an hingga 30-an, menempuh cabaran bersama jentera RC Crawler (4x4) kawalan jauh dikuasai bateri dan berskala 1/10, 10 kali lebih kecil berbanding kenderaan sebenar.
Jangan terpedaya dengan saiz kecil kerana ‘Crawler’ tersebut mampu mendaki bukit dengan darjah kecerunan sehingga 70 darjah, memerlukan kemahiran pengendalian yang tinggi.
Wakil KGC, Hadi Syafiq, 33, berkata, aktiviti tersebut bukan sekadar hobi, malah ia gabungan cabaran mengendali jentera melalui selok-belok bukit belukar bersama riadah ‘hiking’, kepuasan hobi bersama nilai kesihatan.
“Contohnya seperti hari ini kita telah sampai ke puncak Bukit Besar (ketinggian 800 meter dari aras laut). Lokasi berbukit ini adalah diantara kawasan paling mencabar dari segi kecerunan bukit dan halangan semulajadi,” katanya ketika ditemubual pemberita baru-baru ini
Seiras dengan model berjenama seperti Range Rover, Land Rover dan Ford Bronco, Saiz kecil kenderaan kawalan jauh itu tidak bermakna harganya juga kecil. Meneliti bersama pemiliknya tentang harga gabungan 10 jentera tersebut, dianggarkan sehingga RM15,000.
Mengulas lanjut mengenai ‘kenderaannya’, Hadi berkata, model Ford Bronco skala 1/10 dibeli ‘second-hand’ dengan harga RM2,200 daripada harga pasaran asal iaitu RM2,600.
“Kami juga ubah suai dengan alat ganti lain seperti tayar, replica peralatan perkhemahan dan lain-lain lagi. Aktiviti jual dan beli aksesori lain juga bersama peminat lain dari semasa ke semasa ada," katanya lagi.
Menyentuh tentang kit permulaan bagi yang mahu berjinak,“Hobi ini juga ada kategori ekonomi seperti jenama RGT, harga dalam linkungan RM1,000 dan jika yang terpakai harganya kurang lagi daripada Shopee dan penjual di Kuala Lumpur.
“Harga berbaloi dengan kualiti kerana tahan lasak dan penyelenggaran tidak perlu kerap.
Hadi yang juga seorang peniaga ‘bundle’, turut menyatakan hasrat kelab dalam mengumpul ahli baharu.
“Kita suka apabila ada yang mahu sertai sekali hiking bersama jentera masing-masing. Kelab kami biasanya beraksi pada hari cuti waktu tengah hari lepas zuhur (1.30 petang) di Bukit Besar dan bermain santai di kawasan landai yang berbatu seperti di Batu Buruk dan Bukit Payung.
“Manakala mereka yang mahu lebih ‘hardcore’ dengan laluan berbatu di Bukit Tepu pada hari ahad atau selasa waktu petang lepas asar," ujarnya.
Ketahui lebih lanjut mengenai aksi lasak mereka dan lain-lain di Kumpulan Facebook, ‘Kole Ganu Crawler (KGC)’.
26 Oct 20
2187
Wechat Ungguli Kejohanan 8 Sebelah
MARANG, 24 Oktober - Usaha untuk mengadakan pertandingan bola sepak secara tertutup ianjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Gong Kubur, Bukit Payong mendapat sambutan menggalakkan.
Pertandingan itu disertai 8 pasukan dan menawarkan hadiah berupa hamper dan medal kepada pemenang serta saguhati juga disediakan kepada pasukan yang kalah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, program sebegini sangat memberi kesan kepada masyarakat terutama orang muda dalam memupuk aktiviti yang sihat di kampung.
"Anjuran sebegini sememangnya mampu memupukkan lagi aktiviti yang berfaedah selain dapat menyatukan lagi hubungan yang erat antara penduduk.
"Selain itu, dengan adanya pertandingan sebegini pada setiap tahun akan membolehkan kita mengasah bakat yang ada pada orang-orang muda terutamanya untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi,"katanya
Ujar beliau ketika merasmikan Program Pelancaran Pertandingan Bola Sepak 8 Sebelah Peringkat MPKK Kampung Gong Kubur, Bukit Payong, baru-baru ini yang mana, pasukan wechat telah menjadi johan dan pasukan twitter sebagai naib johan dengan kemenangan ditentukan oleh sepakan penalti 5 - 3.
Turut hadir, Pengerusi MPKK Kampung Gong Kubur, Mohamad Arifin Ibrahim, Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong, Mat Ghani Jusoh dan Penghulu Mukim Bukit Payong, Ahmad Zafiri Ahmad Zaki.
25 Oct 20
275
Pawi Pamer Aksi Di Portugal
DUNGUN,17 Oktober - Penyerang sayap skuad Harimau Malaya, Safawi Rasid bakal mempamerkan aksi sulung bersama kelab baharu Portimonense SC di Portugal.
Perkara itu menjadi bualan ramai apabila laporan portal bola sepak Portugal, A Bola melaporkan pemain berusia 23 tahun itu menunjukkan prestasi yang cemerlang ketika sesi latihan.
"Safawi Rasid yang dipinjamkan daripada Johor FC menunjukkan sesuatu yang mengagumkan pada sesi latihan dan dijangka menjadi pertaruhan jurulatih, Paulo Sergio untuk aksi bertemu CS Maritimo di tempat lawan.
"Dia nampak senang menyesuaikan diri dan gigih memburu peluang untuk bersama pasukan," ujar portal bola sepak tempatan itu.
Sebagai rekod, Safawi kemungkinan besar akan diberi peluang membuat penampilan pertama di bumi Eropah selepas Sergio mengesahkan semua pemain tidak berdepan masalah untuk diturunkan kecuali dua bintangnya yang mengalami kecederaan.
Sementara itu,Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik mengucapkan tahniah kepada Safawi yang turun dikenali dengan pangggilan Pawi.
“Safawi adalah anak jati Dungun, saya turut rasa bangga dengan pencapaian beliau.
"Dengan umur yang masih muda, jauh dan panjang lagi perjalanan karier beliau. Tahniah Saya ucapkan dan teruskan menempa kejayaan demi kejayaan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” ujarnya.
17 Oct 20
28423
Terengganu FC Daki Tangga Ketiga Liga Super 2020
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober- Terengganu Football Club (Terengganu FC) berjaya menamatkan kedudukan di tangga ketiga CIMB Liga Super Malaysia 2020 setelah menang tipis 2-1 kepada Pahang dalam aksi terakhir liga, malam ini.
Beraksi di gelanggang sendiri, Sang Penyu nyata berkelebihan di atas kertas apabila turun dengan lima import berbanding Tok Gajah yang hanya menurunkan Adam Micheal Tull sebagai awang import.
Anak-anak buah Nafuzi Zain memulakan perlawanan dengan serangan awal ke kubu lawan, namun tidak berhasil dengan pelawat lebih banyak bertahan.
Pada minit ke-12, skuad kendalian Dollah Salleh mengejutkan tuan rumah apabila pemain tengah, Nik Muhammad Sharif Haseefy melakukan rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti untuk Pahang mendahului 1-0.
Tiga minit berselang, Terengganu FC berjaya menyamakan kedudukan apabila Dominic Da Slyva dijatuhkan oleh Helmi Eliza dalam kotak penalti hasil serangan balas yang digerakkan Lee Tuck.
Penjaring terbanyak pasukan itu tenang menyempurnakannya. ‹Keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Sang Penyu menggandakan asakan untuk mengatasi lawan.
Pada minit ke-61, Faris Ramli hampir menjarakkan kedudukan, namun sungkitannya yang melepasi jangkauan Helmi berjaya dikeluarkan Fazly Mazlan.
Terengganu FC akhirnya berjaya mengambil kesempatan atas kekurangan pasukan Pahang yang terpaksa bermain sepuluh pemain setelah Muhammad Hardee Shamsuri yang tercedera pada 10 minit terakhir perlawanan.
Lee Tuck muncul wira Sang Penyu apabila menolak mudah hantaran lintang pemain meningkat naik, Muhammad Azam Azmi Murad ke gawang Tok Gajah pada minit ke-82.
Tuan rumah cuba menambah gol, tetapi kedudukan kekal 2-1 sehingga tamat perlawanan.
Terengganu FC menamatkan liga dengan mengumpul 19 mata, di belakang Kedah di tangga kedua dan juara liga, Johor Darul Ta'zim.
11 Oct 20
2781