Artikel "Sukan" Terkini
'Maafkan Kami, Terima Kasih Penyokong Terengganu '
KUALA LUMPUR, 11 September - Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain merakamkan permohonan maaf kepada semua penyokong Terengganu atas kekalahan pasukan pantai timur itu kepada Johor DT dalam perlawanan akhir Piala FA 2022.
"Maaf kepada penyokong yang datang dengan harapan kita muncul juara malam ini.
"Terima kasih atas sokongan dan saya tahu ramai kecewa dengan keputusan malam ini.
"Saya juga kecewa tetapi kita telah memberikan yang terbaik dan kita telah berjaya ke perlawanan akhir dengan skuad yang kita ada," katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Menurutnya, jurang kualiti antara kedua-dua pasukan memberi impak yang besar dalam perlawanan itu.
"Kita kena faham, dalam perlawanan akhir situasi berbeza dan pemain-pemain Terengganu memiliki kualiti berbeza berbanding pemain Johor DT dari semua aspek.
"Dengan pengalaman di 'final', memang sukar bermain menentang Harimau Selatan.
Mereka mempunyai kualiti lebih baik di bahagian tengah, menyebabkan kita lambat 'settle down' dan Faisal Halim tidak dapat menerima lebih banyak bantuan daripada bahagian tengah.
Namun, beliau menyatakan peluang beraksi di pentas akhir bagus untuk pengalaman pemain-pemain mudanya.
"Ini satu pencapaian yang boleh dibanggakan keranan laluan kita begitu sukar untuk ke perlawanan akhir.
"Ini pengalaman yang bagus bagi pemain dapat beraksi di pentas akhir dan memberi lebih keyakinan dalam aksi Piala Malaysia selepas ini," katanya.
Dalam perlawanan tersebut, Terengganu FC tewas 1-3 dengan gol lawan dijaringkan Bergson Da Silva dan Arif Aiman Mohd Hanapi manakala gol Terengganu FC dijaringkan Tcheche Kipre.
11 Sep 22
1837
Nafuzi Mahu Pemain Nikmati Final, Buat Yang Terbaik
KUALA LUMPUR, 9 September - Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain mahu pemain-pemainnya menikmati aura dan kehangatan bermain di Perlawanan Akhir Piala FA 2022 serta menyifatkan mereka akan turun tanpa sebarang tekanan.
“Tekanan bagi kami adalah sepanjang menempuh perlawanan ke perlawanan akhir, itu lebih terasa sebenarnya. Kini, kita bermain untuk piala setelah kita capai sasaran ke ‘final’.
“Untuk pertama kali JDT (Johor Darul Ta'zim) kalah dengan kami pada musim lepas, bagaimanapun kemenangan kali ini bukan mudah kerana mereka lebih dari segenap segi.
“Terengganu FC tidak memiliki ramai pemain yang mempunyai kekuatan fizikal, tapi kita akan gunakan kelebihan lain yang ada.
“Cuma apa yang penting pemain menikmati ‘moment’ di ‘final’, kali ini Alhamdulillah semua pemain cergas untuk bermain dan ia bagus untuk pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pra-perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), hari ini.
Nafuzi turut berharap dapat mencipta sejarah sebagai jurulatih dengan menjulang Piala FA kali ini.
“Sebagai pengendali pasukan ini lebih bermakna untuk mendapatkan kejuaraan, saya masih baru dan masih belajar, setiap jurulatih perlukan piala untuk membuktikannya dan saya harap esok adalah malam saya,” katanya.
09 Sep 22
304
'Semoga Pengadil Telus, Tak Bunuh Semangat Sukan'
KUALA TERENGGANU, 10 September- Penyokong-penyokong pasukan Terengganu FC berharap pengadil yang bakal mengemudi perlawanan akhir Piala FA 2022, esok tidak bertindak membunuh semangat bola sepak tempatan.
Penyokong dari Kampung Wakaf Dua, Muhd Shahrul Ikhwan Muda, 28, berkata, perlawanan akhir tersebut perlu dikendalikan dengan teliti oleh pengadil bagi menjaga prestij perlawanan berikutan banyak kontroversi melibatkan pengadil pada musim ini.
"Semoga pengadil lebih telus, amanah. Jangan asyik pakai pengadil yang sama dan sering kontroversi. Jangan bunuh semangat kesukanan.
"Kedua-dua penyokong pasukan datang dari jauh dan kami mahukan perlawanan yang adil serta penuh semangat sukan," katanya ketika ditemui di kampung berkenaan sebelum bertolak ke Kuala Lumpur, hari ini.
Tambahnya, semangat kali ini lebih membara kerana Terengganu FC akan menentang pasukan serba kuat, Johor DT.
"Lebih semangat sebab mereka pasukan yang berbeza berbanding lawan-lawan lain.
"Pemain pula biar bermain betul-betul, balas kepercayaan penyokong.
"Saya bawa seluruh keluarga, adik-beradik, isteri, ibu dan sepupu-sepupu seramai sembilan orang dan berhabis kos keseluruhan sekitar RM3,000 untuk perlawanan ini.
"Semoga pengorbanan penyokong-penyokong dibalas dengan kejayaan, menang 2-0 'padan doh'," katanya.
Dalam pada itu, penyokong dari Kampung Sahkaizar Ab Razak,43, pula mahukan kemenangan dari pasukan kesayangan mereka itu.
"Kita gembira boleh masuk final dan bertemu pula Johor DT, kita akan berlawan habis-habisan untuk menang.
"Harapan kami supaya pemain kita buat yang terbaik untuk perlawanan ini dan balas sokongan kami yang hadir memberi semangat.
"Kami bertolak malam ini sekitar jam 9-10. Dari Telaga Mengkudu sebuah bas sahaja. Tetapi setakat yang saya tahu, ada sekitar 30 bas dari sini," katanya.
09 Sep 22
351
Kain Rentang Gergasi 'Ninja Turtles' Beri Semangat Buat TFC
MARANG, 8 September - Sembilan pemuda dari Kampung Bukit Kor, Rhu Rendang di sini menyiapkan kain rentang gergasi 'Ninja Turtles' bersaiz 40' x 10' yang memaparkan perkataan 'Setiaku Hitam Putih #Bukit Kor Hadir' bagi menaikkan semangat pemain Terengganu Football Club (TFC) di pentas akhir Piala FA.
Mewakili kumpulan anak muda terbabit, Mohamad Fariq Hamidi Mohd Sukri, 27 berkata sebanyak RM500 dibelanjakan untuk menyiapkan kain rentang tersebut.
Katanya, kain rentang itu akan dinaikkan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Sabtu ini.
"Kami juga seperti yang lain, bersemangat untuk turut bersama di SNBJ yang mana bahangnya kian terasa.
"Pemilihan perkataan 'setiaku hitam putih' pada kain rentang ini bermaksud kami merupakan penyokong setia bersama pasukan kesayangan ramai ini tanpa mengira di saat jatuh bangun.
"Ninja turtles ini pula bermaksud pejuang dan wira yang menjadi simbolik kepada pasukan ramai ini, bahawa kita memiliki kekuatan kita sendiri yang pastinya seluruh pemain akan bermain dengan sepenuh hati pada malam itu, dan akhirnya dapat membawa pulang piala yang kali terakhir kita memenanginya pada tahun 2011,"ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.
Mengulas lanjut, katanya dia akan ke SNBJ bersama 44 orang kampung dengan menaiki sebuah bas yang telah disewa khas.
"Saya secara peribadi memang berharap agar pasukan kita ini mampu mengalahkan JDT dengan bergaya, sekali gus mengulangi sejarah 2011 yang ketika itu saya juga turut hadir walaupun masih remaja pada ketika itu.
"Serta pada tahun 2018 ketika pasukan dapat pergi ke pentas akhir Piala Malaysia saya juga turut menyaksikannya, boleh dikatakan semua perlawanan saya pergi apatah lagi apabila melibatkan perlawanan penting seumpama 'final' piala FA yang penuh berprestij ini," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, kenyataan dikeluarkan oleh Pengurus Pasukan TFC, Mohd Fadhil Wahab katanya tidak perlu dijadikan kontroversi sebaliknya ia merupakan nasihat yang baik.
"Dalam kegembiraan kita untuk pergi ke SNBJ bagi memberi sokongan kepada pasukan kita, solat adalah perkara paling asas untuk dititikberatkan dan menjadi tanggungjawab semua untuk dilaksanakan oleh semua umat Islam tanpa mengira siapa dan di mana berada perlu melaksanakan tanggungjawab itu," ujarnya lagi.
08 Sep 22
1149
'Demi Tranungku', Penyokong Wakaf Dua Zahir Semangat Final
MARANG, 6 September - Sebahagian penyokong-penyokong Terengganu Football Club (Terengganu FC) bergotong-royong mengecat dan menyiapkan 10 kain rentang kata-kata semangat untuk pasukan kesayangan mereka yang akan beraksi di perlawanan akhir Piala FA, minggu ini.
Wakil peminat bola sepak Terengganu dari Kampung Wakaf Dua, Muda Mat Ali, 60, atau lebih dikenali sebagai Pok Pin bola berkata, semua penduduk memberikan sokongan dan dukungan menyiapkan kain rentang dengan kos sekitar RM1,000.
"Hari ini, kami peminat dengan penuh semangat turun bergotong royong menyediakan kain rentang, banner bagi menyerikan dan menambah semangat penyokong-penyokong kita menuju ke Bukit Jalil.
"Kita dengan penuh rasa rendah diri serta semangat, harap pemain dapat mencurahkan dan melahirkan apa yang kita mahu selain bermain penuh semangat dalam menjayakan matlamat kejayaan kita semua," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Wakaf Dua, hari ini.
Tambahnya, sebanyak tiga bas rombongan peminat-peminat akan bergerak Jumaat ini bagi memberikan sokongan kepada pasukan Terengganu FC.
"Inilah yang mampu kami sumbangkan kepada pasukan.
"Sudah sekian lama kita tidak merangkul piala, harap kali ini kita membawa pulang kejayaan untuk rakyat Terengganu," katanya.
Peminat setia sejak tahun 1978 itu turut menyatakan, penyokong dari kampung berkenaan turut berjanji akan 'menumbangkan' dua ekor lembu jika Terengganu FC berjaya menjulang Piala FA 2022.
"Ini bukan cakap main-main, kalau kita menang kali ini kami telah menyediakan dua ekor lembu sebagai mengenang jasa pasukan, pemain dan kejurulatihan," katanya.
06 Sep 22
1461
Menang Atau Kalah, Terengganu Cuti 11 September
Kerajaan Terengganu bersetuju untuk mengisytiharkan cuti peristiwa pada 11 September 2022 sempena perlawanan akhir Piala FA 2022 antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) .
28 Aug 22
277
Terengganu FC Harap Tuah Bukit Jalil
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Pasukan Terengganu Football Club (Terengganu FC) menjadi harapan seluruh rakyat Terengganu untuk menjulang kembali Piala FA 2022 setelah kali terakhir menjuarainya pada tahun 2011.
Rata-rata penyokong gembira apabila Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjadi lokasi pilihan berlangsungnya perlawanan akhir Piala FA edisi ke-32 antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Ini kerana, perlawanan penuh berprestij itu mengembalikan nostalgia yang tercipta 11 tahun yang lalu di mana Sang Penyu berjaya membawa pulang Piala FA setelah menewaskan Kelantan 2-1 dalam pertembungan epik 'derby' pantai timur.
Malaysian Football League (MFL) baru-baru ini memaklumkan, stadium keramat itu telah diputuskan dijadikan tempat berlangsungnya perlawanan terbabit setelah mendapat kelulusan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
Sebelum ini, PSM mengumumkan penutupan SNBJ bagi sebarang aktiviti bola sepak untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan termasuk baik pulih padang MFL amat berterima kasih atas kerjasama pihak PSM.
Pemilihan SNBJ bukan hanya faktor padang dijadikan keutamaan tetapi juga elemen yang amat penting seperti kemudahan dan perlindungan untuk penyokong kedua-dua pasukan, akses kepada perkhidmatan awam dan ruang yang luas di sekeliling stadium yang akan membolehkan operasi keselamatan dikawal.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam, berkata pemilihan venue itu turut memberi penekanan daripada segi pengelolaan perlawanan, penyiaran, komersial dan juga kapasiti stadium yang akan membolehkan setiap finalis menjana pendapatan sebanyak mungkin daripada penganjuran ini.
"Anatara elemen menjadi perhatian MFL adalah keadaan padang SNBJ dan kami mendapat jaminan daripada PSM mereka komited dan akan memastikan penjagaan padang di tahap terbaik menjelang aksi kemuncak itu nanti.
"Buat masa ini, SNBJ satu-satunya stadium yang mampu memuatkan 80,0000 penyokong dalam satu-satu masa dan berada dalam keadaan selamat untuk digunakan. Ini amat penting kerana kita tahu permintaan penyokong kedua-dua pasukan amat tinggi untuk menyaksikan final di stadium.
"Selain itu, MFL juga menjemput wakil kedua-dua pasukan untuk memeriksa keadaan padang pada 12 Ogos lalu bersama dengan pihak pengurusan PSM bagi mendapatkan pandangan serta jaminan daripada PSM sendiri mengenai penyediaan padang SNBJ untuk perlawanan akhir nanti. Hasil pertemuan itu, semua pihak bersetuju untuk berkerjasama dalam memastikan keadaan padang di tahap terbaik.
"MFL juga tidak boleh berkompromi dalam aspek keselesaan dan keselamatan, kita (juga) sedia maklum SNBJ memiliki fasiliti terbaik di dalam dan di luar termasuk akses pengangkutan awam ke venue ini,"katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab Rasid Jusoh berterima kasih kepada pihak MFL kerana telah memilih SNBJ sebagai venue terbaik untuk perlawanan bersejarah itu.
Beliau yakin dengan tarikh yang diberikan itu juga TFC akan mempunyai persiapan yang cukup bagi bertemu JDT dan memastikan pemain akan bermain sehabis baik untuk perlawanan ini.
"Sememangnya kita mengharapkan kejayaan pasukan yang kita sokong sesuai dengan slogan kita 'win back mission' kerana TFC dahahakan kemenangan yang kali terkahir dimenangi pada 2011 yang mana ia akan turut melayakkan pasukan TFC bertanding di piala AFC.
"Namun andainya keputusan sebaliknya saya juga berharap semoga para peminat TFC yang saya sayangi ini sentiasa menjaga tatasusila adat budaya orang Pantai Timur perlu berlapang dada dan mempunyai sifat profesional yang tinggi supaya tidak berlaku rusuhan," ujarnya.
26 Aug 22
2456
Gol Kpah Bantu Terengganu FC Rampas Tiga Mata
Terengganu Football Club (Terengganu FC) menang tipis 1-0 dalam aksi menentang Sarawak United pada saingan Liga Super .
15 Aug 22
139
Terengganu FC Gagal Raih Mata
Terengganu Football Club (Terengganu FC) tewas tipis 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim (Johor DT) pada saingan Liga Super Malaysia
11 Aug 22
78
Terengganu FC Gagal Raih Mata
KUALA NERUS, 10 Ogos- Terengganu Football Club (Terengganu FC) tewas tipis 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim (Johor DT) pada saingan Liga Super Malaysia, sebentar tadi.
Berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Harimau Selatan yang turun dengan skuad utama jelas mendominasi permainan berdepan Sang Penyu yang kehilangan khidmat Mohd Faisal Halim, Manuel Ott dan Tcheche Kipre.
Pada minit ke-11, Terengganu FC terlebih dahulu mencemaskan kubu lawan apabila Nik Sharif Haseefy mendapat peluang terbuka di depan gawang setelah menerima lorongan Kpah Sherman, namun tidak berjaya disudahkan dengan baik.
Pada minit ke-29, penjaring terbanyak JDT, Bergson Da Silva hampir meledak jaringan pertama tetapi rembatan leretnya diselamatkan tiang gol.
Dua minit kemudian, hantaran jauh Afiq Fazail berjaya disudahkan Bergson yang melepasi perangkap offside untuk meletakkan pelawat di depan.
Johor DT terus-menerus mengancam pintu gol tuan rumah, Fernando Forestieri nyaris menjarakkan kedudukan dengan rembatan dari luar kotak penalti tetapi diselamatkan Rahadiazli pada minit ke-33.
Terengganu FC ketinggalan satu gol sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk meledak gol kedua.
Pada minit ke-47, Forestieri berjaya menggelecek dua pertahanan sebelum menewaskan Rahadiazli dengan rembatan dari luar kotak penalti.
Sang Penyu kembali bangkit merapatkan jurang pada minit ke-50 setelah Hakimi Abdullah menjaringkan gol cantik menerusi sepakan percuma.
Pada minit ke-75, pemain tengah Johor DT yang telah mengutip kad kuning pada separuh masa pertama, Hong Wan melakukan bentesan keras ke atas Syafik Ismail.
Bagaimanapun, pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Mohd Amir tidak menghadiahkan sebarang kad kepada Wong Han atas kesalahan tersebut.
Memasuki 10 minit terakhir, perlawanan berlangsung semakin panas dengan lebih banyak kekasaran berlaku.
Namun, keputusan kekal sehingga separuh masa kedua ditamatkan.
Terengganu FC jatuh ke kedudukan keeenam dengan 17 mata daripada 13 perlawanan.
10 Aug 22
816