lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang DUN" Terkini

Lebih RM1.3 Juta Diperuntuk Baikpulih Kawasan Pelancongan Hulu Besut
Lebih RM1.3 Juta Diperuntuk Baikpulih Kawasan Pelancongan Hulu Besut
KUALA TERENGGANU, 29 November - Kerajaan negeri memperuntuk lebih RM1.3 juta bagi menambah baik dan menaiktaraf infrastruktur pelancongan di kawasan Hulu Besut. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata ia melibatkan peruntukan sebahagian besar dari kerajaan negeri dan selebihnya dari kerajaan persekutuan. "Sebanyak RM940,000 diperuntuk bagi cadangan projek baikpulih, menaiktaraf kemudahan pelancongan serta kerja-kerja berkaitan di La Hot Spring. "Ini termasuk cadangan membina dan menyiapkan chalet tambahan serta kerja-kerja berkaitan di La Hot Spring melibatkan peruntukan RM391,029 yang kedua-duanya dari kerajaan negeri," ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas(Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Tambahnya, di bawah peruntukan kerajaan persekutuan melalui MOTAC negeri, pembinaan dan menyiapkan 'Arca Entrance Signage' dibawah menaiktaraf kemudahan pelancongan dan kerja berkaitan di La Hot Spring. Selain itu katanya, dua kawasan rekreasi yang berada di dalam kawasan hutan simpanan kekal di Hulu Besut iaitu Taman Eko-Rimba (TER) Lata Tembakah dan Lata Kolam Air Deru Ecopark turut diberi perhatian oleh kerajaan negeri. "TER Lata Tembakah diletakkan di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT). "JPNT sentiasa menaiktaraf dan membaiki kemudahan di TER Lata Tembakah secara berperingkat bergantung kepada sumber peruntukan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Hutan (KWPAH) untuk keselesaan pengunjung," jelas beliau. Menurutnya lagi, bagi kawasan Lata Kolam Air Deru, permit penggunaan diberikan kepada syarikat Big Scope Event And Travel Sdn. Bhd. untuk penambahbaikan dan penyelenggaraan infrastruktur.
29 Nov 23
129
Dasar Baharu Dijangka Tarik Pelaburan Berimpak Tinggi
Dasar Baharu Dijangka Tarik Pelaburan Berimpak Tinggi
KUALA TERENGGANU, 29 November - Kerajaan Negeri sedang melakukan penambahbaikan Garis Panduan Pembangunan lndustri Negeri Terenganu 2004-2008 kepada satu Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2024-2030 yang akan mengikut keadaan ekonomi semasa dan akan datang.  Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dasar  tersebut dirangka bagi menarik pelaburan berimpak tinggi selaras dengan PITAS 2030 dan Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dalam RMK Ke-12. “Matlamat Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu Baharu akan menfokuskan kepada meningkatkan pelaburan domestik dan pelaburan asing ke negeri ini. “Selain menawarkan peluang dan ruang kepada pelabur yang berpotensi bagi semua perindustrian berkonsepkan mesra pelabur (investor friendly) selain penerokaan perindustrian baru,” ujarnya pada Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili yang ingin tahu mengenai apakah polisi dan insentif yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri di samping MIDA dalam mengalu-alukan dan menarik minat pelabur untuk memilih Negeri Terengganu. Mengulas lanjut beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Memajukan lktisad Negeri Terengganu, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd sebagai agensi dilantik untuk menguruskan kawasan perindustrian negeri akan menawarkan beberapa insentif kepada pelabur. “Antaranya, pemberian harga diskaun berdasarkan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan bergantung kepada keadaan tapak industri yang ditawarkan.  “Pembayaran pajakan tanah secara berjadual bagi membantu pelabur untuk merancang dan dapat merealisasikan pelaburan yang dicadangkan dengan lebih lancar.  “Selain, penyediaan infrastruktur asas yang diperlukan atau pengurangan daripada tawaran harga pajakan bagi meringankan pelabur,”jelasnya. Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ir Saiful Azmi yang bertanyakan mengenai kaedah yang dilaksanakan kerajaan untuk memastikan proses permohonan, penilaian dan kelulusan setiap pelaburan yang ingin masuk ke Terengganu lebih mesra pelabur, katanya pelaksanaan proses penilaian dan kelulusan akan dibantu supaya turut memberi jaringan alternatif supaya sesuatu projek dapat dilaksanakan.  “Jadi bukan setakat kita memberi jawapan ‘Yes or No’ kepada pelabur. Tetapi, kita cuba guide, bantu, tunjuk ajar untuk memastikan projek itu dapat dilaksanakan,” ujarnya. Katanya, tidak dinafikan bahawa memang wujud keperluan bagi memproses, menilai dan membuat keputusan terhadap setiap cadangan pelaburan itu dengan penuh cermat dan teliti untuk membezakan di antara pelabur yang sebenar dan pelabur yang hanya menjadi broker ataupun di atas tujuan lain. “Kerap kali juga, apa yang berlaku ialah kelewatan berpunca daripada kelemahan pihak pelabur yang tidak dapat menyediakan maklumat sokongan yang diperlukan dan tidak memenuhi keperluan atau lampiran tidak lengkap, isi borang tak lengkap, lampiran pun tak lengkap, ada sesetengah itu dana pun belum ada lagi. Tertakluk kepada pihak berkuasa kerajaan, baru nak cari dana atas sebab-sebab yang lain. “Dan kita juga tak nafikan bahawa terdapat kelemahan dari pihak kerajaan, agensi-agensi pelaksana dan ini sedang diuruskan oleh kerajaan secara proaktif di mana kita telah menubuhkan Pasukan Khas atau Special Task Force (fast lane) bagi membantu para pelabur sebagai pemudahcara permohonan tanah atau kelulusan dengan agensi teknikal yang lain,” ujarnya.
29 Nov 23
200
Tambah Kawasan Industri, Kurangkan Kebergantungan Hasil Petroleum
Tambah Kawasan Industri, Kurangkan Kebergantungan Hasil Petroleum
KUALA TERENGGANU, 29 November- Kerajaan negeri disarankan menambah kawasan industri di Terengganu, agar pertumbuhan ekonomi semakin rancak dan kebergantungan pada hasil minyak dapat dikurangkan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata jika itu berlaku peluang pekerjaan bertambah dan pendapatan rakyat dipertingkatkan.  Katanya, sehingga kini Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebahagian besarnya masih lagi bergantung kepada industri minyak dan gas.  “Kebergantungan kepada hasil minyak adalah sesuatu perkara yang merisaukan kita dan mampu memberi kesan buruk dalam tempoh jangka masa panjang.Bayangkan jika hasil bayaran Royalti Petroleum ini tidak dibuat bayaran kelak dan kita mengalami keadaan ini dengan hampir RM1 bilion masih belum kita perolehi “Tidak pergi jauh, kali ini, kita terpaksa mengambil Caruman Kepada Kumpulan Wang Pembangunan dan ada bantuan-bantuan sebelum ini tidak akan dapat dinikmati oleh rakyat,”ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Justeru itu katanya, mempelbagaikan sumber kekayaan perlu diambil kira bagi menjamin kestabilan kedudukan kewangan negeri dengan memastikan bahawa pelaksanaan yang dibuat tidak membebankan rakyat dan adil kepada semua. Tambah beliau, daerah Dungun dan Kemaman adalah dua kawasan di dalam negeri ini yang berpotensi mempunyai isi sumber mineral emas selepas posisinya berada di Jalur Emas ke-4. “Oleh itu, Pembangunan industri mineral memerlukan suatu anjakan agar kita tidak hanya menumpukan kepada proses pengektrakan bahan mentah semata-mata. “Dasar dan polisi komprehensif berkaitan mineral negara perlu diperkemas dan disesuaikan dengan potensi ekonomi dan kelestarian alam sekitar semasa,”katanya lagi. Dalam masa sama, Ghazali berkata, integrasi pemegang taruh dan pakar-pakar berkaitan seperti agensi-agensi pusat dan negeri, industri, institusi pengajian tinggi dan penyelidikan, pertubuhan akademi perlu diperhebat serta dikongsi dengan umum. “Kerajaan negeri juga dicadangkan agar menubuhkan Akademi yang memainkan peranan dalam industri mineral, perlombongan dan galian sepertimana adanya Akademi Sains Malaysia (ASM),” ujar beliau.
29 Nov 23
191
LTdL Jana Pendapatan Lebih RM3.5 Juta di Terengganu
LTdL Jana Pendapatan Lebih RM3.5 Juta di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 November - Penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa Le Tour De Langkawi (LTDL) 2023 di Terengganu berjaya menjana pendapatan pelancongan secara efek berganda lebih RM3.5 juta yang menyumbang kepada ekonomi negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata acara sukan antarabangsa yang pada kebiasaannya mendapat liputan meluas daripada media asing serta tempatan, secara tidak langsung berjaya mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang menarik. "LTDL telah membuka peluang penjanaan dan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat, pengusaha pelancongan, pengusaha kedai makan, peniaga-peniaga menerusi jualan-jualan produk termasuk penginapan" ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Tepuh berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Air Putih, Mohd Hafiz Adam dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas(Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Tambahnya, kejohanan LTDL juga menjadi platform kerajaan negeri yang terkenal dengan jolokan 'Land of Cyclists’ menunjukkan keupayaan Terengganu dalam bidang tersebut. "Penyertaan pelumba bertaraf antarabangsa dalam kejohanan LTDL merupakan langkah terbaik bagi menonjolkan pencapaian atlet dalam sukan dan berkongsi kejayaan atlet dengan semua pihak,"katanya. LTDL 2023 yang berlangsung baru-baru ini melibatkan 11 negeri di Semenanjung Malaysia dengan jarak perlumbaan sejauh 1,280 kilometer.
29 Nov 23
407
Projek Lambaian Bayu Kejutan Baru Pelancongan Terengganu
Projek Lambaian Bayu Kejutan Baru Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 November – Projek Lambaian Bayu yang bermula dari Teluk Ketapang sehingga ke Pantai Pandak, Chendering bakal menjadi tumpuan sektor pelancongan Terengganu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, projek tersebut mempunyai jarak keseluruhan lebih kurang 16 kilometer. “Projek yang bernilai RM200 juta itu sedang diusahakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). "Ia membabitkan pembangunan enam zon secara berperingkat iaitu Zon Pesisir Payang, Zon Pesisir Takir, Zon Pemecah Ombak, Zon Primula Batu Burok, Zon Muara Ibai dan Zon Pantai Pandak," jelasnya. Beliau berkata demikian Ketika Sesi Perbahasan ke Atas Enakmen Pebekalan 2024 di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Tambah Zuraida, Kuala Terengganu adalah sebuah bandar yang mempunyai pemandangan yang cukup indah sesuai dengan imejnya sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air. Tambahnya lagi, projek ini merupakan satu inisiatif dalam memperkasa pengisian bandar bertemakan warisan pesisir air. Katanya, melalui pembangunan produk-produk pelancongan baharu selain memberi nilai tambah pada kawasan pelancongan sedia ada. Beliau berkata, ini menepati sasaran ke empat yang terkandung dalam ucapan belanjawan yang telah dibentangkan iaitu Industri Pelancongan yang perlu diperkasakan dengan kepelbagaian produk, ketersediaan kemudahan dan pemuliharaan pelbagai sumber. Oleh itu, Projek Lambaian Bayu ini diberi perlu diberi perhatian sebagai penggerak ekonomi melalui inisiatif pembangunan produk-produk pelancongan baharu. “Projek ini semestinya akan menjadi tumpuan pelancong sekali gus menyumbang peningkatan ekonomi rakyat menyediakan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan para usahawan. “Apa yang mustahak adalah aspek penjagaan ekosistem juga perlu dititikberatkan demi kelangsungan hidup generasi akan datang,” ujarnya.                    
29 Nov 23
3020
Terengganu Berpotensi Terima Pelancong Lebih Ramai
Terengganu Berpotensi Terima Pelancong Lebih Ramai
KUALA TERENGGANU, 28 November- Terengganu berpotensi menerima lebih ramai pelancong dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) melalui pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India bermula 1 Disember ini.  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Razali Idris berkata, pengumuman itu disambut baik dan Terengganu bersedia menerima peningkatan jumlah pelancong ke negeri ini pada bila-bila masa.  "Ia dilihat berupaya mengubah persepsi pelancong yang sebelum ini melihat Terengganu tidak sesuai dikunjungi pada musim tengkujuh.  "Disebabkan bulan Disember musim tengkujuh di Terengganu dan persepsi pengunjung tidak sesuai untuk mereka ke sini pada waktu ini. Namun sebenarnya, kedatangan pelancong ke Terengganu sangat diperlukan ketika ini.  "Jadi, kita minta kerajaan persekutuan untuk promosikan juga musim tengkujuh dan (MTL) di Terengganu untuk dikunjungi oleh pelancong, " katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Katanya, kebanyakan pengusaha resort di pulau-pulau memutuskan untuk tidak beroperasi musim ini atas faktor keselamatan.  Bagaimanapun, katanya, terdapat pelbagai lagi destinasi menarik yang boleh dikunjungi oleh pelancong di Terengganu.  "Musim tengkujuh ini di laut sahaja dan di darat kita ada homestay dan macam-macam lagi untuk ditawarkan kepada pelancong seperti di Tasik Kenyir dan Setiu Wetland.  "Setiu Wetland juga ketika ini sedang menawarkan pakej 'Main Hujang' atau mandi hujan sehingga Februari tahun depan khusus untuk pengisian semasa musim monsun ini.  "Kedua-dua destinasi ini adalah amat sesuai untuk dilawati orang luar pada musim tengkujuh. Tasik Kenyir misalnya ada houseboat dan ia sesuai untuk pencinta dunia memancing sebab ketika ini ikan-ikan di sana 'galak' dan saya pasti ianya amat mengujakan para pemancing," katanya.  Sebelum ini, Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2023 di Putrajaya mengumumkan pengecualian visa buat pelancong dari China dan India ke Malaysia. Sebelum ini, negara-negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait dan Oman serta lapan lagi negara ASEAN turut dibenarkan lawatan bagi tujuan sosial, melancong dan perniagaan sehingga 30 hari.
28 Nov 23
209
DUN Terengganu Lulus Usul Tuntut Kemerdekaan Palestin
DUN Terengganu Lulus Usul Tuntut Kemerdekaan Palestin
KUALA TERENGGANU, 28 November - Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu telah meluluskan usul menuntut penyelesaian Palestin sebagai negara yang bebas dan merdeka. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhhamad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, 'two state solution' bukan jalan terbaik kerana ia merupakan bumi umat Islam bukannya milik penjajah Zionis Israel. Beliau berpandangan bahawa isu berkenaan perlu disegerakan kerana ia melibatkan pencabulan hak asasi manusia yang melibatkan kepentingan ramai. "Oleh kerana itu dewan hendaklah membuat suatu ketetapan yang jelas bahawa isu palestin yang berlaku sekarang, rejim Zionis Israel adalah penjajah yang telah menghalau penduduk Palestin dalam peristiwa Nakbah 1948 dan telah membina penetapan (haram) di atas tanah milik umat islam. "Kita juga dengan ini mengiktiraf Hamas dan seluruh pejuang di Gaza sebagai perjuang kemerdekaan yang telah bertindak mengikut apa yang telah dinyatakan dalam Reslousi 242 Majlis keselamatan PBB yang menyebut bahawa wilayah yang dirampas melalui peperangan adalah tidak sah. "Sebagaimana negara barat tidak mengiktiraf apa yang berlaku di ukraine, sikap itulah sepatutnya dibuat kepada sebuah negara yang namanya Palestin," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membawa usul tergempar itu pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 (Bajet), di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, walaupun gencatan senjata telah dilaksanakan di dalam masa beberapa hari akibat tekanan berterusan di peringkat antarabanga namun penyelesaian sementara itu tidak berupaya untuk menghentikan keganasan Zionis Israel. "Saya menyeru keprihatinan seluruh ADUN untuk kita sama-sama mengecam kekejaman di bumi Gaza ini sejak permulaan Oktober 2023 rejim Zionis telah melakukan kekejaman yang tidak boleh diterima oleh fitrah kemanusiaan.  "Apabila dibom secara rambang orang-orang awam di kawasan perumahan awam, masjid, sekolah serta hospital.Bukan sahaja orang awam bahkan petugas-petugas kesihatan dan para wartawan yang sepatutnya dilindungi dalam situasi perang yang telah diserang dan dibunuh. "Telah mengakibatkan para syuhada terbunuh melebihi 14,000 orang manakala hampir setengah juta kehilangan tempat tinggal angkara kekejam dan kezaliman ini, sangat memilukan apabila 60 peratus mangsa pengeboman dan pembunuhan beramai-ramai ini adalah daripada kalangan wanita dan lebih 6,000 kanak-kanak mati terbunuh," ujarnya. Ujarnya lagi, tindakan tersebut merupakan 'genocide' terhadap rakyat Palestin yang merupakan kezaliman melampau. "Secara jelas telah melanggar undang-undang antarabangsa dan sepatutnya kepimpinan zionis Benjamin Netanyahu dihadapkan ke Mahkamah Antarabangsa," tegasnya.  
28 Nov 23
225
Adakan Munajat Agar PM Kembalikan Royalti Terengganu
Adakan Munajat Agar PM Kembalikan Royalti Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 November - Rakyat negeri ini diseru mengadakan munajat dengan melakukan solat hajat dan berdoa agar Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim dilembutkan hati sekali gus memulangkan kembali hak royalti petroleum. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat mencadangkan perkara berkenaan dilakukan oleh rakyat negeri ini dan turut bersetuju jika diadakan satu Himpunan Munajat Perdana bagi memastikan hasil petroleum itu dikembalikan. Di samping kerajaan negeri dipimpin Menteri Besar, Dato'  Seri Ahmar Samsuri Mokhtar terus berusaha melakukan rundingan secara diplomasi dengan kepimpinan Kerajaaan Persekutuan. "Saya percaya ini adalah cara yang terbaik kerana sebagai sebuah negara yang baik memiliki persefahaman antara kerajaan negeri dan pusat. "Rakyat telah membuat keputusan untuk memilih ADUN (daripada PN-PAS) yang ada di dalam dewan ini, sudah tentu sewajarnya hasil negeri ini diberikan untuk memastikan perbelanjaan yang terbaik untuk rakyat. "Tidak sepatutnya diambil untuk diurus tadbir melalui agensi pusat yang sebelum ini kecil tetapi sengaja dibesarkan (peranan) dan ini merupakan satu pengkhianatan amanah terhadap rakyat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Perbahasan Ke Atas Enakmen Perbekalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 (Bajet), di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Mengulas lebih lanjut mengenai majlis munajat bagi menuntut royalti, katanya doa merupakan senjata muslim yang dengannya boleh melembutkan hati manusia asalkan isi kandungannya adalah baik. "Jadi tidak mustahil kalau seluruh rakyat Terengganu setiap kali sembahyang berdoa supaya Allah SWT buka pintu hati pemimpin kita, buka pintu-pintu hati Ahli Parlimen. "Mungkin suatu masa kalau majoriti Ahli Parlimen kita meminta agar diberikan kebebasan mentadbir negeri dengan hasil bumi sendiri tidak mustali Perdana Menteri akur dan mengikut kehendak majoriti," katanya. Terdahulu, ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail mencadangkan agar suatu Majlis Munajat Perdana diadakan khusus bagi melembutkan hati pemimpin untuk mengembalikan semula hak royalti Terengganu dengan kadar hasil yang sepatutnya diterima mengikut harga pasaran semasa bahan mentah itu.
28 Nov 23
257
Terengganu Garis Usaha Atasi Masalah Penceraian
Terengganu Garis Usaha Atasi Masalah Penceraian
KUALA TERENGGANU, 28 November- Fokus ketiga Belanjawan Terengganu 2024 iaitu 'Mensejahterakan Kehidupan Rakyat' perlu dilihat secara serius dalam memastikan negeri itu mampu melahirkan generasi masa hadapan berkualiti. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, elemen yang diterapkan seharusnya berupaya memberi nilai tambah kepada institusi kekeluargaan terutama membabitkan kes-kes penceraian di kalangan pasangan Muslim. "Dukacita, realiti menunjukkan kadar penceraian di negara ini meningkat dengan begitu ketara. Daripada 43,936 kes pada tahun 2021 kepada 62,890 kes pada tahun lalu dengan mencatatkan peningkatan 43.1 peratus. "Ia merupakan kadar tertinggi direkodkan sejak 2016 di mana perceraian pasangan Muslim meningkat 45.8 peratus iaitu 46,138 kes (2022) berbanding 31,650 pada tahun 2021. "Di Terengganu  pula, direkodkan sebanyak 6,565 kes membabitkan pasangan Muslim pada tahun 2020 sehingga Oktober 2021," katanya ketika membahaskanBelanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Jelasnya, ia merupakan angka yang besar dan wajar diberi perhatian. "Justeru, saya memandang serius kepada semua strategi yang terangkum dalam sebagai fokus ketiga untuk melahirkan generasi hadapan yang lebih berkualiti dan menambahkan keselesaan taraf hidup," katanya. Melalui fokus ini, Belanjawan Terengganu 2024 menggariskan beberapa pelaksanaan tertumpu kepada tema 'Pemantapan Institusi Keluarga'. Antara pelaksanaan yang diutamakan adalah program-program pasca perkahwinan serta perkhidmatan psikososial dan kesihatan mental pasangan.  
28 Nov 23
173
Terengganu Bakal 'Kehilangan' Penyu Belimbing
Terengganu Bakal 'Kehilangan' Penyu Belimbing
KUALA TERENGGANU, 28 November - Terengganu sedang berdepan dengan ancaman kepupusan  penyu belimbing apabila spesies itu sudah lama tidak mendarat dan bertelur di Rantau Abang, Dungun. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata seorang pakar diperlukan untuk membuat kajian atau cadangan bagi pemulihan semula sumber penyu belimbing di Rantau Abang. Beliau berkata, banyak faktor yang mempengaruhi kepupusan penyu belimbing antaranya perubahan ekosistem laut serta pantai akibat pencemaran dan pembangunan. "Selain itu, projek penetasan yang dibuat dahulu dipercayai menghasilkan hanya penyu betina kerana suhu pasir yang panas akan menghasilkan anak betina saja sekaligus tiada jantan penyu belimbing mendarat selepas lewat tahun 90-an. "Jadi, lupakan penyu belimbing sebaliknya menumpukan kepada penjagaan dan pemuliharaan sumber penyu agar yang masih banyak di pantai-pantai seluruh Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli (PAS-Rantau Abang) berkaitan apa yang terjadi kepada populasi penyu belimbing yang semakin pupus di Rantau Abang pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini. Razali berkata,  pada tahun 60-an terdapat usaha untuk pembiakan spesis itu tetapi hanya sedikit anak penyu belimbing terhasil dan telurnya pula dimakan. "Malah, menurut pakar anak penyu mengambil masa lebih 30 tahun untuk matang namun hanya satu peratus yang berjaya hidup dan mencapai usia matang," katanya. Dalam masa sama, Razali berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM50,000 bagi membaikpulih kaunter hadapan di pusat penerangan Pemuliharaan Penyu (TTIC) Rantau Abang. Katanya, sebanyak RM300,000 juga diperuntukkan bagi menaiktaraf fasiliti untuk meningkatkan imej pelancongan serta penawaran perkhidmatan pelancongan yang lebih berkesan dan interaktif kepada pengunjung serta pelancong. "Promosi juga dibuat dengan mengetengahkan Rantau Abang, Pantai Batu Pelanduk dan Pantai Teluk Bidara dalam fun map pelancongan Terengganu bagi menonjolkan destinasi kepada pelancong atau dalam erti kata lain 'product visibility' ," katanya.  
28 Nov 23
813