Artikel "Semasa" Terkini
‘Marang River Cruise’ Produk Baharu Pelancongan Terengganu
Oleh : Aziz Hambali
MARANG, 25 Julai - Kerajaan Terengganu menerusi Pejabat Daerah Marang melancarkan produk pelancongan baharu di negeri itu selepas memperkenalkan pakej menelusuri Sungai Marang dari Dataran Batu Putih (DBP) terus ke Pulau Kapas.
Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, inisiatif tersebut pastinya akan merancakkan kembali industri pelancongan domestik sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
"Pakej ini tercetus rentetan hasil sumbangan sebuah bot laju daripada Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd yang menjadi pemangkin yang sangat besar untuk memajukan industri pelancongan berasaskan sungai dan laut ini.
"Produk ini kita akan hebahkan melalui media sosial dan kemungkinan dilancarkan bersempena dengan program Jejak Budaya Marang yang akan berlangsung pada bulan September nanti," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bot oleh Pengerusi Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd, Tengku Sri Temenggong Raja Dato' Seri Tengku Baharuddin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muttafi Billah Shah di sini baru-baru ini.
Tun Ahmad Faisal menerima sumbangan bot dari Tengku Sri Temenggong Raja.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman.
Mengulas lanjut mengenai sumbangan bot berkuasa tinggi itu, pihaknya berbesar hati dengan komitmen Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd apabila dimaklumkan akan potensi program menyusuri sungai dan 'floating market' di Marang.
"Penghargaan tidak terhingga kepada Terengganu Silica atas pemberian sebuah bot berkuasa 150 kuasa kuda yang membolehkan program menelusuri Sungai Marang dan terus pergi ke Pulau Kapas terlaksana.
"Uniknya pakej ini para pelancong akan memuduki Sungai Marang daripada DBP sampai di kuala Sungai Marang terus ke Pulau Kapas. Jadi ini adalah satu nilai tambah kepada pakej-pakej pelancongan yang Marang tawarkan.
"Pelancong boleh membuat tempahan dengan operator yang akan kita lantik nanti dan pakej itu merangkumi aktiviti menelusuri sungai, makan pagi di DBP sambil melihat produk-produk di sepanjang sungai Marang.
“Seterusnya ke Pulau Kapas menikmati jamuan tengah hari dan aktiviti di sana seperti snorkelling dan mandi manda sebelum pulang bergerak balik ke Marang sebelah petang itu, sebelum ini pakej-pakej begini diasingkan dengan pakej pulau dan sungai,” jelasnya.
26 Jul 20
4362
Terengganu Sasar Bina Mini ‘Slipway’ Di Setiap Daerah
Oleh : Hidayah Azlin
SETIU, 22 Julai – Kerajaan Terengganu mensasarkan untuk membina mini ‘slipway’ di setiap daerah bagi memudahkan pembaikian kerosakan kecil bot nelayan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkara itu merupakan satu keperluan yang sangat kritikal untuk nelayan menyelenggara bot tanpa melalui jarak yang jauh.
"Saya melihat keperluan ini perlu bagi setiap daerah supaya kerosakan-kerosakan kecil tidak mengambil masa yang lama. Contohnya kerosakan kipas, ia hanya memerlukan pembaikian dalam beberapa hari sahaja.
"Besut, Setiu, Dungun dan Kemaman akan menjadi fokus kita khususnya di daerah-daerah yang sebahagian besar terdiri daripada nelayan bot kelas A dan B yang memerlukan khidmat setempat," jelasnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas meninjau projek pembinaan rumah sejuk beku dan mini 'slipway' di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang, semalam.
Dr Azman (tengah) melihat keadaan semasa rumah sejuk beku.
Mengulas tentang mini 'slipway' di Jeti LKIM yang menelan kos kira-kira RM50,000 itu, beliau memaklumkan binaan telah siap hampir 90 peratus dan dianggarkan mampu menampung bot dalam lingkungan 30 tan.
"Hanya tinggal untuk pasang ‘wings’ untuk menarik bot, kebanyakkan daripada nelayan Marang sama ada nelayan sampan atau fiber, bot kelas A dan B kecil itu sahaja. Maka, dengan saiz ini kita kira sudah memadai.
"Insya-Allah selepas ini, sasaran kita ialah untuk membina sebuah kilang air batu di sini.
"Sebahagian lagi usaha untuk mempertingkatkan lagi pengeluaran sektor perikanan kita dalam masa yang sama kita tangani isu-isu yang timbul dari semasa ke semasa," jelasnya.
Tambahnya lagi, projek pembinaan rumah sejuk beku dan mini 'slipway' itu merupakan projek yang pertama dibiayai oleh kerajaan negeri di Malaysia.
Malah, satu-satunya ‘slipway’ yang berada di bawah kerajaan negeri dan ada di daerah Marang kerana di tempat lain dibina oleh pihak swasta.
"Alhamdulillah projek bilik sejuk yang telah dimulakan pembinaannya di sekitar bulan Oktober tahun lepas siap dibina. Ujian operasi telah dibuat dan ia beroperasi dengan baik.
"Ia akan dimanfaatkan oleh nelayan-nelayan Marang dalam kapasiti simpanan kira-kira 10 tan ikan atau hasil laut dalam satu-satu masa," katanya.
22 Jul 20
3987
Kerajaan Dukacita Mural Pemimpin Negara Diconteng
Oleh : Azkar Zahidi
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kerajaan menzahirkan rasa dukacita apabila mural yang memaparkan beberapa pemimpin utama negara termasuk Yang di-Pertuan Agong di Taman Cahaya Alam, Shah Alam diconteng baru-baru ini.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim menegaskan, contengan mengandungi kata-kata kesat itu amat tidak wajar dan biadap serta bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang bersopan santun.
“Kita haruslah jaga mentaliti kita seiring hasrat negara untuk menjadi sebuah negara maju, rakyat perlu mempunyai mentaliti kelas pertama. Walaupun berlainan parti politik, tidak seharusnya tindakan sebegitu dilakukan.
“Kita sepatutnya berbangga kerana negara kita antara negara yang terbaik dalam menangani wabak pandemik COVID-19, bukannya dengan menulis perkara-perkara tidak elok seperti ini," ujar Ahmad Amzad ketika dihubungi pemberita.
Menurut beliau, perkara tersebut bertambah serius apabila Sultan Selangor, Sultan Syarafuddin Idris Shah sendiri telah melahirkan rasa murka terhadap insiden terbabit.
Dalam masa yang sama, beliau mahu tindakan segera diambil bagi menghukum dua individu yang tidak bertanggungjawab itu.
"Saya berharap pesalah dikenakan tindakan yang sewajarnya dan orang ramai dapat mengambil iktibar daripada kejadian yang kurang bermoral seperti ini," tambah beliau.
21 Jul 20
381
Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Mampu Milik dan Bercampur Di Kawasan Dendong, Mukim Tembila dan Majlis Pelancaran Rumah Darul Iman (RAHMAN) ‘Rumah Patuh Syariah’
21 Jul 20
1253
Pemotong Rumput Hargai Pemberian Rumah PPTS
MARANG, 20 Julai - Sepasang suami isteri yang hanya bergantung rezeki hasil memotong rumput menyifatkan pemberian rumah Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) secara percuma untuk mereka sekeluarga adalah hadiah yang sangat berharga.
Pemilik rumah itu, Khairi Anuar Ali, 48, mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi dan berterima kasih kepada kerajaan negeri atas pemberian rumah itu.
Katanya, tidak mungkin dia mampu membina sendiri rumah kerana dia hanya mendapat pendapatan daripada kerja memotong rumput dan apa yang diperolehi juga tidak menentu serta tidak pernah mencecah RM1,000 sebulan.
“Dengan rumah yang diterima ini, pastinya dapat meringankan beban di mana sebelum ini kami terpaksa menyewa rumah kakak sejak rumah pusaka yang didiami selama ini terbakar pada pertengahan Ramadhan tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Program Serah Kunci Rumah PPTS di Kampung Gelugor, Kampung Gong Kiat, Kampung Pusu 3, Kampung Pak Madah dan Kampung Rawai di sini hari ini.
Sementara itu, menurut seorang lagi penerima, Eda Rohayu Mat Rawi, 36, berkata, setelah hampir 14 tahun dia memohon rumah itu akhirnya pada hari ini dia berjaya menetap di rumah baharu itu.
“Pemberian rumah yang diterima itu sangat membantu ekonomi kami sekeluarga yang hanya bergantung kepada pendapatan suami, Mohd Syazwan Mat Daud yang bekerja sebagai jurujual,” katanya.
Katanya lagi, pemberian rumah itu juga adalah sebagai ganti kepada rumah pusaka arwah ibu dan ayah yang terbakar pada pertengahan Ramadan 2006.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ariffin Deraman berkata, lebih 100 individu memohon rumah PPTS dan hanya empat rumah dapat dibina dalam tempoh setahun membabitkan peruntukan peruntukan RM200,000 di DUN terbabit.
Katanya, pihaknya mengutamakan mereka yang sangat memerlukan antaranya sebagai ganti rumah yang ditimpa bencana, termasuk kebakaran, banjir, ribut dan rumah yang dikategorikan sangat uzur.
“Apa yang pastinya, agihan rumah PPTS secara percuma itu sangat membantu ekonomi keluarga penerima, termasuk jimat duit untuk sewa rumah,” tambah beliau.
20 Jul 20
771
Maritim Malaysia Tahan Tujuh Bot Haram Vietnam
KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tujuh bot nelayan Vietnam sejak Khamis menerusi Op Kuda Laut yang dilaksanakan bermula akhir Jun lalu.
Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, Op yang bertujuan mengekang pencerobohan nelayan asing di perairan negara itu berjaya merampas hasil laut berupa ikan berkualiti, ikan baja dan ikan campur seberat lima tan.
"Turut dirampas peralatan menangkap ikan bernilai RM10.5 juta termasuk rampasan diesel 10,000 liter.
"Semua bot terbabit ditahan di tujuh lokasi berasingan oleh tiga Kapal Maritim (KM) iaitu Tegas, Mulia 2 dan Gemia yang menjalankan operasi selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu di lokasi antara 115 batu nautika hingga 134.5 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Suffi Mohd Ramli.
Menurut beliau lagi, tangkapan antara 8.45 malam hingga 3 pagi itu turut berjaya menangkap 86 awak-awak termasuk tekong berusia antara 16 hingga 68 tahun.
"Mereka ditahan kerana tiada lesen dan pengenalan diri serta tiada kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia.
"Semua tahanan dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk proses saringan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kes kemudian diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia," katanya.
Antara awak-awak yang berjaya diberkas.
Tambah Muhammad Suffi, sejak Op Kuda Laut dilancarkan pada 24 Jun lalu, pihaknya menahan 25 bot nelayan Vietnam di perairan Terangganu yang turut membabitkan penahanan 281 awak-awak dan tekong warga Vietnam.
"Kami akan terus melaksanakan rondaan di perbatasan sempadan negara bagi menghapuskan pencerobohan nelayan asing khasnya dari Vietnam yang tidak serik memasuki perairan negara dan mengaut hasil laut secara haram," tegasnya.
19 Jul 20
1869
TRDI News, Wajah Baru Penyampaian Maklumat Terengganu
Kerajaan Terengganu melalui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini, melancarkan TRDI News (Terengganu Darul Iman News) sebagai medium terbaharu penyampaian maklumat kerajaan negeri kepada masyarakat.
19 Jul 20
928
Aplikasi TRDI News
Kerajaan Terengganu melalui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini, melancarkan TRDI News (Terengganu Darul Iman News) sebagai medium terbaharu penyampaian maklumat berkenaan kerajaan negeri kepada masyarakat. #Tvdaruliman #Teganukita #Terengganumajuberkatsejahtera #awokkitabolehharap #PKPP
15 Jul 20
722
Tuan Ibrahim Mulakan Lawatan Kerja Di Terengganu
Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man tiba di Wisma Darul Iman, bagi memulakan lawatan kerja di Terengganu.
06 Jul 20
31
Abdul Hadi Tinjau Lembu Sado Milik Keluarga Eman Manan
Oleh : Aziz Hambali
MARANG, 27 Jun - Rutin turun bertemu rakyat bagi ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kali ini sedikit istimewa dengan melawat Ladang Lembu Sado yang terletak di Kampung Atas Tol, di sini.
Lebih menarik lagi, pemilik ladang tersebut adalah adik kepada pelakon otai terkenal tanah air iaitu Abdul Manan Embong atau lebih dikenali dengan nama gelaran Eman Manan.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Cikgu Haron Yusof berkata, lawatan Abdul Hadi buat julung kalinya itu kerana dilihat usaha tersebut mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan lebih-lebih lagi ia menepati hasrat kerajaan negeri ini dalam mewujudkan Hub Pengeluaran Lembu Sado Terengganu.
"Alhamdulillah hadirnya Ahli Parlimen ke ladang ternakan lembu sado ini antara lain bertujuan memberi sedikit suntikan modal bagi menaikkan lagi pengusahaan lembu sado di daerah ini.
"Pihak kami (Parlimen Marang) sangat mengalu-alukan penternak dan pengusaha lembu sado untuk sentiasa mengorak langkah maju setapak demi setapak selaras dengan dasar kerajaan," katanya kepada UPDI selepas mengiringi Abdul Hadi meninjau ladang lembu sado, di sini baru-baru ini.
Terdahulu, Abdul Hadi yang diiringi anaknya, Khalil Abdul Hadi tiba di ladang berkenaan dan disambut oleh Eman Manan sendiri dan juga ADUN Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah.
02 Jul 20
1439