Artikel "Semasa" Terkini
Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ketuai Delegasi Parlimen Malaysia Ke Jepun
KUALA TERENGGANU, 22 April – Delegasi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia bagi Alam Sekitar, Sains dan Perladangan telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jepun pada 14 hingga 18 April lepas.
Misi berkenaan bertujuan meninjau pelaksanaan dasar dan teknologi berimpak tinggi dalam bidang sains, inovasi, pengurusan alam sekitar, tenaga boleh baharu serta pertanian moden, di samping memperkukuh kerjasama strategik dua hala antara Malaysia dan Jepun.
Delegasi tersebut diketuai Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Alam Sekitar, Sains dan Perladangan.
Turut sama Yang Berhormat (YB) Rodiyah Sapiee (Batang Sadong), YB Larry Sng Wei Shien (Julau), YB Dato’ Azman Nasrudin (Padang Serai), dan YB Dato’ Ngeh Koo Ham (Beruas) yang kesemuanya merupakan anggota tetap jawatankuasa.
Menurut Ahmad Amzad, lawatan itu bukan sahaja memperluas jaringan kerjasama dua hala, malah memperkasa kedudukan Parlimen sebagai institusi semak dan imbang yang responsif terhadap cabaran global.
“Setinggi-tinggi penghargaan saya rakamkan kepada semua pihak yang telah menjayakan misi ini dengan penuh dedikasi.
"Terima kasih kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, institusi rakan di Jepun, serta seluruh ahli jawatankuasa yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang lawatan," ujarnya.
Katanya, segala dapatan diharap dapat dimanfaat sepenuhnya untuk menyumbang kepada dasar negara yang lebih mampan dan berasaskan teknologi masa hadapan.
Sepanjang lima hari lawatan, delegasi menghadiri pelbagai sesi taklimat, lawatan tapak dan perbincangan dasar bersama institusi terkemuka Jepun seperti Council for Science, Technology and Innovation (CSTI), Cabinet Office, Nippon Koei, National Research Institute for Earth Science and Disaster Resilience (NIED) serta National Agriculture and Food Research Organization (NARO).
Antara perkara yang diberi penekanan termasuk inovasi pengurusan bencana, teknologi pertanian pintar, aplikasi kecerdasan buatan (AI), sistem pengangkutan bandar bersepadu serta kaedah mitigasi hakisan melalui teknologi Biological Soil Crust (BSC).
Delegasi turut diberi taklimat berkenaan pelaksanaan konsep Society 5.0 dan teknologi Mobility as a Service (MaaS) yang kini diterajui secara aktif di Sarawak.
Lawatan ini juga membuka ruang interaksi strategik bersama institusi penyelidikan dan agensi pelaksana Jepun, sekaligus mengukuhkan keupayaan Parlimen Malaysia dalam memainkan peranan menyelaras dasar berteraskan sains, inovasi dan kelestarian.
21 Apr 25
234
Kelapa : Pekebun Kejar Untung, Santan Negara Terancam
KUALA TERENGGANU, 20 April – Harga kelapa muda yang melonjak tinggi mendorong pekebun memilih jalan pintas untuk meraih keuntungan segera, namun tindakan ini menjejaskan bekalan kelapa tua negara dan mengancam industri santan tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, permintaan terhadap kelapa muda kini begitu tinggi sehingga menyebabkan pengeluaran kelapa tua merosot dengan ketara di pasaran.
"Sebiji kelapa muda boleh dijual sehingga RM4.50, manakala kelapa tua pula sekadar RM2.50 dan semakin murah jika disimpan,” katanya semasa sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih di Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Kelima Belas di Wisma Darul Iman, baru-bari ini.
Menurut beliau, ketidakseimbangan harga ini telah mendorong pekebun lebih berminat menjual kelapa muda kerana pulangannya jauh lebih lumayan berbanding kelapa tua yang digunakan dalam pemprosesan santan.
"Inilah sebabnya kelapa muda jadi pilihan utama pekebun.
"Mereka kejar untung cepat, tapi kita sedang hadapi kekurangan bahan asas untuk makanan rakyat,” keluhnya.
Jelasnya lagi, keadaan ini diburukkan dengan fenomena perubahan iklim yang menyebabkan ‘kepupusan mayang’, iaitu kegagalan pokok kelapa berbunga antara Jun hingga September tahun lalu.
"Tiada mayang maka tiadalah buah.
"Fenomena ini telah menjejaskan hasil kelapa tua secara drastik,” kata beliau.
ADUN Jabi itu turut mengakui bahawa walaupun Tahap Sara Diri (SSR) bagi kelapa menunjukkan peningkatan dari 53 peratus pada 2019 kepada 74 peratus pada tahun 2023, ia belum cukup untuk menampung permintaan sekiranya trend ini berterusan.
"Cadangan pembukaan ladang kelapa oleh ADUN Kuala Besut adalah satu langkah tepat dan perlu dilaksanakan segera," ujarnya.
20 Apr 25
188
Sawah Tidak Lagi Dikenang Sebagai Punca Rezeki
KUALA TERENGGANU, 20 April – Ladang-ladang padi di Kuala Berang dan Hulu Terengganu yang suatu ketika dahulu menjadi nadi kehidupan masyarakat luar bandar kini semakin sepi dan terbiar, bukan kerana kekurangan infrastruktur, tetapi akibat tiada kesinambungan generasi pelapis untuk mengusahakannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim menjelaskan bahawa isu sebenar bukan berpunca daripada kegagalan kemudahan asas, sebaliknya hilangnya minat dalam kalangan anak muda untuk menyambung usaha generasi terdahulu.
"Saya ingin menjelaskan sedikit mengenai isu sawah padi yang terbiar di sekitar daerah Kuala Berang dan Hulu Terengganu, keadaannya bukan disebabkan ketiadaan infrastruktur kerana kemudahan itu sebenarnya sudah tersedia.
"Masalah sebenar timbul apabila generasi baharu tidak lagi berminat meneruskan usaha mengusahakan sawah pusaka selepas pemergian ibu bapa mereka.
"Anak-anak hari ini tidak lagi melihat sawah sebagai sumber rezeki, sebaliknya mewarisi tanah tanpa mewarisi semangat dan tanggungjawab untuk mengusahakannya," katanya ketika menjawab persoalan ADUN Telemong dalam sidang DUN di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Tambah beliau, meskipun terdapat cadangan untuk membuka peluang pelaburan, kekangan struktur geografi menjadikan usaha itu sukar direalisasikan secara komersial.
"Kita nak buka kepada pelabur pun, kawasannya sedikit dan terpisah-pisah dan bukan sesuai dijadikan satu sektor komersial.
"Jadi itu di antara situasi sebenar," ujarnya.
20 Apr 25
82
Pesta Moreh, Pelita Raya Perlu Kekal dalam Landasan Syariat
KUALA TERENGGANU, 20 April — Dalam mengejar arus pembangunan yang pesat, aspek pemerkasaan syariat Islam tidak boleh diketepikan, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor.
Beliau merujuk kepada isu pesta moreh dan pelita raya yang tular baru-baru ini dan mendapat perhatian masyarakat.
Menurutnya, fenomena itu menjadi semakin ketara apabila ramai rakyat mengambil peluang berniaga pelbagai juadah popular sepanjang Ramadan lalu, menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar Terengganu.
“Tidak dinafikan aktiviti ini membantu ekonomi rakyat, namun ia perlu dipastikan kekal dalam landasan syariat,” kata Zuraida dalam sidang DUN semalam.
Beliau memuji langkah proaktif Kerajaan Negeri Terengganu yang memperketat peraturan, khususnya melibatkan larangan aktiviti hiburan dalam bulan Ramadan, sebagai usaha menjaga adab dan kesucian bulan tersebut.
“Sebarang bentuk persembahan seperti nyanyian, tarian, penggunaan sistem audio kuat serta muzik kontemporari yang mencetuskan suasana lalai adalah tidak dibenarkan. Kita perlu menjaga adab, bukan menyekat kegembiraan,” ujarnya.
Jelas beliau, larangan ini adalah sebahagian daripada gagasan 'Indahnya Hidup Bersyariat' yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri, menekankan keseimbangan antara budaya dan ibadah dalam masyarakat.
Zuraida turut menyeru agar semua penganjur pesta moreh dan pelita raya mematuhi garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa agama, termasuk menjaga adab pergaulan, mengelakkan percampuran bebas lelaki dan wanita serta memberi ruang kepada pengisian rohani seperti tazkirah dan doa.
“Tahniah kepada semua pihak yang berusaha mengawal keadaan ini. Ia mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam membentuk masyarakat yang berbudaya tinggi dan berlandaskan syariat,” katanya.
20 Apr 25
82
Jangan Manipulasi Sistem Federalisme Demi Kepentingan Politik Sempit
KUALA TERENGGANU, 20 April - Terengganu memberi peringatan kepada mana-mana pihak agar tidak memanipulasikan sistem federalisme demi kepentingan politik sempit yang akan menghakis keyakinan rakyat terhadap struktur negara.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sistem federalisme yang menjadi asas hubungan antara negeri dan Persekutuan harus dikembalikan ke atas neraca keadilan sebenar.
Tegasnya, saranan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tentang penubuhan suruhanjaya ke arah reformasi federalisme amat wajar.
"Negara ini dibina atas asas perkongsian kuasa, bukan pemusatan kuasa mutlak.
"Maka adalah menjadi kewajipan untuk memastikan tiada satu pihak pun ditindas atau dinafikan hak (royalti petroleum) hanya kerana perbezaan pentadbiran atau prinsip perjuangan," ujarnya melalui satu kenyataan semalam.
Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata umat Islam tidak pernah diajar untuk tunduk kepada kezaliman dan penindasan.
"Kita diajar untuk menegakkan kebenaran dan memperjuangkan hak dengan hujah yang jelas, fakta yang kukuh dan tawakal yang penuh kepada Allah," ujarnya.
20 Apr 25
84
Hulu Terengganu Terima RM16.1 Juta Menuju Gedung Makanan Kedua
KUALA TERENGGANU, 20 April – Komitmen kerajaan negeri terhadap kemajuan sektor makanan negeri semakin terbukti apabila Hulu Terengganu menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM16.1 juta sejak 2018, sekaligus meletakkan daerah itu dalam radar sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu (GPMT) kedua selepas Setiu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan Hulu Terengganu dalam dasar dan pelaksanaan pembangunan sektor pertanian.
"Pelbagai isu pertanian di Hulu Terengganu dibangkitkan oleh ADUN Telemong.
"Peruntukan yang kita salurkan kepada Hulu Terengganu sentiasa meningkat daripada setahun ke setahun, dalam pelbagai sektor, sama ada sektor pertanian, penternakan, perikanan dan pengairan dan saliran Daerah Hulu Terengganu, dan yang paling besar dapat manfaat ialah sektor akuakultur," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail, dalam sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas yang berlangsung di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan secara terperinci bahawa pada tahun 2018 sebanyak RM433 ribu telah disalurkan, diikuti RM530 ribu pada 2019, RM1.04 juta pada 2020, RM2.14 juta pada 2021, RM1.3 juta pada 2022, RM2.18 juta pada 2023, dan RM5.4 juta pada tahun 2024.
"Jika campur jumlah keseluruhan termasuk dengan bantuan akuakultur dalam tempoh 2018 sehingga 2024, kita telah salurkan jumlah keseluruhan RM16.1 juta kepada daerah Hulu Terengganu," jelasnya.
Beliau tidak menolak kemungkinan Hulu Terengganu akan diangkat sebagai daerah Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu yang kedua selepas Setiu, berdasarkan keupayaan serta pelaburan berterusan yang diterima.
"Saya tak menolak kemungkinan untuk Daerah Hulu Terengganu bakal diwartakan sebagai GPMT yang kedua selepas Daerah Setiu," kata beliau.
Beliau turut menyeru penduduk daerah itu agar bersedia menyahut cabaran dan bekerjasama dengan kerajaan dalam menjayakan misi keterjaminan makanan negeri.
"Jadi orang Hulu Terengganu perlu bersedia untuk bekerja kuat bagi sama-sama kita berkolaborasi memajukan sektor keterjaminan makanan negeri kita," ujarnya.
20 Apr 25
2227
Tambah Baik Pasar Bukit Besar Perlu Disegerakan Demi Peniaga- Zuraida
KUALA TERENGGANU, 20 April — Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan segera untuk melakukan kerja-kerja baik pulih dan memperketatkan pemantauan di kawasan pasar Bukit Besar yang semakin suram ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata terdapat 73 peniaga berdaftar di pasar berkenaan, namun daripada 97 premis yang disediakan, sebanyak 24 premis masih belum beroperasi.
“Pasar Bukit Besar pernah dikenali sebagai ‘Pasor Garib’ yang cukup terkenal dan menjadi pilihan utama masyarakat.
"Saya yakin, dengan sedikit usaha penambahbaikan, pasar ini boleh dikembalikan kepada kegemilangannya dengan keadaan lebih menarik, selesa dan selamat untuk semua,” katanya di persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini.
Beliau berkata suasana pasar tersebut kelihatan semakin lesu dan kurang dikunjungi pengunjung walaupun ia merupakan nadi ekonomi penting bagi masyarakat setempat.
Zuraida turut menyenaraikan dua isu utama yang perlu diberi perhatian segera oleh pihak berkuasa tempatan iaitu isu penyelenggaraan dan isu persaingan yang tidak seimbang.
Tegasnya, pemulihan Pasar Bukit Besar bukan sekadar soal fizikal, tetapi turut melibatkan soal maruah dan semangat ekonomi rakyat setempat, khususnya peniaga kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi tempatan.
20 Apr 25
1050
Kerajaan Negeri Perlu Rangka Pendekatan Holistik Tangani Jenayah Siber
KUALA TERENGGANU, 19 April — Kerajaan negeri digesa mengambil pendekatan lebih menyeluruh bagi menangani kes jenayah siber yang semakin meningkat di Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor, berkata satu pelan tindakan holistik dirangka segera oleh kerajaan negeri bagi membanteras jenayah siber dan memperkukuh literasi digital dalam kalangan rakyat Terengganu.
“Saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini kepada satu isu yang semakin meruncing, iaitu peningkatan kes jenayah siber di negeri kita,
"Menurut statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, sebanyak 1,330 kes jenayah siber direkodkan sepanjang tahun 2024, dengan kerugian melebihi RM42 juta serta peningkatan 93 kes berbanding tahun sebelumnya.
“Jumlah ini sangat membimbangkan kerana ia melibatkan rakyat daripada pelbagai latar belakang dan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan mereka,” ujar beliau ketika membahaskan isu keselamatan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.
Tambahnya, antara bentuk penipuan yang paling kerap berlaku ialah pembelian dalam talian palsu, skim pelaburan tidak sah, penyamaran sebagai pegawai kerajaan serta pencurian data peribadi.
Dalam masa sama, beliau menyambut baik inisiatif kerajaan persekutuan seperti kempen kesedaran siber, talian aduan 997 oleh CyberSecurity Malaysia dan portal SemakMule oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun menekankan perlunya tindakan tambahan di peringkat negeri.
“Saya menggesa Kerajaan Negeri Terengganu agar memperluaskan program kesedaran keselamatan siber ke segenap lapisan masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar serta dalam kalangan warga emas dan pelajar,” katanya.
Zuraida turut mencadangkan agar Pusat Khidmat Masyarakat, masjid, surau serta pihak berkuasa tempatan digerakkan sebagai pusat penyebaran maklumat dan pendidikan digital.
Selain itu, beliau berkata penyediaan geran kecil dan sokongan logistik kepada NGO dan komuniti yang aktif sangat perlu bagi mendidik masyarakat tentang keselamatan siber.
“Kita tidak boleh membiarkan rakyat terus menjadi mangsa jenayah moden ini.
"Teknologi bukan sahaja membawa kemudahan, tetapi juga cabaran baharu yang perlu dihadapi dengan pendekatan baharu,” tegas Zuraida.
20 Apr 25
91
Zuraida Sambut Baik Langkah Tegas Terengganu Haramkan Vape
KUALA TERENGGANU, 19 April — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas tindakan tegas dan berpandangan jauh mengharamkan penjualan serta penggunaan rokok elektronik (vape) di negeri ini.
“Dengan penuh rasa penghargaan dan kesyukuran, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Negeri atas langkah berani ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, isu vape ini pernah dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri sebelum ini dan kini menjadi kenyataan hasil komitmen bersama semua pihak demi menjaga kesejahteraan rakyat.
“Keputusan ini amat dialu-alukan, khususnya dalam usaha menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat, terutamanya golongan muda yang semakin terdedah kepada bahaya vape,” ujar Zuraida.
Beliau turut menyatakan bahawa langkah ini selari dengan maqasid syariah yang mengutamakan penjagaan nyawa dan kesihatan serta mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap gejala sosial yang semakin membimbangkan.
“Saya percaya, dengan kerjasama semua pihak, langkah ini akan memberi kesan positif kepada masa depan anak-anak Terengganu,” tambah beliau lagi.
19 Apr 25
3796
'Tiada Pemimpin Kekal Kuasa Selama-Lamanya' - Dr. Sam
KUALA TERENGGANU, 19 April – Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyampaikan peringatan penuh makna bahawa kuasa politik adalah sesuatu yang bersifat sementara, manakala sistem pentadbiran adalah warisan yang wajib dijaga daripada dicemari kepentingan peribadi.
Menurut beliau, sejarah membuktikan bahawa tiada seorang pun pemimpin mampu terus menongkat langit dan kekal berkuasa selama-lamanya.
"Ada ketika kita berkuasa dan ada ketika kuasa hilang dari tangan kita," katanya dalam sesi penggulungan DUN, di Wisma Darul Iman, kelmarin.
Beliau menegaskan bahawa struktur kerajaan tidak boleh sekali-kali dipaksa untuk tunduk kepada kehendak politikus yang ingin mengekalkan kekuasaan mereka.
"Sistem ini tidak boleh dipaksa-rela digunakan oleh political masters untuk tujuan politik kepartian," ujar beliau.
Samsuri turut menempelak cubaan segelintir pihak yang menyerangnya dengan memutarbelit isu dan fakta, seolah-olah beliau baru memegang kuasa dan tidak memahami selok-belok pentadbiran.
"Saya mula menggalas jawatan ini sejak 2018 lagi.
"Tapi isu ini hanya timbul enam bulan kebelakangan ini sahaja," ujarnya.
Mengulas lebih lanjut, beliau menyatakan dirinya tidak naif dalam isu pentadbiran dan tahu dengan jelas apa itu Travel Control Order (TCO) dan kesan status sebagai VIP.
"Saya agak segan menyebut terma VIP, tapi saya gagahkan juga, supaya masing-masing tahu pandangan saya tidak sama dengan pandangan mainstream," katanya.
19 Apr 25
221