lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

SRIDI Kota Putera Berwajah Baharu
SRIDI Kota Putera Berwajah Baharu
  BESUT, 6 Ogos - Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Kota Putera bakal berwajah baharu mulai tahun hadapan susulan akan berpindah ke tapak bekas Sekolah IMTIAZ BESUT. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, bemula pada bulan ini proses untuk membaik pulih bangunan itu akan dijalankan dengan teratur selepas penubuhan Jawatankuasa  bagi kelancaran gerak kerja. "Pada 15 Ogos nanti juga akan diadakan gotong-royong secara beramai-ramai di tapak ini, diharapkan kepada sesiapa yang berkelapangan bolehlah terlibat sama. Hasrat ini juga adalah untuk membantu kerajaan untuk mencurah tenaga dan mengurangkan kos baik pulih bangunan yang lama ditinggalkan ini," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Katanya lagi, Bangunan ini dahulunya diduduki oleh IMTIAZ Besut dan Madrasah Moden tetapi telah lama dikosongkan kerana berpindah ke bangunan sekolah yang baharu. "Tempat yang ada sekarang ini adalah tanah wakaf sejak zaman-berzaman daripada Dato Bentara Luar, insya-Allah akan dihidupkan kembali hasil wakaf ini. Amatlah sayang bangunan sebaik ini tidak dimanfaatkan untuk kegunaan pelajar, katanya ketika ditemubual selepas lawatan kerja ke tapak baharu SRIDI Kota Putera. Sementara itu, Guru Besar SRIDI Kota Putera, Ustaz Zulhassan Abdullah turut merakamkan jutaan terima kasih hasil usaha dan kecaknaan ADUN Kota Putera dalam bidang pendidikan di Daerah Besut ini. "Saya percaya dengan wujudnya tempat pembelajaran yang lebih kondusif ini akan memberi impak yang positif kepada bidang pendidikan di sekolah ini. Semoga Allah mengembalikan semula keizzahan anak anak dlm mencari mutiara ilmu Allah d tanah waqaf ini," tambah beliau.  
06 Aug 20
1697
Ibu Bapa Mainkan Peranan Penting Untuk Kemenjadian Pelajar
Ibu Bapa Mainkan Peranan Penting Untuk Kemenjadian Pelajar
  HULU TERENGGANU, 5 Ogos - Ibu bapa diharap dapat memainkan peranan dalam terus membantu pihak sekolah melahirkan generasi yang berilmu, berdaya saing dan mampu menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan seharian. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah Pendidikan Dan Pengajian Tinggi, Ustaz Maliaman Kassim berkata, beliau yakin menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa akan membantu kemenjadian murid dalam pelbagai bidang terutama dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah. “Ibu bapa merupakan tulang belakang di samping guru untuk memastikan kemenjadian murid dalam pelbagai bidang yang mereka hadapi iaitu akademik, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan. Kerjasama ibu bapa juga sangat penting dalam memastikan kejayaan pendidikan di negeri ini. "PIBG hendaklah sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah bagi memastikan kelancaran pendidikan di sekolah berlangsung dengan baik. “Saya juga mahu murid memiliki nilai-nilai yang murni seperti hormat menghormati, kasih sayang dan berhati mulia, murid yang dididik secara holistik dalam pengurusan sekolah yang cekap berupaya mencapai potensi diri yang sepenuhnya dalam penguasaan pengetahuan dan kemahiran, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggunggjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri,” katanya. Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas lawatan kerja ke sekolah-sekolah dalam DUN Ajil, di Sekolah Kebangsaan Felda Jerangau Barat, hari ini.  Tambah beliau lagi, kemenjadian murid itu adalah 'outcome' atau rupa bentuk insan yang mahu dihasilkan daripada usaha dalam mendidik sama ada ia benar-benar terjadi dengan sempurna, kurang sempurna atau tidak menjadi langsung. Katanya, rupa bentuk insan yang diperlukan itu telah digaris secara sempurna dalam Falsafah Pendidikan  "Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. "Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara," ujarnya.  
05 Aug 20
2113
Dr Azman Korban Lembu Sado 3.2 Tan Untuk Penduduk Jabi
Dr Azman Korban Lembu Sado 3.2 Tan Untuk Penduduk Jabi
  SETIU, 4 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim menampilkan kelainan pada ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini dengan menyembelih lapan ekor lembu jenis Charolais, Belgian Blue dan Limousine semalam. Apa yang menarik, haiwan korban atau digelar lembu sado itu mempunyai saiz yang besar dengan berat keseluruhan kira-kira 3.2 tan. Dr Azman berkata, ia merupakan program korban yang julung-julung kalinya diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan dengan melibatkan skala besar. "Di hari Tasyriq yang terakhir, program Korban Perdana DUN Jabi disempurnakan dengan penyembelihan lapan ekor lembu sado baka bernilai kira-kira RM100,000. "Ia mencukupi untuk dipastikan daging korban ini sampai ke setiap 6,000 buah rumah dalam DUN Jabi, kuantiti daging yang mampu kita agihkan ke setiap rumah tidaklah banyak. Tapi bolehlah sama-sama merasa keenakkan daging lembu sado," katanya. Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita di Program Korban Perdana peringkat DUN Jabi di Dataran Pekan Jabi, di sini. Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para petugas yang bertungkus-lumus bermula daripada awal persiapan, proses penyembelihan serta pengagihan ke setiap rumah penduduk. "Kunci kejayaan program yang paling utama ialah semangat kerjasama para petugas dari Pusat Khidmat ADUN Jabi, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jabatan Amal, Jabatan Keselamatan, Pemuda, Muslimat, Ameerah dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu," tambah beliau.
04 Aug 20
1271
THP-YT Kini Rasmi Milik Anak Syarikat TDM Berhad
THP-YT Kini Rasmi Milik Anak Syarikat TDM Berhad
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – THP-YT Plantation Sdn Bhd dari TH Plantation Berhad ('THP') kini telah menjadi salah satu anak syarikat di bawah TDM Berhad pada 1 Ogos 2020 secara rasmi. Pengerusi TDM Berhad, YM Raja Dato’ Haji Idris Raja Kamarudin berkata dibawah Pelan Pembangunan Perniagaan kami ("BDP"), Kumpulan sentiasa mencari aset yang telah dibangunkan dan mempunyai potensi untuk mencapai pendapatan akretif dalam kedua-dua sektor perladangan dan juga kesihatan. “Pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada strategi keseluruhan Kumpulan untuk meningkatkan profil umur purata dan mengurangkan turun naik dalam hasil pendapatan.  “TDM meletakkan kedudukan secara strategik untuk terus berdaya saing dalam keadaan pasaran yang sangat mencabar,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam. Tambah beliau lagi, TDM Berhad juga telah mengambil alih pengurusan dan tadbir urus operasi ladang Bukit Bidong seluas 2,594.50 ha yang  terletak berhampiran dengan kilang minyak sawit TDM Sungai Tong. “Pengambilalihan ini akan meningkatkan jumlah kawasan tanaman TDM di Terengganu dari 31,346 hektar kepada 33,653 hektar. Di samping itu, profil usia antara dua hingga sembilan tahun akan meningkatkan profil umur purata tanaman keseluruhan TDM secara positif.  “Ini turut merupakan sebahagian daripada rancangan untuk perluasan perladangan dan meningkatkan keluasan tanaman di Terengganu.Oleh itu, pengambilalihan ini dijangka berupaya mengoptimumkan kapasiti dan kecekapan pemprosesan BTS, dan selanjutnya menurunkan kos pemprosesan di kilang minyak sawit TDM. "TDM yakin bahawa nilai strategik yang bakal diperolehi daripada pemerolehan ini akan di diiterjemahkan ke dalam kecekapan operasi untuk meningkatkan keuntungan dalam jangka masa panjang," kata YM Raja Dato 'Haji Idris. Untuk rekod, anak syarikat milik penuh TDM Berhad iaitu TDM Plantation Sdn Bhd telah ditauliahkan oleh Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) pada 2013 sebagai syarikat perladangan pertama di Terengganu yang melangkaui amalan piawaian dan diberikan 100 peratus pensijilan RSPO. 
04 Aug 20
1981
Kerajaan Negeri Ambil Tindakan 776 Pemilik Tanah Perindustrian Tidak Diusahakan
Kerajaan Negeri Ambil Tindakan 776 Pemilik Tanah Perindustrian Tidak Diusahakan
Kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap 776 pemilik tanah perindustrian di seluruh Terengganu yang telah dikenal pasti tidak mengusahakan tanah tersebut.
03 Aug 20
99
Gara-Gara Lelaki Berbasikal, Mok Nah Dah Popular
Gara-Gara Lelaki Berbasikal, Mok Nah Dah Popular
  Oleh : Adli Mohamad HULU TERENGGANU, 3 Ogos- Fatimah Jusoh, 71,  atau lebih mesra dikenali sebagai 'Mok Nah' dari Kampung Matang tidak menyangka dirinya tular di media sosial, gara-gara  lelaki berbasikal dari Kuala Lumpur yang singgah di kediamannya. Mok Nah berkata, layanan baik terhadap tetamu merupakan kebiasaan pada dirinya termasuklah kepada lelaki datang dari Kuala Lumpur tersebut.  "Tidak perlu nak dihebohkan, kalau boleh biarlah tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu. Lagi pula Mok Nah lihat lelaki itu tercegat di hadapan kedai dalam kepenatan. Masa nak bayar tu Mok Nah bergurau dengan dia, Mok Nah kata raya-raya ni mana ada kedai, tak bagitau hal sebenar bahawa kediaman itu juga merupakan kedai sebenarnya. "Mok Nah terkejut apabila dimaklumkan oleh anak dan cucu bahawa seluruh Malaysia dah tahu mengenai perkara ini. Kebetulan ketika lelaki itu datang, dia dijamu dengan Nasi Dagang. Kalau hari biasa memang Mok Nah berjualan Nasi Minyak, Nasi Kerabu, Nasi Dagang, dan Nasi Lemak," ujarnya.  Beliau berkata demikian ketika ditemui Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman, di Kampung Matang, hari ini.  Katanya, kerana peristiwa yang ditularkan Mohd Karbi Mominin, 51, dari Kuala Lumpur itu yang berbasikal seorang diri ke Kuala Berang, dia menerima panggilan tidak henti-henti sejak hari itu.  "Semalam sahaja lebih dari 13 panggilan yang diterima, dan ada juga dari wartawan-wartawan, tapi Mok Nah tidak selesa menjadi hebahan,"jelasnya. Mengulas mengenai lelaki berkenaan, katanya pada hari tersebut, lelaki berkenaan kelihatan agak penat.  "Berhenti di depan rumah, dia kata payah nak temui kedai makan, jadi jemputlah dia makan, suka sangat dia makan Nasi Dagang dari Terengganu, tambah pula saya bercakap didalam 'loghat' Terengganu lagi dia suka, ketika hendak balik saya hendak bagi dia makanan sebagai bekalan takut lapar tengah jalan. "Dia kata sukar hendak bawa bekal makanan kerana dia hanya berbasikal. Sebelum balik sempat dia ambil gambar saya, saya kata pada dia buat apa hendak ambil gambar orang tua ni, tak sangka untuk dihebahkan di media sosial menceritakan pengalamannya," ujarnya. Terdahulu, Mohd Karbi telah memuatnaik status di facebook miliknya tentang kejadian tersebut  selepas singgah di rumah yang disangkakan kedai  selepas melakukan kayuhan 70 km, dari Tasik Kenyir setelah kepenatan dan ingin mendapatkan makanan.  
03 Aug 20
23770
Wakil Rakyat Perlu Menjadi Pendengar Yang Baik
Wakil Rakyat Perlu Menjadi Pendengar Yang Baik
Setiap wakil rakyat sewajarnya menjadi pendengar yang baik, selain perlu bijak meneroka ilmu pentadbiran dan ilmu komunikasi dalam menyelesaikan masalah rakyat.
03 Aug 20
127
Korban Perdana Serlahkan Semangat Veteran dan Belia
Korban Perdana Serlahkan Semangat Veteran dan Belia
  Oleh: Ahmad Mawardi HULU TERENGGANU, 2 Ogos -Majlis Korban Perdana peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir berjaya menyerlahkan semangat perpaduan antara golongan veteran dan belia dalam menjayakan di sini, semalam. ADUN Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata, berharap budaya itu akan diteruskan pada masa akan datang dan semua peserta yang terlibat dapat menghayati ibadah korban sebaik-baiknya. “Penglibatan peserta dan petugas menunjukkan bahawa majlis ibadah korban adalah komitmen untuk semua dan ia bukan tugas orang vateran sahaja sebaliknya semua perlu terlibat. “Saya memuji semangat petugas kerana sejak awal pagi sudah mula hadir untuk menjayakan majlis ibadah korban ini. "Malah, saya juga ingin memastikan lebih ramai anak muda dapat belajar dan terlibat untuk ambil alih melakukan ibadah korban pada masa akan datang,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ibadah Korban Perdana 1441H di dataran belakang Kompleks Tarbiah Al-Kawthar Kubang Lembek Manir. Terdahulu, sebanyak 30 ekor lembu dikorbankan pada hari raya pertama dan kedua, manakala tiga ekor lembu sado mendapat perhatian dalam majlis tersebut. Menurut Hilmi, daging-daging korban tersebut diagihkan kepada asnaf terpilih di 22 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Manir masing-masing untuk dinikmati dan dirasa bersama.
02 Aug 20
368
Ibadah Korban Sucikan Jiwa, Erat Silaturahim
Ibadah Korban Sucikan Jiwa, Erat Silaturahim
HULU TERENGGANU, 1 Ogos- Kesediaan kerajaan memperhalusi pelaksanaan ibadah korban wajar dipuji walaupun dalam senario pandemik dan  wajib dipatuhi atas kriteria kepentingan umum yang dibenarkan syarak. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, walaupun dengan ‘kekangan’ prosedur operasi standard (SOP), namun ibadah korban dapat dilaksanakan dengan sempurna demi menghidupkan syiar Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S. "Jika kita benar-benar memahami sejarah berlakunya ibadah korban serta menghayati kisah Habil dan Qabil, maka ia akan mendidik jiwa sosial yang tinggi atau dalam erti kata lain, peka terhadap sosio-ekonomi dalam masyarakat. "Ini kerana ibadah korban memberi impak tinggi terhadap sosial masyarakat dengan mengeratkan hubungan silaturahim antara adik-beradik, jiran tetangga, sahabat handai dan ramai lagi. "Ibadah korban merupakan rahmat Allah SWT kepada manusia tanpa mengira pangkat, darjat, usia dan bangsa,"ujarnya. Menurut Maliaman, korban juga mendidik manusia memberi sesuatu yang terbaik dan bernilai kepada orang yang dikasihinya. "Ibadah korban juga dapat melatih dan mendidik individu Muslim itu untuk bersikap dermawan. "Perkara ini jelas menunjukkan bahawa Islam mengambil berat masalah yang dihadapi oleh golongan yang kurang bernasib baik,"tambah beliau.
01 Aug 20
498
Korban Lembu ‘Sado’ Jadi Perhatian
Korban Lembu ‘Sado’ Jadi Perhatian
  Oleh : Azhar Yusof HULU TERENGGANU, 1 Ogos -  Seekor lembu baka Charolais seberat 970 kilogram (kg) menjadi perhatian penduduk sekitar  apabila dikorbankan di Ajil sempena sambutan Aidiladha tahun ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, ini kali pertama pihaknya membeli lembu baka ini untuk ibadah korban sejak program korban perdana diadakan kira kira empat tahun lalu. Katanya, lembu baka Charolais bernilai lebih RM15,000 ini dibeli bersama seekor lagi lembu baka Belgian Blue dan 15 ekor lembu baka tempatan dengan peruntukan dari kerajaan negeri untuk diagihkan kepada Unit Daerah  Mengundi (UDM) Ajil. "Proses penyembelihan lembu sado  ini memerlukan tenaga kerja hampir 10 orang dan mengambil masa lebih sejam. "Jumlah daging yang berjaya diperolehi daripada lembu baka ini sebanyak 420 kg berbanding lembu kampung hanya 80 kg hingga 120 kg seekor. “Kta lerakkan sebanyak 600 gram bagi setiap bungkusan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan dan penduduk sekitar,” katanya. Beliau berkata demikian pada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas berakhirnya ibadah menyembelih haiwan korban di perkarangan kediamannya hari ini. Sementara itu, tukang sembelih, Mohd Amirul Ibrahim, berkata, proses penyembelihan lembu ini tidaklah sesukar seperti melihat fizikalnya yang besar. "Cuma proses menumbangkannya memerlukan lebih fizikal manusia dan masa,"ujarnya.
01 Aug 20
4227