lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

KPPK Cadang Bina 20 Rumah IBS Kenaf Di 222 Parlimen
KPPK Cadang Bina 20 Rumah IBS Kenaf Di 222 Parlimen
KUALA TERENGGANU, 12 September - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan mengemukakan cadangan bagi membina 20 unit rumah menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) berasaskan kenaf di seluruh 222 kawasan Parlimen. Menterinya, Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ia dijangka membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM222 juta melalui peruntukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bagi pembinaan 4,440 unit kediaman dengan kos sekitar RM50,000 untuk sebuah rumah. Katanya, untuk peringkat permulaan sebanyak tiga unit rumah IBS kenaf bakal dibangunkan di kawasan Parlimennya sebagai sampel pelaksanaan projek berkenaan. “Perkara ini masih di peringkat cadangan dan saya akan berbincang dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu dan jika dipersetujui, pembangunannya akan menggunakan peruntukan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU). “Secara tidak langsung usaha ini dapat mengembangkan lagi penggunaan IBS kenaf dalam negara kerana teknologi ini terbukti sangat baik, sistematik, lebih tahan lasak, menjimatkan masa dan kos di samping mesra alam,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menutup Kursus Pengenalan Keusahawanan IBF Kenaf Terengganu di Hotel Paya Bunga (PB) di sini hari ini. Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Operasi), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Idris Mohd. Salleh. Mohd. Khairuddin berkata, pembinaan rumah IBS kenaf sebelum ini dirintis di Muar, Johor dan Melaka di samping projek terbaharu membabitkan penglibatan pihak swasta di Hulu Langat, Selangor. Tambahnya, industri kenaf mempunyai potensi besar dan berdaya saing untuk dibangunkan termasuk pembinaan. “Sehingga 31 Julai 2020, seluas 285.2 hektar kawasan di Terengganu telah dibangunkan dengan tanaman kenaf melibatkan 178 penanam. “Tahun ini kita menyasarkan sebanyak 2,000 hektar kawasan penanaman kenaf baharu dan sedang bergerak ke arah itu termasuk mencari tapak bersesuaian bagi meluaskan tanaman kenaf termasuk di Terengganu dan Pahang,” katanya.
12 Sep 20
886
Lahirkan Lebih Ramai Usahawan Wanita Luar Bandar - Henry
Lahirkan Lebih Ramai Usahawan Wanita Luar Bandar - Henry
KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan pusat melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) komited untuk melahirkan lebih ramai usahawan luar bandar di kalangan wanita luar bandar. Timbalan Menteri ii KPLB, Dato' Henry Sum Agong berkata, selaras dengan usaha tersebut, pihaknya menyediakan pelbagai program latihan kemahiran dan pembangunan usahawan wanita luar bandar melalui agensi-agensi berkaitan. Katanya, sehingga hari ini, hampir 80 peratus daripada 3,100 usahawan wanita luar bandar telah pun berjaya melalui Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar anjuran Institut Kemajuan Desa (INFRA). "Menjadi hasrat KPLB, seminar ini dapat memberi pendedahan serta latihan dalam aspek kepimpinan di peringkat komuniti bagi membantu melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan. "Seminar ini adalah antara program yang diberi tumpuan di bawah Teras 6-Wanita berdasarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) yang dilancarkan pada tahun 2019. "Teras Wanita ini bertujuan melahirkan wanita luar bandar yang progresif dalam semua aspek kehidupan merangkumi ekonomi, pendidikan, kesihatan, sosial dan kepimpinan," katanya. Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar di Hotel Primula, Kuala Terengganu di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun, Pengarah Institut Kemajuan Desa ( INFRA), Noraina Masduki. Tambah Henry lagi, sasaran peserta bagi tahun 2020 adalah seramai 700 berbanding 3,100 pada tahun lepas kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) yang diteruskan sehingga 31 Disember ini. Sehingga kini, terdapat 38,486 usahawan di Malaysia dengan 18,597 daripadanya adalah usahawan wanita manakala di Terengganu, terdapat 2,209 usahawan.
12 Sep 20
821
21 Peserta RTB Pertanian Terima ‘Borang 5A’
21 Peserta RTB Pertanian Terima ‘Borang 5A’
  HULU TERENGGANU 12 September - 21 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pertanian Kampung Lerek menerima notis borang 5A, setelah setelah hampir lima tahun memohon tanah berkenaan. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu berkata, pihaknya amat komited untuk membantu rakyat dalam menyelesaikan permohonan tanah di kawasan DUN ini.  "Alhamdulillah, ini adalah usaha yang kita laksanakan dan terus berterusan.  “Kita akan terus sedaya upaya membatu rakyat untuk memiliki tanah seperti yang dijanjikan dalam manifesto sebelum Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) lalu,” katanya. Beliau berkata demikian, ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) seusai Majlis Penyerahan Borang 5A bagi RTB Kampung Lerek dan Pengundian Lot RTB Kampung Dusun, di Dewan Sivik Kampung Kuala Pueh, baru-baru ini. Turut berlangsung dalam majlis yang sama ialah pengundian lot tanah 35 peserta RTB Kampung Dusun.  Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Dr Mamad Puteh.  Tambah Safari lagi, kerajaan telah berjaya menyelesaikan masalah tanah diantaranya RTB Felcra Seberang Kuala Jeneris 1 yang telah tertangguh selama hampir 40 tahun serta RTB Felcra Banggol Gajah Mati fasa 2,3 dan 4 dan Felcra Kampung Tapah.  “Terdapat beberapa RTB pertanian dan RTB tapak rumah sedang dalam proses permohonan.  "Dalam masa terdekat ini kita akan adakan majlis pengundian RTB pertanian Macang Gerahim dan RTM tapak rumah Bukit Jelutong 2 di Mukim Hulu Telemong,” ujarnya. Turut hadir dalam majlis berkenaan, Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Hulu Terengganu, Kamaruddin Yaakub dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang terlibat.
11 Sep 20
562
Pembangunan Infrastruktur Pulau Perhentian Diharap Tidak Jejaskan Keindahan Alam
Pembangunan Infrastruktur Pulau Perhentian Diharap Tidak Jejaskan Keindahan Alam
Oleh: Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 11 September - Pengerusi Pertubuhan Muafakat Sejahtera Terengganu, Dato' Yahaya Ali mengharapkan pembangunan infrastruktur yang mahu dilaksanakan di Pulau Perhentian tidak akan menjejaskan ekosistem pulau berkenaan. Katanya, pembangunan infrastruktur di pulau tersebut perlu dilakukan dengan perancangan yang teliti dan bersifat jangka panjang. "Ianya hendaklah tidak merosakkan keindahan alam semula jadi dan menjejaskan kehadiran para pelancong ke negeri ini," jelasnya. Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Pelancongan Komuniti di Pulau Perhentian, semalam  Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Besut, Rozali Salleh dan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Mohd Rashdan Muda. Sementara itu, Yahaya berkata, penduduk pulau berkenaaan juga perlu menjaga kebersihan dan menyantuni pelancong dengan pendekatan agama Islam dan budaya melayu. "Mereka tidak boleh mengambil kesempatan  dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan kepada pelancong yang datang dengan sewenang-sewenangnya," ujarnya. Katanya, antara kemudahan infrastruktur di pulau tersebut yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan adalah seperti kemudahan jeti dan lampu jalan.
11 Sep 20
1051
ECRL: Stesen Kereta Api Durian Guling Bakal Dibina
ECRL: Stesen Kereta Api Durian Guling Bakal Dibina
HULU TERENGGANU, 11 September - Stesen kereta api East Cost Rail Link (ECRL) di Durian Guling, Marang adalah cadangan terbaharu yang dipersetujui untuk dibina dan akan dinamakan sebagai stesen Kuala Terengganu setakat ini. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata stesen kereta api ECRL dicadang untuk dibina di Durian Guling kerana beberapa faktor. "Perancangan kita meletakkan stesen kereta api di Durian Guling ini kerana kita mahu dalam beberapa tahun akan datang, berlakunya lonjatan pembangunan yang besar dan akan mempengaruhi daerah di sekitarnya. "Durian Guling ini terletak di tengah-tengah antara Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu, kawasan yang adanya kereta api kebiasaannya akan mengalami pembangunan yang pesat," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam program Ceramah Perdana Sidang Parlimen & DUN di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang malam tadi. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, jarak antara daerah Hulu Terengganu ke Durian Guling dan jarak daerah Kuala Terengganu ke Durian guling adalah hampir sama. "Jarak Durian Guling ke Kuala Terengganu ialah 14 kilometer (KM), Durian Guling ke Kuala Berang pula 16 hingga 17 KM, manakala ke Marang lebih kurang 15 KM, dan jaraknya hampir sama," ujarnya. Turut hadir dalam program Ceramah Perdana malam tadi ialah Exco Kerajaan Negeri, Hanafiah Mat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim, dan Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid.
11 Sep 20
11394
Kampung Langgar Juarai Pertandingan Program Bubur Asyura Kuala Berang
Kampung Langgar Juarai Pertandingan Program Bubur Asyura Kuala Berang
Hulu Terengganu, 11 September - Kampung Langgar muncul johan dalam pertandingan Program Bubur Asyura anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang setelah berjaya mengetepikan pesaing kampung lain dalam DUN Kuala Berang yang bertanding. ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata dua perkara utama telah dibuktikan oleh Kampung Langgar untuk muncul johan pertandingan ini. "Antara faktor kemenangan Kampung Langgar adalah kerjasama berpasukan yang baik dalam mengendalikan pasukan untuk memenangi pertandingan yang julung kalinya diadakan di Kuala Berang setelah setengah penggal pemerintahan kerajaan yang baru ini. "Resipi bubur asyura juga merupakan faktor utama kepada kemenangan ini dan kampung lain pun tidak kurang hebat untuk menghasilkan bubur asyura yang terbaik, sangat sukar untuk memilih yang paling sedap," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyampaikan hadiah dan saguhati kepada wakil kampung yang menyertai Program Bubur Asyura ini di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Berang. Menurut Dr Mamad, beliau sangat gembira dengan penyertaan kampung yang terlibat dalam program ini dan bubur asyura ini telah diagihkan kepada orang ramai yang melalui Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Berang setelah selesai program. "Saya gembira kerana program ini mendapat sambutan meriah dari kampung-kampung yang terlibat menjayakan program ini. Ini satu perkembangan yang baik buat warga Kuala berang kerana mereka menyertai program ini sebenarnya bukan sekadar mahu menang, tapi lebih kepada untuk mengeratkan ukhuwah. "InsyaAllah tahun depan kita akan buat lagi dengan lebih meriah dan saya berharap lebih banyak lagi penyertaan dari kampung-kampung yang lain," tambahnya. Sebanyak sebelas kawah bubur asyura berjaya dibuat dan telah diagihkan sendiri oleh Dr Mamad kepada penduduk Kuala Berang yang melalui Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Berang.
11 Sep 20
1871
Madrasah Khairul Insan Gigih Pulihkan Penagih Dadah
Madrasah Khairul Insan Gigih Pulihkan Penagih Dadah
  HULU TERENGGANU, 11 September - Tanpa pagar, kawalan keselamatan yang ketat serta kerahan atau arahan tegas serta keras, ramai berpendapat tentunya agak mustahil untuk membimbing serta merawat penagih dadah terutama yang kronik apatah lagi pernah menghuni tirai besi beberapa kali. Namun, bagi Madrasah Khairul Insan yang sudah membantu ratusan penagih dadah kembali ke masyarakat dan menjadi insan lebih baik, kaedah yang keras serta paksaan bukanlah jawapan bagi menyelesaikan masalah itu. Mengimbau kembali penubuhan Madrasah yang berkeluasan 6 ekar ini, Zainal Abidin Saidin berkata, dengan keinginan membantu masyarakat terutama remaja Melayu, Allahyarham Ustaz Zulkifli Ismail menubuhkan Madrasah ini pada 1997. Sementara itu, penghuninya terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kerjaya berjaya merawat ribuan penagih yang datang secara sukarela dan dihantar oleh pihak keluarga bagi melepaskan diri daripada cengkaman dadah. Beliau berkata disini rutin harian penghuni disini mewajibkan solat lima waktu berjemaah,bertalaqi dan diajar dengan ilmu agama seperti membetulkan solat, amalan zikir dan puasa bagi mendekatkan diri dengan Tuhan. "Selepas solat subuh mereka yang sudah dibahagi tugasan untuk memasak, bertani, kebersihan kawasan madrasah dan mengangkut air sungai Jenagor untuk kegunaan harian," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media UPDI selepas melawat Madrasah di sini, hari ini. Tambah Zainal Abidin, mereka yang masuk ke situ, ada yang datang dari Terengganu, Kedah, Selangor dan Pahang terdiri daripada remaja, dewasa dan yang sudah berumur. "Disini tiada dikenakan bayaran khusus dikenakan untuk menghuni, sumber kewangan operasi madrasah ini mendapat sokongan dari pihak MAIDAM dan Infaq dari orang perseorangan dan keluarga penghuni itu sendiri. "Sekarang ini pihak Madrasah sedang membina pusat pengajian Al Quran untuk penghuni dan anak anak orang kampung yang ingin belajar Al Quran. "Pihak kami amat mengalu-alukan sebarang kerjasama mahupun bantuan yang ingin dihulur individu, syarikat atau badan berkaitan di negara ini bagi kelangsungan Madrasah itu dan membantu anak bangsa belajar Al Quran selain untuk memulihkan diri dari penagihan Dadah," ujarnya. Sementara itu Pengerusi JKPD Hulu Terengganu, Ustaz Maliaman Kassim, berkata pihaknya menyanjung tinggi usaha pihak persendirian mendirikan pusat pemulihan dadah seperti Madrasah Khairul Insan ini kerana ia perlu bagi mengembalikan semula bekas penagih kepada kehidupan biasa. "Selain kegigihan penghuni disini yang gigih untuk membina tempat pengajian Al Quran untuk kegunaan mereka dan anak anak penduduk sekitar. "Kita juga akan memberikan komitmen untuk bersama walaupun dengan kekangan kewangan,tetapi kita akan membantu dan memberikan kerjasama," katanya.  
11 Sep 20
5374
Leher Ditebuk Angkara Penyakit Misteri
Leher Ditebuk Angkara Penyakit Misteri
SETIU, 11 September – "Leher dia terpaksa ditebuk, baru dia boleh bernafas sendiri tanpa bergantung dengan alat bantuan pernafasan," ujar Shakirah Elias ibu kepada Muhammad Akif Darwisy, 10, yang menderita penyakit misteri sejak berumur enam tahun. Kata Shakirah, 32, kejadian yang berlaku pada Disember 2016 itu benar-benar menguji mereka sekeluarga apatah lagi ia berlaku secara mengejut dan pantas. "Waktu itu, Akif nak main di luar rumah, namun dia tiba-tiba pengsan terduduk, mukanya berubah menjadi biru, kemudian saya dan suami, Ayub Fauzi (ketika itu berumur 43 tahun) membawanya ke klinik kesihatan terdekat. "Di klinik, Akif diberikan bantuan pernafasan selama dua jam, apabila semuanya sedikit terkawal dia dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) selama sebulan, sepanjang di sana pihak hospital tidak mengetahui punca Akif pengsan dan doktor mengesahkan dia tidak mengalami apa-apa penyakit. "Di hospital semuanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan, selepas doktor melakukan pembedahan (menebuk) leher akhirnya dia boleh bernafas seperti biasa," jelasnya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim baru-baru ini. Menurut ibu muda itu, dia redha dengan nasib menimpa anak sulung daripada dua beradik itu meskipun terpaksa melalui ujian tersebut secara sendirian pada dua tahun lalu selepas kehilangan suami tercinta. Ujarnya, keprihatinan semua pihak sedikit sebanyak mengurangkan beban ditanggung termasuk untuk membeli keperluan Akif seperti pampers dan susu boleh mencecah RM2,000 sebulan. "Terima kasih kepada semua termasuk Dr Azman yang menyumbangkan sebuah katil baharu untuk anak saya, ia sedikit sebanyak mengurangkan beban kekuarga mereka. Sudah lama cuba membuat permohonan katil baru memandangkan katil yang sedia ada sudah uzur, tambahan pula, Akif sudah semakin besar. "Akif hanya mampu terlantar, minum susu melalui tiub dan dipakaikan pampers sejak 2016. Dengan bantuan katil baharu ini ia memberi keselesaan serta akan lebih memudahkan kerja saya untuk menguruskan dia," katanya yang menginap di PAKR Anak Ikan di sini. Jelas Shakirah, kesihatan Akif beransur baik berbanding tahun-tahun sebelum ini yang agak menyukarkan mereka sekeluarga. "Daripada kaku, kini sudah boleh pusingkan kepala, kaki dan tangan, malah ada ketika dia menangis dan senyum," jelasnya. Dalam pada itu, Dr Azman menzahirkan rasa simpati terhadap ujian yang menimpa keluarga kecil berkenaan dan akan memberi pehatian sewajarnya. "Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semoga kedua Akif dan keluarga tabah menjalani liku-liku kehidupan di hari mendatang. Hari ini kita bagi katil baharu agar Akif lebih selesa," katanya lagi. Untuk rekod, wanita tabah terbabit turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan dan telah membuat permohonan baru kepada Tabung Darul Iman.
11 Sep 20
933
Urus Setia Wanita Terengganu Serius Bela Golongan Wanita
Urus Setia Wanita Terengganu Serius Bela Golongan Wanita
BACHOK, 11 September – Urus Setia Wanita Terengganu yang baru sebulan penubuhannya menunjukkan tahap komitmen yang tinggi dalam membela golongan wanita Terengganu. Hal tersebut dibuktikan melalui kunjung hormat mereka ke Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPEK) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok bagi tujuan kolaborasi dalam usaha pemusatan data berkaitan wanita di Negeri Terengganu. Menurut Penolong Pengarah Penyelidikan Urus Setia Wanita Terengganu, Dr Zakiyah Ahmad, kunjung hormat tersebut telah membuahkan idea kepada mereka untuk menjalankan kajian berkaitan wanita berdasarkan pemetaan kawasan. “Kajian berdasarkan pemetaan kawasan ini, maksudnya ialah kita menilai apa-apa potensi dan masalah golongan wanita yang ada di kawasan-kawasan tersebut. “Dan daripada situ, kita akan adakan kolaborasi dengan InsPEK bagi tujuan memulakan kajian berfokus di Terengganu, khusus bagi wanita,”ujarnya. Barisan penyelidik di InsPEK UMK. Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita di majlis kunjung hormat oleh Urus Setia Wanita Terengganu ke InsPEK UMK, baru-baru ini. Katanya lagi, perbentangan di InsPEK itu memberi pendedahan kepada mereka tentang bagaimana analisa data dibuat daripada satu-satu kajian yang dijalankan, dalam keadaan yang sistematik dan efisien. “Data-data yang mereka kumpul, menghasilkan ‘result’ (keputusan) daripada kajian mereka. Selepas kajian dibuat, data tersebut diletakkan dalam satu sistem yang hanya boleh diakses dengan klik sahaja (mudah akses). “Maksudnya sistem ‘database’ (pangkalan data) yang mereka gunakan sangat canggih serta efisien dimana data tersebut dikumpulkan dalam satu ‘database’ bagi memudahkan ia untuk dianalisis. “Persembahan data juga sangat mesra-pengguna, ianya dalam bentuk visual, ada grafik seperti graf yang amat memudahkan pembacaan, mudah untuk dibuat ‘comparison’ (perbandingan) di samping mudah untuk difahami oleh semua orang,”tambahnya.  Dr Zakiah berkata, beliau  optimis, yang kerjasama tersebut semestinya akan memberi manfaat kepada kaum hawa berikutan dapatan daripada kajian yang akan digunakan oleh pihak Urus Setia Wanita untuk merangka program bersesuaian mengikut kawasan serta potensi individu wanita di situ. Beliau turut melahirkan harapan agar kajian tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan dapat membantu kerajaan negeri mengenal pasti potensi wanita Terengganu di samping membantu Urus Setia dalam merealisasikan visi dan misi mereka.
11 Sep 20
925
Kunjung Hormat Medan Pertukaran Idea
Kunjung Hormat Medan Pertukaran Idea
Foto oleh: Shasliza Samsuddin KOTA BHARU, 11 September – Kunjung Hormat antara Urus Setia Wanita Terengganu dan Kerajaan Negeri Kelantan dianggap medan untuk berdiskusi dan perpindahan pemikiran.  Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Wan Nur Sakinah Din berkata lawatan kerja dua hari tersebut merupakan kunjung hormat daripada Urus Setia Wanita Negeri Terengganu ke Pejabat Menteri Besar Kelantan dan Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan. Menurutnya, kunjung hormat itu juga sebagai lawatan ilmu bagi pihak Urus Setia Wanita Terengganu bagi bertukar-tukar pengalaman terutamanya dalam pentadbiran kerajaan serta program-program khusus wanita. “Banyak peluang-peluang kerjasama yang boleh dimanfaatkan dalam meningkatkan kesejahteraan wanita Terengganu. “Insha-Allah perancangan kami akan lebih maju ke depan, kami sedar dan faham harapan yang begitu besar daripada rakyat dengan penubuhan urus setia baru ini. “Kami akan bersatu untuk menyelaras program-program supaya lebih efektif dan mencakupi pelbagai peringkat serta golongan wanita Terengganu khususnya,”ujarnya. Pertemuan bersama Urus Setia Wanita Negeri Terengganu dengan Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan. Sakinah berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini. Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada Exco Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Hanafiah Mat yang memberi kepercayaan penuh untuk menguruskan Urus Setia Wanita. “Terima kasih juga buat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor yang sentiasa penuh komited dalam bersama-sama merancang pembangunan wanita Terengganu. “Dengan tanggungjawab dan amanah yang diberikan ini, serta hasil pertukaran ilmu pengalaman dengan Kerajaan Negeri Kelantan, besar harapan agar kami dapat bekerja dengan baik dalam membantu kerajaan negeri mengangkat kebajikan wanita Terengganu,”tambahnya. Lawatan kerja dua hari ke Kelantan Darul Naim itu turut disertai oleh ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor dan ahli jawatankuasa Majlis Permuafakatan Wanita Negeri Terengganu (MAWADDAH).
11 Sep 20
240