Artikel "Semasa" Terkini
Dulu Jurutera, Sekarang 'Food Rider'
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Zaman sekarang, bukan mudah untuk dapatkan kerja yang stabil dan meninggalkan gaji lumayan.
Namun, ia berbeza dengan pemuda ini, Wan Mohd Affandi Wan Ahmad, 32, yang sanggup meninggalkan kerja dengan gaji lumayan dalam bidang kejuruteraan kerana keluarga.
Wan Mohd Affandi berkata, bergelar 'rider' e-hailing bukanlah pekerjaan idamannya namun demi kelangsungan hidup dia tekad untuk meneruskan kerjaya dalam bidang itu.
“Saya bekerja sebagai jurutera di Kuala Lumpur dan saya mengambil keputusan untuk berhenti disebabkan isteri saya yang bersalin berada di Kuala Terengganu dan saya ingin bersama dengannya dan anak kami pada Julai 2019.
“Sebelum itu, saya bekerja sebagai pengurus sekuriti di Pasaraya Mydin dan dalam masa yang sama saya dapat tahu Foodpanda masuk ke Kuala Terengganu. Saya dapat tahu yang pendapatan Foodpanda lumayan sebab ramai kawan-kawan saya yang terlibat dalam pekerjaan ini beritahu tentangnya.
“Jadi bila saya buat foodpanda sekurang-kurangnya pendapatan saya tu boleh mencecah sampai tiga ke empat ribu dalam masa satu bulan,” ujarnya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Wan Mohd Affandi, dia lebih menumpukan penghantaran di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus kerana dua kawasan tersebut mendapat permintaan secara atas talian paling tinggi.
“Sementara itu, dari segi masa ia lebih mudah disesuaikan mengikut ketetapan yang saya aturkan.
“Saya boleh masuk pukul berapa saya nak, habis pun dalam masa yang saya tetapkan.
“Contoh saya masuk dalam pukul 11 pagi dan habis pukul 3 petang. Dalam masa tu saya boleh buat 15 pesanan untuk satu hari bergantung kepada situasi dan kerajinan,” katanya lagi yang pernah memperolehi RM8,000 sebulan sebelum berlakunya wabak COVID-19.
Ditanya adakah beliau menyesal dengan keputusannya meninggalkan pekerjaan sebagai jurutera yang lebih berprestij, Wan Mohd Afandi berkata, dia tidak pernah menyesal atau menoleh ke belakang setelah berhijrah kerjaya.
“Sebagai jurutera di Kuala Lumpur pendapatan saya dalam RM3,200. Menyesal? Saya tak pernah menyesal berhenti walaupun sebelum ni saya tidak terfikir untuk buat foodpanda.
“Saya buat ini untuk keluarga kecil saya,” tegasnya.
01 Oct 20
22661
JPJ Terengganu Kutip RM759,541 Bayaran Saman
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Sejumlah RM759,541 bayaran saman dikutip Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menerusi tawaran pengurangan saman sehingga 70 peratus yang berakhir semalam.
Pengarah JPJ, Zulkarnain Yasin berkata, tawaran bermula 3 Ogos lalu itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai.
"Sepanjang tempoh berkenaan, pihak kami mengutip RM759,541 daripada 10,698 transaksi saman dibayar pesalah-pesalah yang diberi kompaun.
"Setakat ini, kutipan daripada pembayaran saman JPJ Kuala Terengganu adalah yang tertinggi iaitu sebanyak RM318,873 daripada 4,464 transaksi saman,” ujarnya.
Beliau berkata demikian di Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Kepada 'Food Rider' negeri di Pejabat JPJ, di sini hari ini.
Tegasnya lagi, antara kompaun yang paling banyak dibayar melibatkan kesalahan lesen memandu.
Tambah beliau,bermula hari ini kompaun akan mengikut harga asal seperti sebelum ini kerana tempoh diskaun sudah berakhir.
Terdahulu, sebanyak 70 peratus pengurangan ditawarkan berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem JPJ dan yang telah ditetapkan bagi kes-kes di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987(Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-perintah dibawahnya, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.
01 Oct 20
1630
JPJ Terengganu Rintis Kempen Advokasi Untuk Kesedaran Food Rider
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menjadi perintis bagi Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Kepada Penunggang Pesanan Makanan 'Food Rider' di negeri ini.
Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, pelaksanaan kempen itu bertujuan untuk menyedar dan memastikan penghantar makanan dalam talian mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Keduanya, memberi kaedah-kaedah yang betul dan cara membawa barangan (kotak) dibelakang dengan peraturan termasuk saiz yang dibenarkan.
“Dan seterusnya memberi kesedaran tentang pentingnya pematuhan terhadap peraturan jalan raya yang mana hasil pemantauan secara berterusan, 'Food Rider' ini kebanyakannya gagal mematuhi lampu isyarat.
“Kegagalan mematuhi peraturan-peraturan ini boleh memberi kesan kepada masyarakat dan juga kesan kepada penunggang itu sendiri, sekiranya disaman boleh dikenakan tindakan lesen digantung dan mereka boleh kehilangan pekerjaan,”ujarnya.
Beliau berkata demikian di Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Kepada ' Food Rider' negeri di Pejabat JPJ, di sini hari ini.
Tambah Zulkarnain, Food Rider perlu pastikan menggunakan motosikal yang berdaftar dan mempunyai perlindungan insuran serta mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan lesen memandu yang masih berkuatkuasa.
Untuk rekod, seramai 449 Food Rider yang berdaftar di negeri di bawah tiga syarikat pengendali makanan dalam talian iaitu Food Panda, Grab Food serta Oda Food dan dari jumlah ini seramai 190 Rider yang aktif.
Purata pendapatan mereka mampu mencecah RM600 seminggu yang dibayar secara mingguan serta mendapat perlindungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
01 Oct 20
1940
Karnival Penjana Pekerjaan Tawar Lebih 7,000 Jawatan Kosong
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Karnival Penjana Pekerjaan Negeri Terengganu 2020 yang dijadualkan berlangsung 10 hingga 11 Oktober ini di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri bakal membuka lebih 7,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, program tersebut adalah satu inisiatif kerajaan Terengganu dengan Kementerian Sumber Manusia bagi memulihkan kembali ekonomi negara dan negeri.
Katanya, ia juga diyakini mampu memperkukuh pasaran buruh Malaysia pasca COVID-19.
''Penjana Pekerjaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bertujuan untuk merangsang permintaan pekerjaan di kalangan majikan dan meningkatkan peluang pekerjaan serta kebolehpekerjaan di kalangan pencari pekerja tempatan," ujarnya dalam wawancara di Wisma Darul Iman semalam.
Jelasnya. proses temuduga dan pengambilan pekerja akan berlangsung pada Karnival Penjana Pekerjaan itu dengan banyak penawaran jawatan kosong yang menanti.
"Suka saya nyatakan bahawa, karnival ini adalah yang terbesar pernah dianjurkan dalam PASCA COVID-19 di mana lebih 7,000 jawatan ditawarkan oleh 100 majikan dari pelbagai bidang," tambah beliau.
01 Oct 20
1249
USWa Bakal Adakan Persidangan Wanita
KUALA TERENGGANU, 30 September - Urus Setia Wanita Negeri Terengganu (USWa) bakal menganjurkan satu persidangan yang mengumpulkan badan bukan kerajaan (NGO) yang berlatarbelakangkan wanita.
Pengarahnya, Wan Nur Sakinah Din, berkata persidangan itu dinamakan sebagai Persidangan Wanita Inspirasi Terengganu 2020 (WINTER 2020) dan dijadualkan akan berlangsung pada bulan November nanti.
"Persidangan yang dirancang pada bulan November ini adalah persidangan wanita-wanita Terengganu yang julung kali sebenarnya diadakan.
"Dengan menyasarkan pimpinan NGO, ahli akademik dan profesional, agamawan, agensi kerajaan dan pelbagai pihak lagi.
"Persidangan ini bakal menjadi medium perbincangan ilmiah untuk wanita Terengganu menyampaikan cadangan dan idea untuk agenda pembangunan wanita di Terengganu khususnya,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.
Sakinah turut melahirkan harapan agar persidangan ini dapat memberi impak dan manfaat yang besar dalam menggalakkan keterlibatan wanita dalam agenda pembangunan kerajaan Negeri Terengganu.
Untuk rekod, persidangan NGO Wanita ini pertama kali dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu dan telah dijayakan oleh USWa.
30 Sep 20
350
JPV Terengganu Bantu Penternak Tangani Masalah Haiwan
KUALA TERENGGANU, 29 September – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu (JPV) sentiasa mengadakan pelbagai inisiatif bagi membantu penternak dalam menyelesaikan masalah berkaitan kesihatan haiwan ternakan di negeri ini.
Pengarah JPV Terengganu, Dr. Mohd Termizi Ghazali berkata, tugas JPV meliputi pengawalan dan pencegahan penyakit haiwan, pemantauan kualiti makanan dan ternakan serta beberapa lagi tanggungjawab berkaitan industri penternakan dan makanan
"Kita turut mengkaji penyakit dan melibatkan sembilan jenis bidang perkhidmatan, 33 disiplin dan 112 aktiviti.
"Contohnya, untuk meningkatkan liputan dan keberkesanan kawalan penyakit haiwan ternak, tindakan awal sentiasa dibuat seperti Program Mesra Penternak iaitu program sehari bersama enam atau tujuh penternak, serta melawat, merawat dan memberi nasihat berkaitan dengan haiwan ternak mereka.
"Selain itu, Program Jenguk-Jenguk Kandang untuk melatih penternak berkaitan topik penjagaan haiwan ternak. Program lain juga seperti Halaqah Veterinar melibatkan perbincangan dua hala bersama penternak tentang isu-isu secara terperinci," katanya ketika siaran langsung di TVDI hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, program tersebut adalah berdasarkan permintaan penternak dan dihebohkan dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
"Kerjasama tiada masalah cuma kekangan pertama adalah mencari masa untuk bertemu dengan penternak. Oleh itu, JPV mengambil inisiatif dengan menyantuni golongan penternak di tempat mereka," tambah beliau.
Dalam perkembangan lain, Mohd Termizi memaklumkan, program suntikan berkala turut dijalankan secara berperingkat memandangkan jumlah lembu dan kerbau di Terengganu dianggarkan sekitar 95,000 ekor.
"Mengikut statistik terkini, suntikan vaksin penyakit kuku dan mulut (FMD) sebanyak 15,000 ekor manakala 11,013 ekor menerima suntikan vaksin hawar berdarah, kalau tiada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jumlah tersebut mungkin tinggi lagi.
"Penvaksinan adalah percuma di seluruh negeri kerana kos vaksin ditanggung kerajaan, jadi tiada sebab untuk tidak mengambil peluang ini. Hanya perlu kandangkan haiwan dan kita suntik," ulasnya lagi.
29 Sep 20
877
Subsidi Upah Dilanjut, Usahawan Terus Bernyawa
SETIU, 30 September - Ahli Parlimen Setiu menzahirkan rasa syukur apabila cadangan bagi melanjutkan Program Subsidi Upah yang telah dijalankan dibawah skim PENJANA dilanjutkan tempoh pendaftarannya.
Menurut beliau, syarikat kecil dan pengusaha Industri Kecil Serdahana (IKS) yang mendaftar selepas 1 April akan dapat menarik nafas lega dengan pengumuman Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan pakej Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN atau KITA PRIHATIN baru-baru ini.
"Kenyataan Perdana Menteri beberapa hari lalu yang melanjutkan tempoh pendaftaran sekali lagi membuktikan Kerajaan benar-benar prihatin dan serius dalam memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan sasar.
"Saya yakin program yang menelan kos sehingga RM2.4 billion mampu memberi harapan baru terutama kepada usahawan-usahawan atau peniaga dari Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terkesan akibat pandemik," ujar beliau dalam satu kenyataan media semalam.
Shaharizukirnain juga meminta agar pihak majikan mendaftar syarikat mereka agar dapat menikmati bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan ini.
"(Saya) menyeru kepada semua majikan terutama usahawan PKS agar segera membuat pendaftaran dan menggunakan peluang kedua yang diberikan kerajaan sebaik mungkin agar bantuan ini betul-betul dapat dinikmati oleh segenap masyarakat," jelasnya.
PSU adalah salah satu usaha kerajaan bagi syarikat-syarikat mengekalkan pekerja dan membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh krisis COVID-19.
29 Sep 20
742
Berbaki RM3 Juta, Rebut Bantuan Modal Tani Segera
BESUT, 28 September – Rakyat Terengganu yang menceburi sektor pertanian diseru untuk merebut Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) dengan segera kerana peruntukan itu masih berbaki RM3 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, SBMT merupakan ‘kail dan umpan’ yang disediakan bagi kesemua peringkat umur rakyat dalam sektor pertanian, perikanan, penternakan dan industri asas tani.
"Untuk tahun ini, masih berbaki RM3 juta. Pinjaman maksimum sebanyak RM50,000 yang diberi dalam bentuk barangan.
"Barangan apa yang diperlukan boleh dicari sendiri, kerajaan akan bayar terus kepada pembekal. Ini kerana ingin mengelakkan timbul isu barangan yang diterima tidak sama dengan apa yang dimahukan," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Maghrib di Masjid Al-Furqan, Kampung Pak Demalik di sini semalam.
Katanya, dana di bawah kerajaan negeri itu disalurkan melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
"Sehubungan dengan itu, sesiapa yang berminat perlu mendaftarkan diri sebagai ahli Peladang terlebih dahulu di PPK terdekat.
"Sebagai kerajaan kita mahu memudahkan supaya ia tidak membebankan rakyat. Pinjaman patuh syariah, tiada faedah sebab ia bukan hasrat kerajaan untuk berniaga. Cuma bila ia dibayar balik, boleh dibagikan kepada orang lain pula.
"Kaedah bayaran balik turut menggunakan kaedah yang tidak membebankan rakyat. Ia bergantung tempoh hasil yang dapat dituai atau diperolehi. RM1 juta sebulan yang perlu dihabiskan sebelum akhir tahun ini," tambah beliau.
28 Sep 20
6753
Tukun RM500,000 Kayakan Sumber, Halang Aktiviti Haram
BESUT, 28 September – Sejumlah RM500,000 telah diperuntukan kerajaan bagi membina tukun tiruan yang berfungsi memperkayakan sumber laut dan menghalang aktiviti haram pukat tunda.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata daripada jumlah itu, RM300,000 adalah dana daripada kerajaan negeri dan bakinya kerajaan persekutuan.
"Tukun bukan sahaja mampu jadi tempat pembiakan ikan, tetapi ia juga mampu menghentikan aktiviti pukat tunda nelayan asing kerana apabila pukat tersebut tersangkut pada tukun ini ia akan merosakkan pukat tunda sekali gus menghentikan aktiviti yang dilakukan secara haram tersebut.
‘’Usaha kita demi nelayan. Bermula semalam dan hari ini, 16 bongkah tukun tiruan seberat 16 tan setiap unit telah dilabuhkan di perairan Kuala Ibai Kuala Terengganu dan Benting Lintang Besut,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program Labuh Tukun dan Agihan Bubu 2020 di Benting Lintang, di sini semalam.
Dalam pada itu, Dr Azman turut mengharapkan para nelayan terus menyemai sifat kebersamaan tanpa mementingkan diri sendiri dalam menjaga ‘hadiah’ tersebut.
"Tolong jangan potong pelampung penanda tukun ini. Ini adalah tukun rekreasi untuk kegunaan umum. Siapa pun boleh mari memancing dan sebagainya.
"Tukun yang kita labuhkan sebelum ini telah hilang pelampungnya, dipotong oleh mereka yang tak nak orang lain tahu bahawa di situ ada tukun. Mudah sebut, dia nak bolot hasil sorang. Lepas tanda GPS, pelampung dipotong. Kalau kita guna kabel besi pun masih boleh dipotong. Ini sikap yang sangat tak murni," tegasnya.
28 Sep 20
841
Kursus Pra Perkahwinan Perdana Manfaatkan Belia Dan Beliawanis
HULU TERENGGANU, 27 September - Seramai 131 peserta menghadiri Kursus Pra Perkahwinan Perdana peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Harun berkata, program yang diadakan selama dua hari mampu memberi pendedahan terbaik kepada peserta sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
Katanya lagi, peserta hanya perlu membayar yuran penyertaan berjumlah RM50, manakala lagi RM30 ditanggung penganjur yang mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Belia dan Beliawanis DUN bagi menjayakannya.
"Saya berpuas hati dengan sambutan yang diterima pada kursus kali ini, golongan belia di daerah ini ternyata bijak mengambil peluang disediakan.
"Tujuan utama juga ialah untuk memberi kemudahan dan meringankan beban golongan muda yang belum berkahwin mendapatkan sijil perkahwinan dengan hanya mengeluarkan sebahagian bayaran.
“Semoga dengan penganjuran ini mampu membimbing peserta bagi menempuh hidup cabaran berumah tangga dengan berpandukan ilmu dan panduan yang dicurahkan sepanjang kursus ini,"katanya pada Majlis Perasmian Penutup kursus tersebut di Dewan Tuan Guru Harun Taib (KUDQI) Kubang Lembek.
Tambah beliau lagi, golongan muda yang ingin mendirikan rumah tangga juga perlu mencari pengetahuan tambahan di majlis-majlis ilmu agama bagi memastikan mahligai dibina diberi keberkatan Allah SWT. dan mendapat keluarga ‘sakinah’, ‘mawaddah’, dan ‘rahmah’.
“Pihak kami akan merancang pelbagai penganjuran program bermanfaat seperti ini pada setiap tahun agar lebih banyak ilmu mampu dicapai oleh masyarakat kawasan ini,” ujarnya.
27 Sep 20
745