Artikel "Semasa" Terkini
Perdana Menteri Santuni Mangsa Banjir Kemaman
KEMAMAN, 22 Disember - Seramai 487 mangsa banjir disantuni Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Bukit Mentok.
Beliau yang diiringi Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, turut mengagihkan bantuan keperluan harian kepada 140 keluarga di PPS berkenaan.
Mangsa yang dipindahkan terdiri daripada penduduk dari sekitar Tanjung Bukit Mentok Sejak pembukaan PPS tersebut pada 19 Disember, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim dan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili.
Menemubual seorang penerima, Ismail Mamat, 56, menyatakan perasaan terkejut apabila pertama kali berjumpa dengan Perdana Menteri Malaysia.
"Walaupun sudah lima hari berkampung disini bersama isteri dan dua anak tapi seronok dapat jumpa dan sempat bersembang tanya khabar dengannya," katanya yang juga seorang penghidap strok.
22 Dec 20
758
Peniaga 'Bundle' Berputih Mata Rugi RM5,000
KEMAMAN, 22 Disember – Seorang peniaga ‘bundle' rugi lebih RM5,000 apabila beg-beg jualan ditenggelami air banjir di perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong, baru-baru ini.
Mangsa, Saiful Mohd, 32, berkata, dia tidak menyangka air naik setinggi paras pinggang pada hari Jumaat lalu.
“Walaupun telah meletakkan barangan ke tempat tinggi, tapi air naik di luar jangkaan dan menyebabkan stok 400 kilogram (kg) atau hampir 1,000 beg bundle terapung atas air.
“Itu tidak termasuk barangan rumah juga yang tidak sempat diselamatkan. Namun begitu, mana-mana beg bundle yang dapat diselamatkan saya akan guna kembali.
“Harap supaya saya dapat meniaga kembali seperti biasa dalam masa terdekat di Padang Astaka, Chukai (khamis), berdekatan Pasar Borong, Dungun (jumaat), ‘Carboot sale’ Taman Tas, Kuantan (Sabtu) dan Pasar Karat, Kuantan (Ahad)," katanya yang juga seorang bapa kepada dua anak.
Mengulas tentang usaha pembersihan Khidmat Malaysia Terengganu di kawasan perumahannya, Saiful berkata, bantuan tersebut meringankan bebannya dalam menghadapi musibah ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, berkata, mereka di perumahan tersebut menghadapi musibah besar buat kali pertama sejak tahun 2015.
“Antara punca paling besar adalah hujan turun di Kemasik hampir 313mm dalam sehari berbanding 200mm sebulan.
“Masalah keberkesanan ‘culvert’ juga antara faktor, oleh itu permohonan sedang diusulkan kepada peringkat kerajaan pusat bagi peruntukan RM 1.6 juta bagi culvert tambahan.
“Kerajaan negeri akan membantu semampu yang mungkin dalam isu ini,” ujarnya.
22 Dec 20
2433
Gabungan Dua Exco Bersama 300 Sukarelawan Di Teluk Kalong
KEMAMAN, 21 Disember –Lebih 300 anggota sukarelawan daripada Khidmat Malaysia Terengganu bersama dua Exco Kerajaan Negeri turun padang mencurah bakti membersihkan rumah hampir 500 buah yang terjejas akibat banjir di perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong, pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat dalam gotong-royong kali ini adalah sukarelawan daripada Jabatan Amal, Terengganu Volunteer (T-VOLT), Alternative Riding Club Terengganu (ARC) dan lain-lain lagi.
“Program dapur rakyat turut menyediakan makanan untuk tuan-tuan rumah dan ahli keluarga yang terkesan di sini pada jam 11 pagi.
“Pasukan kami mengeluarkan harta benda dan peralatan rumah yang rosak dan membersihkan kawasan dalam rumah, mana barangan yang boleh diguna pakai kami selamatkan dan selebihnya dilupuskan menggunakan lori.
“Sekiranya ada lagi tempat lain di sekitar kemaman yang memerlukan tenaga kerja, kami akan santuni mereka juga,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri(DUN) Kijal, Hazri Jusoh.
Sementara itu, Hanafiah yang juga Pengarah Khidmat Malaysia Negeri Terengganu, berkata, pihak kerajaan dan sukarelawan terlibat bukan sahaja datang untuk membantu membersihkan rumah , tetapi menyalurkan makanan kepada penduduk setempat melalui dapur rakyat.
“Kita berkampung di Teluk Kalong bagi menjalankan sedikit usaha kebajikan sebagai nikmat kepada rakyat disini, walaupun mereka bersedihan, Insya-Allah, kita akan menolong semampu yang mungkin,” ujarnya.
Salah seorang mangsa, Nurfaraliza Che Hussein, 35, dia turut melahirkan rasa terharu dan bersyukur atas usaha semua sukarelawan terlibat dalam membersihkan rumahnya yang paling teruk terjejas di kawasan itu.
“Hampir semua barang rosak termasuk peti sejuk, mesin basuh dan lain-lain lagi akibat paras air meningkat hingga paras pinggang.
“Terima kasih juga kepada Yang Berhormat Exco kerana mengadakan gotong-royong dan pek hidangan harini, bantuan RM500 juga akan dimanfaatkan bagi membeli barangan keperluan,” katanya.
21 Dec 20
1204
"Dulu Tok Wan Jaga Saya, Sekarang Saya Jaga Tok Wan"
KEMAMAN, 21 Disember – “Dulu Tok Wan jaga saya masa kecil, sekarang saya pula jaga Tok Wan” ulas seorang mangsa banjir yang menjaga neneknya yang berkerusi roda di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chukai, Kemaman.
Seorang remaja berusia 19 tahun, Ahmadi Badarudin, berkata, dia sentiasa mendampingi dan membantu neneknya (Tok Wan) terutamanya semasa proses pemindahan ke PPS tersebut.
“Selain kami, ada juga bapa dan ibu saudara yang dipindahkan di sini juga, kira-kira 8 keluarga dari sanak saudara yang pindah sini” katanya ketika ditemubual pemberita.
Menemubual neneknya, Nor Zailan, 62, yang juga penghidap strok, berkata, cucunya (Ahmadi) seorang anak yatim yang dijaga sejak kecil lagi.
“Sekarang kami tinggal di Kampung Pengkalan Pandan, ini kali pertama kami pindah di sini (PPS) pada tahun ini, tahun sebelumnya juga pernah berpindah juga.
“Dengan adanya Ahmad, tidak risau sangat mak cik, anak-anak pun ada PPS sini selesa dengan kelengkapan yang cukup.
Tok Wan ditemubual semasa lawatan kerja bantuan Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat di PPS SK Chukai.
Berdasarkan statistik laporan terkini bencana banjir negeri sehingga jam 12 pagi hari ini, jumlah mangsa banjir di daerah Kemaman seramai 1605 keluarga terdiri daripada 6964 mangsa yang kini ditempatkan ke 31 PPS di serata daerah.
20 Dec 20
218
Ular Sawa Peliharaan Antara 'Mangsa' Banjir Teluk Kalong
KEMAMAN, 21 Disember – Seekor ular antara 'mangsa banjir' yang dipindahkan daripada perumahan Teluk Kalong selepas kawasan itu dinaiki air baru-baru ini.
Pemilik haiwan berlesen itu, Muhammad Afendi Khalid berkata, haiwan peliharan eksotiknya itu diletakkan di dalam akuarium ketika berlakunya banjir seawal 11 pagi kelmarin.
Menurut Afendi, 35, ular sawa spesis ‘Ball Phython’ tersebut kemudiannya dipindahkan ke sangkar rumah keluarganya sekitar jam 3.30 petang semalam selepas air mulai surut.
“Sebelum berpindah semalam, air naik hampir tiga kaki, sejengkal lagi nak sampai tingkat.
“Namun begitu, dua ekor ular betina yang saya ada selamat di dalam akuarium yang tinggi dan tidak dihanyut banjir.
Afendi yang mendiami rumah tersebut bersama isterinya, mengatakan bahawa ular tersebut selamat dan tidak berbisa.
“Jiran sekeliling juga sudah biasa dengan minat saya ini, ada hari biasa ada budak-budak sekeliling teruja datang ke rumah. Lesen pemeliharan haiwan reptilian dibayar setiap tahun dan ada sijil kelulusan,"ujarnya yang juga pekerja di Zoo Kemaman.
Afendi adalah diantara lebih 2,000 mangsa banjir besar di perumahan Rumah Mampu Milik (RMM), Teluk Kalong yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Universiti Kolej TATI.
20 Dec 20
668
Jentera Gotong-Royong, Dapur Rakyat Sedia Berbakti
KEMAMAN, 20 Disember – Jentera gotong-royong dan 'dapur rakyat' daripada pihak kerajaan negeri serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersedia membantu penduduk khususnya di daerah Kemaman kembali selesa di kediaman masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, skuad itu melibatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Daerah Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman dan beberapa agensi lain lagi.
“NGO Khidmat Malaysia Terengganu yang terdiri daripada Jabatan Amal Malaysia, 4x4, serta pasukan pemuda PAS akan bersama saya dalam membersihkan rumah penduduk seperti di Air Putih pada akhir bulan November baru-baru ini.
“Bermula seawal pagi esok, pihak kami akan gotong-royong membersihkan rumah di sekitar perumahan di Teluk Kalong dan program dapur rakyat akan memasak hidangan untuk lebih 3,500 orang dan 2,000 orang lagi di Kemasik,” katanya kepada pemberita selepas memantau keadaan banjir di sekitar Kemaman.
Mengulas lanjut keadaan semasa banjir di Kemaman, Hanafiah yang juga merangkap sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Terengganu berkata, banjir di Air Putih mula surut, namun hasil tinjauan 4 pagi semalam mendapati air mengalir masuk ke kawasan Binjai, Kampung Pulau Tempurung, Pasir Minal, Bukit Baru, Kampung Pengkalan Pandan dan sekitarnya.
“Kenaikan air kira-kira satu hingga dua meter menyebabkan 467 keluarga telah dipindahkan ke tujuh PPS melibatkan 1,053 orang, manakala banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, air mula surut terutamanya di kawasan Teluk Kalong.
“Saya jangkakan dalam dua atau tiga hari lagi sebahagian mangsa banjir boleh pulang ke rumah masing-masing di mana pihak kami akan turun padang membersih sama rumah-rumah yang terkesan," tambahnya lagi.
Mangsa di perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) pulang mengambil barang sejak air surut
Berdasarkan laporan terkini Sekretariat JPBN Terengganu setakat jam 12 tengahhari, jumlah mangsa yang dipindahkan di Kemaman melibatkan 1,544 keluarga terdiri daripada 6,282 mangsa yang ditempatkan di 29 PPS di seluruh daerah.
20 Dec 20
471
Rangka Modul Pusat Rehabilitasi Pesalah Syariah
KUALA TERENGGANU, 20 Disember- Kerajaan negeri bercadang membina sebuah pusat rehabilitasi bagi pesalah syariah di Marang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, tujuannya lebih kepada pusat tarbiyah untuk pemulihan akhlak dan akidah anak-anak muda.
Satiful berkata, pihaknya kini sedang merangka modul untuk digunakan terhadap pesalah yang disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Syariah.
“Bagi mewujudkan modul ini, kita akan mendapatkan khidmat pakar dalam bidang penguatkuasaan syariah dan juga pihak mahkamah.
“Tempoh bagi pesalah syariah menjalani pemulihan juga akan bergantung kepada keputusan mahkamah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sesi Libat Urus Berkaitan Pelaksanaan Enakmen kanun Jenayah Syariah Negeri Terengganu di Dewan Auditorium Jabatan Hal Ehwal Agama negeri Terengganu, hari ini.
Katanya, pusat rehabilitasi itu juga memberi ruang dan peluang kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka yang terlibat dengan masalah akhlak dan akidah untuk mengikuti program pemulihan mengikut bimbingan Islam.
20 Dec 20
480
Kerajaan Pusat Dan Negeri Berkerjasama Hadapi Musibah Banjir
KEMAMAN, 20 Disember – Barisan kepimpinan negeri daripada peringkat pusat sehingga ke Dewan Undangan Negeri (DUN) giat berganding bahu dalam memastikan keselamatan dan kebajikan buat mangsa banjir di daerah Kemaman.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, berkata, lawatan kerja tersebut diadakan di kawasan terjejas dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sekitar DUN Kijal dan Kemasik.
“Antaranya pihak kami telah melawat salah satu PPS di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ranggon, buat sementara waktu usaha sama melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam memastikan bantuan keperluan harian disalurkan.
“Kita akan pantau keadaan dari semasa ke semasa tentang keperluan rakyat Terengganu, saya akan pastikan sebarang perkembangan dan inisiatif baharu disampaikan kepada kementerian berkenaan,” katanya ketika ditemubual pemberita, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili.
Tambah beliau lagi, jentera penyelamat dan kakitangan yang terdiri daripada pihak NADMA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta di peringkat negeri, DUN, Parlimen dan Exco sentiasa memberi tumpuan ketika musim banjir ini.
“Ini kerana isu melibatkan keselamatan nyawa dan kerosakan benda tinggi risikonya. Rekod-rekod kita turut menunjukkan bahawa persediaan bagi bencana ini ditahap yang tinggi,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai situasi banjir di Kemaman, beliau berkata, setakat jam 10 malam, seramai 4962 mangsa terkesan terdiri daripada 1199 keluarga dan 24 PPS telah dibuka.
Menemubual seorang mangsa di PPS tersebut, Ibrahim Mohd, 78, menceritakan keadaan rumahnya dipenuhi air sehingga paras betis di Damansara, Kertih pada jam 1 pagi.
Ibrahim yang mendiami rumah bersama seorang anaknya, berkata, dia memang tidak sedar langsung air naik kerana tidur ketika hujan turun pada malam itu.
“Barang pun ada yang sempat naik ada yang tidak, nasib baik anak yang tinggal bersama kejutkan pada awal pagi tadi,” katanya.
19 Dec 20
643
Tetap Berniaga Demi Keperluan Mangsa Banjir
HULU TERENGGANU, 19 Disember - Seorang suri rumah tetap berniaga ikan dan sayur di lokasi banjir bagi membantu penduduk yang terkandas.
Raja Anisah Raja Bongsu, 46, sanggup membuka gerai berhadapan rumahnya walaupun digenangi air hampir paras lutut susulan hujan lebat berterusan sejak Khamis lepas.
Katanya, ini kerana ramai penduduk sukar untuk mendapatkan bekalan makanan akibat bencana itu.
"Hampir 50 kilogram bekalan ikan dibekalkan setiap hari di samping sayur-sayuran dan barangan keperluan lain.
"Saya jual ikan ni sebab nak mudahkan orang kampung dapatkan bekalan ikan segar walaupun mereka terkandas kerana ramai penduduk yang keluar meredah air banjir untuk membeli ikan.
"Ikan yang saya jual ini adalah ikan segar seperti Selar, Kembung, Kerisi dan Selayang yang dibawa dari Kuala Terengganu. Saya menjual ikan dengan harga berpatutan dari RM10 hingga RM17 bergantung kepada jenis ikan,"ujarnya.
Dia yang bermula berniaga di lokasi berkenaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut dibantu tiga anaknya yang berusia 25 hingga 29 tahun.
"Malah, pelanggan gembira dengan tindakan saya kerana memudahkan mereka untuk mendapat bekalan makanan ketika waktu ini," katanya.
19 Dec 20
363
UniSZA Tubuh Persatuan Perhubungan Awam Pertama Di Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 19 Disember – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merupakan universiti pertama di Pantai Timur yang berjaya menubuhkan sebuah persatuan perhubungan awam pelajar, 'Institute of Public Relations Malaysia Student Association' (IPRMSA) bertujuan untuk menyatukan para mahasiswa dalam bidang perhubungan awam (PR).
Kejayaan itu dicapai pada Oktober lalu,dengan majlis pelancaran dan forum atas talian bersama sesi perkongsian tentang dunia PR dan aktiviti-aktiviti berkenaan Institute of Public Relations Malaysia (IPRM).
Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UniSZA, Professor Madya Dr. Mohd Nazri Latiff Azmi, berkata, bersama cogan kata “penglibatan tanpa batasan”, IPRMSA akan menjadi sebuah platform yang berpotensi bagi meningkatkan pengetahuan dan keupayaan dalam perhubungan awam serta meluaskan lagi kenalan.
Mengulas berkenaan kerjasama antara IPRSMA Unisza, Professor Dr. Kiranjit Kaur, berkata, kolaborasi ini bukan sahaja menyediakan satu wadah untuk pembangunan diri malah menyumbang kepada kemajuan dan transformasi dalam industri perhubungan awam.
“Bahkan juga, ia memberi pendedahan kepada perkembangan terkini dalam bidang pekerjaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhammad Nazri Abu Hassan, presiden IPRMSA UniSZA, mengulas, “Kami akan memanfaatkan kelab ini sebaik mungkin bukan sahaja bagi UniSZA tetapi keseluruhan komuniti di Terengganu,” ulasnya.
Sementara itu, Penasihat IPRSMA UniSZA, Dr. Siti Zanariah Haji Yusoff, mengulas perancangan UniSZA dalam menawarkan program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam dengan Media Kontemporari.
“Dengan penubuhan persatuan ini juga diharap agar menjadi batu loncatan bagi menunjukkan kesediaan terhadap kursus terbaharu yang dalam perancangan untuk ditawarkan,” katanya.
Untuk rekod, acara berkenaan merasmikan penubuhan 'IPRMSA UniSZA Chapter' pertama di Pantai Timur, menjadikan persatuan ke-11 di Malaysia yang menyertainya bersama universiti berprestij lain seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), UiTM dan banyak lagi.
Diterjemahkan oleh: Nur Farah Amirah Hamzah
17 Dec 20
3184