lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Peruntukan RM200,000 Disalur Selesai Masalah Laluan Pejalan Kaki Pulau Kapas
Peruntukan RM200,000 Disalur Selesai Masalah Laluan Pejalan Kaki Pulau Kapas
MARANG, 14 Mei – Peruntukan sebanyak RM200,000 bagi membaik pulih Projek Laluan Pejalan Kaki Fasa 2 di Pulau Kapas sudah diluluskan melalui Majlis Daerah Marang (MDM). Yang Dipertua MDM, Khairil Anuar Sheikh Mahmood berkata, projek tersebut dilaksanakan di bawah inisiatif Projek Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naiktaraf (PPUN) Negeri Terengganu dalam kadar segera. "Kerja-kerja baik pulih merangkumi kerja awalan, pemulihan struktur laluan, pembaikan pagar keselamatan, kerja mengecat serta pemasangan plak projek. “Selain memastikan laluan ini lebih selamat dan selesa untuk pengunjung, projek ini juga selari dengan imej Pulau Kapas sebagai salah satu destinasi pelancongan utama negeri,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja dan tinjauan projek di Pengairan Pulau Kapas baru-baru ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris, serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan. Dalam pada itu Razali berkata, Pulau Kapas yang menerima ribuan pengunjung setiap tahun memerlukan penyelenggaraan kemudahan awam yang baik bagi memastikan pengalaman pelancongan yang berkualiti. “Projek ini dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan tempatan, selain merangsang pertumbuhan ekonomi komuniti setempat melalui peningkatan jumlah pelawat ke Pulau Kapas. "Selain itu, ia sebagai salah satu usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh infrastruktur pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026)," ujarnya.  
14 May 25
301
Pengeluaran Padi: Terengganu Kedua Terbaik di Malaysia
Pengeluaran Padi: Terengganu Kedua Terbaik di Malaysia
KEMAMAN, 13 Mei – Terengganu kini semakin hampir menyaingi kawasan pengeluaran padi tertinggi negara apabila Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Bersepadu Terengganu Utara (IADA) KETARA di Besut berjaya mencapai purata 5.2 tan metrik sehektar, hanya sedikit di bawah rekod tertinggi nasional iaitu 5.6 tan metrik di Pulau Pinang. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata pencapaian ini menunjukkan potensi luar biasa sektor pertanian negeri yang sering dipandang kecil berbanding negeri pengeluar utama lain. "5.2 ini sebenarnya angka yang tertinggi dalam negara selepas Pulau Pinang. "Purata pengeluaran per hektar paling tinggi adalah 5.6 sahaja di IADA Pulau Pinang," katanya ketika berucap di Program Ramah Mesra dan Dialog Kelompok Tani & Pesawah Padi, di Rumah Tani Kampung Dadong, di sini baru-baru ini. Hadir sama, ADUN Air Putih, Mohd Hafiz Adam; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Dr. Sukati Sakka; dan Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Nazwawi Harun. Menurutnya, walaupun keluasan sawah di Vietnam dan Thailand jauh lebih luas, masing-masing 7 juta dan 9 juta hektar, serta ditanam tiga kali setahun, pendekatan Terengganu tetap pragmatik demi menjaga kelestarian. "Kita di sini nak buat Paya Dadong dan Paya Paman daripada satu kali setahun kepada dua kali setahun sahaja. "Kita tidak berhasrat untuk jadikan tiga kali setahun kerana kita faham dengan risiko bencana banjir yang dihadapi di kawasan ini," tambah beliau lagi. Beliau menegaskan bahawa musim tengkujuh yang menjadikan sawah “bertukar menjadi laut” adalah faktor utama yang menghalang penanaman sepanjang tahun. "Apabila monsun datang, semua orang kena berehat, tak boleh menanam," ujarnya.
13 May 25
3386
RM1.5 Juta Dibelanja Naik Taraf, Infrastruktur Sawah
RM1.5 Juta Dibelanja Naik Taraf, Infrastruktur Sawah
KEMAMAN, 11 Mei – Lebih RM1.5 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan Terengganu sejak 2019 bagi menaik taraf sistem pengairan dan infrastruktur pertanian di Paya Dadong dan Paya Paman, namun hakikatnya, jika tiada beras, tiada siapa dapat menjamah nasi, walaupun wang berbillion di tangan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, keseluruhan jumlah tersebut merangkumi peruntukan dari kerajaan negeri, persekutuan dan pelbagai sumber lain bagi membina pagar, jalan ladang serta sistem pengairan moden. "Kalau dicampur, sebanyak RM1.576 juta telah kita salurkan di Paya Dadong dalam tempoh enam tahun, dan kalau dibahagi kepada 19 orang peserta, akan jadi RM82 ribu seorang. "Baik kita bahagi duit, tak payah tanam padi, tapi kalau tiada beras, macam mana kita nak makan nasi?,” katanya, sebagai sindiran kepada pandangan yang menganggap pertanian sebagai beban perbelanjaan. Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Ramah Mesra dan Dialog Kelompok Tani & Pesawah Padi, di Rumah Tani Kampung Dadong, di sini hari ini. Turut hadir, ADUN Air Putih, Mohd Hafiz Adam; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Dr. Sukati Sakka; dan Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Nazwawi Harun. Menurut beliau, peruntukan tambahan sebanyak RM500 ribu turut disalurkan di kawasan Paya Paman yang hanya mempunyai enam peserta, menjadikan peruntukan per individu lebih tinggi, namun prinsip kerajaan tetap sama, galakkan kerja, bukan beri tunai. "Kalau kita bahagi kepada enam peserta, setiap orang akan dapat RM83 ribu, tapi kita tak buat begitu sebab kita nak tuan puan terus berusaha," katanya. Dr. Azman turut mendedahkan pengalaman peribadinya sewaktu mula menjadi Exco pada tahun 2018, apabila didatangi seorang penasihat kanan kepada pemimpin negara mempersoalkan keutamaan kerajaan negeri dalam sektor penanaman padi. "Dia kata petani tetap miskin, lebih baik beli saja beras dari luar, tak perlu subsidi, tak perlu tali air, tak perlu buat empangan dan jalan ladang," katanya memetik perbualan tersebut. Namun katanya, realiti dunia menunjukkan bahawa wang semata-mata tidak mampu menyelamatkan negara ketika krisis makanan, apatah lagi jika negara pengeluar menutup pintu eksport. "Saya kata, kita boleh beli kalau ada orang nak jual, tapi kalau sampai masa kita ada duit tapi tiada siapa nak jual, kita boleh beli tak?" katanya tegas. Beliau menegaskan, negara seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam sendiri pernah menyekat eksport beras sehingga keperluan domestik mereka mencukupi. "Polisi mana-mana negara mesti mencukupkan makanan untuk rakyat dulu sebelum dibenar eksport," jelasnya. Azman menyimpulkan bahawa dalam krisis sebenar, kekayaan bukan lagi pada wang, tetapi pada makanan yang cukup untuk rakyat. "Orang bijak pernah kata, ketika krisis makanan, orang paling kaya ialah orang yang ada makanan," ujarnya.  
11 May 25
150
Sultan Mizan Berangkat Ke Forum Agama Bersama Warga Setiu
Sultan Mizan Berangkat Ke Forum Agama Bersama Warga Setiu
SETIU, 10 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Forum Agama Sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-63 tahun semalam.  Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka-paduka anakanda. Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Program yang berlangsung di Tapak Pasar Pagi Bandar Permaisuri, Setiu, dihadiri peserta pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri daripada penjawat awam, pelajar-pelajar serta masyarakat setempat. Forum bertajuk 'Akidah Islamiyyah: Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah' itu menampilkan Tuan Zakaria Othman sebagai moderator bersama tiga ahli panel terdiri daripada Zul Ramli Mohmmed Razak, Dato’  Kamarudin Abdullah, dan Prof. Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail al-Qudsy. Antara intipati forum yang berlangsung selama dua jam itu ialah penekanan terhadap asas keteguhan akidah yang menjadi kunci kepada pengukuhan keimanan kepada Allah S.W.T. bagi umat Islam. Dalam pada itu, salah seorang pengunjung yang hadir, Atiekah Ali, 27, menyatakan keterujaannya melihat penyertaan daripada penduduk daerah Setiu dalam menghadiri majlis ilmu khususnya di Bandar Permaisuri pada malam itu tadi. "Sepanjang hidup saya di Permaisuri, ini adalah merupakan kali pertama saya merasai sendiri pengalaman di mana ramai orang berkumpul untuk menghadiri program seperti ini dan paling istimewa, Sultan sendiri turun (datang) ke sini. "Mungkin sebelum ini saya terlepas pandang akan anjuran program sedemikian di kawasan ini (Bandar Permaisuri), namun saya masih merasa kagum melihat bilangan ramai orang bersungguh-sungguh untuk hadir.   Dia yang merupakan seorang usahawan di kawasan berhampiran tapak majlis tersebut berkata demikian ketika ditemui oleh pihak Urus Setia Darul Iman, di sini, semalam.  
10 May 25
1021
Terengganu Tegas Larang Homoseksual
Terengganu Tegas Larang Homoseksual
KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Kerajaan negeri menegaskan bahawa larangan terhadap perlakuan homoseksual menerusi papan tanda yang dipasang di laluan utama berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) adalah sebahagian daripada pendekatan dakwah berteraskan prinsip 'amar makruf nahi mungkar'. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, inisiatif oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu disokong penuh sebagai satu usaha mendidik masyarakat agar menjauhi perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT berdasarkan dalil-dalil jelas daripada Al-Quran dan Sunnah. "Larangan terhadap homoseksual bukanlah perkara baharu dalam Islam. Ia telah disebut dalam banyak ayat Al-Quran, termasuk kisah kaum Nabi Lut AS, yang dihancurkan kerana mengamalkan perbuatan songsang tersebut. "Menegur kesalahan dan mencegah kemungkaran adalah sebahagian daripada kasih sayang terhadap manusia, agar mereka tidak terus berada dalam kesesatan. "Maka, sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, masyarakat perlu menzahirkan penolakan terhadap perbuatan mungkar ini secara hikmah dan tegas. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang telah dikeluarkan melalui laman sosial media rasminya, semalam. Khalil juga menolak dakwaan bahawa papan tanda tersebut merupakan satu bentuk diskriminasi terhadap golongan minoriti dan menegaskan bahawa ia bukan soal membenci individu, tetapi membenci perbuatan yang bertentangan dengan fitrah dan syariat. Jelasnya, dakwah memerlukan pendekatan yang memandu manusia ke arah kebaikan, dan langkah seperti ini adalah salah satu usaha berterusan kerajaan negeri untuk membina masyarakat yang sejahtera dan diberkati. "Kerajaan negeri menyeru semua pihak agar memahami konteks dakwah ini dengan hati terbuka dan tidak mempolitikkan atau memutarbelitkan mesej yang ingin disampaikan," ujarnya. Tambah beliau, Terengganu sebagai negeri yang memartabatkan syariat Islam akan terus mengangkat usaha pencegahan, pendidikan dan penerangan dalam membina masyarakat yang patuh kepada ajaran agama. Terdahulu, seorang ahli akademik tempatan telah mempersoalkan keputusan yang telah diambil oleh kerajaan negeri dan menyifatkan tindakan itu sebagai 'pengendorsan kebencian yang berbahaya'.
10 May 25
399
Sultan Mizan Hadir Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat Di Setiu
Sultan Mizan Hadir Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat Di Setiu
SETIU, 10 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli ke Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu. Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Sultanah Nur Zahirah; Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka-paduka anakanda. Turut mengiringi, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia dan barisan-barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu. Majlis juga diserikan dengan persembahan kebudayaan daripada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), dendangan nyanyian daripada artis tempatan serta tarian tradisional pelajar Sekolah Kebangsaan Tanjung Gelam. Jamuan yang berlangsung di Kompleks Sukan Sungai Tarom, Bandar Permaisuri, Setiu itu dihadiri lebih ribuan pengunjung yang terdiri daripada penjawat awam, pelajar-pelajar serta masyarakat setempat.      
10 May 25
1542
Sultanah Nur Zahirah Berkenan Berangkat Ke Hospital Setiu
Sultanah Nur Zahirah Berkenan Berangkat Ke Hospital Setiu
SETIU, 10 Mei - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke Hospital Kluster Setiu, Terengganu, bersempena sambutan ulang tahun ke-63 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, kelmarin.  Mengiringi baginda, paduka anakanda-anakanda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja serta diiringi isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman. Keberangkatan tiba Sultanah turut disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Hospital Setiu, Dr. W. Md Shihabudin Wan Mamat. Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik. Sultanah Nur Zahirah berkenan meluangkan masa selama satu jam meninjau wad kanak-kanak dan wad bersalin di hospital berkenaan. Dalam masa sama, baginda turut beramah mesra bersama pesakit dan kakitangan perubatan, selain menyantuni ibu-ibu yang sedang menerima rawatan selepas melahirkan anak. Sejak penubuhannya, Hospital Setiu telah berkembang dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan, termasuk unit kecemasan dan trauma, hemodialisis, klinik pakar, serta wad bersalin dan pediatrik, menjadikannya pusat rujukan penting di kawasan tersebut, memberi akses mudah bagi penduduk tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada hospital di daerah lain Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Hospital Setiu mula dibina pada Oktober tahun 2000 di bawah Projek Rancangan Malaysia ke – 7. Ia merupakan 'Turnkey Project' dengan kos pembinaan sebanyak RM65,662,790. Memulakan operasinya pada 7 Disember 2003 dengan pembukaan unit kecemasan, diikuti dengan pembukaan wad perempuan pada Januari 2004, wad lelaki pada April 2004 dan wad kanak-kanak pada Oktober 2004 manakala, dewan bersalin pula telah dibuka kepada pesakit mulai 9 Mei tahun yang sama. Meliputi kawasan seluas 8.3 hektar dari 16.2 hektar luas kawasan dengan jarak dua kilometer dari Bandar Permaisuri, ia berada dengan jarak 72 kilometer dari daerah Kuala Terengganu dan 40 kilometer dari Jertih, Besut.  
10 May 25
365
Permit Khas Candat Sotong Diperkenal
Permit Khas Candat Sotong Diperkenal
KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Kerajaan Negeri dalam proses mengeluarkan permit khas bagi membolehkan lebih ramai pengusaha bot nelayan terlibat dalam Program Candat Sotong Terengganu, yang semakin mendapat sambutan daripada pelancong setiap kali musimnya tiba. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, isu berkaitan pengusaha bot nelayan yang tidak memiliki lesen 'Sport Fishing' telah diberi perhatian sejak tahun lalu. "Bagi pelaksanaan Program Candat Sotong ini, kita memperkenalkan permit khas yang terhad kepada jarak tiga hingga empat kilometer dari daratan sahaja. Permit ini hanya sah sepanjang musim mencandat iaitu dari bulan April hingga Oktober," katanya. Beliau berkata demikian dalam satu sidang media sempena Pelancaran Program Musim Candat Sotong yang diadakan di Bilik Jawatankuasa 1, Tingkat 6, Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Hadir sama Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan. Beliau menjelaskan, pihak kerajaan sedang berusaha untuk memastikan permit tersebut dapat dikeluarkan dengan segera bagi memudahkan penyertaan pengusaha bot di seluruh negeri. "Lebih daripada 4,000 bot nelayan di Terengganu dari Kemaman hingga ke Besut terlibat dalam program ini, kecuali bot laut dalam. Program ini penting kerana memberi peluang kepada nelayan menjana pendapatan sampingan dengan membawa pelancong merasai sendiri pengalaman mencandat sotong," tambahnya. Mengulas lebih lanjut, Razali berkata, pada asalnya permit khas tersebut sepatutnya telah dikeluarkan, namun pelaksanaannya masih memerlukan sedikit masa kerana terdapat beberapa perkara yang perlu diperincikan bagi memastikan program berjalan dengan lancar. "Akan diadakan satu lagi mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan isu berkaitan keselamatan bot, yang masih dalam perbincangan antara Jabatan Laut, Jabatan Perikanan serta para pengusaha," katanya. Tambahnya lagi, sebelum ini pihaknya telah mengadakan sesi libat urus bersama lebih 3,000 pengusaha bot yang memohon untuk mendapatkan kebenaran menyertai program ini memandangkan kebanyakan daripada mereka hanya memiliki lesen bagi menjalankan aktiviti menangkap ikan secara memukat. "Mereka yang telah memiliki lesen 'sport fishing' tidak perlu memohon permit khas kerana ia sudah termasuk dalam kebenaran mencandat sotong. Cuma bot-bot pesisir ini sahaja yang memerlukan permit khas. "Kita wujudkan permit khas yang berbeza daripada lesen sedia ada, dan permit ini hanya terpakai untuk tempoh April hingga Oktober sahaja," katanya.  
08 May 25
1319
Program Candat Sotong Kini Bertaraf Antarabangsa
Program Candat Sotong Kini Bertaraf Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 8 Mei – Program Mencandat Sotong Terengganu kini melangkah ke pentas antarabangsa apabila berjaya menarik penyertaan wakil luar negara seperti dari Thailand, Singapura dan Filipina. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, promosi dilaksanakan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) mendapat sambutan amat memberangsangkan, termasuk daripada peserta antarabangsa yang akan menyertai program sepanjang musim dari April hingga Oktober. “Lebih 3,000 bot yang dikhususkan bagi aktiviti mencandat sotong akan beroperasi di seluruh perairan Terengganu, dan dijangka menarik lebih 30,000 pelancong sepanjang musim ini. “Ia berpotensi menjana pulangan ekonomi sekitar RM7.5 juta menerusi tempahan penginapan, pakej candat, serta limpahan ekonomi kepada komuniti tempatan,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Pelancaran Program Musim Candat Sotong yang diadakan di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1, Tingkat Enam, Wisma Darul Iman, semalam. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan. Tambah beliau, karnival utama yang dinamakan 'Pakat Maghi Candak Sutong' akan berlangsung pada 8 hingga 11 Mei bertempat di Tempat Letak Kereta Menara Jam, Jeti Pelancongan Marang. “Istimewanya kali ini, program ini bukan sahaja akan dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, malah turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud serta barisan EXCO Kerajaan Negeri Kelantan,” ujarnya. Razali turut menyatakan keyakinan bahawa Program Candat Sotong bakal menjadi produk pelancongan ikonik negeri yang mampu menembusi pasaran serantau secara lebih meluas pada masa akan datang. Dalam pada itu, Razali berkata antara kelainan yang turut dilakukan bagi menggandakan kemeriahan program akan ada 14 karnival yang diadakan sepanjang program selain tiada pertandingan yang akan dianjurkan. “Sebaliknya ditekankan elemen pelancaran musim dan keterlibatan pelbagai sektor seperti komuniti, pelancong, media dan agensi pelancongan. “Turut serta dalam liputan ialah media perdana, media sosial serta pemengaruh dari dalam dan luar Terengganu termasuk dari Thailand yang akan membantu memperluaskan capaian program ini secara digital dan nasional,” ujarnya. Dalam pada itu katanya, bagi mempergiatkan promosi dan sokongan daripada industri perhotelan, beberapa hotel utama di Kuala Terengganu akan turut memperkenalkan menu bertemakan sotong.  
08 May 25
294
Sultan Terengganu Santuni Warga Istimewa dan Fakir Miskin
Sultan Terengganu Santuni Warga Istimewa dan Fakir Miskin
KUALA TERENGGANU, 6 Mei – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Jamuan Bersama Warga Istimewa dan Fakir Miskin sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-63, yang berlangsung penuh istiadat di Dewan Santapan, Istana Syarqiyyah, di sini hari ini. Keberangkatan baginda diiringi oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah; Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka anakanda, Tengku Seri Setia Mahkota Raja Tengku Dato’ Seri Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin dalam suasana penuh tertib dan kasih rakyat. Majlis tersebut turut diserikan kehadiran Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim. Pada majlis tersebut, Sultan Mizan turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 400 penerima, meliputi 200 warga istimewa daripada pelbagai kategori OKU di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 100 ibu tunggal yang diselaras Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan 100 fakir miskin di bawah penyelarasan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). Masing-masing menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM500 seorang, sebagai tanda kasih dan keprihatinan seorang raja terhadap golongan yang memerlukan perlindungan dan perhatian.  
06 May 25
685