Artikel "Semasa" Terkini
Gagal Patuhi Penjarakan Fizikal Punca Kes Meningkat
KUALA NERUS, 25 Januari - Sikap segelintir masyarakat yang tidak mengendahkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjadi salah satu punca peningkatan kes COVID-19 di Terengganu.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, antara faktornya adalah tidak mematuhi arahan penjarakan sosial yang sepatutnya.
"Walaupun sektor ekonomi dibuka oleh MKN tetapi penjarakan fizikal harus dipatuhi.
"Ini bagi memastikan rantaian wabak pandemik itu dapat diputuskan sekaligus mengurangkan risiko jangkitan virus tersebut," katanya.
Beliau yang juga dalam tempoh kuarantin kendiri di rumahnya turut menasihati orang ramai khususnya warga Seberang Takir tidak mengambil kesempatan diatas pembukaan sektor ekonomi dengan bersesak-sesak dalam pada satu-satu masa.
"Jaga diri kita dan elakkan duduk bersesak, pilih waktu yang terbaik jika terpaksa keluar termasuk mematuhi arahan dari MKN," ujar beliau.
Tambahnya lagi, dengan peningkatan angka sejak dua hari yang lalu boleh menyebabkan banyak sektor akan ditutup termasuk sesi persekolahan.
Terdahulu katanya, beberapa buah sekolah di Terengganu diarahkan tutup ekoran terdapat kluster baru dikesan.
25 Jan 21
523
Hasil Pertanian Terengganu Meningkat 13 Peratus
KUALA TERENGGANU, 25 Januari – Walaupun berdepan cabaran COVID-19, pengeluaran hasil pertanian Terengganu tetap meningkat sebanyak 13 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kuantiti pengeluaran hasil pertanian untuk tempoh Januari sehingga November tahun lepas mencatatkan sebanyak 54,391 metrik tan.
“Nilai keluaran tersebut kira-kira RM1.05 juta berbanding dengan tahun 2019 sebanyak 43,486 metrik tan sahaja.
“Selain itu, statisktik sektor perikanan sehingga November 2020 turut menunjukkan peningkatan daripada 4,468 metrik tan pada tahun 2019 kepada 5,133 metrik tan, peningkatan sebanyak 13 peratus.
“Dari segi ternakan, kuantiti hasil pengeluaran seperti lembu, ayam, kambing dan biri-biri amat membanggakan dengan catatan 25,537 metrik tan bernilai RM153.8 juta berbanding 7,585.5 metrik tan pada tahun 2019,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap secara atas talian dalam Majlis Pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 di Wisma Darul Iman, pagi tadi.
Sementara itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kepentingan sektor pertanian dalam memastikan bekalan makanan mencukupi supaya kesejahteraan sesebuah rakyat terjamin.
“Oleh yang demikian, kita sasarkan peningkatan tahap sara diri atau ‘self-sufficient level’ padi sebagai makanan ruji di Terengganu daripada 47 peratus kepada 53 peratus menjelang tahun 2021,” ulasnya.
Tambah beliau, penghasilan makanan dan pertanian berskala besar dan berteknologi tinggi boleh menjadi satu peluang kerjaya pada generasi ketika ini terutamanya golongan belia dan B40.
25 Jan 21
593
Terengganu Catat Kes COVID-19 Tiga Digit Berturut-turut
KUALA TERENGGANU, 25 Januari - Terengganu merekodkan kes baharu COVID-19 tiga digit untuk tiga hari berturut-turut.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi binti Yunus berkata, berlakunya penularan yang sangat besar di Terengganu ketika ini disebabkan oleh beberapa kluster dengan bilangan kes yang sangat ramai.
"Antaranya, Kluster Kebor Air, bayangkan jumlah kes kluster ini seramai 91 orang. Masih ada pertambahan kes nanti. Bayangkan kontak rapat untuk bilangan kes seramai ini. Tentulah ia mengambil masa sedikit untuk reda.
"Kluster Kampung Bukit Biah Hulu Terengganu. Kluster ini datang jauh dari Wilayah Persekutuan. Mereka naik bas bersama- sama. Bayangkan dari seramai 29 penumpang bas, seramai 21 positif. Akhirnya menjangkiti ahli keluarga yang lain. Total kes kluster ini seramai 59 orang. Virus dalam bas ini masih lagi bergerak.
"Kluster Guntung Luar juga masuk daripada sebuah perhimpunan di Kuala Lumpur. Akhirnya balik sekali ke Terengganu. Seramai 15 orang telah dijangkiti," ujarnya seperti yang dipetik dalam laman facebook rasminya, hari ini.
Sementara itu katanya, Kluster OKT yang dikesan di penjara dan merupakan 'closed community', justeru risiko menular dalam komuniti adalah rendah.
"Ada lagi beberapa kluster yang masih aktif yang melibatkan sekolah dan lain-lain," ujarnya.
Nor Azimi berkata, sekiranya pergerakan dikawal, berkumpulan ditangguhkan dan semua patuh SOP, kluster- kluster begini boleh dielakkan.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan, Kluster Kebor Air didaftarkan atas alamat kes pertama kluster tersebut dan ia bukan berpusat di kampung itu.
"Sebaliknya ia melibatkan kluster tempat kerja. Sudah menjadi satu syarat semua kluster akan didaftar mengikut alamat tempat tinggal atau alamat tempat kerja kes indeks.
"Setakat ini tiada kes lain dikesan di Kampung Kebor Air kecuali kes indeks. Justeru sangat tidak wajar penduduk Kampung Kebor Air dipulaukan atau dinafikan hak untuk memasuki mana-mana premis," jelasnya.
25 Jan 21
3033
Sedia Bekerjasama Bantu Rakyat
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 24 Januari – Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu sedia bekerjasama dengan agensi kerajaan ataupun Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk turun padang membantu meringankan beban rakyat negeri ini.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, ia sangat penting dan Badan Legislatif perlu bergerak ke hadapan melihat kepada perubahan-perubahan yang berlaku.
“Kita mahu Badan Legislatif dilihat yang unggul dan pada masa yang sama dekat dengan rakyat.
“Lebih-lebih lagi sekarang kita dalam pandemik COVID-19 ini dan perlu bersama-sama membantu rakyat yang memerlukan” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam siaran langsung Merintis Keunggulan Legislatif Terengganu di Paya Bunga Hotel, baru-baru ini
Justeru itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar sama-sama bermunajat memohon doa agar virus COVID-19 terhapus di negara ini.
“Kita berusaha menangani pandemik ini dengan bermunajat kepada Allah supaya Allah beri keselamatan dan insya Allah kita kembali hidup seperti biasa,” ujarnya.
25 Jan 21
88
LUHAM Saran 'Standing Orders' Ditulis Rumi
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 25 Januari – Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Terengganu (LUHAM) cawangan Terengganu menyarankan agar Buku Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri (DUN) ataupun dipanggil ‘Standing Orders’ ditulis dalam rumi.
Pengerusinya, Mohd Kamaruzaman Ab Wahab berkata, sebelum ini, DUN Terengganu menggunakan Undang-undang dan Perintah Tetap Dewan yang telah digubal pada tahun 1960.
“Saya mencadangkan supaya diwujudkan satu salinan naskah dalam bahasa Melayu bertulisan rumi.
“Naskah yang ada melibatkan peraturan dan perintah tetap DUN Terengganu sekarang ini adalah dalam Bahasa Inggeris dan juga dalam Bahasa Melayu bertulisan Jawi.
“Jadi tidak ada lagi dalam bentuk naskah yang disahkan yang bertulisan rumi dan Bahasa Melayu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam siaran langsung Merintis Keunggulan Legislatif Terengganu bersama Yang di-Pertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali di Hotel Paya Bunga, baru-baru ini.
Katanya, perjalanan dewan setakat ini berjalan dengan lancar dan tersusun dengan baik.
“Dari sudut undang-undang itu memang perlu diperbaiki dan ditambah baik .
“Saya dan beberapa ahli jawatankuasa mencadangkan beberapa penambahbaikan peraturan supaya perjalanan dewan berjalan lebih baik,” ujarnya.
Kamaruzaman menambah, ia penting kerana Ahli–ahli DUN dapat merujuk kepada buku Peraturan dan Perintah Tetap Dewan.
“Saya juga mencadangkan mewujudkan satu jawatankuasa khusus Peraturan dan Perintah Tetap DUN bagi membuat mesyuarat untuk menambah atau menunda peraturan-peraturan yang ada bagi menambah baik lagi peraturan yang ada.
“Saya percaya peraturan itu dah baik cuma tambah untuk jadi lebih baik,” jelasnya.
Selain itu, beliau juga mencadangkan beberapa penambahbaikan pada pentadbiran DUN seperti penambahan pegawai untuk memastikan perjalanan dewan berjalan secara lebih teratur, penambahbaikan dari sudut peraturan perbahasan yang mantap, matang dari ahli-ahli DUN dan bersifat akademik.
“Mungkin dengan kewujudan komuniti-komuniti tertentu boleh membantu DUN ini menjalankan kerja ‘semak dan imbang’.
“Contohnya perlu ada jawatankuasa ‘nisbah’ yang boleh menjalankan kerja semak dan imbang dengan lebih baik,” tambahnya.
Justeru itu, beliau berharap dengan penambahbaikan tersebut dapat membantu ahli–ahli DUN menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik dan mantap serta memberi faedah kepada rakyat.
25 Jan 21
211
72 Program Rancakkan Sektor Pertanian
KUALA TERENGGANU, 25 Januari – 72 program diatur sempena Tahun Pertanian Terengganu 2021 bagi merancakkan lagi sektor pertanian sekali gus membela ekonomi rakyat dalam negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program tersebut melibatkan kerjasama dengan pelbagai jabatan dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan.
“Antaranya 18 program melibatkan Jabatan Pertanian, 15 program tersebut melibatkan Pejabat Perikanan Negeri Terengganu dan 9 program melibatkan penternakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri.
“Tambah lagi 10 program dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) serta Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara (LKTN).
“IADA Ketara dan Lembaga Pertubuhan Peladang masing-masing akan menganjurkan dua program manakala empat lagi program akan diusahakan agensi-agensi lain,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 secara atas talian di Wisma Darul Iman, pagi tadi.
Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Tambah Dr Azman, bagi memastikan program tersebut berjalan lancar, kerajaan negeri mengambil langkah sistematik dengan mewujudkan Sekretariat Khas Tahun Pertanian Terengganu.
“Peranan pasukan khas ini sebagai urusetia kepada program dan projek yang dijalankan dan memantau serta menilai keberkesanan 72 program dan 13 projek yang akan dilaksanakan sepanjang tahun.
“Mereka juga bertanggungjawab dalam mengemukakan laporan kepada mesyuarat Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri,” katanya lagi.
25 Jan 21
400
Nasi Padang, Rezeki Anak Muda Di Musim PKP
KUALA NERUS, 25 Januari – Nasi padang menjadi punca rezeki bagi sekumpulan anak muda dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Walaupun berdepan beberapa kekangan seperti pelanggan tidak dibenarkan menjamu di dalam premis, ia tidak menghalang mereka untuk mengaut keuntungan bagi menyara diri dan keluarga.
Pengusaha warung nasi padang tersebut, Muhammad Yusouf Ghazali, 27, berkata, sejak PKP 2.0 dilaksanakan pada 22 Januari lalu, aneka pilihan lauk terpaksa dikurangkan akibat kekangan semasa namun kedatangan pelanggan hanya terjejas kira-kira 30 peratus berbanding hari biasa.
“Nasi padang kami sesuai ketika musim PKP kerana harganya yang murah dan kuantiti banyak iaitu RM6 sebungkus nasi sekali dengan satu pilihan lauk.
“Contohnya, lauk paling terkenal seperti ayam percik atau daging rendang sekali nasi tidak sampai RM7 habis dibeli pelanggan, rata-rata pekerja dari Dataran Austin dan penduduk berdekatan sekitar 10 kilometer yang ingin berjimat.
“Hasilnya jumlah pembeli masih mencecah 300 orang sehari yang datang bungkus mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya ketika ditemu bual pemberita baru-baru ini.
Tambah anak keempat daripada tujuh adik beradik itu, idea bisnes itu dicetuskan bapanya pada tahun 2018.
"Hingga sekarang saya masih mengekalkan lima pekerja yang juga pemuda berumur 20-an," katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan tetap dari Bukit Tunggal, Laily Harun, 48, berkata, harga murah dan pelbagai aneka lauk-pauk menjadi sebab dia menjadi pelanggan tetap di situ.
“Sebelum musim PKP pun saya datang dan belikan untuk keluarga di rumah,” ujarnya.
Untuk rekod, Kedai Nasi Padang tersebut terletak di depan pasaraya Sabasun 2 di Wakaf Tembesu dan dibuka bermula jam 10.30 pagi hingga 4 petang bergantung kepada permintaan dan kuantiti lauk.
25 Jan 21
1905
DUN, Parlimen Jadi Institusi ‘Check And Balance’
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 24 Januari - Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen adalah tempat membangkitkan sebarang isu atas apa-apa tindakan yang menjadi keputusan kerajaan.
Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Malaysia (LUHAM) cawangan Terengganu, Mohd Kamaruzaman Ab Wahab berkata, DUN dan Parlimen menjadi satu institusi ‘check and balance’ atau semak dan imbang kepada kuasa eksekutif.
"Dari sudut ini, DUN dan Parlimen (Dewan Rakyat) mengambil tempat untuk mempertanggungjawabkan tindakan kerajaan atas apa keputusan mereka.
"Ini sebahagian besar supaya segala tindakan kerajaan ada 'check and balance' untuk memastikan kerajaan berjalan dengan baik dan segala keputusan kerajaan adalah keputusan yang baik untuk seluruh rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam siaran langsung Merintis Keunggulan Legislatif Terengganu bersama Yang di-Pertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali di Paya Bunga Hotel, baru- baru ini.
Menurut Kamaruzaman, mengikut Perlembagaan Malaysia, undang-undang di negara ini mempunyai tiga kuasa besarnya.
Antaranya, pertama prinsip pembahagian kuasa eksekutif iaitu kuasa Perdana Menteri, kuasa Menteri Besar dan para Exco (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri).
"Yang kedua dikenali legislatif iaitu kuasa perundangan ini diberi kepada Parlimen dan DUN manakala yang ketiga, badan kehakiman.
"Ini satu badan yang mana mengikut Perlembangaan, bebas campur tangan daripada badan-badan lain,” jelasnya.
Katanya, fungsi besar DUN dan Parlimen adalah menggubal, memperkenalkan, membatalkan ataupun meminda undang-undang yang ada.
"Ini tugas Parlimen dan DUN yang mana ia melalui proses tertentu di mana adanya Pembentangan, ada Rang Undang-undang Perbahasan dan akhirnya lulus ataupun tidak.
"Fungsi kedua adalah meluluskan perbelanjaaan kerajaan yang kita panggil Bajet (Belanjawan), kalau DUN ataupun Parlimen tak lulus maka kerajaan tidak boleh berbelanja,” tegasnya.
Menurutnya, Dewan Parlimen atau DUN ada kuasa bagi memecat Perdana Menteri atau Menteri Besar sekiranya, wujud undi tidak percaya.
24 Jan 21
304
Pesuruhjaya Pas Terengganu Positif COVID-19
KUALA TERENGGANU, 24 Januari - Pesuruhjaya Pas Terengganu, Senator Datuk Husain Awang telah disahkan positif COVID-19 pada hari semalam.
Setiausaha Perhubungan Pas negeri, Muhyidin Abdul Rashid memaklumkan, walau bagaimanapun kondisi beliau masih sihat tanpa sebarang gejala dan kini sedang ditempatkan di Hospital Setiu untuk rawatan lebih lanjut.
"Dukacita dimaklumkan, Senator Dato' Husain Awang, Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu telah disahkan positif Covid-19 hari ini.
"Marilah bersama kita berdoa agar beliau dilindungi Allah serta dikurniakan kesejahteraan dan keafiatan," katanya dalam satu kenyataan semalam.
24 Jan 21
1362
'SOP' Cegah Wabak Ikut Syariat
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Mufti Terengganu, Dato’ Dr Haji Zulkifly Muda menafikan dakwaan berkenaan penjarakan fizikal yang disarankan oleh pihak berautoriti termasuk ketika beribadah di masjid dikatakan mengikut amalan dan arahan musuh Islam seperti Yahudi dan Kristian.
Katanya, ia adalah tidak benar sama sekali kerana penjarakan yang dilakukan adalah usaha dan ikhtiar untuk menghindarkan diri daripada merebaknya penyakit virus COVID-19 daripada terus menular.
"Kita ada tiga kategori, yang pertama akidah, yang kedua syariah dan ketiga akhlak atau tasawwur. Akidah itu datang semuanya daripada Allah dan kita tak dapat nafikan perkara itu.
"Tetapi dari segi syariat, patuh yang kita lakukan di antaranya kita berusaha untuk lari dari penyakit seperti yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW, 'kamu
hendaklah lari dari penyakit kusta sebagaimana kamu lari daripada singa', Itu adalah usaha," jelasnya ketika ditemui selepas menandatangani perasmian Surau Al- Ikhsan Kampung Che Hassan, Kampung Gelugur Kedai, Marang, baru-baru ini.
Katanya, penjarakan fizikal adalah usaha yang berteraskan kepada syariat (Islam).
Sementara itu, kata Dr Zulkifly masih ramai lagi yang keliru dengan dakwaan yang mengatakan penyakit COVID-19 ini berpunca daripada penyakit yang sengaja diwujudkan.
"Tidak ada bukti yang kukuh, sebab kalau kita kata perkara itu daripada (perbuatan) Yahudi, sedangkan negara Israel sendiri lebih kena penyakit ini.
"Kalau mereka rancang kenapa rakyat mereka sendiri kena. Kalau Yahudi rancang kenapa orang Yahudi yang kena. Jadi tidak ada bukti perkara itu," ujarnya.
Justeru itu, kata beliau, anggaplah ini (COVID-19) satu pendemik yang perlu diusahakan (ubat) supaya rakyat seluruh dunia terselamat dari wabak yang berbahaya ini.
23 Jan 21
459