lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Transaksi Jual Beli Dalam Talian Melonjak
Transaksi Jual Beli Dalam Talian Melonjak
KUALA BERANG, 30 Mac- Transaksi aktiviti jual beli dalam talian melonjak ketara sehingga RM2.5 billion tahun lalu, berbanding RM1.7 billion pada 2019, selaras peralihan kepada trend perdagangan dalam talian kesan pandemik COVID-19. Malah, jumlah pendaftaran perniagaan dalam talian yang direkodkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga menunjukkan peningkatan sehingga 240,000 tahun lalu berbanding 40,000 setahun sebelum ini, menjadikan keseluruhan 489,958 perniagaan dalam talian yang mendaftar sehingga 2020. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, jumlah itu melonjak ketara berbanding hanya 243,560 perniagaan dalam talian yang berdaftar dengan SSM sehingga 2019. "Pandemik COVID-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan sejak tahun lalu membuatkan peniaga dan pengguna beralih kepada aktiviti jual beli dalam talian.  "Ia satu perkembangan yang sangat baik dalam pada kita menghadapi cabaran pandemik COVID-19 ini kerana mempercepatkan penerimaan dan penggunaan terhadap digitalisasi dalam sektor peruncitan selaras hasrat kementerian," katanya selepas Program Malaysia Prihatin di Dewan Sivik Ajil, di sini.   Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.  Selain itu Rosol berkata, rekod juga menunjukkan transaksi e-wallet melonjak sehingga lebih 100 peratus iaitu daripada RM300 juta pada 2019 kepada RM600 juta tahun lalu.  Mengulas mengenai kecenderungan baharu masyarakat pengguna itu, Rosol berkata, penawaran harga yang lebih kompetitif berbanding jual beli secara fizikal merupakan antara faktor perniagaan dalam talian semakin mendapat tempat di hati pengguna.  Katanya ramai peniaga terutama daripada sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana yang memiliki tapak perniagaan secara fizikal juga semakin beralih kepada platform e-dagang yang terbukti membantu melonjakkan pulangan perniagaan mereka. Sementara itu mengulas mengenai Program Malaysia Prihatin, Rosol berkata, ia adalah platform untuk menjelaskan dan memberi maklumat tepat kepada masyarakat mengenai usaha Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk menangani pandemik COVID-19. "Di Terengganu, saya bersama Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato' Ahmad Amzad Hashim akan menjelajah ke lapan kawasan Parlimen di Terengganu untuk bertemu masyarakat dan menyampaikan fakta dan kebenaran mengenai usaha kerajaan menangani COVID-19 kepada masyarakat, " katanya.
30 Mar 21
189
Empat Daerah 'Juara Bersama' Liga Darul Iman
Empat Daerah 'Juara Bersama' Liga Darul Iman
KUALA TERENGGANU, 30 Mac – Empat daerah dinobatkan juara bersama Kejohanan Bola Sepak Liga Darul Iman Piala Menteri Besar Terengganu 2019 setelah perlawanan suku akhir yang dijadualkan pada April 2020 tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik COVID-19. Kemenangan itu menyaksikan Persatuan Bola Sepak Daerah Dungun, Kemaman, Setiu dan Besut masing-masing berjaya membawa pulang wang tunai RM4,500. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejohanan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun 2019 telah bermula seawal Julai dan berakhir November. “Manakala bagi peringkat parlimen kejohanan ini telah bermula seawal bulan Oktober 2019 dan berakhir pada bulan Februari 2020 sebelum disambung untuk kejohanan di peringkat negeri pada bulan Mac tahun lepas namun terpaksa dibatalkan. “Untuk makluman semua, pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM300 ribu bagi membantu pelaksanaan ini bermula di peringkat DUN, Parlimen dan Negeri. “Jika diizinkan pada tahun 2021 kita akan kembali melaksanakannya namun masih menunggu perkembangan terkini daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Bola Sepak Liga Darul Iman Piala Menteri Besar Terengganu di Paya Bunga Hotel hari ini.  Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Merangkap Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Rashdi Hamat, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ahmad Shahrizal Yahaya dan Pengarah Urus Setia Belia, Sukan Dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Mohd Nasir Abdul Razak. Tambahnya, cadangan tarikh Kejohanan Bola Sepak Liga Darul Iman seterusnya adalah pada bulan Julai 2021 jika kelonggaran diberikan. Sementara itu, Wan Sukairi turut mengulas mengenai peruntukan RM2 juta melalui Belanjawan 2021 bagi menjayakan program sukan komuniti melibatkan beberapa sukan iaitu bola sepak, sepak takraw, badminton dan bola jaring. “Berdasarkan potensi dan perkembangan sukan bola sepak yang ada, saya percaya Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan kepada program ini dan lain-lain lagi kejohanan yang dianjurkan. Program ini akan diselaras melalui UBSNT,” jelasnya.
30 Mar 21
906
238 RMM Bakal Dibina Di Bukit Gasing
238 RMM Bakal Dibina Di Bukit Gasing
MARANG, 30 Mac - Sebanyak 238 Rumah Mampu Milik (RMM) akan dibina di atas tanah seluas 7.36 hektar di Kampung Bukit Gasing di sini dalam masa terdekat. Pengerusi, Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak berkata, PBH Trading & Contraction Sdn. Bhd merupakan kontraktor yang dilantik untuk melaksanakan projek dengan harga kontrak RM34 juta dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun. Katanya, RMM Bukit Gasing II merupakan projek perintis kerajaan negeri yang menawarkan dua kategori rumah teres iaitu RMM jenis A sebanyak 173 unit dan RMM jenis B melibatkan 65 unit. “Rumah jenis A berkeluasan 800 kaki persegi merangkumi tiga bilik tidur dan dua  bilik air mendapat pembiayaan sewa beli daripada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan dijual dengan harga RM80,000 untuk golongan B40 yang berpendapatan isi rumah RM3,500 ke bawah. “Manakala RMM jenis B yang yang berkeluasan bersih 900 kaki persegi akan memberikan peluang kepada rakyat negeri Terengganu berpendapatan sederhana iaitu mereka yang berpendapatan isi rumah sehingga RM 7,000 untuk memiliki rumah sendiri pada kadar harga jualan ditetapkan RM185,000 melalui bank komersial,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Perumahan Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing II yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Tapak RMM Bukit Gasing II, hari ini. Katanya, projek pembangunan perumahan mampu milik di Bukit Gasing ini juga akan dibina berdasarkan ciri-ciri dan spesifikasi untuk konsep perumahan patuh syariah yang dinamakan sebagai Rumah Darul Iman (RAHMAN).  
30 Mar 21
1479
Ketegasan Ayah Bawa Kejayaan Kepada Johan Tilawah Dungun
Ketegasan Ayah Bawa Kejayaan Kepada Johan Tilawah Dungun
DUNGUN, 31 Mac- Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Dungun 2021, Muhamad Mustafa Ali, 31 berterima kasih kepada arwah ayahnya Allahyarham Haji Ali Yahya yang tegas dan bersungguh-sungguh dalam mendidik beliau dan adik-beradik yang lain. Mustafa berkata, tanpa mengira tempat dan masa bila arwah bapa ada kelapangan maka salah seorang adik beradiknya akan dipanggil untuk untuk mengaji sambil bertaranum. "Ayah berniaga  di pasar malam, jadi jika tiada pelanggan, mana ada anak yang ikut akan dipanggil masuk van (untuk mengaji dengan bertaranum), malah ada kalanya sedang main guli dengan kawan-kawanpun ayah panggil," ceritanya yang memperolehi markah sebanyak 90 peratus sekali gus berjaya mendahului tiga lagi peserta lain. Dalam majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat di Dewan Jabatan Kerja Raya, Daerah Dungun itu menyaksikan keluarga beliau masih mendominasi tiga tempat teratas samada kategori qari ataupun qariah.  Tempat kedua kategori lelaki dimenangi sepupunya, Mohd Qasim Husni dan adiknya, Yahya Ali mendapat tempat ketiga.  Turut sama hadir, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, ADUN Rantau Abang, Alias Harun dan  Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Nizam Che Mat.  Sementara itu, kategori wanita, saudara perempuannya Siti Nasuha Ali telah dinobatkan sebagai johan qariah mengalahkan saudara perempuan yang lain, Norasid @Norasiah Ali, naib johan dan Noor Azizah Ali di tempat ketiga.  Sementara itu, Satiful memuji Allahyarham Haji Ali yang meninggalkan anak-anak yang terus menguasai persada tanah air di dalam bacaan Al-Quran.  "Tahniah kepada lapan orang peserta yang mengambil bahagian, enam daripada mereka adalah daripada Kampung Che Lijah, tempat lahir ramai qari dan qariah sehingga di peringkat antarabangsa yang merupakan anak-anak allahyarham Haji Ali," ujarnya.  
30 Mar 21
573
Jiran Harus Lapor Kes Keganasan Rumah Tangga, Dera
Jiran Harus Lapor Kes Keganasan Rumah Tangga, Dera
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Jiran tetangga boleh membantu membendung kes keganasan rumah tangga dan penderaan di kawasan kediaman mereka dengan bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan bantuan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff menyarankan supaya orang ramai mengambil berat dan bertanggungjawab kepada jiran tetangga bagi mengelakkan kes tersebut terus meruncing. “Sekiranya ada situasi mencurigakan, pihak jiran perlu laporkan kepada pihak berkuasa dengan segera. "Kecaknaan jiran dan ahli keluarga adalah penghalang supaya kes keganasan rumah tangga sebegini tidak berlaku,” jelasnya ketika bersiaran di Tv Darul Iman baru-baru ini. Sementara itu, beliau menjelaskan banyak sebab berlakunya jenayah itu antaranya berpunca daripada ibu bapa. “Antara kes-kes yang mengejutkan kami seperti seorang pemandu jengkaut didakwa menembak isterinya di dada ketika tidur di Kota Tinggi dan kematian Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek berusia tujuh tahun dipercayai didera Ibu kandung dan bapa tiri di Melaka. “Banyak sudah berlaku jenayah sebegini dimana ia tidak perlu wujud, sebagai sorang Islam kita perlu ingat tanggungjawab dengan Allah SWT. “Bukan sekadar makan minum dan pakaian ahli keluarga, tetapi kebajikan, keselamatan dan tanggungjawab perlu dididik dalam kalangan rumah tangga,” katanya. Mengulas tentang usaha pihak kementeriannya, Siti Zailah memaklumkan, talian untuk aduan telah disalurkan kepada agensi berkatian seperti Polis dan Pegawai Pelindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keganasan dan isu penderaan boleh hubungi Talian bebas tol Kasih 15999, WhatsApp 0192615999 atau ke melapor kepada balai polis berdekatan,” katanya lagi.
29 Mar 21
672
Yayasan Petronas Ringankan Beban 1,600 Pelajar
Yayasan Petronas Ringankan Beban 1,600 Pelajar
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Seramai 1,600 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di negeri ini menerima sumbangan berbentuk kelengkapan sekolah dan kit kebersihan diri daripada Yayasan PETRONAS sempena program PETRONAS Back To School 2021 semalam. Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata, penerusan program yang dilancarkan sejak tahun 2003 itu menunjukkan pihaknya terus komited membantu golongan miskin dalam bidang pendidikan di negeri ini. "Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sejumlah sumbangan diagihkan kepada 250 murid terpilih di daerah Kuala Terengganu, 250 di Besut, 220 di Dungun, 220 di Hulu Terengganu, 213 di Kemaman, 185 di Setiu, 132 di Marang dan 130 murid di Kuala Nerus. “Seiring dengan perkembangan pandemik semasa, kami juga turut menerapkan kepentingan penjagaan kebersihan diri. Kami berharap agar ianya dapat membantu membendung penularan COVID-19 di kalangan pelajar sekolah," tambah Che Ahmad Tarmizi. Dalam majlis tersebut, sumbangan simbolik diserahkan kepada Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Mohd Shariff Abdul Latif di pejabat JPNT. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat. Mengulas lanjut, Che Ahmad Tarmizi memaklumkan, PETRONAS juga sentiasa berusaha memupuk minat pelajar kepada mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). "Sehubungan itu, setiap murid penerima turut dibekalkan dengan set buku kerja kaedah pembelajaran STEM yang praktikal dan menyeronokkan," jelasnya. Bagi murid tahun enam, Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail Kemaman, Amal Dayana Ahmad Sufian, 12, dia berterima kasih tas sumbangan yang disampaikan oleh Yayasan PETRONAS tersebut. "Sumbangan yang diterima saya membantu meringankan beban bapanya yang merupakan seorang pesara," ujarnya. Dayana ialah salah seorang daripada 21,000 penerima bantuan PETRONAS Back To School 2021 yang disampaikan oleh Yayasan PETRONAS di lima belas negeri seluruh negara. Setiap murid tersebut menerima sumbangan dua pasang pakaian seragam sekolah, sebuah topi, sepasang kasut sekolah, sepasang stokin, sebuah beg galas dan sebuah botol minuman serta keperluan pembelajaran terdiri daripada set alat tulis dan buku nota. Setiap pelajar juga turut menerima sumbangan kit kebersihan diri seperti dua helai pelitup muka tiga lapisan (boleh digunakan semula), dua helai tuala muka dan sekotak sabun kertas.
29 Mar 21
1283
Kerajaan Negeri Sokong Penuh Hasrat SKM Bantu Belia Koperasi
Kerajaan Negeri Sokong Penuh Hasrat SKM Bantu Belia Koperasi
BESUT, 31 Mac - Kerajaan negeri menyokong penuh usaha baik Suruhanjaya Koperasi Malaysia Terengganu (SKM) menjadikan koperasi sebagai penyumbang ekonomi dan mengharapkan ia dapat direalisasikan. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro & Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, dalam memastikan usaha kerajaan itu berjaya, SKM mengambil inisiatif mengadakan Program Belia Berkoperasi di negeri Terengganu dengan mengumpul belia dan beliawanis di daerah Besut bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya di kalangan belia mengenai kewujudan koperasi dan kepentingan golongan iyu dalam membantu menambahkan pendapatan ekonomi masyarakat. “Matlamat utama adalah mewujudkan koperasi bagi membolehkan mencapai objektif program terutamanya dalam meneraju tranformasi generasi belia melalui Gerakan Koperasi serta dapat menerapkan budaya berkoperasi di kalangan belia," katanya. Beliau berkata demikian dalam dalam ucapan perasmiannya di Tanjung Demong Resort, Besut. Ia selari dengan hasrat kerajaan dan dasar keusahawanan negara yang merupakan suatu garis panduan yang akan menjadi hala tuju kepada agenda pengukuhan keusahawanan peringkat nasional.  Ia adalah salah satu usaha kerajaan untuk mempercepatkan kadar pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara khususnya membabitkan penglibatan aktif daripada usahawan koperasi dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan. "Ia juga akan menjadi pemangkin buat kita untuk mencapai 41 peratus sumbangan sektor keusahawanan kepada pertumbuhan ekonomi negara," jelasnya. Nurkhuzaini mengharapkan agar gerakan koperasi mampu berjaya menjadi pemangkin serta agen penggerak utama dalam pembangunan ekonomi negara serta membantu rakyat jelata, khususnya di negeri Terengganu. "Terima kasih SKM kerana menganjurkan program seperti ini dan menatijahkan perkara yang baik," ujarnya.
28 Mar 21
392
'Jaga Sumber Air, Tanggungjawab Bersama' - Shaharizukirnain
'Jaga Sumber Air, Tanggungjawab Bersama' - Shaharizukirnain
SETIU, 29 Mac - Penjagaan sumber air adalah tanggungjawab semua pihak dan bukannya terletak pada satu badan atau jabatan semata-mata. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, air adalah sumber penting dalam urusan kehidupan manusia dan makhluk lain. "Hari ini serentak di seluruh negeri Terengganu mengadakan gotong-royong dengan bertujuan bagi menjaga kawasan persekitaran sumber air bebas daripada tercemar. "Saya harap usaha ini dimainkan sebaik mungkin setiap daripada kita dan usaha ini dilakukan berterusan". Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di tapak gotong-royong peringkat daerah Setiu, Lata Cangkah, Hulu Setiu sempena sambutan Hari Air Sedunia 2021 kelmarin. Sambutan Hari Air Sedunia yang disambut pada 22 Mac setiap tahun membawa tema "Valuing Water" (Hargai Air) dilihat bertepatan,. Dalam program itu, turut diadakan penanaman anak pokok dan pelepasan anak ikan spesis baung sebanyak 750 ekor ke sungai. Program yang melibatkan agensi kerajaan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mukim Hulu Setiu itu diadakan dalam keadaan norma baharu dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
28 Mar 21
222
‘Syukur, Alhamdulillah…Akhirnya Dapat’
‘Syukur, Alhamdulillah…Akhirnya Dapat’
DUNGUN, 28 Mac- Rata-rata penerima notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Rumah Batu Putih, Mukim Kuala Dungun mengucapkan kesyukuran ke hadrat Ilahi dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri. Seorang penerima, Wan Abdullah Wan Mat, 60, berkata, dia sangat gembira kerana permohonan yang dibuat pada tahun 1985 akhirnya diluluskan. “Alhamdulillah, syukur sangat kerana penantian hampir 36 tahun untuk memiliki tanah ini akhirnya berakhir. “Terima kasih kepada kerajaan negeri dibawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang sangat cakna kepada keperluan rakyat seperti kami,” ujarnya. Wan Abdullah ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Borang 5A RTB Batu Putih, Mukim Kuala Abang yang disempurnakan oleh Ahmad Samsuri di Dewan Al-Husna Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah, semalam. Dia merupakan salah seorang daripada 45 orang peserta terkilan dan 292 orang awam yang memenuhi kelayakan pada sesi itu. Seorang lagi penerima Mohamad Ali ,69, berkata, dia tidak menyangka permohonannya begitu cepat diproses. “Alhamdulillah, mungkin ini rezeki saya sekeluarga,” ujarnya yang berasal dari Kampung Balai Besar. Sementara itu, Mariani Mohd,39, yang menetap bersama ibunya di Kampung Peladang menyifatkan, pemberian Borang 5A itu sangat bermakna buat dirinya.  “Apabila diberitahu saya terpilih, perasaan tu suka sangat, InsyaAllah lepas nie boleh buat rumah sendiri di atas tanah yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri ini,” ujarnya.  
28 Mar 21
1736
Lelaki Dikhuatiri Lemas Ketika Mandi Di Sungai Petuang, Tasik Kenyir
Lelaki Dikhuatiri Lemas Ketika Mandi Di Sungai Petuang, Tasik Kenyir
HULU TERENGGANU, 28 Mac – Seorang pemuda dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Petuang, Rumah Rakit Cik Na, Jeram Harimau, Tasik Kenyir, Kuala Berang, Terengganu, petang semalam. Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Mohd. Adli Mat Daud berkata mangsa, Ami Azzizol  Abu Bakri, 22, berasal dari Dungun dikatakan sedang bercuti bersama-sama isteri dan ahli keluarganya di rumah rakit berkenaan. “Pihak Polis menerima maklumat pada pukul 6.20 petang semalam mengenai kejadian tersebut. “Ketika kejadian, mangsa dikatakan  berenang dari rumah rakit Cik Na ke dalam sungai Petuang di hadapan rumah rakit tersebut untuk mandi tanpa memakai jaket keselamatan. “Tidak lama kemudian beberapa saksi termasuk isteri mangsa ternampak mangsa terkapai-kapai meminta tolong dipercayai mengalami kekejangan otot. Salah seorang saksi iaitu anak pemilik rumah rakit telah cuba memberi pertolongan namun hampir lemas kerana mangsa memaut belakang saksi yang cuba membantu. Mangsa terus tenggelam dan tidak dapat diselamatkan,"katanya dalam satu kenyataan hari ini. Mohd Adli berkata seramai  46 anggota yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang awam menyertai operasi mencari mangsa yang sehingga kini masih belum ditemui.  
28 Mar 21
1577