Artikel "Semasa" Terkini
Tujuh Beradik Yatim Piatu Tumpang Kasih Ibu, Bapa Saudara
DUNGUN, 30 Disember- "Allah gantikan kesunyian kami berdua tanpa zuriat dengan kehadiran tujuh beradik yatim piatu sebagai ganti,"ujar Anazul Ami Idris, 42.
Beliau yang merupakan bapa saudara kepada mereka bertujuh menganggap hasratnya dan isteri Mariani Othman, 42 untuk bergelar seorang ayah dan ibu kini telah tertunai.
"Kami berdua sangat bersyukur kerana dapat menjadi 'ibu bapa' kepada mereka tujuh beradik dan berusaha memberikan kasih sayang terbaik kepada anak-anak yang kehilangan kedua orang tua dalam kemalangan jalan raya.
"Alhamdulillah, sejak kami menjaga mereka dua tahun lepas, rezeki sentiasa ada untuk menampung perbelanjaan bulanan dan kami berazam mahu memastikan mereka mendapat pendidikan terbaik demi masa depan yang cerah untuk mereka," katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika menerima kunjungan Ahli Jawatankuasa Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) sempena program Sentuhan Kasih KAWAT di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.
Pada pertemuan itu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) turut memberi sumbangan bakul makanan kepada keluarga tersebut yang kini menetap di Kampung Pasir Raja di sini.
Anazul Ami berkata meskipun kemalangan tragis dua tahun lepas meragut nyawa adik perempuannya, Norhapisah Idris, 34 dan suami, Kamal Hisham Mustaffa Mohammad, 35, kehadiran anak-anak saudara mereka berjaya mengubat kerinduan tersebut.
Tujuh beradik itu ialah Muhammad Danial, 14; Muhammad Danish Irfan, 13; Muhammad Darwish Iqbal, 11; Muhammad Dhiyauddin Aiman, 10; Muhammad Daim Amin, 8; Muhammad Dhiya Arsyad, 7 dan Dayyinah Athirah, 5.
Menurut Anazul Ami, beliau menerima sumbangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM800 setiap bulan.
Manakala kesemua tujuh beradik itu masing-masing menerima sumbangan RM200 dari Pertubuhan Kebajikan Sosial dan RM200 lagi dari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia setiap bulan.
Sementara itu, Timbalan Presiden KAWAT Mohd Ishak Abdillah Ngah berkata program itu adalah sebahagian usaha pengamal media di Terengganu kepada masyarakat kerana sebagai golongan yang sentiasa berada di lapangan, media juga mahu memainkan peranan untuk membantu golongan yang memerlukan.
30 Dec 21
943
Tiga Sungai Di Terengganu Melepasi Paras Bahaya
KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Tiga sungai di Terengganu masing-masing di Besut, Hulu Terengganu dan Dungun kini melepasi paras bahaya setakat bacaan jam 8 malam, hari ini.
Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut dengan bacaan 35.02 meter (m) berbanding paras normal 28.5 m.
Sementara itu, dua lagi sungai kini direkodkan melepasi paras amaran membabitkan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu berada pada paras 19.89 m (16.5 m paras normal) dan Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun merekodkan bacaan 38.63 m (34.5 m paras normal).
Manakala, Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Sungai Besut di Kampung La kini berada pada paras amaran apabila merekodkan bacaan 20.59 m dan 20.91 m.
Selain itu, Sungai Setiu di Kampung Besut, Setiu dan Sungai Terengganu kini berada paras waspada dengan bacaan 16.44 m dan 1.42 m.
Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan banjir akan berlaku di empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor bermula esok dan Sabtu susulan amaran hujan berterusan tahap waspada
30 Dec 21
6163
Perkakas Elektrik Baru Musnah, Warga Emas Berputih Mata
TEMERLOH, 30 Disember – “Tidak sangka banjir seteruk ini, macam-macam perkakasan rumah baru dibeli tidak sempat digunapakai lama,” luah warga emas, Maimunah Sab yang terpaksa berputih mata melihat rumahnya di Kampung Lubuk Kechemas ditenggelami air banjir.
Nenek berusia 78 tahun itu menggambarkan bencana tersebut sebagai yang paling dahsyat sejak 10 tahun menetap di kampung tersebut.
“Perkakasan elektrik baharu dibeli tahun ini seperti mesin basuh, ketuhar mikro, mesin air dan sebagainya semua sekali tidak dapat diselamatkan, hanya dokumen penting sahaja sempat diselamatkan.
“Pada awal tahun (Januari), ada juga berlaku kenaikan paras air, tapi tidak begitu tinggi sehingga memasuki rumah, jadi kali ini memang saya tidak sangka,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Memahami keperitan yang dialami Maimunah, sukarelawan Terengganu melibatkan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) menghulurkan bantuan serta membersihkan kediaman tersebut sempena Operasi Bantuan Banjir Terengganu ke Pahang 2021.
Sementara itu, Redza Iskandar, 32, cucu kepada warga emas tersebut menyifatkan kehadiran 103 sukarelawan di kawasan kejiranannya amat membantu dalam proses membersihkan 10 peratus lagi bahagian kediaman daripada sisa lumpur.
“Kalau tinggal saya dengan nenek saya sahaja akan mengambil masa lama, jadi dengan kehadiran ini saya sangat berharap saki bagi perkakasan rumah, perabot dan dinding dapat dibersihkan,” jelasnya.
Menurutnya, mereka berpindah ke rumah saudara di Taman Seri Layang setelah air dipercayai daripada Sungai Semantan meningkat sehingga ke paras kepala.
30 Dec 21
403
Subsidiari Golden Pharos Berhad Tunai Zakat Perniagaan RM200,000
KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu Sdn Bhd (KPKKT), subsidiari kepada Golden Pharos Berhad (GPB), mengambil langkah tuntutan hukum syarak menerusi pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM200 ribu.
Bayaran tersebut dibuat oleh syarikat senarai awam yang juga syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Terengganu (GLC) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.
Replika cek tersebut diserahkan oleh ahli lembaga pengarah KPKKT, Mohd Harun Esa, kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM), M. Rozi Bidin dalam satu majlis ringkas di pejabat MAIDAM, baru-baru ini.
Menurut kenyataan Pengarah Eksekutif GPB, Profesor Madya Dr Mohd Zaki Hamzah, pihaknya menganggap tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai unsur penting perniagaannya.
“Justeru, Kumpulan telah mengambil. bahagian dalam pelbagai kegiatan yang dianjurkan oleh masyarakat setempat di persekitaran operasi Kumpulan.
“Pihak kami akan terus komited akan sentiasa memastikan kewajipan zakat perniagaan dilunaskan bagi membantu orang tidak bernasib baik,” katanya.
Sementara itu, beliau turut berkongsi usaha Kumpulan GPB dalam menyumbang ke arah pemuliharaan alam sekitar melalui pengurusan hutan secara lestari, memberikan peluang yang luas kepada pekerja-pekerjanya serta menghasilkan produk yang mesra alam.
“Kumpulan GPB mengamalkan pengurusan kawasan konsesi balak lestari yang turut diiktiraf oleh badan antarabangsa, Forest Stewardship Council (FSC) dengan dua kawasan konsesi yang diuruskan oleh KPKKT mendapat pensijilan FSC.
“Kawasan konsesi subsidiari ini adalah hutan terbesar di Semenanjung Malaysia yang menerima pensijilan FSC dan hanya hutan asli kedua di Malaysia yang menerima penghormatan,” katanya lagi.
Untuk pengetahuan, Golden Pharos Berhad adalah syarikat senarai awam di Papan Utama Bursa Malaysia yang juga GLC Kerajaan Negeri Terengganu dengan pegangan majoriti melalui Terengganu Incorporated Sdn Bhd, syarikat pelaburan milik Kerajaan Negeri Terengganu dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT).
30 Dec 21
837
Dungun Kembali Banjir
DUNGUN, 30 Disember - Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun kembali dilanda banjir sebentar tadi susulan hujan lebat berterusan sejak petang semalam.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, penduduk mula berpindah sejak pukul 10 pagi dengan dibantu oleh beberapa anggota agensi kerajaan termasuk polis, bomba dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Setakat pukul 4 petang, seramai 149 penduduk daripada 49 keluarga telah dipindahkan ke rumah saudara-mara dan pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja.
“Meskipun ada kediaman penduduk yang belum dinaiki air, kebanyakan mereka mengambil inisiatif berpindah lebih awal memandangkan hujan lebat masih berterusan,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja di sini hari ini.
Tambah beliau, sekiranya keadaan hujan berterusan, dijangka lebih ramai penduduk akan berpindah.
Dalam masa yang sama, penduduk Kampung Shukor dan beberapa kampung lain yang berhampiran dinasihatkan untuk bersiap sedia berpindah.
30 Dec 21
746
'Terima Kasih Terengganu, Sekolah Kami Kembali Ceria'
TEMERLOH, 30 Disember - Guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Islam At-Taqwa terharu dengan kerja keras sukarelawan Terengganu yang membersihkan institusi tersebut sehingga boleh kembali beroperasi seperti biasa.
Guru Besarnya, Khairul Azwan Zamri berkata, kerja pembersihan lumpur dan sisa banjir oleh 38 sukarelawan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu itu membolehkan SRA At-Taqwa dibuka pada pada 10 Januari depan.
Katanya, sejak empat hari pihaknya juga telah berusaha membersihkan 13 blok bangunan daripada kesan banjir namun tenaga yang terhad menyukarkan operasi.
“Pada khamis lalu, paras air naik tinggi sehingga ke paras atap sekolah, hampir menenggelamkan kelas, blok pra sekolah, tandas, pejabat dan bilik guru.Alhamdulillah kerjasama sukarelawan ini meringankan beban kami.
“Terima kasih kepada warga Terengganu terutamanya tenaga pengajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu daripada Dungun, Kuala Berang dan Kemaman kerana terus komited bergotong-royong bagi membolehkan 335 orang pelajar kembali untuk sesi hadapan.
“Kebanyakkan kelas juga semakin pulih dengan beberapa tempat lagi belum selesai, semasa air naik barangan kelas sempat dialih oleh guru-guru disini dengan kebanyakkan kerosakan hanya melibatkan perkakasan elektrik seperti kipas dan lampu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemu bual pemberita semasa Operasi Bantuan Banjir Terengganu ke Pahang 2021 di Kampung Paya Kecil, kelmarin.
Sementara itu, wakil Jabatan Pendidikan Pahang, Yahaya Taib turut menyuarakan penghargaan kepada sukarelawan Terengganu dipimpin oleh rombongan Sekolah Imtiaz.
“SRA Islam At-taqwa ini antara dua sekolah agama termasuk Maahad Tahfiz Islamiyah yang terjejas teruk di Temerloh di samping 24 buah sekolah lain lagi di sini,” katanya yang juga daripada Sektor Pendidikan Islam JPP.
30 Dec 21
2218
IMITS Kijal Santuni Mangsa Banjir Di Mentakab
MENTAKAB, 30 Disember - Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMITS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal turun menyantuni mangsa banjir di bandar Mentakab dengan menghulurkan bantuan yang diperlukan oleh mereka.
Seramai 18 orang petugas yang seliakan oleh IMITS DUN Kijal berkampung di bandar Mentakab yang lumpuh sepenuhnya selama tiga hari bermula 28 sehingga 30 Disember.
Menyantuni mangsa banjir dengan agihan pakaian keperluan harian.
Ketua rombongannya, Ustaz Mohd Mujahid Mokhtar berkata mereka diamanahkan untuk membersihkan beberapa buah rumah di Taman Sagumpas 1 dan Taman Ixora.
"InsyaAllah, pasukan kami akan menjalankan tugas sebaik mungkin bagi membantu mangsa banjir dikawasan yang dikategorikan sebagai zon merah kerana air di sini hampir menenggelamkan bumbung rumah.
"Konvoi kami bersama lima buah pacuan empat roda dan sebuah van membawa peralatan membersih rumah, pakaian terpakai dan baru, telekung, sejadah, selimut, kain batik dan kain pelikat hasil sumbangan masyarakat di sekitar Kijal," ujarnya.
Kerja - kerja pembersihan rumah sedang dijalankan.
Tambahnya, ia adalah misi bantuan pasca banjir kerajaan negeri Terengganu ke negeri Pahang yang diselaraskan oleh Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera dengan kerjasama agensi kerajaan dan para sukarelawan yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri Terengganu.
30 Dec 21
657
Sebak Lihat Keajaiban Al-Quran
TEMERLOH, 29 Disember – Sukarelawan banjir daripada Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu tidak dapat menahan sebak melihat keajaiban kitab suci al-Quran yang ditemui tidak basah dan rosak semasa menjalankan Operasi Bantuan di Pahang.
Pengetua Imtiaz Kemaman, Roslan Ibrahim berkata kotak yang diisi dengan kitab al-Quran terselamat walaupun Sekolah Rendah Islam At-Taqwa ditengelami air hingga paras atap.
“Pada masa itu, ia dikelilingi kotak buku lain yang rosak teruk akibat lumpur air banjir di dalam salah satu blok sekolah.
“Allah SWT telah menjanjikan kitab suci ini akan dipelihara sampai ke hari kiamat, perkara ini terbukti apabila kotak-kotak berisi buku pelajaran lain basah kuyup ditenggelami air, tapi ia terselamat,” katanya ketika ditemu bual pemberita di Kampung Paya Kecil, tengah hari tadi.
Beliau antara 38 anggota sukarelawan daripada tiga buah sekolah Imtiaz termasuk dari Kuala Berang dan Dungun yang menyertai Operasi Bantuan Banjir Terengganu ke Pahang 2021.
“Kami rasa terpanggil untuk membantu sahabat-sahabat kita di sekolah ini bangkit kembali setelah dilanda bencana.
“Hari ini kami mengfokuskan segala jentera di sini, dan kemudian akan beralih ke Maahad Tarbiah Islamiyah bagi hari esok.
“Kita bantu apa yang mampu dari sudut tenaga manusia dan sedikit wang ringgit kepada pihak pentadbiran sekolah sempena julung kali kami melibatkan diri dalam program kemanusiaan bencana secara berkumpulan,” katanya lagi.
29 Dec 21
1158
Operasi Bantuan Banjir Terengganu ke Pahang
Pelepasan hari pertama misi bantuan banjir ke Pahang pada 28 Disember 2021 di perkarangan Muzium Negeri Kg Bukit Losong .
29 Dec 21
681
APM Terengganu Bersiap Sedia Hadapi Gelombang Ketiga
Seramai 2,800 individu pelbagai agensi termasuk anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu sudah bersiap sedia dengan kekuatan aset bagi menghadapi banjir gelombang ketiga yang diramalkan berlaku pada 30 dan 31 Disember ini.
29 Dec 21
339