Artikel "Semasa" Terkini
222 Kompaun Dikenakan Kepada Peniaga Bazar Ramadan
KUALA TERENGGANU, 17 April - Sebanyak 222 notis kompaun dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu terhadap peniaga Bazar Ramadan setakat 14 April lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak berkata, ia melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM24,800 atas pelbagai kesalahan yang menyalahi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983 (Akta 281).
Katanya, sebanyak 3,431 pemeriksaan telah dijalankan di 57 lokasi bazar Ramadan di negeri ini dan kesalahan yang paling banyak adalah tidak memakai apron/pakaian bersih dimana 113 notis telah dikeluarkan.
“Diikuti dengan kesalahan tidak menjaga kebersihan diri iaitu 49 notis, tidak mengikuti latihan pengendali makanan (35 notis), menggaji pengendali makanan tiada latihan dan suntikan anti typhoid (14 notis) serta notis lain-lain (11)," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) di sini, semalam.
Menurut beliau, sebanyak 69 sampel makanan diambil yang mana 61 adalah sampel analisa mikrobiologi dan lapan lagi untuk sampel analisa kimia.
"Daripada 61 sampel analisa mikrobiologi, lapan sampel makanan tersebut mempunyai pelanggaran.
"Berdasarkan tahap penilaian kebersihan premis, sebanyak 99.5 peratus iaitu 3,416 premis mencapai tahap kebersihan melebihi 80 peratus,” ujarnya.
17 Apr 23
321
Operasi Bazar Aidilfitri Dibenar Hingga 29 Ramadan
KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan negeri akan terus mengekalkan tempoh operasi Bazar Aidilfitri yang dilaksanakan ketika ini iaitu sehingga malam 29 Ramadan sahaja sebagaimana perjanjian yang ditandatangani peniaga ketika memohon permit.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak berkata, peniaga Bazar Aidilfitri diingatkan agar mematuhi peraturan itu bagi mengelakkan mereka disaman.
Katanya, operasi Bazar Aidilfitri pada malam 1 Syawal adalah tidak dibenarkan bagi memberi laluan kepada kerja pembersihan sebelum Hari Raya Aidilfitri.
"Sekiranya pengumuman rasmi tarikh Aidilfitri jatuh pada Sabtu, maka waktu pengoperasian Bazar Aidilfitri dibenarkan sehingga jam 12 tengah malam, hari Khamis.
"Sama juga, sekiranya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat, waktu operasi Bazar Aidilfitri tetap dibenarkan sehingga Khamis sehingga jam 12 tengah malam," katanya pada sidang media di Pejabat Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) di sini, hari ini.
Katanya, tindakan akan dikenakan kepada peniaga yang tidak mematuhi peraturan tersebut.
“Selain tindakan kompaun terhadap peniaga yang berniaga melepasi masa dihadkan, nama mereka juga akan disenaraikan hitam daripada berniaga pada tahun depan.
"Kami berharap para peniaga dapat memberikan kerjasama bagi membolehkan pekerja pembersihan dapat menjalankan kerja membersihkan sampah di bazar terbabit," katanya.
Tambah beliau, ketika ini seramai 2,224 pekerja pembersihan ditugaskan untuk mejalankan operasi pembersihan di Bazar Aidilfitri seluruh Terengganu.
16 Apr 23
1201
AKRAB, MAIDAM Santuni 100 Murid Sambut Aidilfitri
Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyantuni 100 orang murid tidak berkemampuan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
16 Apr 23
57
Sultan Mizan Kurnia Sumbangan Aidilfitri
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan mengurniakan bantuan kewangan bagi meringankan golongan miskin sempena Hari Raya Aidilfitri 1444H yang akan disambut tidak lama lagi.
16 Apr 23
61
TAPAi Ubah Hidup OKU Lebih Berdikari
MARANG, 16 April- Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di sekitar daerah ini boleh menarik nafas lega apabila mampu meningkatkan taraf hidup selepas mengikuti kelas jahitan dan kraftangan di Bengkel dan Butik Kraftangan, TAPAi yang terletak di Bangunan Perkedaian Wakaf Tapai.
Merupakan anak syarikat Koperasi Komuniti Cakna Wakaf Tapai Marang Berhad, TAPAi yang memberi peluang OKU berdikari dan memahirkan diri di bengkel jahitan itu mula beroperasi pada tahun 2017 selepas menerima geran ‘one off’ sebanyak RM18,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang disalurkan kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Wakaf Tapai.
Pengurusnya, Wan Nur Akmal Wan Ibrahim berkata, peruntukan tersebut kemudiannya digunakan untuk membeli mesin dan peralatan menjahit selain menambah baik susun atur bengkel untuk keselesaan pelatih.
“Sebelum itu, kita hanya latih pelajar di PPDK, apabila dapat geran kita buka bengkel jahitan TAPAi di salah satu lot kedai di bangunan ini. Di awal permulaan, kita ajar peserta untuk buat jahitan ringkas seperti bekas pensil, beg kecil dan lain-lain sehingga mereka mahir.
“Kita juga buat pemasaran secara ‘online’, apabila menerima banyak tempahan, JKM sarankan untuk mendaftar dengan Suruhanjaya Koperasi, bermula dari situ perniagaan kita semakin meluas,” ujarnya ketika ditemui di bengkel TAPAi, baru-baru ini.
Menurut Wan Nur Akmal, lebih membanggakan apabila dua pelatih TAPAi ketika ini sudah berjaya membuat produk berasaskan jahitan kraf sendiri di rumah tanpa perlu bimbingan daripada guru-guru di sini.
“Kita hanya menyasarkan golongan OKU sekitar daerah Marang. Setakat ini, kita ada tujuh orang pelajar, tiga daripadanya sudah mahir menjahit dan selebihnya dalam proses belajar.
Menurut beliau, fokus utama bengkel jahitan TAPAi adalah mempromosikan warisan negeri terutamanya batik Terengganu dengan menawarkan versi eksklusif dan mampu milik kepada peminatnya.
“Hasil ketekunan pelatih, dimana ada antara mereka OKU fizikal, pekak dan bisu, down sindrom dan lain-lain telah membawa beg-beg ini ke Dubai dan mendapat permintaan tinggi daripada duta-duta dan pelancong luar.
“Selain itu, hasil kerja tangan mereka juga ditempah oleh jabatan kerajaan, swasta untuk digunakan pelbagai program termasuk sebagai cenderahati,” ujarnya.
Katanya, TAPAi menyediakan dua orang guru khas untuk jahitan dan lima orang guru dari PPDK dimana tujuh orang guru ini yang bertanggungjawab membimbing pelatih untuk menyiapkan tempahan yang diterima.
“Cara mereka menerima arahan berbeza bergantung kepada prestasi masing-masing, tidak semua mampu menjahit, ada yang mampu menggunting, mengawal kualilti, jadi perkerjaan mereka berbeza bergantung kepada kemahiran.
“Untuk berkerja disini tiada tempoh masa, mana-mana OKU yang berminat untuk menjalani latihan dekat ini wajib ada kad OKU sahaja. Koperasi akan bayar mengikut hasil kerja mereka disamping elaun bulanan yang diterima daripada JKM,” jelasnya.
Wan Nur Akmal berkata, besar harapan beliau dan guru-guru di TAPAi agar masyakarat di luar sana membuka mata dan hargai hasil kerja tangan OKU ini dengan terus menyokong produk yang mereka hasilkan.
“Mereka ini insan terpilih dan jika diberi peluang mereka boleh buat lebih baik daripada kita manusia normal,” ujarnya.
Sementara itu, Siti Zulaikha Abdul Muin, 32, yang telah tiga tahun menjadi pelatih TAPAi berkata, dia amat bersyukur kerana dapat mempelajari ilmu jahitan kraf di bengkel tersebut.
“Disini ada guru-guru yang tidak jemu tunjuk ajar, kalau dulu saya ambil masa yang lama untuk menyiapkan sebiji beg kecil, alhamdulillah, kini saya boleh siapkan kira-kira 30 biji sehari hasil dorongan mereka,” katanya yang berazam untuk membuka kedai jahitan sendiri pada masa akan datang.
16 Apr 23
353
AKRAB, MAIDAM Santuni 100 Murid Sambut Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 16 April - Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyantuni 100 orang murid tidak berkemampuan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, berkata program tersebut yang juga mendapat kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) melibatkan murid-murid kurang berkemampuan dari dua daerah iaitu Hulu Terengganu dan Marang.
“MAIDAM telah menyumbang RM300 dan ibu bapa angkat yang dipilih akan bawa anak-anak ini berbelanja apa yang dia orang nak beli di Mydin Mall Gong Badak, Kuala Nerus.
“Sebelum ini, kita juga anjurkan Program “Back To School” bagi menyantuni 100 orang murid membeli pelbagai peralatan sekolah bagi memulakan sesi persekolahan baharu tahun 2023 bagi meringankan golongan yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI) selepas merasmikan Projek baju Raya Di Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Puspanita Cawangan Terengganu.To’ Puan Nor Zaini Abd. Latiff, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM. Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan). Anuar Awang) dan Pengerusi AKRAB, Zuwislan Awang
Sejurus majlis perasmian, ibu bapa angkat mengiringi anak-anak angkat ke pasar raya berkenaan seterusnya memilih sendiri pakaian raya yang diperlukan.
Sementara itu, Tengku Seri Bijaya berkata selain membantu golongan tidak berkemampuan, penubuhan AKRAB sebenarnya bertujuan sebagai rakan pembimbing kepada penjawat awam yang mempunyai masalah.
“Sekarang ni semua tahu keadaan kita bekerja hari ini, ada kakitangan kita terlibat dengan masalah mental dan kesihatan fizikal di tempat kerja.
“Jadi AKRAB bertindak sebagai kaunselor atau pembinmbing kepada mereka yang punyai masalah berkaitan dengan mental contohnya tekanan di tempat kerja atau lain-lain bagi kakitangan ini keluar dari belenggu tersebut,”ujarnya,
16 Apr 23
233
Bermodalkan RM300, Air SETIN Kini Jadi Buruan
KUALA TERENGGANU, 16 April - Bermodalkan RM300 selepas mencatat kerugian daripada modal awal, RM1,700, air 'SETIN' kini mejadi buruan rakyat Terengganu untuk dijadikan minuman berbuka puasa.
'You Tuber' Malaysia, Sukri Sulaiman berkata, walaupun pada awalnya dia menanggung kerugian yang agak besar, namun niatnya untuk membantu orang tetap diteruskan dan akhirnya membuahkan keuntungan lumayan.
"Pada mulanya dengan modal RM1,700 saya guna untuk beli barang-barang untuk buat air setin (satu tin), kemudian agak mengecewakan apabila pada hari pertama saya mencatat kerugian yang agak besar.
"Namun begitu, saya tetap meneruskan niat saya untuk bantu orang ramai supaya boleh minum air setin laici ini dan juga kerana saya ingin mencipta 'content' di media sosial.
"Alhamdulillah di hari kedua Tuhan gandakan jualan saya dan semakin hari jualan semakin laris serta mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada pelanggan. Satu hari boleh cecah sehingga RM10,000 jualan yang diperolehi," jelasnya ketika ditemui pemberita semalam.
Suasana penjualan air SETIN di Kuala Terengganu.
Menurut Sukri, idea untuk buat produk minuman berperisa tersebut adalah kerana dia terkilan dengan sebuah kedai
"Idea asalnya bermula apabila saya kedai dengan salah sebuah kedai yang saya singgah semasa aktiviti berkhemah, membuat air laici yang hanya diletakkan satu biji sahaja di dalamnya serta laici tersebut pecah, menjadikan saya berniat untuk berniaga buat air sendiri dengan letakkan satu tin laici di dalam air tersebut.
"Ramuan untuk buat air ini saya dapat daripada kawan saya yang juga berniaga air di Paka, Dungun," katanya.
Tambahnya, beberapa hari yang lepas dia memulakan perniagaan tersebut di Kuala Terangganu dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
Orang ramai yang sanggup beratur panjang di tengah panas untuk membeli air SETIN.
"Alhamdulillah sambutan jualan air SETIN di Kuala Terengganu ini sangat luar biasa, sehinggakan kami berjaya menjual air tersebut 400 tin dalam masa 30 minit sahaja. Jualan sangat laju lebih-lebih lagi di hujung minggu.
Tambah 'influencer' itu lagi, produk ini bukan sahaja laris dikalangan warga tempatan luar dan dalam negeri malahan juga turut mendapat sambutan daripada negara jiran iaitu Thailand.
"Saya pun terkejut apabila ada pelanggan daripada Golok Thailand, Sabah dan Sarawak serta lain-lain negeri lagi yang datang untuk rasa air SETIN ini," katanya.
Sukri juga turut merancang untuk mengembangkan perniagaan tersebut dengan bantuan atau sokongan daripada pihak kerajaan.
"Harapan dan perancangan saya di masa akan datang, andai kerajaan negeri boleh berunding untuk berikan saya satu tapak untuk berniaga, saya berhasrat untuk membina sebuah cafe atau tempat yang berkonsepkan 'camping' dengan modal yang ada.
"Juga disitu saya akan jual air SETIN berserta dengan beberapa produk yang terpilih di Negeri Terengganu iaitu seperti nasi dagang yang paling sedap dalam negeri Terengganu dan lain-lain produk yang menjadi permintaan ramai orang," ujarnya.
Sukri Sulaiman yang berjaya menjual air SETIN 400 unit hanya dalam masa 30 minit sahaja.
Sukri yang mempunyai 500 ribu lebih pengikut di laman sosial 'facebook' itu juga berharap supaya produk "SETIN" dalam loghat Terengganu itu menjadi ingatan ramai.
16 Apr 23
1852
Aidilfitri: Terengganu Sedia Hadapi Peningkatan Penggunaan Air
SETIU, 14 April - Kerajaan negeri telah mengatur pelan dan bersiap siaga dalam menghadapi peningkatan penggunaan bekalan air semasa cuti perayaan Aidilfitri minggu depan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, langkah itu dilakukan bagi memastikan kemeriahan menyambut Syawal tidak terjejas.
"Kita telah mengarahkan Syarikat Air Terengganu Utara (SATU) supaya menyediakan tangki-tangki statik dan juga kita telah menyediakan sebanyak tujuh Lori untuk bergerak di kawasan yang dijangka akan berlaku masalah ini membabitkan kawasan Marang.
"Jadi penguna di Marang diharapkan dapat menggunakan air secara berjimat cermat dan berhemah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Program Prihatin Ramadan dan Nuzul Al-Quran Peringkat Daerah Setiu, di Masjid Sungai Lerek, semalam.
Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.
Sementara itu menurutnya, di Setiu dijangka tidak akan mengalami masalah bekalan air kecuali di Pulau Redang.
"Kerana paip kita di sana (Pulau Redang) belum sempurna daripada masalah pecah, jadi kita akan sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.
"Kerajaan negeri serta SATU telah berbincang supaya masalah berkaitan air di negeri ini dapat diatasi dan akan sentiasa melakukan tindakan proaktif," ujarnya.
Terdahulu, SATU memaklumkan pihaknya akan melaksanakan Pelan Kontingensi Air bagi membendung masalah tersebut berlaku.
Dalam pada itu beliau sempat menitipkan pesanan kepada semua anak Terengganu yang berada di perantauan agar sentiasa mengambil langkah memandu dengan berhati-hati agar selamat pulang ke negeri ini dan meraikan hari lebaran dengan penuh ceria.
"Kita tahu bahawa cuti sekolah bermula Khamis sudah tentu perantau akan pulang bermula Rabu dan pada Khamis dijangkakan akan berlaku kesesakan jalan raya.
"Jadi saya nasihatkan semua pengguna jalan raya pandulah dengan lebih berhati-hati, serta mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur menghadapi pelbagai karenah pemandu yang lain," ujarnya.
14 Apr 23
190
Sultan Mizan Kurnia Sumbangan Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 13 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan mengurniakan bantuan kewangan bagi meringankan golongan miskin sempena Hari Raya Aidilfitri 1444H yang akan disambut tidak lama lagi.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) Datuk Mohd Fadli Yusof berkata, yayasan itu membelanjakan sebanyak RM255,000 untuk membantu meringankan bebanan golongan kurang bernasib baik membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
“Sepanjang Ramadan, memang menjadi satu tugas yang biasa dilaksanakan YDSM bagi mengimarahkan bulan penuh keberkatan ini sejak ditubuhkan 18 tahun lalu.
“Justeru itu, dengan sedikit sumbangan yang disediakan ini diharapkan mereka dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna dan seterusnya merayakan Aidilfitri dengan penuh kesyukuran,” katanya kepada media selepas majlis Pengurniaan Sumbangan Sempena Hari Raya Aidilfitri 1444 Hijrah anjuran bersama YDSM dan Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) di Istana Syarqiyyah di sini, hari ini.
Turut berangkat adalah Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu; Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.
Hadir sama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengerusi YTNZ Datuk Radzuan Radziwill.
Dalam majlis tersebut Sultan Mizan berkenan mengurniakan bantuan kepada 200 fakir miskin terpilih dari seluruh daerah Terengganu berupa wang tunai selain hamper barangan keperluan harian melalui YDSM termasuk 30 penggiat seni dan budaya negeri serta 30 veteran polis turut untuk menerima kurniaan yang sama.
Di samping itu, 210 pelajar dari keluarga miskin dari tujuh buah sekolah dipilih menerima kurniaan berupa wang tunai termasuk tiga buah madrasah dan pusat pengajian Islam turut dianugerahkan kurniaan yang sama melibatkan 30 pelajar bagi setiap madrasah.
Pada majlis yang sama, seramai 500 fakir miskin wanita menerima kurnian daripada YTNZ bagi persediaan menyambut Aidilfitri.
Sementara itu, salah seorang penerima, Haishah Subair, 50, berasal dari Kemaman berkata, dia rasa terharu kerana terpilih sebagai salah seorang penerima bantuan kali ini.
Dia yang bekerja sebagai tukang bersih di Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai berkata duit yang diterima akan digunakan untuk membeli keperluan hari raya buat enam anaknya yang salah seorangnya merupakan anak istimewa dan dua orang anak yatim piatu yang kini berada dibawah jagaannya.
13 Apr 23
500
Peruntukan RM64 ribu untuk Kelab Warga Emas
Kerajaan negeri memperuntuk RM64 ribu kepada 32 Kelab Warga Emas Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu ( YPKT) di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tahun 2023.
13 Apr 23
101