lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Aleya Korban 'Masa Enjoy', Bantu Mangsa Banjir
Aleya Korban 'Masa Enjoy', Bantu Mangsa Banjir
DUNGUN, 2 Februari - Tidak sebagaimana remaja lain, Nur Aleya Maisara Abdul Rahman, 20, ternyata berada di 'dunia' berbeza apabila dia sanggup mengorbankan masa bersama rakan sebayanya bagi membantu membersihkan rumah mangsa banjir. Dia seakan sudah sebati bergelumang dengan keadaan banjir dan lumpur kerana gadis berasal dari Manir, Terengganu kelihatan tidak kekok membersihkan rumah mangsa banjir yang dipenuhi selut di Kampung Pasir Raja. Katanya, walaupun baru menyertai Pasukan Sukarelawan Terengganu Volunteer ( T-Volt), sebelum ini dia sudah menyertai banyak aktiviti sukarelawan melalui persatuan lain. Ujarnya, pengalaman yang ada menyebabkan dirinya sudah terbiasa dengan keadaan pasca banjir dan apa yang penting adalah membantu mangsa.  "Selama ini saya selalu merasa kesian melihat bebanan dan penderitaan yang dialami oleh mangsa banjir ini, seringkali saya ikuti di media sosial dan dari situ terdetik di hati saya membantu mereka yang dilanda ujian ini. "Mendapat tahu mengenai T-Volt ini terus saya menyertainya, jadi peluang dapat menyertai misi membersihkan rumah mangsa banjir ini tidak saya sia-siakan dan saya gunakan peluang ini sehabis baik. "Tidak merasa penat sebaliknya saya rasa sangat seronok," ujarnya yang merupakan anak sulung daripada lima adik beradik ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika menyertai misi banjir di sini, semalam. Katanya, ayahnya, Abdul Rahman Mat Yunus, 40, serta ibunya Nor Rohaiza Hamzah, memberi galakan dan sokongan untuknya menyertai aktiviti terbabit. "Kedua-dua mereka merestui niat saya untuk melakukan kerja-kerja kebajikan ini," ujarnya. Sementara itu, bagi Nooraini Abdul Razak,52, yang merupakan kakitangan Yayasan Pembangunan Ummah berkata telah lebih 10 tahun dia terlibat dengan misi-misi memabntu mangsa banjir. "Apabila ditubuhkan T-Volt ini saya terus menyertainya kerana sangat suka dan rasa puas hati dapat membantu serta menolong masyarakat yang terkena musibah seumpama ini. "Saya selalu ajak anak-anak muda untuk turut terlibat kerana dengan penglibatan seumpama ini akan memberikan keinsafan dan kesedaran kepada kita, memang sangat baik untuk disertai oleh golongan anak-anak muda timba pengalaman untuk terlibat dengan kerja-kerja kemasyarakatan seumpama ini," katanya. Nora Omar, 47, pula berpandangan melibatkan diri dengan aktiviti membantu mangsa banjir ini memberikan satu suntikan motivasi apabila melihat perasaan mereka yang ditimpa ujian. "Hari ini dapat dilihat bagaimana perasaan tuan rumah apabila pasukan sukarelawan ini datang membersihkan rumah mereka, bayangkan tidak mudah untuk mereka lalui kerana banjir di sini pada tahun ini lebih besar berbanding 2014 sehinggakan lumpur memenuhi ruangan rumah. "Dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapatlah memberikan kelegaan kepada mereka," katanya.  
02 Feb 24
141
Rakyat Hargai Afrika Selatan Heret Israel ke Mahkamah Antarabangsa
Rakyat Hargai Afrika Selatan Heret Israel ke Mahkamah Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 1 Februari - Tindakan berani Afrika Selatan untuk mengheret Zionis Israel ke Mahkamah Antarabangsa sangat dihargai seluruh rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pihaknya bersama dengan delegasi PAS telah mengadakan kunjung hormat ke kedutaan negara terbabit. "Saya bersama dengan delegasi PAS diketuai Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Tumpat, Mumtaz Md Nawi ke kedutaan negara tersebut membawa surat terima kasih dan penghargaan daripada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mewakili rakyat Malaysia. "Kerana usaha yang dilakukan oleh negara Afrika Selatan mengheret Zionis Israel ke Mahkamah Antarabangsa," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media, sempena pelancaran Minggu Al-Quds Sedunia, di sini, hari ini. Turut hadir, Penasihat Liga Ulama Palestin Dr. Abdullah Almajedd Alzindani dan Ahli Koordinasi Ulama Palestin, Dr Ahmad Amir. Mengulas lebih lanjut, Dr Muhammad Khalil berkata, isu Palestin telah menjadi topik utama di Afrika Selatan sejak sekian lama. "Ini kerana titik persamaanya, Afrika Selatan juga pernah berdepan penindasan di zaman Aparteid, maka wujud persamaan," ujarnya, Katanya, negara lain tidak berani mengambil langkah sebagaimana diambil oleh Afrika Selatan kerana menjaga kepentingan dengan barat termasuk dengan Amerika Syarikat. "Kita kena faham sebenarnya sistem yang diwujudkan pada hari ini, politik, ekonomi dan lain-lain sistem yang diwujudkan untuk menjaga kepentingan dengan barat dan menyelamatkan Israel ini berlaku selepas perang dunia kedua. "Selama ini sepanjang lebih 75 tahun wujudnya negara haram Israel walaupun banyak kes pembunuhan, melanggar hak asasi manusia yang dilakukan oleh Zionis Isrel tidak pernah dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa," ujarnya.
01 Feb 24
140
UMT Buka Pusat Pemprosesan Makanan Inovatif Bantu Lahir Usahawan Di Kalangan Belia B40
UMT Buka Pusat Pemprosesan Makanan Inovatif Bantu Lahir Usahawan Di Kalangan Belia B40
KUALA TERENGGANU, 31 Januari - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyokong inisiatif dilaksanakan Syarikat Honey Melon World Sdn Bhd dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan belia B40 melalui pembukaan Pusat Pemprosesan Makanan Inovatif di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT), Manir di sini. Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, Syarikat Honey Melon World merupakan syarikat ‘start-up’ di bawah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), UMT yang mana pengurusan tertinggi syarikat adalah dari kalangan para penyelidik UMT. “Berkat usaha dan keazaman para penyelidik UMT serta kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), syarikat terus berkembang dan telah berjaya menghasilkan produk makanan seperti lasagna daging, jus melon manis Terengganu dan MMT Ice Cream di pusat pemprosesan ini. “Selain berupaya mengeluarkan produk manakan inovatif yang berkualiti dan dijamin dari segi halalnya, pembukaan pusat pemprosesan makanan inovatif ini secara tidak langsung dapat menyokong komuniti setempat melalui galakan dan peluang kepada anak-anak B40 menceburi bidang perniagaan dengan mendapatkan latihan di sini,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Pemprosesan Makanan Inovatif di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT), Manir di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Afnida Aini Alwi. Mengulas lanjut katanya, pusat itu berupaya memberikan kemudahan dan persediaan kepada usahawan bagi mengembangkan lagi perniagaan melalui jalinan kerjasama melibatkan kepakaran UMT dalam mencipta produk baharu. “Kita sasarkan pusat pemposesan makanan ini bakal mengeluarkan pelbagai lagi produk manakan inovatif yang berkualiti dan dijamin halal,” ujarnya. “Malah, pusat ini berupaya membuka peluang pekerjaan baharu kepada komuniti setempat dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan ini selain memberi manfaat besar kepada usahawan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS),” katanya.
31 Jan 24
262
Terengganu Bakal Laksana Projek Gabungan Solar dan Pertanian
Terengganu Bakal Laksana Projek Gabungan Solar dan Pertanian
Terengganu bakal melaksanakan projek solar agrivolta yang berintegrasi untuk pembangunan solar dan pertanian. 
30 Jan 24
163
Kerajaan Terengganu Akan Bina Semula Rumah Terjejas Banjir
Kerajaan Terengganu Akan Bina Semula Rumah Terjejas Banjir
Kerajaan negeri sedang meneliti untuk membina dan membaik pulih kediaman penduduk yang terjejas dalam bencana banjir di Kampung Shukor, Hulu Dungun.
30 Jan 24
107
'Walk For Peace' Tarik 1,400 Peserta
'Walk For Peace' Tarik 1,400 Peserta
KUALA TERENGGANU, 29 Januari - Program Terengganu Walk For Peace 2024 yang diadakan sempena Karnival Sukan Wanita Terengganu mendapat sambutan memberangsangkan apabila 1,400 peserta menyertai acara berkenaan. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, acara berjalan kaki sejauh 3.5 kilometer di sekitar Dataran Batu Burok itu disertai oleh pelajar tingkatan satu hingga empat daripada 16 buah sekolah menengah agama di negeri ini. “Program ini adalah salah satu pengisian sempena Karnival Sukan Wanita pada kali ini dan kita sangat mengalu-alukan program sebegini untuk menaikkan martabat sukan di Negeri Terengganu. “Selama ini dari segi penglibatan dalam aktiviti sukan ramai lelaki tetapi hari ini dengan inisiatif baru daripada penganjur, dapat kita lihat ramai pelajar perempuan yang turut serta dalam acara yang berbentuk santai sebegini,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Penutup Karnival Sukan Wanita Terengganu dan Program Terengganu Walk For Peace 2024 di Dataran Baru Burok, hari ini. Sementara itu, mengulas mengenai Karnival Sukan Wanita Terengganu yang berlangsung pada 25 hingga 28 Januari di Stadium Negeri, Mohd Fadhli berkata, kerajaan negeri tidak sesekali menyekat wanita untuk bersukan tetapi perlu mematuhi konsep pemakaian patuh syariah.  “Karnival ini terbuka untuk semua wanita, kita sangat alu-alukan. Selain untuk menggalakkan wanita terlibat dalam aktiviti sukan, dalam masa yang sama kita hendak dedahkan kepada rakyat Terengganu bahawa wanita juga layak untuk bersukan tetapi perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. “InsyaAllah kita akan usahakan supaya karnival ini menjadi acara tahunan yang akan memfokus kepada wanita sahaja dengan menambahbaik acara dan aktiviti yang diadakan,” ujarnya. Terdahulu, beberapa pertandingan seperti bola jaring, bola tampar dan ping pong telah berlangsung dalam suasana meriah sepanjang empat hari karnival.
29 Jan 24
285
Kes Jenayah Komersial di Terengganu Menurun
Kes Jenayah Komersial di Terengganu Menurun
KUALA TERENGGANU, 29 Januari- Kes jenayah komersial di Terengganu tahun lalu merekodkan penurunan berbanding tahun sebelumnya, ujar Polis Terengganu. Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, sebanyak 1,237 kes jenayah komersial membabitkan jumlah kerugian RM33.32 juta sepanjang tahun 2023, berbanding 1,311 kes dengan kerugian RM24.32 juta pada 2022. Katanya, berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu menunjukkan peningkatan kerugian pada tahun 2023 sebanyak RM8.9 juta atau 37 peratus berbanding tahun 2022. "Bagi tangkapan kes jenayah komersial pula seramai 658 tangkapan bagi tahun 2023, berbanding 536 tangkapan pada 2022 iaitu peningkatan seramai 122 tangkapan atau 18.54 peratus,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam. Mazli berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 27 Januari tahun ini, sebanyak 393 laporan polis telah diterima dan 94 kertas siasatan telah dibuka melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM1.4 juta. Katanya, penyumbang utama kes jenayah komersial adalah melibatkan kes penipuan yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan penipuan kes skim pelaburan tidak wujud didapati menjadi penyumbang tertinggi kepada jumlah kerugian. Justeru katanya, pihak polis menasihati masyarakat supaya sentiasa peka, berwaspada serta membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi, selain mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan skim pelaburan. 
29 Jan 24
372
'Air Naik Begitu Cepat Ranapkan Rumah Kami'
'Air Naik Begitu Cepat Ranapkan Rumah Kami'
DUNGUN, 29 Januari - "Air naik begitu cepat sehingga menyebabkan saya dan isteri terus menaiki kereta untuk ke tempat lebih tinggi dan tidak sempat selamatkan apa-apa," ujar Mohamad Zubir. Mangsa banjir, Wan Mohamad Zubir Wan Suhaidi, 31,  berkata ketika kejadian, tanpa menyedari baru 10 minit berlalu, air banjir telah mencapai paras dua kaki dalam kediamannya. "Kesemua barangan dalam rumah kami telah mengalami kerosakan termasuk barangan elektrik, sofa dan lain-lain akibat banjir itu," jelasnya. Dia berkata demikian kepada pemberita ketika sedang membersihkan rumah di Kampung Shukor, Hulu Dungun di sini semalam. Dia yang tinggal bersama isterinya berkata banjir besar yang melanda Kampung Shukor, Hulu Dungun pada kali ini merupakan paling teruk berbanding tahun 2014. Tambah Zubir, banjir luar biasa itu menyebabkan paras air melepasi bumbung rumahnya sehingga tiada kekuatan untuk melakukan apa-apa. “Kami sekeluarga terpaksa berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terdekat sehingga kejadian banjir beransur pulih,” ujarnya. Sementara itu, lebih 500 peserta Ops Pasca Banjir membanting tulang membersihkan masjid, balai raya, sekolah serta beberapa rumah mangsa banjir di Kampung Shukor. Sukarelawan terdiri daripada agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), KHIDMAT Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia (JAM).  
29 Jan 24
166
EPIC Peruntuk RM2.3 Juta Untuk CSR 2023
EPIC Peruntuk RM2.3 Juta Untuk CSR 2023
KUALA NERUS, 29 Januari- Anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) peruntuk RM2.3 juta bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berbanding tahun sebelumnya RM2.2 juta. Pengarahnya, Datuk Ahmad Amzad Bin Mohamed @ Hashim berkata peningkatan itu berdasarkan kadar pertumbuhan prestas yang berjalan lancer dan berjaya mencatatkan keuntungan lebih besar. “Dengan peruntukan itu, kami mensasarkan untuk meluaskan lagi usaha murni ini agar mereka terjejas beroleh manfaat dan merasai nikmat kehidupan yang lebih baik, “Saya juga berharap menerusi penganjuran pelbagai lagi program dapat memantapkan kerjasama holistik antara pihak EPIC Berhad dan kerajaan negeri dalam membantu golongan-golongan bersasar, badan-badan atau institusi-institusi lain di Negeri Terengganu,”katanya kepada pemberita selepas merasmikan program “EPIC Back to School 2024” di Raia Hotel di sini hari ini. Dalam program tersebut, seramai 100 murid kurang bernasib baik di Kemaman dan Kuala Terengganu yang melibatkan lapan buah sekolah rendah di bawah inisiatif “EPIC Celik” menerima sumbangan kit persediaan sesi persekolahan baharu berupa baucar pembelian uniform sekolah, baucar pembelian kasut, set alat tulis, botol minuman, beg sekolah dan juga hamper makanan bernilai RM500 setiap satu. Ahmad Amzad berkata, sesi pertama program telah dijalankan semalam di premis operasi syarikat di Kemaman bersama 50 murid dari SK Bukit Mentok. "Pada hari ini pula, 50 murid dari  tujuh buah sekolah iaitu SK Pusat Chabang Tiga, SK Paloh, SK Wakaf Mempelam, SK Durian Burung, SK Rengas Bekah, SK Pulau Rusa, dan SK Bukit Losong. “EPIC Berhad  mensasarkan murid-murid dari keluarga kurang berkemampuan dengan menyediakan keperluan penting untuk menghadapi sesi persekolahan baharu bagi memastikan murid-murid kurang bernasib baik tidak ketinggalan dalam membuat persediaan untuk kembali ke sekolah," ujarnya.  
29 Jan 24
445
Pusat Tafaqquh Fi Din Dijangka Dibuka 1 Februari
Pusat Tafaqquh Fi Din Dijangka Dibuka 1 Februari
 Perkampungan Ilmu Tafaqquh Fiddin Tok Syeikh Duyong Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man di sini dijangka mula beroperasi untuk fasa pertama mulai 1 Februari ini.
29 Jan 24
7