Artikel "Semasa" Terkini
Kerjasama Ruane -TATIUC dan High Skills Technology Tepat Pada Masa
Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Ruane-TATI Sdn Bhd dan High Skills Technology Sdn bhd tepat pada masanya bagi memenuhi kehendak industri hari ini dalam usaha menyediakan latihan kemahiran bermutu tinggi.
04 Sep 24
185
Menteri KDN Dituntut Bertindak Tegas Terhadap Penghina Islam
Menteri Dalam Negeri (KDN), Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dituntut bertindak tegas terhadap penghina agama Islam.
04 Sep 24
49
Orang Ramai 'Serbu' Ayam RM10 di Pasar Berkat
KUALA TERENGGANU, 4 September – Kira-kira 1,000 ekor ayam berharga RM10 seekor habis dijual dalam tempoh satu jam di program Pasar Berkat yang berlangsung di Padang Hiliran di sini, pagi ini.
Selain ayam, orang ramai juga tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan keperluan lain seperti sayur-sayuran, daging dan barangan basah dengan potongan harga istimewa sempena program tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, program anjuran Persatuan Pekerja dan Pengguna Kuala Terengganu (PEKA) dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar adalah untuk membantu rakyat terutama golongan B40 membeli barangan keperluan itu dengan harga murah.
"Ini adalah program kali keenam yang kita anjurkan dengan PEKA di sekitar bandaraya Kuala Terengganu dan kali pertama pada penggal ini.
"Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan kita akan teruskan dengan kekerapan yang sesuai bagi pihak pembeli dan peniaga.
“Kerajaan negeri sentiasa mendengar pandangan rakyat. Insya-Allah kita sentiasa berusaha membantu serta meringankan beban rakyat di dalam kawasan,” katanya kepada pemberita.
Tambah Ahmad Shah, lebih satu tan ikan pelbagai jenis turut dijual dengan harga murah seperti anak ikan kembung dan anak ikan selar hanya RM2 sekilo.
Menurutnya, daging pula dijual RM25 serta pelbagai jenis sayur-sayuran dengan harga RM1 seikat.
Salah seorang pengunjung Aminah Said, 56, yang ditemui berkata, dia berkunjung seawal jam 7.00 pagi untuk mendapatkan bekalan ayam yang dijual pada harga jauh lebih murah berbanding pasar raya serta pasar basah.
"Saya datang dengan suami dan kami dapat beli dua kampit beras selain ayam dapatlah bertahan selama sebulan dan kami turut beli beberapa barang keperluan lain pada harga murah berbanding pasaran.
"Kami selalunya memang akan pergi beli barang keperluan di program jualan murah seperti ini kerana kami dapat berjimat. Sekurang-kurangnya dapat jimat sehingga RM100 sebulan... itu dah cukup baik untuk keluarga saya,"katanya.
Sementara itu, bagi suri rumah Nurul Ain Mohd, 40, pula berkata dia dapat berjimat sehingga 30 peratus dengan membeli-belah di Jualan Pasar Berkat dan tumpuannya adalah beras serta barangan kering untuk kegunaan harian di rumah.
Dia yang mempunyai tiga anak berkata selain murah, barang-barang ditawarkan juga berkualiti malah ada yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran.
04 Sep 24
191
Terengganu Sumbang RM700,000 Untuk Pembangunan Semula Palestin
KUALA TERENGGANU, 4 September – Kerajaan negeri menyerahkan sumbangan berjumlah RM700,000 kepada Pertubuhan bukan kerajaan, Cinta Gaza Malaysia (CGM), baru-baru ini.
Replika cek sumbangan disampaikan oleh Menteri Besar, Dato Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar kepada Ketua Pegawai Eksekutif CGM, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Nadir Al-Nuri berkata sumbangan tersebut merupakan hasil sumbangan agensi di bawah kerajaan negeri dan rakyat Terengganu bagi membantu mengurangkan kesengsaraan yang dialami rakyat Palestin.
“Diam-diam ubi berisi, begitulah perumpamaan selayaknya untuk Kerajaan Negeri Terengganu, walaupun nampak senyap, tenang dan bersahaja tetapi kerja berjalan tanpa banyak bicara.
“Baru kira-kira sebulan kami berjumpa dengan Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini kami dijemput untuk menerima cek bernilai RM700,000 untuk saudara-saudara kita di Gaza.Terima kasih dan tahniah rakyat Terengganu,” ujarnya dalam satu hantaran di laman facebook rasminya semalam.
Beliau berkata sumbangan itu akan digunakan sebagai permulaan pembangunan Bangunan Apartment Terengganu di Bandar Wakaf Malaysia di Gaza setelah tamat genosid kelak,
04 Sep 24
604
'Daurah Fiqh Islami' Disambut Baik Zahir Rakyat Terengganu Cintakan Ilmu
Oleh : Abay Cik
MARANG, 3 September - Rakyat negeri ini menyambut baik 'Daurah Fiqh Islami' yang diadakan di Masjid Rusila bermula semalam sekali gus menzahirkan masyarakat Terengganu cintakan majlis ilmu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program seumpama itu sudah tentu akan berupaya memantapkan ilmu agama dalam kalangan masyarakat hidup terpandu ke arah menghayati kehidupan 'Indahnya Hidup Bersyariat'.
"Ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik dianjurkan oleh pihak Masjid Rusila dengan kerjasama Akademi Didik Ulama Dan Amilin Terengganu (DUAT) dalam usaha memeriahkan negeri ini dengan program yang sangat bermanfaat ini.
"Serta pelajar-pelajar yang akan hadir sudah tentu akan bersemangat bagi meneruskan pembelajaran dimasa akan datang, jangan setakat berhenti di program ini sahaja," ujarny ketika berucap merasmikan program berkenaan tersebut.
Ujarnya, pada kemuncak acara esok dijangka akan menarik lebih ramai peserta kerana akan menampilkan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
"Dimana tidak asing lagi dikenali sebagai tokoh agama yang sangat dihormati, justeru orang ramai terutama masyarakat setempat dijemput untuk bersama-sama menimba ilmu," ujarnya.
Dalam pada itu, Mudir Maahad Darul Quran, Ismail Othman berkata program 'Daurah Fiqh Islami' itu telah pun bermula pada beberapa tahun yang lepas.
"Setiap kali ia diadakan sambutan daripada masyarakat sangat baik lebih-lebih lagi pada tahun ini.
"Dengan program seumpama ini ia memberi peluang kepada mereka yang ingin mendalami ilmu fiqh dan memperkukuhkan amalan seharian mereka.
"Dengan bimbingan para ulama dan pendakwah berpengalaman, diharapkan program ini akan membawa manfaat besar kepada semua yang terlibat," ujarnya.
03 Sep 24
193
EPIC Marine Bangunkan GSRF Di Pelabuhan Kemaman
KUALA TERENGGANU, 3 September- Eastern Pacific Marine Services Sdn Bhd (EPIC Marine) membangunkan Fasiliti Pengitaran Semula Kapal dan Pelantar Hijau atau Green Ship Recycling Facility (GSRF) yang juga merangkap sebagai Kemudahan Pemulihan Penyahtauliahan (DRF) di Pelabuhan Kemaman.
Kemudahan canggih oleh anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) itu merupakan yang pertama di Malaysia dan dibina atas tapak seluas 13 ekar di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB).
Ia dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada penghujung tahun 2026 dan dijangka menjadi asas untuk kelestarian kitar semula dan penyahtauliahan kapal di rantau ini.
EPIC Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, GSRF akan mematuhi piawaian alam sekitar dan keselamatan antarabangsa yang tertinggi termasuk keperluan ketat yang digariskan dalam Hong Kong International Convention for the Safe and Environmentally Sound Recycling of Ships (Hong Kong Convention).
“Konvensyen yang akan berkuat kuasa pada 26 Jun 2025 itu akan memastikan bahawa kapal pada penghujung hayat operasinya akan dikitar semula bagi meminimumkan risiko kepada manusia kesihatan dan alam sekitar.
“Selain lokasinya yang strategik dan pematuhan terhadap kesihatan, keselamatan dan garis panduan alam sekitar (HSE),” ujar kenyataan tersebut, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Ts. Haji Muhtar Suhaili dalam kenyataan tersebut memaklumkan, kemudahan itu bersedia untuk merevolusikan pelupusan kapal-kapal akhir hayat dan platform melalui potensi dan kecekapannya yang luar biasa.
“GSRF dijangka memproses antara 30,000 hingga 50,000 tan metrik daripada bahan setiap tahun, menjadikannya salah satu kemudahan kitar semula kapal yang paling cekap dan selamat di rantau ini.
“Inisiatif ini juga dioptimumkan untuk pengurangan pelepasan CO2 dan kitar semula komponen bukan logam yang mampan,” ujarnya.
Katanya, GSRF juga akan berfungsi sebagai Kawasan Pelupusan Pesisir atau Kemudahan Pemulihan Penyahtauliahan bagi platform luar pesisir yang dijadualkan untuk penyahtauliahan.
“Kemudahan ini lebih daripada sekadar kawasan kitar semula kapal, ia mewakili penanda aras baharu dalam operasi maritim yang mampan.
“Kami percaya bahawa GSRF bukan sahaja akan mempelbagaikan lagi tawaran kami dan menyokong tranformasi Pelabuhan Kemaman menjadi pelabuhan hijau, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memajukan industri maritim tempatan ke arah yang lebih mampan masa depan,” ujarnya.
03 Sep 24
446
14 Atlet Kemaman Pemenang Pingat Sukma Diraikan
KEMAMAN, 3 Sept - Seramai 14 atlet daripada Kemaman yang telah memenangi pingat dalam acara masing-masing di Sukan Malaysia (SUKMA) yang ke-21 diraikan sempena kejayaan mereka mewakili Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata kemenangan yang diperolehi oleh para atlet muda ini sangat membanggakan dan telah mengharumkan nama negeri.
"Kejayaan mereka ini adalah usaha keras daripada mereka sendiri. Bagi mencapai kejayaan seperti ini bukan sesuatu yang mudah.
"Oleh yang demikian, kita adakan majlis ini bagi meraikan kejayaan mereka," ujarnya.
Majlis tersebut telah diadakan dalam satu program sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat DUN Cukai 2024 yang berlangsung di Padang Astaka Kemaman, baru-baru ini.
Hanafiah telah menyampaikan hadiah berbentuk wang tunai sebanyak RM500 buat atlet yang mendapat pingat emas, RM400 untuk pingat perak dan RM300 untuk atlet yang memenangi pingat gangsa.
Kesemua mereka telah menyumbang empat pingat emas, satu perak dan sepuluh gangsa dalam acara pencak silat, judo, sepak takraw, ragbi, berbasikal dan hoki (wanita).
Beliau yang juga merupakan bapa angkat kepada sukan Tenpin Bowling Terengganu juga mengharapkan kejayaan mereka akan memberikan contoh serta menjadi sumber inspirasi kepada atlet yang lain untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang.
03 Sep 24
271
122 Kontinjen Serta Perarakan Hari Kebangsaan di Terengganu
Sebanyak 122 kontinjen menyertai Perarakan dan Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Terengganu.
02 Sep 24
77
Menteri KDN Dituntut Bertindak Tegas Terhadap Penghina Islam
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos - Menteri Dalam Negeri (KDN), Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dituntut bertindak tegas terhadap penghina agama Islam.
Hantaran pengguna media sosial yang dikenali 'Ryan Azzaro' menunjukkan seorang wanita bertutup seluruh badan sedang melakukan lompatan ke dalam kolam renang dengan kapsyen 'Welcome To Afganu' perlu disiasat segera.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Terengganu, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) hari ini telah membuat laporan polis bagi memastikan ia sampai ke pengetahuan Menteri KDN itu.
"Kita nak minta siasatan dan pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen (4) (1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana secara jelas (perkara itu) telah melanggar 3R.
"Saya ingat hampir setahun lebih perkara ini ditegaskan oleh Kerajaan Madani hari ini, jadi kami menuntut hak yang sewajarnya bukan atas dasar pembangkang ataupun kerajaan.
"Tetapi perkara itu telah menyentuh sensitiviti agama Islam secara keterlaluan, jadi saya minta pihak bertanggungjawab menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, pihaknya meletakkan kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa untuk tidak berdiam diri dalam soal persendaan terhadap ajaran Islam.
"Saya masih ingat setahun yang lalu kita dipanggil ke IPK Terengganu bagi memberi laporan tentang pemuda PAS yang berpakaian seperti pejuang Islam dan melakukan perarakan sedangkan tiada sebarang keganasan dilakukan atapun mengina dan memperkecilkan mana-mana agama, itu pun kami dipanggil.
"Jadi saya minta perkara yang sama atau mungkin lebih tegas lagi daripada pihak polis serta pihak-pihak terbabit termasuk Menteri KDN sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan dalam negara ini bagi membawa manusia tidak bertanggungjawab ini ke muka pengadilan." tegasnya.
Katanya, sekiranya tiada tindakan diambil pihaknya akan terus menggunakan saluran lain untuk menuntut keadilan selagi tidak bercanggah dengan perlembagaan.
"Kita berharap ada tindakan, jangan didiamkan sahaja bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, apa yang terjadi ini tidak boleh dibiarkan tanpa ada keputusan ataupun satu hukuman yang sepatutnya," katanya.
29 Aug 24
296
Persatuan OKU Sertai Perarakan Kemerdekaan
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos- Sambutan Hari Kebangsaan kali ini amat istimewa buat 110 ahli kontinjen Majlis Tindakan Orang kurang Upaya (OKU) Negeri Terengganu (MTOT) apabila julung kalinya terpilih menyertai perarakan, 31 Ogos ini.
Keanggotaan MTOT terdiri daripada tujuh Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) OKU iaitu Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Terengganu, Persatuan Pembangunan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (POKUAT), Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu.
Selain Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT), Persatuan Autisme Terengganu (PAUT), Persatuan Anak Istimewa Sindrom Down Itqan Terengganu (ITQAN TERENGGANU) dan Persatuan Kebajikan Anak Permata Syurga (APS).
Bagi Fakhruddin Zakaria yang juga Presiden Persatuan Pembangunan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (POKUAT) berkata, walaupun berkerusi roda beliau tetap bersemangat meraikan program sempena bulan kebangsaan itu.
“Ini adalah pengalaman pertama saya menyertai perarakan sempena hari kemerdekaan dan perasaannya sangat bangga serta teruja kerana dapat bersama-sama menyemai semangat patriotik dalam menzahirkan rasa cinta kepada negara.
“Sebelum ini ada dari kalangan kami yang pernah menyertai perarakan tetapi tahun ini lebih bermakna kerana semuanya berada di bawah satu ‘payung’ hasil gabungan semua kategori OKU di bawah MTOT,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada raptai penuh Perbarisan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Shahbandar, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim memaklumkan, penubuhan MTOT pada 6 Mac lalu bertujuan mewujudkan kolaboratif multi sektoral dalam usaha memberi perlindungan, pendididikan, rehabilitasi dan pembangunan kepada OKU demi kepentingan dan kesejahteraan golongan ini.
“Kita juga ingin memastikan OKU mendapat kesaksamaan hak dan peluang bagi penyertaan penuh dalam masyarakat,” ujarnya.
29 Aug 24
488