Artikel "Semasa" Terkini
Tindakan Terhadap GISB Tertakluk Keputusan Pihak Berkuasa Agama
KUALA TERENGGANU – Sebarang tindakan yang akan dikenakan terhadap rangkaian GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Terengganu akan dibuat berdasarkan keputusan pihak berkuasa agama dan undang-undang sedia ada.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan akan merujuk isu berkenaan terhadap pemegang taruh dan pihak berautoriti dalam masa terdekat.
"Saya rasa mungkin dalam masa terdekat ini (kita akan buat beberapa keputusan).
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024 – 2026 di Majlis Bandaraya, Kuala Terengganu (MBKT) di sini, hari ini.
Sementara itu katanya, tindakan menyita peralatan perniagaan di premis GISBH perlu dijalankan mengikut peraturan sedia ada.
"Kita akan tengok dari segi peruntukan dalam undang-undang apa yang peringkat PBT boleh buat.
"Jadi biar kita ikut peraturan sebab kalau tidak ada risiko kena saman maka kita kena lebih cermat," ujarnya.
Ketika ditanya mengenai penggantungan lesen GISBH berdasarkan keputusan muzakarah dibuat, beliau menyatakan pihaknya tidak mempunyai perkembangan berhubung isu tersebut setakat ini.
"Belum ada perkembangan lagi dan kita tidak boleh tengok isu lesen dan premis sahaja.
"Isu lain pun kita tengok supaya tidak timbul kelompongan dari segi penguatkuasaan yang boleh buka ruang kepada tindakan undang-undang lain.
"Jadi kami akan ambil sedikit masa (berhubung tindakan gantung lesen) supaya lebih cermat," jelasnya.
03 Oct 24
256
Sedia Santuni dan Jaga Kebajikan Mualaf di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Kerajaan negeri terus komited dalam memberi bimbingan keagamaan kepada mualaf dan seterusnya mempertingkat syiar Islam dan menjaga kebajikan sosioekonomi golongan berkenaan di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata pihaknya bersedia mengadakan pertemuan yang berimpak positif melalui pelbagai agensi kerajaan dengan kerjasama badan bukan kerajaan bagi menyantuni kebajikan golongan itu.
Menurutnya, Konvensyen Terengganu Sejahtera 2024 yang buat pertama kali diadakan itu menjadi platform dalam menyatukan golongan saudara baru bagi melahirkan kesejahteraan melalui dialog dan perbincangan yang diadakan.
“Dalam konvensyen ini, kita bawa satu mesej iaitu Terengganu sebagai satu negeri maju, berkat dan sejahtera. Ini antara elemen untuk kita bawa kesejahteraan kepada rakyat dan perkara yang kita lihat adalah perkara kepelbagaian kaum dan kepelbagaian agama yang tidak boleh menjadi sebab rasa hilang kesejahteraan .
“Jadi apa yang kita buat hari ini adalah merupakan satu langkah untuk membuktikan bahawa agama, bangsa dan seumpamanya adalah merupakan satu kesenian yang kita terima dan dipupuk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis penutup Konvensyen Terengganu Sejahtera 2024 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.
Tambahnya, walaupun majoriti Islam di Terengganu lebih besar namun keharmonian terserlah sehingga kini tanpa adanya perbalahan kaum.
“Inilah yang kita terjemah dan perkasakan di Terengganu bagi melahirkan negeri maju, berkat dan sejahtera kerana dalam Islam, kita tetap raikan hak-hak mereka.
“Begitu juga dalam aspek bantuan , kita tidak melihat kepada warna kulit dan juga agama kerana kita tengok dari sudut sasaran yang wajar untuk menerima.
“Jadi bantuan untuk fakir miskin di kalangan muslim berlangsung dan untuk bukan Islam pun …kita akan bantu sebab itu tanggungjawab kita bagi membantu rakyat Terengganu,”ujarnya lagi.
Sementara itu, Penolong Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Wan Ahmad Zuki Wan Ismail berkata konvesyen ini merupakan sentuhan awal daripada pihaknya sebagaimana cetusan dari pihak kerajaan negeri sendiri dalam mendekati golongan mualaf.
“Kerajaan sentiasa menitik beratkan hubungan antara kaum jadi kita nak hilangkan jarak antara muslim dengan bukan muslim di Terengganu supaya masyarakat bukan Islam itu lebih mengenali saudara-saudara mereka yang muslim.
“Dalam masa yang sama, masyarakat Islam jangan ada ketakutan untuk mendekati saudara-saudara bukan muslim termasuk golongan mualaf,”katanya.
Menurut Wan Ahmad Zuki, DUAT akan melaksanakan program-program seumpamanya pada akan datang pelbagai bentuk pengisian dan memperkasakan lagi dengan ruang lebih luas melalui sentuhan-sentuhan baru.
02 Oct 24
166
PBT Pergiat Pantauan Aktiviti Tidak Bermoral
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan sedang melakukan pemantauan teliti berhubung aktiviti tidak bermoral yang berlaku di negeri ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia dilakukan secara berhati-hati bagi mengelak berlakunya sebarang sabotaj daripada pihak tidak bertanggungjawab.
"Kalau nak buat (serbuan) pun kita tak akan maklum kepada mana-mana pihak kecuali pihak berkuasa supaya tidak timbul sabotaj dan sebagainya.
"Kita sedang pantau dengan teliti (aktiviti berunsur maksiat di Terengganu)...sebab itu lah saya rasa tanggungjawab untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang ini adalah tanggungjawab semua pihak.
"Bagi orang Islam, kita laksanakan tuntutan agama, amar ma'ruf nahi mungkar.…bila lihat atau dengar maklumat begini, haruslah disampaikan kepada pihak berkuasa dengan cara masing-masing (yang sesuai)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024 – 2026 di Majlis Bandaraya, Kuala Terengganu (MBKT) di sini, hari ini.
Katanya, aduan boleh dikemukakan kepada ahli majlis PBT atau mana-mana pihak berkuasa.
"Insya-Allah kerajaan negeri akan guna ruang yang ada untuk ambil tindakan undang-undang," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Imigresen Malaysia menahan 17 wanita warga Thailand dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.
Mereka yang berumur lingkungan 19 hingga 33 tahun ditahan ketika asyik melayan pelanggan dengan berpakaian seksi ala jururawat di sebuah pusat hiburan haram di bandar raya Kuala Terengganu.
02 Oct 24
93
Terengganu Harap Belanjawan 2025 Adil, Tiada Cukai Baharu
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Kerajaan Terengganu mengharapkan peruntukan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober ini dapat disalurkan secara adil untuk semua negeri di samping tiada pengenalan cukai baharu.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengagihan hasil negara harus seimbang mengikut negeri yang lebih memerlukan akibat daripada kesenjangan (jurang) atau ketidakseimbangan pembangunan.
“Kita berharap kerajaan pusat lihat apa sebenarnya yang berlaku dalam negara kita kepada rakyat, kepada negeri-negeri, keadilan bukan sekadar diucapkan tetapi hendaklah ditegakkan.
“Saya berharap tidak ada tindakan drastik seperti cukai-cukai baharu yang boleh menekan rakyat memandangkan mereka sedia terbeban dengan kos sara hidup dan sebagainya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024-2026 di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, negeri-negeri pembangkang juga tidak seharusnya dipinggirkan.
“Mana-mana negeri tidak kira pembangkang atau tidak adalah negeri yang membentuk satu persekutuan yang kita namakan sebagai Malaysia.
“Hasil kerja kuat negeri-negeri dari segi perkhidmatan dan sebagainya turut menyumbang kepada KDNK negara, jadi kalau ada negeri-negeri yang tidak mendapat keadilan yang sewajarnya maka tentunya ia memberi kesan kepada KDNK dan pencapaian negara kita.
“Jadi, tentulah isu ini haruslah diselesaikan, politik-politik juga, tetapi selama mana kita ingin berpolitik yang boleh menyebabkan negeri-negeri tertentu dalam negara ini dinafikan hak mereka,” ujarnya.
02 Oct 24
275
Primula Beach Hotel Jadi Hotel Pertama Di Terengganu Tanam MMT
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober- Primula Beach Hotel mengorak langkah menceburi bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) secara fertigasi di perkarangan hotel berkenaan.
Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata, lebih membanggakan apabila Primula Beach Hotel menjadi hotel pertama di negeri ini yang terlibat dengan pertanian secara fertigasi.
Katanya, projek fasa pertama dengan tanaman sebanyak 30 pokok MMT yang bermula 8 Ogos lalu kini mula mengeluarkan buah.
"Anggaran masa untuk tuaian hasil adalah pada 12 hingga 13 Oktober ini iaitu dalam tempoh 60 hingga 70 hari selepas proses penanaman.
" Selain MMT, kita juga usahakan tanaman sawi secara fertigasi yang telah beberapa kali berjaya dituai dalam kuantiti yang cukup memberangsangkan.
"Projek fertigasi ini bertujuan untuk mengurangkan kos pembelian sayur-sayuran atau buah-buahan dari luar di mana hasil tanaman ini membolehkan kita menyediakan sayuran segar yang dipetik terus dari kebun ke dapur pelanggan hotel," ujarnya kepada pemberita, hari ini.
Menurut beliau, usaha tersebut juga selaras dengan inisiatif hotel dalam menyokong amalan hijau dan kelestarian, dengan mengurangkan jejak karbon melalui penggunaan sumber tempatan dan mengurangkan sisa makanan.
"Kita sebenarnya telah menerima pengiktirafan sebagai ‘Hotel Amalan Lestari Terbaik’ di Anugerah Industri Pelancongan 2024 yang diadakan di Royale Chulan Kuala Lumpur, baru- baru ini.
"Anugerah itu telah mengiktiraf komitmen teguh Primula Beach Hotel terhadap kelestarian dan usaha inovatif dalam mempromosikan amalan mesra alam dalam industri perhotelan," ujarnya.
Katanya, bagi menjayakan projek terbabit, pihaknya dibantu oleh Jabatan Pertanian dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang bertindak sebagai mentor dan memantau kemajuan penanaman.
01 Oct 24
2860
Pesta Buku Terbesar Terengganu Berakhir Esok
KUALA TERENGGANU, 30 September - Penganjuran Pesta Buku terbesar peringkat negeri di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu yang bermula 25 September lalu akan berakhir esok.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri merangkap Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Ridzuan Hashim berkata Pesta buku kali ini merupakan program paling ditunggu-tunggu oleh para penulis, pembaca dan peminat buku yang sentiasa dahagakan ilmu.
Katanya, program yang diadakan setiap tahun bermula 2018 itu dijayakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) serta tajaan Syarikat Muda Osman Sdn Bhd (SMO).
"Seramai 73 penerbit dari tempatan dan luar turut hadir. Selain itu, jualan alat bantuan mengajar dan juga alat tulis turut diadakan pada Pesta Buku kali ini.
"Pelbagai kategori bahan bacaan juga dijual seperti novel, komik, buku pelajaran dan bahan bacaan umum dengan harga promosi berpatutan, pelbagai pengisian program disediakan kepada pengunjung yang hadir sepanjang tempoh tujuh hari pesta buku ini berlangsung dengan pelbagai kategori bermula dari kanak-kanak hingga dewasa.
"Antara aktiviti menarik turut diselitkan adalah pertandingan mewarna, bercerita, kuiz, busana perpaduan, jigsaw puzzle, ceramah kekeluargaan, bicara karya, ulasan sukan spontan, permainan tradisional, pertunjukan wayang kulit, busking dan banyak lagi program disediakan, pesta kali ini menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pengunjung," katanya kepada media.
Selain itu katanya, jualan makanan daripada peniaga-peniaga food truck dan Bazar PPAT, dan juga kehadiran figura terkenal tanah air bagi memeriahkan lagi suasana.
“Antara figura terkenal tersebut iaitu Datuk Imuda, Ben Wong, Sharina Elisa, Muzuza, Adik Dhani, Hudanajwa dan ramai lagi masing-masing mempunyai slot khas.
“Semasa berlangsungnya Pesta Buku ini, perkhidmatan Perpustakaan juga telah dilanjutkan sehingga jam 10 malam, melibatkan bahagian kanak-kanak dan pinjaman dewasa.
“Turut memeriahkan Pesta buku kali ini pembukaan kaunter semakan Wang Tak Dituntut (WTD) oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia, perkhidmatan kaunter bergerak oleh MAIDAM, pameran robotik daripada TATIUC.
“Saya amat mengharapkan agar semua pihak terlibat semasa Pesta Buku kali ini sentiasa komited dalam usaha meneruskan dan memajukan industri media cetak dan seterusnya membangunkan masyarakat berilmu pengetahuan, jadi rebutlah peluang ini untuk mendapatkan buku kegemaran dengan harga mampu milik,” ujarnya.
30 Sep 24
977
2,000 Sertai Sambutan Maulidur Rasul Peringkat DUN Cukai
KEMAMAN, 29 September - Hampir 2,000 peserta terdiri dari 68 kontinjen hadir memeriahkan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai 2024, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat mengucapkan tahniah diatas kerjasama dan semangat yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam menjayakan program yang telah diadakan itu.
"Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang telah sama-sama menjayakan program ini.
"Sempena bulan Maulidur Rasul yang penuh barakah ini, marilah kita perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Semoga kita semua beroleh syafaat agung baginda di akhirat kelak," ujarnya ketika merasmikan program itu di Kampung Paya Berenjut, di sini hari ini.
Antara mereka yang telah memeriahkan perarakan yang diadakan pada kali ini terdiri daripada seluruh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Tabika Perpaduan, Tabika KEMAS, Taska Yayasan Pembangunan Keluarga, Taska Permata Keluarga, ibu bapa, penduduk setempat dan lain-lain.
Semua peserta dibawa berarak sambil berselawat sejauh 2.3 kilometer bermula di Padang Kampung Paya Berenjut dan berakhir di Dataran Haji Hanafiah dengan jamuan rakyat.
29 Sep 24
206
Terengganu Catat Hasil Jualan RM528,000 di MAHA
KUALA TERENGGANU, 29 September - Pavilion Terengganu menjadi tumpuan ramai semasa berlangsungnya Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) dengan menghasilkan jualan sebanyak RM528,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, selama 11 hingga 22 September ia diadakan MAHA berjaya lebih 156,000 pengunjung.
"Pavilion Terengganu menjadi antara yang paling ramai menggamit kehadiran pengunjung.
"Alhamdulillah melaluinya kita boleh memperkenalkan pelbagai produk negeri Terengganu dan dalam masa yang sama dapat membantu pengusaha-pengusaha mengembangkan jualan mereka serta dalam masa yang sama menjana pendapatan yang sangat lumayan dalam tempoh 11 hari," ujarnnya.
Beliau berkata demikian kepada berita selepas hadir merasmikan Seminar Amalan Akuakultur Baik dan Pelancaran Dashboard Supply Quality Assurance (SQA) Rend Kenyir di Auditorium Pusat Sains dan Kretaiviti Terengganu, di sini, hari ini.
Dalam pada itu berkongsi mengenai perkembangan semasa pelaburan dalam pertanian Dr Azman memaklumkan, Syarikat McCormik Global yang akan mengusahakan penanaman lada hitam secara komersial di Lembah Bidong kini di fasa terakhir.
"Kini sudah sampai ke peringkat pembinaan kilang.
"Selain itu kita kini sedang dalam perbincangan terakhir dengan sebuah syarikat untuk mengusahakan ladang ternakan ayam daging di Gong Katup, Setiu dengan pelaburan bernilai ratusan juta.
"Insya-Allah nampak keseriusan daripada pihak pelabur, sangat positif dan kita yakin projek ini boleh dijayakan," katanya.
Selain itu katanya, ada beberapa projek dalam peringkat perbincangan antaranya Taman Stevia dan juga pelaburan sektor padi di Kampung Jelapang, Langkap.
"Membabitkan kira-kira 100 ekar tanah yang terbiar sejak sekian lama dengan harapan ia akan menghidupkan semula kawasan jelapang padi di Kampung Jelapang ini," ujarnya.
29 Sep 24
542
Media Sosial Jadi Ancaman Besar 'Ulat Buku'
Kecanggihan teknologi masa kini boleh memudarkan minat masyarakat terhadap amalan membaca dan menuntut ilmu.
29 Sep 24
74
Terengganu Sasar Lebih 500 Pemilikan Pensijilan Halal Menjelang 2025
Kerajaan negeri menyasarkan lebih 500 syarikat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang beroperasi di negeri ini memperoleh pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjelang 2025.
29 Sep 24
110