lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

SUKSEM : Terengganu Mula Langkah Kanan Dominasi Badminton
SUKSEM : Terengganu Mula Langkah Kanan Dominasi Badminton
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Kontinjen Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK) menjadi tumpuan pada pagi ini apabila tampil cemerlang menerusi sukan badminton di Temasya Sukan SUK Se-Malaysia (SUKSEM) kali ke-9 yang bermula pada pagi ini dengan mengalahkan SUK Melaka. Kejayaan memenangi lima perlawanan menerusi dua regu lelaki, satu regu wanita dan perseorangan lelaki menyaksikan Terengganu bermula langkah kanan. Pengurus Badminton SUK Terengganu, Mohd Asrur Omar berkata, pada tahun ini atlet badminton bersemangat untuk memperbaiki pencapaian pada tahun sebelum ini yang hanya berjaya mara ke peringkat suku akhir. " Alhamdulillah, di peringkat kumpulan pasukan Terengganu telah melepasi halangan pertama pada pagi ini dengan menang kesemua set  5-0 melawan pasukan Melaka. "Kita berharap agar momentum ini diteruskan untuk perlawanan kedua pada sesi petang ini dengan memastikan sasaran utama kita untuk muncul juara peringkat kumpulan akan dapat dicapai," ujarnya. Beliau yang juga merupakan ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Kewangan)  berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas berakhir perlawanan pasukan Badminton SUK Terengganu melawan SUK Melaka, di Stadium Negeri, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut Asrur berkata, secara tradisinya sukan badminton di peringkat SUKSEM selalunya didominasi oleh Sabah dan Sarawak. "Kali ini kita melihat Johor pun ada sedikit peningkatan dan insya-Allah pada kali ini kita akan cuba menyaingi pasukan-pasukan ini. "Namun perjalanan ini masih jauh masih terlalu awal, namun kita akan cuba mengatur strategi bagi memastikan edisi pada kali ini kita akan muncul sebagai juara," ujarnya.  
15 Oct 24
741
GBS Marang Jadi Hub Pertama di Pantai Timur
GBS Marang Jadi Hub Pertama di Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Pusat Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) di Marang merupakan yang pertama di Pantai Timur  bakal menjadi hub penting bagi perkhidmatan inovasi dan teknologi yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan sekali gus menarik para pelabur yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi Terengganu. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, secara tidak langsung GBS bakal menjadikan Terengganu sebagai destinasi perniagaan yang akan dikenali dunia. Menurutnya, pusat GBS akan  berperanan sebagai pusat kemudahan digital dan penrniagaan kepada rakyat memenuhi kehendak masa kini sekali gus bertepatan dengan visi kerajaan negeri di bawah Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu. "Di bawah pelan ini, kerajaan negeri Terengganu membuat perancangan untuk jangka masa panjang bagi menjana pendapatan baharu dari sumber yang lebih pelbagai dan pembukaan pusat ini akan menyokong perancangan pelan tersebut. "Selain dari meningkatkan kecekapan operasi syarikat-syarikat yang beroperasi di negeri Terengganu khususnya dan saya percaya potensi yang dimiliki oleh pusat GBS ini. "Tengok kepada fasiliti, kemudahan dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak saya percaya ia akan muncul sebagai 'centre' yang sangat penting dan dikenali bukan sahaja dalam negara kita bahkan di seluruh dunia, insya-Allah," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Pusat GBS Pertama di Pantai Timur, Dewan Kristal Redang, KompleksTM Medah jaya, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Ahmad Samsuri mengharapkan agar para pelabur dan peniaga sama ada dari syarikat kecil atau syarikat besar di luar sana khususnya dari Terengganu akan menjadi faktor untuk negeri ini  menjadi salah satu destinasi perniagaan. "Penubuhan pusat ini juga akan memastikan negeri kita mempunyai persekitaran kondusif untuk kejayaan mereka (pelabur dan peniaga). "Banyak perkara yang boleh dimanfaatkan melalui penubuhan GBS ini dan saya percaya syarikat-syarikat yang berada di bawah kerajaan negeri, di bawah GLC negeri akan berunding dan bebrincang dengan TM One untuk sama-sama kita mewujudkan kerjasama PINTAR. "Mewujudkan kerjasama bagi meningkatkan kecekapan syarikat-syarikat dan juga membantu mengupayakan lagi TM One, insya-Allah," jelasnya lagi.   Beliau turut merakamkan tahniah kepada pasukan TM yang diyakini ia merupakan salah satu kejayaan yang penting untuk syarikat terbabit. "Saya percaya ia merupakan salah satu milestone yang penting kepada TM dan juga kepada daerah Marang dan juga negeri Terengganu secara khususnya," ujarnya.
13 Oct 24
3012
Nahas  Pelajar UiTM Dungun: Muhammad Ammar Danish Dibenarkan Keluar Hari Ini
Nahas  Pelajar UiTM Dungun: Muhammad Ammar Danish Dibenarkan Keluar Hari Ini
DUNGUN, 13 Oktober -- Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, yang cedera akibat rempuhan berhampiran UiTM Dungun, di sini, dibenarkan keluar dari hospital hari ini.  Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, 20, itu dibenarkan pulang selepas lima hari dirawat di hospital itu sejak Rabu lepas.  Menurutnya, Muhammad Ammar Danish akan dihantar pulang ke kediamannya di Keramat, Kuala Lumpur menggunakan ambulans UiTM  bersama keluarganya. "Kita tengok dia tak trauma sangat. Cuma proses penjagaan dan kaunseling akan disediakan UiTM termasuk hospital dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan diteruskan untuk mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan dirinya down,”ujarnya. "Sebab kejadian yang berlaku itu besar di mana tiga rakannya meninggal dunia. Insya-Allah pihak hospital akan terus beri perhatian dari sudut rawatan mental dan begitulah selebihnya," katanya kepada pemberita selepas melawat pelajar itu di Hospital Dungun, di sini hari ini.  Dalam pada itu, Maliaman turut merakam ucapan takziah atas kejadian menimpa semua mangsa. “Kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu sekiranya memerlukan sebarang keperluan. “Ketika musibah ini berlaku, kita nampak kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan rawatan terbaik dapat diberikan kepada Muhammad Ammar Danish," katanya. Dalam kejadian pada 7.35 malam Rabu lepas, Muhammad Ammar Danish dan tiga lagi rakannya yang menaiki dua buah motosikal dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta utiliti sukan (SUV) dipandu seorang wanita berusia 49 tahun yang dipercayai menghidap penyakit mental.  Impak rempuhan itu menyebabkan dua penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan  meninggal dunia di lokasi akibat patah tulang leher dan cedera pada bahagian kepala serta dada.
13 Oct 24
982
KPM Kenalpasti 401 Sekolah Sebagai PPS di Seluruh Negeri
KPM Kenalpasti 401 Sekolah Sebagai PPS di Seluruh Negeri
KUALA NERUS, 13 Oktober - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengenalpasti 401 sekolah yang akan dijadikan penempatan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk masyarakat setempat bagi kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir tidak lama lagi. Ketua Pengarah KPM, Azman Adnan berkata, semua sekolah yang dijadikan PPS telah bersedia untuk menerima kemasukan mangsa banjir. Menurutnya, ia susulan Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran kemungkinan banjir berlaku lebih awal berikutan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka melanda pada minggu keempat bulan ini. "Selain itu, 65 sekolah pula berisiko banjir dan terkepung, semua persiapan termasuk berkaitan peperiksaan yang mungkin berlangsung pada tempoh banjir telah pun diberi taklimat kepada JPN seluruh negara," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat negeri Terengganu 2024 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di sini semalam. Tambahnya lagi, bagi sekolah-sekolah yang berisiko dilanda banjir atau terkepung (tiada laluan keluar masuk) juga telah disediakan pelan alternatif yang sesuai. "Semua ini dirancang rapi agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan seperti biasa sepanjang banjir melanda kelak," katanya. Dalam masa sama, pihaknya juga turut mengaktifkan jawatankuasa banjir di peringkat negeri-negeri bagi memperkukuhkan  semua perancangan telah diatur rapi dalam memastikan semua warga pendidik di seluruh negara mampu berdepan bencana itu dengan lebih terurus dan baik.  
13 Oct 24
157
Usahawan Terengganu Disaran Terokai Pasaran Luar Negara
Usahawan Terengganu Disaran Terokai Pasaran Luar Negara
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober- Usahawan bumiputera di negeri ini disaran menerokai dan memperluaskan perniagaan sehingga dapat menembusi pasaran luar negara yang dilihat mempunyai potensi besar. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Arifin Deraman berkata, usahawan tidak perlu mengehadkan fikiran mereka dalam persekitaran negara sahaja kerana mereka perlu melihat dunia luar dan kemampuan untuk bersaing di peringkat rantau dan global. “Sebagai contoh, syarikat pengedar dan pengeluar makanan berasaskan tepung milik Bumiputera di daerah ini iaitu Muslim Food Industries (MFI) yang telah bertapak di negeri ini sejak lebih sedekad lalu kini semakin berkembang maju.  “Saya yakin dan optimis MFI yang telah berjaya mengusai pasaran semenanjung dapat melangkah lebih jauh sehingga boleh eksport produk keluaran mereka ke luar negara ditambah dengan penggunaan teknologi dan inovasi baharu oleh syarikat terbabit,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kilang MFI bersama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), semalam. Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri ingin melihat lebih banyak usahawan dan syarikat bumiputera yang berjaya dan dapat bersaing di pasaran global sekali gus akan memberikan sumbangan positif kepada pembangunan ekonomi negeri. “Malah kerajaan negeri melalui YPU menyediakan pelbagai pembiayaan selain khidmat nasihat bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka,” ujarnya.  
11 Oct 24
252
'Smart Terengganu 2040' Bakal Realisasikan Bandar Pintar
'Smart Terengganu 2040' Bakal Realisasikan Bandar Pintar
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober - Kerajaan negeri optimis Blueprint Bandar Pintar Negeri Terengganu atau 'Smart Terengganu 2040' akan menjadi rujukan dalam menginspirasikan inisiatif bandar pintar di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, 'Smart Terengganu 2040' bukan sahaja memberi fokus kepada pembangunan teknologi dan pelaksanaannya malah turut mengambil kira pendekatan pembangunan pintar yang mengamalkan prinsip-prinsip Islam dalam semua aspek kehidupan.  Katanya, insiatif bandar pintar itu akan membawa Terengganu ke tahap yang lebih tinggi dari segi teknologi, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan sosial.  "Selain dapat meningkatkan taraf hidup rakyat, ia juga akan memperkukuhkan kedudukan Terengganu sebagai salah satu destinasi pilihan pelaburan dan inovasi di Malaysia.  "Tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini telah berjaya menyediakan pelan tindakan bandar pintar di peringkat daerah masing-masing hasil kerjasama erat dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu (PLANMalaysia Terengganu) "Tiga PBT tersebut ialah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan Majlis Daerah Marang (MDM)," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Terengganu Smart City Activation Day 2024 (TSCA 24) di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, di sini. Katanya, Smart Terengganu 2040' adalah langkah penting dalam memacu Terengganu ke arah menjadi negeri yang lebih maju, lestari, dan berdaya saing di peringkat global melalui transformasi bandar pintar dan ekonomi digital. Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran TSCA 24, beliau mengharapkan ia dapat menjadi platform terbaik bagi semua pihak berbincang dan mengupas idea-idea baharu berkaitan dengan bandar pintar dan pelaksanaannya di negeri ini. "Di Terengganu, inisiatif bandar pintar ini adalah selaras dengan hasrat negeri untuk menjadi sebuah negeri ‘technologically- advanced economy and digitally-driven state’ iaitu negeri yang akan dipandu oleh teknologi digital dalam pelbagai aspek yang berbeza disamping menyasarkan pembangunan bandar yang lebih inklusif, berdaya tahan dan lestari. "Ini termasuklah keadilan sosial, kesejahteraan masyarakat, pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan yang beretika. "Hasil komitmen semua pihak, Insya-Allah impian ini akan dapat direalisasikan dan memberi banyak manfaat kepada rakyat khususnya dari segi ekonomi, pendidikan dan pelancongan," katanya.
11 Oct 24
1632
Mangsa Banjir, OKU Terharu Impian Miliki Rumah Tertunai
Mangsa Banjir, OKU Terharu Impian Miliki Rumah Tertunai
KUALA NERUS, 10 Oktober - Setelah tertangguh beberapa waktu, penduduk di sini dapat menarik nafas lega apabila menerima rumah yang dinanti-nantikan sejak sekian lama. Kegembiraan dan rasa terharu itu dikongsikan penerima projek perumahan tersebut termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU) dan mangsa banjir. Khairul Anuar Ali, 43 tahun, yang berstatus OKU menzahirkan rasa gembira dan teruja apabila dapat memiliki kediaman sendiri setelah sekian lama diidamkan. “Saya tidak mampu lagi bekerja sejak beberapa tahun yang lalu dan kini hanya menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secara bulanan dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) secara tahunan. "Sudah tentu saya sangat gembira apabila dapat memiliki rumah sendiri pada hari ini setelah hanya mampu menyewa (rumah) sebelum ini. “Ucapan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Terengganu terutamanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim yang banyak membantu saya dengan menghulurkan keperluan asas secara bulanan dan banyak memudahkan urusan saya sehingga dapat memiliki rumah sendiri,” ujarnya ketika ditemui pemberita. Dia berkata demikian selepas diraikan dalam Majlis Penyerahan Kunci Program Residensi Rakyat (PRR) bersama 500 penerima di Bukit Nenas hari ini. Dalam pada itu, Adnan Yunoh, seorang guru agama yang mempunyai 14 orang anak meluahkan perasaan gembira tidak terhingga apabila menerima kunci rumah itu setelah menempuh ujian banjir setiap tahun. “Selama ini hanya menumpang di rumah keluarga, setiap tahun apabila tiba musim tengkujuh, kami memang wajib berpindah ke pusat pemindahan banjir, itu sudah biasa bagi kami sekeluarga. "Kami hanya mampu bersabar dengan dugaan tersebut, apabila dapat rezeki rumah yang Allah kurnia ini, saya rasa sangat bersyukur. Terima kasih sebanyaknya diucapkan kepada kerajaan yang bersusah payah dan mengambil tanggungjawab demi memudahkan urusan rakyat,” katanya. Sementara itu seorang anak muda dari Tok Jiring, Mohd Zulkifli Mat Din, 29, sangat teruja kerana dapat memiliki kediaman sendiri di usia muda, "Terima kasih kepada pihak kerajaan setelah berjaya menyediakan fasiliti kemudahan kepada rakyat Terengganu khususnya bagi penduduk kawasan Kuala Nerus," jelasnya. Untuk rekod, Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melancarkan projek PRR Bukit Nenas pada tahun 2018 yang menelan kos RM96 juta. Projek itu bagi membangunkan 500 unit rumah pangsa lima tingkat, dan menawarkan lima unit khusus untuk golongan OKU. Di samping itu turut disediakan fasiliti asas seperti surau, taska, tadika dan taman permainan.
10 Oct 24
622
EPIC Berhad, MRL Kerjasama Teroka Integrasi ECRL
EPIC Berhad, MRL Kerjasama Teroka Integrasi ECRL
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober - Anak Syarikat Kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Corporation Berhad (EPIC Berhad) dan Malaysian Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai langkah menjalinkan kerjasama strategik bagi mengintegrasikan operasi syarikat terbabit dengan rangkaian Projek Laluan Rel Pantai Timur (REL). Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, memorandum yang ditandatangani itu selari dengan usaha kerajaan negeri untuk memaksimakan potensi Pelabuhan Kemaman sebagai hab maritim dan logistik serantau. "Bertepatan dengan kerancakkan semula industri perdagangan dan perkapalan global, bukan sekadar 'oil and gas' semata-mata. "Ini dapat memastikan kelancaran integarasi operasi logistik Epic Berhad dengan rangkaian ECRL, khususnya di laluan pemisah atau 'spurline' di Pelabuhan Kemaman. "Sekali gus meningkatkan kecekapan pengendalian kargo selain merealisasikan sasaran menjadikan Pantai Timur sebagai hab logistik pilihan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU tersebut di Dewan Gamelan 3, Primula Beach Hotel, di sini, hari ini yang turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Ts. Muhtar Suhaili dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato' Sri Darwis Abdul Razak. Dalam pada itu, Ahmad Samsuri merakamkan penghargaan kepada Loke atas usaha untuk memaksimakan impak positif dalam projek infrastruktur berskala besar. "Seperti ECRL ini yang merentasi beberapa negeri khususnya Negeri Terengganu, tentunya kerjasama seperti ini adalah amat penting agar ECRL ini dapat dimanfaatkan semaksimanya," ujar beliau.  
09 Oct 24
505
Kerajaan Negeri Sedia Hadapi Isu Penduduk Semakin Menua
Kerajaan Negeri Sedia Hadapi Isu Penduduk Semakin Menua
KUALA NERUS, 9 Oktober - Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia mewujudkan warga emas yang berdikari, dihormati serta mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif sebagai usaha mendepani cabaran Negara Menua 2030. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Maliaman Kassim berkata semua pihak harus menyantuni dan memberikan kehidupan selesa kepada warga emas atas jasa dan peranan penting yang telah ditabur sepanjang usia mereka. “Pihak kami bersama JKM kini mempersiapkan golongan tersebut untuk menghadapi hari tua melalui pendidikan dan mampu berhadapan dengan apa jua situasi. "Warga emas perlu diberi perhatian khusus dari segi penjagaan dan sokongan, baik secara fizikal mahupun emosi agar mereka merasa dihargai dan dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti. “Contohnya kalau seorang anak tidak menjaga ibu atau bapa mereka, golongan ini masih lagi boleh berdikari , tidak ‘stres’ dengan apa yang berlaku dan mampu meneruskan kehidupan seharian tanpa bantuan anak-anak,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini semalam. Tambah Maliaman, warga emas juga merupakan tunjang kepada kekuatan komuniti pada hari ini dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda. "Mereka telah melalui pelbagai cabaran hidup, perubahan sosial, kemajuan teknologi dan ekonomi, menjadikan mereka adalah guru yang tak ternilai bagi generasi muda hari ini. “Kepada warga emas, jagalah kesihatan dengan baik kerana kesihatan kita adalah aset yang paling berharga dan kita mahu hidup dan berfungsi dengan baik di usia emas,” ujarnya. Hari Warga Emas disambut 1 Oktober setiap tahun bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan warga emas ke arah pembangunan negara dan bangsa dengan tema tahun ini 'Penuaan Bermaruah: Memperkukuh Sistem Penjagaan dan Sokongan Warga Emas'.  
09 Oct 24
193
Imej, Nama Disalahguna, Amzad Harap Orang Ramai Tidak Terpedaya
Imej, Nama Disalahguna, Amzad Harap Orang Ramai Tidak Terpedaya
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober- Imej dan nama Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim terus disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan penipuan, termasuk 'love scam'. Menurut beliau, meskipun pelbagai laporan telah dibuat kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak hampir empat tahun lalu, isu tersebut masih belum diselesaikan sepenuhnya.  “Akaun palsu terus muncul sebaik sahaja akaun terdahulu dipadam, seolah-olah tumbuh seperti cendawan selepas hujan. “Saya sangat khuatir dengan kemunculan akaun palsu yang menggunakan foto dan identiti saya ini kerana ia bukan sahaja memperdaya mangsa tetapi juga mencemarkan nama baik saya,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam. Tegas Amzad, beliau tidak bertanggungjawab atas sebarang bentuk penipuan yang menggunakan gambar atau namanya. “Saya menyeru semua untuk berhati-hati dan tidak terpedaya dengan akaun-akaun palsu ini. Jika anda terjumpa atau menjadi mangsa penipuan seperti ini, sila buat laporan kepada pihak polis dan SKMM dengan segera. “Saya akan terus berusaha untuk menangani isu ini dan berharap kerjasama semua pihak dalam memerangi penipuan ini,” katanya.
09 Oct 24
119