Artikel "Pertanian" Terkini
Kerajaan Kaji Tindakan Terbaik Selesaikan Rintihan Nelayan
KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Kerajaan sedang mengkaji tindakan terbaik bagi menyelesaikan rintihan nelayan tidak berlesen yang menyulitkan mereka mencari rezeki.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi Dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, masalah timbul di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana golongan tersebut gagal menunjukkan dokumen pengenalan nelayan ketika melalui sekatan jalan raya.
"Dalam perbincangan bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat COVID-19 pagi tadi (semalam), saya telah membawakan suara para nelayan yang belum mempunyai lesen tetapi mereka adalah nelayan tulen dengan turun ke laut sebagai sumber rezeki utama.
"Kerja mereka dikategorikan sebagai perikanan rekreasi yang tak dibenarkan sepanjang PKP. Memang mereka tak ada dokumen pengenalan sebagai seorang nelayan walaupun sebenarnya mereka seorang nelayan sejati," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Dr Azman, definisi perikanan rekreasi perlu diperhalusi dalam konteks negeri Terengganu di masa akan datang.
"Isu kenapa mereka tak mempunyai lesen sedang ditangani sebaiknya yang insya-Allah telah menghampiri titik penyelesaian. Hanya PKP yang menghalang kita menyelesaikan proses akhir agihan lesen nelayan sampan.
"Alhamdulillah, respon daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sangat positif untuk menyelesaikan isu ini segera sebaiknya," tambah beliau.
02 Feb 21
338
Sektor Perikanan, Benih Ikan Terengganu Teratas Di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 28 Januari –Terengganu adalah antara negeri yang berada di kedudukan teratas dari segi pengeluaran benih ikan kerapu hibrid dan ikan siakap dengan keseluruhan pengeluaran hampir satu billion ekor sehingga November 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pengeluaran benih daripada pusat-pusat pembenihan adalah sebanyak hampir satu billion ekor atau 902,219 juta ekor.
Gambar Arkib Sebelum PKP
“Manakala sektor perikanan mencatatkan kenaikan pengeluaran hasil ikan sebanyak 5,133 metrik tan dengan nilai kira-kira RM80 juta.
“Peningkatan ini mencecah 13 peratus berbanding pada tahun 2019 iaitu 4,468 metrik tan,” katanya ketika berucap dalam siaran atas talian majlis pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 di Wisma Darul Iman baru-baru ini.
Tambahnya, dalam usaha memperkayakan sumber perikanan, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang menyumbang dana tersendiri digabung jalin dengan peruntukan kerajaan pusat sejak tahun 2019.
Gambar Arkib Sebelum PKP
“Pada 2019 kerajaan telah memperuntukkan RM300 ribu untuk program pembinaan serta melabuh tukun tiruan dan unjam.
“Manakala RM200 ribu lagi diperuntukkan kerajaan persekutuan menjadikan keseluruhannya dalam RM500 ribu, tahun 2021, RM1.21 juta atau 4 gali ganda jumlah berbanding tahun sebelumnya telah diperuntukkan sebagai langkah meningkatkan ekonomi lautan rakyat.
“Jumlah tersebut akan memfokuskan projek pembinaan serta melabuh tukun tiruan dan unjam dan program pelepasan benih perairan umum,” ucapnya.
28 Jan 21
1812
Berita Baik Buat Nelayan, Penggiat Pertanian
KUALA TERENGGANU, 28 Januari – Berita gembira dikongsi oleh Menteri Besar Terengganu apabila 602 Lesen Nelayan Sampan Zon A (kategori pesisir pantai) telah diluluskan sempena Pelancaran Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021.
Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, permohonan tersebut diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
“Tambah lagi, sebanyak RM300 ribu insentif telah diperuntukkan kepada 173 peserta program Sijil Amalan Pertanian Baik (MYGAP), Insya-Allah melalui insentif ini akan melahirkan beras MYGAP Terengganu.
“Sebanyak RM330 ribu diperuntukkan dalam projek lembu sado berkelompok di mana projek kandang berkelompok akan melibatkan seramai 10 peserta dan 13 peserta lagi dalam projek induk pengganda.
“283 orang penggiat dalam sektor pertanian telah menerima bantuan sebanyak RM 5.7 juta daripada Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) di mana pinjaman tersebut adalah tanpa faedah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapannya dalam siaran atas talian majlis pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 di Wisma Darul Iman baru-baru ini
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.
Mengulas lanjut berkenaan tahun pertanian negeri 2021, Dr Samsuri memaklumkan, tiga sasaran ditetapkan bagi kempen tersebut dalam meningkatkan ekonomi sektor pendidikan.
“Pertama, kita akan sasarkan peningkatkan purata pendapatan petani kepada RM3,000 sebulan bagi sebuah isi rumah.
“Kedua, sumbangan sektor pertanian juga akan ditingkatkan kepada 10 peratus daripada jumlah Keluaran dalam negara kasar (KDNK) negeri serta jumlah guna tenaga dalam sektor pertanian disasar peningkatan daripada 42,900 kepada 44,000 orang,” ujarnya.
28 Jan 21
2040
Hasil Pertanian Terengganu Meningkat 13 Peratus
Walaupun berdepan cabaran COVID-19, pengeluaran hasil pertanian Terengganu tetap meningkat sebanyak 13 peratus.
26 Jan 21
105
72 Program Rancakkan Sektor Pertanian
72 program diatur sempena Tahun Pertanian Terengganu 2021 bagi merancakkan lagi sektor pertanian sekali gus membela ekonomi rakyat dalam negeri.
26 Jan 21
227
Hasil Pertanian Terengganu Meningkat 13 Peratus
KUALA TERENGGANU, 25 Januari – Walaupun berdepan cabaran COVID-19, pengeluaran hasil pertanian Terengganu tetap meningkat sebanyak 13 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kuantiti pengeluaran hasil pertanian untuk tempoh Januari sehingga November tahun lepas mencatatkan sebanyak 54,391 metrik tan.
“Nilai keluaran tersebut kira-kira RM1.05 juta berbanding dengan tahun 2019 sebanyak 43,486 metrik tan sahaja.
“Selain itu, statisktik sektor perikanan sehingga November 2020 turut menunjukkan peningkatan daripada 4,468 metrik tan pada tahun 2019 kepada 5,133 metrik tan, peningkatan sebanyak 13 peratus.
“Dari segi ternakan, kuantiti hasil pengeluaran seperti lembu, ayam, kambing dan biri-biri amat membanggakan dengan catatan 25,537 metrik tan bernilai RM153.8 juta berbanding 7,585.5 metrik tan pada tahun 2019,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap secara atas talian dalam Majlis Pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 di Wisma Darul Iman, pagi tadi.
Sementara itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kepentingan sektor pertanian dalam memastikan bekalan makanan mencukupi supaya kesejahteraan sesebuah rakyat terjamin.
“Oleh yang demikian, kita sasarkan peningkatan tahap sara diri atau ‘self-sufficient level’ padi sebagai makanan ruji di Terengganu daripada 47 peratus kepada 53 peratus menjelang tahun 2021,” ulasnya.
Tambah beliau, penghasilan makanan dan pertanian berskala besar dan berteknologi tinggi boleh menjadi satu peluang kerjaya pada generasi ketika ini terutamanya golongan belia dan B40.
25 Jan 21
586
72 Program Rancakkan Sektor Pertanian
KUALA TERENGGANU, 25 Januari – 72 program diatur sempena Tahun Pertanian Terengganu 2021 bagi merancakkan lagi sektor pertanian sekali gus membela ekonomi rakyat dalam negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program tersebut melibatkan kerjasama dengan pelbagai jabatan dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan.
“Antaranya 18 program melibatkan Jabatan Pertanian, 15 program tersebut melibatkan Pejabat Perikanan Negeri Terengganu dan 9 program melibatkan penternakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri.
“Tambah lagi 10 program dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) serta Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara (LKTN).
“IADA Ketara dan Lembaga Pertubuhan Peladang masing-masing akan menganjurkan dua program manakala empat lagi program akan diusahakan agensi-agensi lain,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 secara atas talian di Wisma Darul Iman, pagi tadi.
Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Tambah Dr Azman, bagi memastikan program tersebut berjalan lancar, kerajaan negeri mengambil langkah sistematik dengan mewujudkan Sekretariat Khas Tahun Pertanian Terengganu.
“Peranan pasukan khas ini sebagai urusetia kepada program dan projek yang dijalankan dan memantau serta menilai keberkesanan 72 program dan 13 projek yang akan dilaksanakan sepanjang tahun.
“Mereka juga bertanggungjawab dalam mengemukakan laporan kepada mesyuarat Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri,” katanya lagi.
25 Jan 21
393
Bilik Sejuk Beku Beri Manfaat Kepada 150 Nelayan
Foto Oleh: Hidayah Azlin
KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Bilik sejuk beku di Jeti Nelayan Kampung Batin, Seberang Takir di sini bakal memberi manfaat kepada 150 nelayan di sekitar kawasan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pembinaan kemudahan infrastruktur nelayan berharga RM165,000 itu dimulakan Ogos tahun lalu dan kini siap dalam tempoh sekitar tiga bulan.
“Peti sejuk beku ini mampu menyimpan kira-kira lima metrik tan ikan dan hasil laut dalam satu-satu masa dengan suhu penyejukkan sekitar -20 darjah celsius.
“Kita harapkan infrastruktur yang ada ini boleh menyelesaikan masalah dari segi penyimpanan stok hasil laut samada ikan atau hasil laut lain terutamanya pada musim tangkapan melimpah atau berkurangan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bilik Sejuk Beku Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Utara di Kampung Batin, Seberang Takir, hari ini.
Dr. Azman berkata, beliau mengharapkan kemudahan itu dapat dimanfaatkan oleh para nelayan dengan sebaiknya.
“Dari segi pengurusan, pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Terengganu akan menyerahkannya kepada Persatuan Nelayan Kawasan Terengganu Utara.
Katanya, kerajaan negeri menyasarkan untuk membina bilik sejuk beku di semua jeti pelabuhan dan perikanan di negeri ini secara berperingkat.
“Untuk tahun ini, kita sasarkan dapat bina paling kurang dua atau tiga unit termasuk di Setiu dan tempat-tempat lain,” ujarnya.
13 Jan 21
1102
Lebih RM100 Ribu Diagihkan Sebagai Galakan Pertanian
DUNGUN, 8 Januari - Sebanyak RM101,375 telah diagihkan kepada 77 orang perseorangan, agensi-agensi dan sekolah-sekolah sebagai galakan untuk bergiat aktif dalam bidang pertanian.
Pegawai Pertanian Daerah Dungun, Nur Shazwani Mohd Salleh berkata, agihan berkenaan merupakan peruntukan yang disalurkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Malaysia pada akhir tahun lepas.
"Jadi kita agihkan pada awal tahun ini kepada mereka yang telah melibatkan diri dalam pertanian," ujarnya.
Nur Shazwani yang ditemui selepas Penyerahan Agihan Peruntukan tersebut oleh Pegawai Khas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang untuk Peringkat DUN Rantau Abang di Majlis Bertemu Pelanggan MAFI di Dewan Majlis Perbandaran Dungun(MPD) kelmarin.
Menurutnya lagi terdapat tiga kategori penerima yang mendapat manfaat peruntukan yang disalurkan iaitu Pertanian Bandar, Pertanian Kontrak dan Amalan Pertanian Baik (MyGAP).
"Kalau yang baru hendak mula, datanglah ke Pejabat Pertanian, kita bersedia membantu dan memberi khidmat nasihat sehingga berjaya, insya-Allah, " katanya.
Roslinawati menerima sijil daripada Halim sambil diperhatikan oleh Nur Shazwani.
Seorang peserta kategori Ladang Kontrak, Roslinawati Othman, 37, berkata penglibatannya dalam sektor pertanian bermula sejak 14 tahun lalu.
" Ketika itu, saya hanya membantu ayah menanam timun, lada, terung secara bergilir di belakang rumah di Kampung Baru, Kuala Abang.
"Setelah kematian ayah, saya mengusahakan tanaman fertigasi bersama ibu dengan mendapat bimbingan daripada Jabatan Pertanian Dungun dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)," ujar ibu tunggal yang mempunyai tiga orang anak.
Katanya, dia juga menternak ikan hiasan dan dijual secara atas talian.
08 Jan 21
543
Terengganu Salur RM194,760 Bantu Petani, Nelayan Terjejas Bencana
KUALA TERENGGANU, 4 Januari – Kerajaan Terengganu terus membantu rakyat terkesan bencana alam apabila menyalurkan bantuan sebanyak RM194,760.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, golongan tani, penternak dan nelayan yang terlibat dalam musibah seperti ribut dan banjir telah menerima sumbangan berkenaan sejak bulan September lepas.
"Mereka ditimpa ujian seperti bot rosak terkena ombak, ikan dalam sangkar mati, tanaman terkena ribut dan ditenggelami air banjir, haiwan ternakan mati serta dihanyutkan air banjir, kerosakan sangkar ikan, dan beberapa aduan lagi yang kami terima layak diberi bantuan.
"Dari bulan September 2020 sehingga Mesyuarat Jawatankuasa Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu yang terakhir minggu lepas, jumlah yang telah lulus serta telah dibayar saguhati.’
"Ia termasuklah yang sedang dalam proses untuk dibayar ialah seramai 226 pemohon dari semua sektor pertanian, perikanan dan penternakan dengan jumlah bantuan RM194,760,’’ beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, majlis penyerahan bantuan bencana ini tidak diadakan kerana ia disalurkan terus ke dalam akaun penerima bagi memudahkan urusan dan keselamatan daripada virus COVID-19 yang masih belum reda.
"Ini antara Prosedur Operasi Standard (SOP) yang kami buat dengan tujuan untuk menyegerakan bantuan. Tak apalah walau tak nampak gah. Yang penting rakyat dibantu," jelasnya.
04 Jan 21
953