lightning-solid
Berita :

Artikel "Pertanian" Terkini

'Pak Belalai' Ancam Kawasan Pertanian Ditangkap
'Pak Belalai' Ancam Kawasan Pertanian Ditangkap
SETIU, 25 Jun - Seekor gajah liar jantan dianggarkan berumur antara 12 hingga 14 tahun yang mengancam kawasan pertanian di Mukim Hulu Setiu berjaya ditangkap anggota Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu kelmarin. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, usaha Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu khususnya pasukan operasi yang telah bertungkus lumus sejak seminggu lepas menjayakan tugas yang mencabar terbabit. "Esok Sabtu 26 Jun operasi pemindahan akan dilakukan ke lokasi yang belum dimaklumkan, "Gajah denak akan berperanan untuk mengiringi gajah yang baru ditangkap bagi proses pemindahan," katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Kampung Seladang, Hulu Setiu. Hadir sama, Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Zulkepli Amin Yusof. Ujar Dr Azman, Kerajaan Negeri komited menjaga kepentingan survival hidupan liar dan ia perlu diuruskan dengan bijak. Gajah denak 'Suria' dan 'Kala' yang tiba dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu malam tadi akan digunakan bagi proses pemindahan tersebut. Gajah berkenaan yang hampir dua bulan berkeliaran di kawasan pertanian Kampung Bayas dan Kampung Seladang didakwa terlepas daripada kawanan gajah lain dan menyebabkan ia bersendirian.  
25 Jun 21
278
PKP : Kebenaran Pergerakan Boleh Dimohon Dengan Surat Jabatan Pertanian Berkaitan
PKP : Kebenaran Pergerakan Boleh Dimohon Dengan Surat Jabatan Pertanian Berkaitan
KUALA TERENGGANU, 5 Jun - Penggiat pertanian dalam negeri kini boleh menggunakan surat pengesahan jabatan atau agensi dalam sektor tersebut untuk mendapatkan kebenaran pergerakan daripada pihak berkuasa semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) adalah antara kementerian yang dikecualikan daripada mengguna pakai Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 daripada MITI. "Ini bermakna warga pertanian boleh terus menggunakan surat pengesahan pergerakan dalam tempoh PKP 3.0 dan PKPD daripada MAFI yang telah dikeluarkan sebelum ini.  "Bagi yang belum memohon, permohonan boleh diajukan di Pejabat Pertanian, Veterinar, Perikanan,Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Peladang dan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA Ketara) di daerah masing-masing mengikut sektor yang berkaitan," katanya menerusi laman Facebook rasminya, semalam. Tambahnya, beliau turut menasihati golongan industri tersebut supaya sentiasa menjaga kesihatan diri serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19. Sebelumnya, kgeerajaan negeri turut melancarkan bantuan khas input pertanian sebanyak RM300,000 kepada 500 pengusaha cili di seluruh Terengganu dalam menangani kesan ekonomi di musim pandemik ini.
05 Jun 21
1048
Terengganu Salur RM300,000, Bantu Penanam Cili
Terengganu Salur RM300,000, Bantu Penanam Cili
KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Kerajaan negeri melancarkan bantuan khas input pertanian sebanyak RM300,000 kepada 500 pengusaha cili di seluruh Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, langkah itu diambil selepas kelompok terbabit antara yang sangat terkesan akibat kejatuhan mendadak harga lada di pasaran. "Tinjauan kami mendapati penanam lada antara yang terkesan akibat kejatuhan harga secara mendadak sehingga mencecah RM1.50 satu kilogram. Malah ada yang membiarkan saja buah lada rosak di kebun kerana tiada pasaran. "Keadaan ini meletakkan petani bukan setakat tidak mendapat keuntungan, malah kehabisan modal untuk memulakan penanaman baru," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Kata Dr Azman, berdepan dengan keadaaan yang sukar di musim pandemik COVID-19 ini, langkah segera perlu diambil sebagai ‘suntikan’ kepada pengusaha cili agar kembali bangkit dan bersemangat. "Memahami rintihan para petani khususnya untuk kitaran modal bagi penanaman semula, inisiatof perlu dibuat bagi memastikan petani mampu bangkit semula dalam situasi sukar sekarang.’ "Jabatan Pertanian Negeri Terengganu telah diarahkan untuk menyediakan data bagi tujuan penyaluran bantuan segera," tambah beliau.
02 Jun 21
321
Rakyat Besut Dirayu Duduk Di Rumah
Rakyat Besut Dirayu Duduk Di Rumah
BESUT, 24 Mei - Seluruh rakyat Besut dirayu agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk kekal berada di rumah jika tiada keperluan keluar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, usaha itu amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 yang semakin mengganas. "Saya jarang keluarkan rayuan atau kenyataan minta kita semua duduk di rumah, namun terpaksa dirayu ramai orang kita sendiri tak duduk diam di rumah. "Sekali ini sahaja nak minta tolong jangan keluar rumah jika tiada keperluan. Biarlah tak nak duduk di rumah pun asalkan jangan keluar rumah. "Kes COVID-9 di Besut belum menampakkan trend penurunan. Kerajaan dah bagi beberapa ruang kelonggaran dalam SOP PKPD demi kelangsungan kehidupan rakyat. Manfaatkan sebaiknya dan jangan salah guna," katanya dalam satu kenyataan melalui laman sosial rasminya hari ini. Sementara itu menurut Dr Azman, dalam menghadapi situasi yang sukar sekarang ini, pihaknya juga adalah bertanggungjawab berada di barisan hadapan bagi menyelesaikan pelbagai isu rakyat. "Sebab itu kami diberikan kebenaran pergerakan untuk rentas daerah dan negeri dalam keadaan rakyat dinasihatkan supaya duduk di rumah. Ia bukan keistimewaan, tapi merupakan pelaksanaan tanggungjawab. "Tanggungjawab kami tidak sempurna dilaksanakan secara atas talian (online). Tambah-tambah lagi apabila sektor yang dijaga adalah Senarai Perkhidmatan Perlu yang melibatkan rakyat umum terbanyak yang tidak berapa ambil tahu apa itu ‘online’. "Janganlah anggap keistimewaan apabila kami boleh ke kebun, ladang, sawah, jeti nelayan dan sebagainya kerana kami juga sebagai manusia kalau boleh tentulah kami pilih untuk duduk bersama keluarga, anak dan isteri," jelasnya lagi.
24 May 21
315
Kerajaan Negeri Usaha Mudahkan Petani Kawasan PKPD
Kerajaan Negeri Usaha Mudahkan Petani Kawasan PKPD
KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 13 buah kampung di Mukim Pelagat, Besut, bermula hari ini, Kerajaan Terengganu berusaha membantu memudahkan petani, peladang, pesawah dan penternak di kawasan tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, mereka perlu mendapatkan surat pengesahan terlibat dalam rantaian pengeluaran makanan dari jabatan-jabatan yang berkenaan. “Dengan surat pengesahan dari jabatan, permohonan pergerakan untuk turun ke sawah, ladang, kebun, kandang dan lain-lain boleh dipohon kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kebenaran pergerakan adalah di bawah bidang kuasa PDRM. “Jabatan berkenaan adalah sama ada Jabatan Pertanian, FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), Peladang, KETARA atau Jabatan Veterinar Daerah Besut bagi mereka meneruskan aktiviti rantaian pengeluaran makanan yang dikategorikan sebagai ‘essential services’,” jelasnya dalam satu status Facebook miliknya, semalam. Tambahnya, beliau turut mengarahkan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu supaya membantu dan mempermudahkan urusan penduduk yang terlibat serta menyelaraskan pengeluaran surat pengesahan dengan jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu. “Saya juga telah berbincang sekejap tadi dengan ASP Sabri, Ketua Balai Polis Jerteh agar permohonan boleh diajukan ke Balai Polis Jerteh seterusnya diangkat ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Besut bagi pertimbangan Ketua Polis Daerah. “Ia bagi memudahkan para petani, peladang dan penternak yang berada dalam kawasan PKPD,” ujarnya.
20 May 21
460
600 Nelayan Terengganu Terima Lesen
600 Nelayan Terengganu Terima Lesen
BESUT, 22 April - Sebanyak 600 Lesen Sampan Khas diluluskan ibu pejabat Jabatan Perikanan Malaysia buat nelayan-nelayan negeri Terengganu.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Azman Ibrahim berkata, Terengganu menjadi negeri pertama yang menerima kelulusan lesen dengan jumlah sebanyak itu. "Tidak keterlaluan juga jika saya katakan, selain menjadi negeri pertama mengangkat permohonan lesen bagi rakyat, Terengganu juga menjadi perintis ke arah penyelesaian isu lesen nelayan sampan bagi seluruh negara yang berjumlah puluhan ribu. "Ini kerana, ekoran permohonan ini pihak kementerian dan Jabatan Perikanan Malaysia telah membuka kembali permohonan dari seluruh negara sejak ia dibekukan pada tahun 1982,' katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penyerahan lesen kepada 85 nelayan di Beting Lintang, semalam. Dalam program tersebut, sebanyak 53 nelayan sampan Besut dan 31 nelayan dari Setiu menerima lesen bagi sesi agihan pertama oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT). Jelas Dr. Azman, daripada 800 permohonan yang diangkat, sebanyak 600 lesen diluluskan bagi fasa pertama dengan Setiu serta Besut menjadi daerah pertama menerimanya. "Untuk baki 200 permohonan lagi, saya telah mohon dengan JPNT untuk kita buat rayuan bagi fasa kedua.  "Mungkin ada beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan dan kita yakin akan dapat diselesaikan," katanya. Tambahnya lagi, dengan adanya lesen maka dapatlah nelayan menikmati beberapa kemudahan dari kerajaan dan mereka dapat turun dengan tenang ke laut serta tidak dinafikan darpada dapat elaun sara hidup nelayan, bantuan bencana dan sebagainya. Beliau berharap, dengan usaha tersebut sektor perikanan akan berkembang dan hasil tangkapan yang didaratkan akan dapat direkodkan. "Sebelum ini, memang ada ikan didaratkan nelayan sampan tetapi banyak yang tidak direkodkan kerana mereka tidak mempunyai lesen.  "Tujuan asal direkodkan supaya mereka dapat subsidi minyak. Tetapi, apabila mereka tiada lesen maka mereka tidak layak dapat subsidi minyak," katanya. Tegasnya, kejayaan memperoleh lesen tersebut merupakan kejayaan bersama para nelayan dan agensi. "Kita mahu industri perikanan kita melonjak lebih jauh selepas ini. "Kita jauh ditinggalkan oleh Perak dari segi jumlah pendaratan hasil dan tidak seiring dengan panjang pantai dan keluasan zon tangkapan kita kerana beberapa isu berbangkit sebelum ini. "Satu daripada isu besar yang dihadapi nelayan iaitu perlesenan berjaya diselesaikan, sekurang-kurangnya kita sudah mengorak langkah," katanya.
24 Apr 21
1475
Teknologi Digital Hasilkan Melon Manis Berkualiti
Teknologi Digital Hasilkan Melon Manis Berkualiti
DUNGUN, 21 April - Teknologi Digital Automation yang dipraktikkan di Ladang Melon Manis Terengganu (MMT) Rimbunan Kaseh, Rantau Abang berjaya menghasilkan buah secara berterusan dan kualitinya terjamin. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, menerusi teknologi digital tersebut, kepekatan baja dan PH air dapat dikawal sepenuhnya berdasarkan pertumbuhan semasa pokok melon. "Maknanya kita boleh campur dengan lebih tepat dari segi kepekatannya, dari segi nisbah, di masa yang sama dapat memastikan PH air berada pada tahap optimum sekaligus boleh meminimakan 'human error', selain itu dapat menjimatkan ruang serta tenaga kerja untuk menjamin produktiviti yang lebih baik," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Teknologi Digital Automation MMT di Rimbunan Kaseh, Rantau Abang. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Terengganu (Ekonomi Makro), Ahmad Ridzwan Abd. Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) Wan Adnan Wan Derahman,  Pengurus Besar Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC), Azhar Jusoh dan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkipli Amin Mat Jusoh.  Menurutnya, dengan penggunaan teknologi, projek MMT terus mengorak langkah  pada masa hadapan memandangkan pengeluaran buah tersebut masih lagi tidak mencukupi.  "Tanah yang terbiar di Rimbunan Kaseh ini akan dimanfaatkan untuk tanaman Melon Manis Terengganu di dalam menjayakan Tahun Pertanian Terengganu," katanya. 
21 Apr 21
1035
Beras Terengganu myGAP Tampil Ke Pasaran Bulan Ini
Beras Terengganu myGAP Tampil Ke Pasaran Bulan Ini
KUALA TERENGGANU, 8 April - Pertengahan April ini, rakyat Terengganu buat kali pertamanya akan menikmati beras jenama Terengganu dengan persijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP), satu skim pensijilan yang dirangka oleh Jabatan Pertanian sebagai pengiktirafan kepada ladang-ladang yang mengamalkan amalan pertanian bagi menghasilkan produk berkualiti, selamat dan sesuai dimakan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kejayaan itu diperoleh hasil perancangan rapi semua pihak berkaitan. "Sebelum ini, kita ada padi yang bertaraf myGAP, tetapi sayangnya kita tiada beras myGAP.  "Kesilapan kita adalah kerana rantaian kita tidak lengkap. Kita ada sawah myGAP, petani myGAP dan penerima insentif dari myGAP tetapi apabila kita mesin padi, kita campur dengan padi-padi lain menyebabkan ia tidak mencapai kualiti ditetapkan myGAP," katanya. Khabar gembira itu disampaikan Azman kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Hari terbuka Jabatan Pertanian Negeri, di Ajil, baru-baru ini. Jelasnya, melalui perancangan dan penyusunan rapi dari peringkat awal sehingga akhir, rakyat Terengganu kini akan dapat menikmati beras jenama Terengganu yang lebih berkualiti. "Segala rantaian dari petak sawah sehingga mesin padi, pengangkutan untuk di bawa ke kilang, pembungkusan dan pemasaran telah kita persiapkan dengan rapi. "Persiapan kita ini bukan semata-mata pada satu tahap, sebaliknya kita menyusun rantaian lengkap dari sawah padi sehinggalah kepada pemasaran," katanya. Menurutnya, Terengganu memiliki sekitar 413 hektar iaitu lebih 1,000 ekar sawah padi samada dalam IADA Ketara atau di luar kawasan jelapang di bawah Jabatan Pertanian Malaysia yang telah mendapat persijilan myGAP. Dari jumlah itu, sekitar 3,000 metirk tan padi dapat dihasilkan. "Berapa beras yang akan dihasilkan? Selalunya dalam 60 peratus daripada padi akan jadi beras,jadi itulah anggaran keluaran beras myGAP yang akan kita hasilkan dari sawah-sawah negeri Terengganu. "Dua hari lepas, kita telah merasmikan penuaian padi myGAP di Kubang Lembu, Besut iaitu dalam kawasan Jelapang IADA Ketara. Sekarang, musim menuai telah bermula dan akan sampai kemuncaknya pada pertengahan April. Insya-Allah, pertengahan bulan ini  kita kan dapat menikmatinya," katanya.  
06 Apr 21
959
Kerjasama APMM-Vietnam Coast Guard Selesai Isu Pencerobohan Nelayan Asing
Kerjasama APMM-Vietnam Coast Guard Selesai Isu Pencerobohan Nelayan Asing
KUALA TERENGGANU, 5 April- Isu pencerobohan nelayan asing khususnya dari negara Vietnam bakal berakhir dengan perjanjian persefahaman yang bakal dimeterai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Vietnam Coast Guard. Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim, Datuk Mohd Zubil Mat Som memaklumkan, dengan persefahaman yang dipersetujui kedua-dua negara itu, beliau percaya isu pencerobohan nelayan Vietnam ke perairan negara dapat diselesaikan. Jelasnya, draf persefahaman tersebut sedang disemak pada peringkat Peguam Negara sebelum langkah terakhir diputuskan. "Apabila kedua-dua pihak bersetuju, kita akan ada kerjasama dua hala dari segi penguatkuasaan dan latihan. "Hubungan ini memudahkan kita melaporkan secara terus pencerobohan bot-bot nelayan mereka ke perairan negara," katanya. Menurut Mohd Zubil, draf persefahaman itu dijangka akan dimeterai tahun ini. Beliau yang ditemui dalam sidang media di pejabat APMM Terengganu hari ini menyatakan, perairan pantai timur khususnya sering menjadi sasaran nelayan Vietnam berikutan jarak yang lebih dekat dari negara mereka selain hasil laut yang lebih banyak dan bernilai. "Sejak APMM ditubuhkan pada 2006 hingga kini, kita telah berjaya menahan dan melupuskan hampir 2,000 bot nelayan asing terdiri daripada pelbagai negara. "Sepanjang Op Naga dan Op Kuda Laut yang dilancarkan pada April 2019 sehingga 2021 iaitu selama dua tahun, sebanyak 159 bot serta 1609 kru berjaya kita tangkap dengan nilai tangkapan sebanyak RM493.5 juta," katanya.  
05 Apr 21
563
Kerajaan Terengganu Bantu Nelayan Miliki Lesen
Kerajaan Terengganu Bantu Nelayan Miliki Lesen
KUALA TERENGGANU, 4 April - Menyedari kepentingan Nelayan Sampan Zon A memiliki lesen, kerajaan Negeri Terengganu mengangkat permohonan  kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, bagi pihak nelayan negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim  berkata diantara isu utama masyarakat nelayan yang berjaya pihaknya selesaikan ialah masalah ketiadaan lesen.  "Ada implikasinya jikalau tiada lesen... seperti mana orang membawa kereta tiada lesen. Mereka pergi ke laut mencari rezeki dalam keadaan ketakutan, mereka tidak layak menerima elaun sara hidup nelayan dan subsidi minyak.  "Jikalau berlaku apa-apa bencana di laut, mereka dinafikan daripada sebarang bantuan dan pertolongan," jelasnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian ketika ditemu bual di dalam rancangan Aspirasi YB yang disiarkan secara langsung menerusi Lubna TV baru-baru ini.  Menurutnya, hasil siasatan (kaji selidik), terdapat 800 orang senarai Nelayan Sampan Zon A yang ketiadaan lesen. " Alhamdulillah, untuk peringkat pertama, 650 daripada 800 orang diluluskan dalam masa setahun, ” ujarnya.  Tambahnya lagi, sektor pertanian di negeri ini telah menyediakan 'blueprint' dan dinamakan sebagai ‘Pelan Strategik Pertanian Negeri 2019-2023’ yang merupakan pelan perancangan jangka panjang lima tahun.  "Dimana perangkaannya melibatkan semua pihak dari tenaga akademik, universiti, jabatan berkaitan sektor pertanian sehingga kepada penggiat-penggiat yang kebiasaannya, pembuatan pelan ini melibatkan konsultan berbayar tetapi akhirnya ia menghasilkan pelan yang tidak berpijak di bumi nyata, " jelasnya dengan nada kecewa.  Katanya, Skim Bantuan Modal Tani itu yang merupakan skim bantuan dana patuh syariah tanpa faedah. "Sasaran kami adalah terutamanya anak muda yang ingin berusaha, mempunyai semangat, dan kesungguhan. Kemahiran boleh diajar, tapak mungkin ada tetapi tersekat pada dana.  "Maka kami sediakan dana, dengan syarat mereka berusaha sahaja. Kita cuba menetapkan agenda untuk merakyatkan agenda pertanian. Kita tak nak satu agenda berada di lokasi tertentu sahaja.  "Biar agenda pertanian ini meliputi semua negeri. Daripada Kemaman sampai ke Besut. Dari dalam laut  ke atas bukit. Kerana ini merupakan sektor besar yang perlu dilibatkan semua kelompok rakyat,” terangnya.
04 Apr 21
865