Artikel "Pertanian" Terkini
Belia Tok Lawit Manfaatkan Tanah Terbiar Untuk Pertanian
HULU TERENGGANU, 6 Ogos – Kelab Belia Sahabat Sejahtera Kampung Tok Lawit berjaya manfaatkan kawasan tanah kosong atau yang terbiar dengan aktiviti pertanian.
Pengerusi Persatuan Belia Sahabat Sejahtera Negeri Terengganu, Mohamad Yusuf Abdullah berkata usaha tersebut membantu ekonomi belia setempat selain turut mendatangkan hasil yang baik kepada negeri.
“Terdapat tanah yang terbiar milik perseorangan mahupun milik kerajaan yang hanya menjadi lalang dan semak samun tanpa diusahakan dan ia amat merugikan.
“Ia adalah peluang kepada belia yang terkesan dengan pandemik dengan galakan kerajaan dan sinergi bersama agensi yang berkenaan malah sekarang adalah masa yang tepat untuk memajukan sektor pertanian dan mengorak langkah mencapai kejayaan," katanya.
Beliau berkata ketika mengadakan lawatan di tapak projek tanaman padi Kelab Belia Sahabat Sejahtera (KBSS) Kampung Tok Lawit dan menyampaikan sumbangan kepada wakilnya.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Belia Sahabat Sejahtera Kampung Tok Lawit, Rizuan Sulong berkata, untuk permulaan kelab belia Sahabat Sejahtera Kampung Tok Lawit akan menumpukan usaha tanaman padi.
“Kita nak gunakan tanah terbiar sebagai usaha memartabatkan sektor pertanian dalam negeri Terengganu dengan penyertaan belia dan masyarakat kampung dalam bidang berkenaan.
“Ia seiring dengan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencadangkan tahun 2021 sebagai Tahun Pertanian Negeri," ujarnya.
Menurutnya lagi, pada peringkat awal usaha Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Tok Lawit mengadakan perbincangan bersama dengan pengusaha tanaman padi selepas melihat peluang kepada belia kampung yang tiada pekerjaan untuk mengusahakan tanah yang terbiar sekitar 10 hektar lebih dengan aktiviti bertani.
“Semoga usaha yang dilakukan ini berjaya mendapat hasil dan natijah yang baik,"katanya.
05 Aug 21
1034
12 Tukun Tiruan Konservasi Pulihara Ekosistem Marin
MARANG, 24 Julai – Sebanyak 12 tukun tiruan konservasi telah dilabuhkan di kawasan perairan taman laut Pulau Kapas bertujuan untuk pemuliharaan khazanah laut sekali gus memberi manfaat jangka masa panjang kepada nelayan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tukun di bawah peruntukan kerajaan persekutuan sebanyak RM300,000 itu akan menjadi tempat pembiakan kepada pelbagai spesis ikan.
“Ramai penggiat laut bertanya justifikasi labuhkan di kawasan yang tidak boleh memancing, jawapannya tukun bertindak sebagai rumah kepada hidupan lautan yang kemudian akan keluar ke laut untuk jadi rezeki tangkapan akan datang.
“Spesifikasi 12 tukun tiruan ini adalah berat sekitar 17 tan dibuat daripada bahan konkrit gred 35 akan bertahan di dasar laut sekitar 50 tahun.
“Ia turut berfungsi sebagai zon penampan untuk pukat tunda menghalang kepada pencerobohan di kawasan ini,” katanya ketika ditemubual pemberita selepas kerja melabuh tukun konservasi di perairan Pulau Kapas, pagi tadi.
Turut hadir, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat dan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkipli Amin Mat Jusoh.
Tambah Dr Azman, jangkaan hasil tukun tiruan tersebut akan mengambil masa dalam beberapa bulan untuk ditumbuhi hidupan laut dan spesis marin.
“Sejak tahun 2006 lagi, banyak tukun konservasi telah membuahkan hasil dan pelbagai kejayaan yang boleh didokumentasikan termasuk hasil spesis ikan gred A yang bertandang dan menjadikannya sebagai tempat perlindungan,” jelasnya lagi.
24 Jul 21
405
Projek Keledek Vitato Di Setiu Keluarkan 350 Tan Hasil
Projek penanaman keledek vitato di Kampung Banggol di sini mampu mengeluarkan hasil sebanyak lima tan setiap ekar.
15 Jul 21
210
Setiu Diisytihar Sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri
Kerajaan Terengganu mengisytiharkan daerah Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri.
15 Jul 21
212
Minat Dorong Iqmal Haikal Jadi Petani Muda
SETIU, 14 Julai - Minat yang mendalam terhadap bidang pertanian mendorong lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana, Muhammad Iqmal Haikal Ab Mueei untuk menjadi petani muda.
Biarpun baru berusia 19 tahun, Muhammad Iqmal Haikal nekad menjadi salah seorang peserta program tanaman ubi vitato secara berkelompok di Kampung Banggol di sini kerana yakin bidang pertanian menjanjikan pendapatan lumayan sekiranya dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
Anak kelima dari tujuh beradik itu berkata, biarpun tidak mempunyai pengalaman, dia tidak malu untuk belajar selok belok pertanian dengan peserta lain.
“Saya terlibat dengan aktiviti pertanian ini baru dua..tiga bulan lepas, sebelum ini saya kerja di sebuah kedai makan di Penarik, tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kedai tersebut terpaksa ditutup.
“Apabila mula menanam ubi vitato ini dan lihat ianya mula membesar, menjadikan saya lebih bersemangat untuk serius dalam bidang pertanian, apatah lagi peserta lain tidak lokek memberi tunjuk ajar kepada peserta termuda seperti saya,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di ladang tanaman ubi vitato di Kampung Banggol.
Muhammad Iqmal Haikal merupakan salah seorang dari 70 peserta Program Tanaman Ubi Vitato secara berkelompok di atas tanah seluas 28 hektar itu.
Katanya, dia turut berdepan kesukaran pada awalnya bagi memastikan hasrat menjadi usahawan tani tercapai.
“Mula-mula nak tanam ubi nie susah juga terutamanya dari segi kewangan dan tenaga buruh, saya hanya tanam sendiri dan tidak ada pekerja, mujur emak dengan ayah datang tolong.
“Sekarang tanaman ubi vitato seluas satu ekar yang saya usahakan ini sudah berusia sebulan dan ia dijangka dapat dituai pada September nanti,” ujarnya yang turut mengeluarkan modal lebih dari RM1,000 hasil simpanan sendiri dan sumbangan bapa serta adik-beradiknya.
Menurut anak muda berjiwa cekal itu, walaupun bercita-cita untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini, dia tidak akan sesekali akan melupakan bidang pertanian yang menjadi fokus utamanya sekarang.
14 Jul 21
674
Projek Keledek Vitato Di Setiu Keluarkan 350 Tan Hasil
SETIU, 12 Julai - Projek penanaman keledek vitato di Kampung Banggol di sini mampu mengeluarkan hasil sebanyak lima tan setiap ekar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tanaman secara berkelompok yang berkeluasan 70 ekar itu melibatkan seramai 70 orang peserta.
"Projek berkenaan hasil usahasama kerajaan negeri Terengganu melalui Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) dan penduduk setempat," kata ringkas pada Majlis Penuaian Ubi Vitato di Kampung Banggol semalam.
Terdahulu, beliau turut memaklumkan kerajaan Terengganu bersetuju menjadikan daerah Setiu sebagai gedung pengeluaran makanan negeri itu.
Jelasnya, pemilihan daerah Setiu disebabkan beberapa faktor antaranya keluasan tanah sekitar 5,200 ekar yang diwartakan di bawah seksyen 62 yang dikhususkan bagi aktiviti pertanian samada penternakan dan tanaman.
"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 16 Jun yang lalu bersetuju mengisytihar dan menjadikan daerah Setiu sebagai gedung pengeluaran makanan Negeri Terengganu.
"Untuk itu, MMKN bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Setiu dan dianggotai oleh ketua-ketua jabatan berkaitan," tambah beliau.
13 Jul 21
543
Setiu Diisytihar Sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri
SETIU, 12 Julai - Kerajaan negeri mengisytiharkan daerah Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 16 Jun lalu.
Katanya, pemilihan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu adalah disebabkan beberapa faktor antaranya daerah ini masih lagi mempunyai tanah pertanian berskala komersial untuk diusahakan di dalam sesuatu kawasan.
"Ini termasuklah tanah kerajaan atau tanah yang telah diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara untuk kegunaan pertanian.
"Pada ketika ini terdapat 2,104 hektar tanah yang telah diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara yang dikhususkan untuk aktiviti pertanian sama ada penternakan atau tanaman," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Penuaian Ubi Vitato di pusat tanaman ubi vitato secara berkelompok di tanah seluas 28 hektar di Kampung Banggol, Permaisuri, hari ini.
Menurut Dr. Azman, pemilihan Setiu juga adalah bagi memaksimakan potensi kewujudan tanah terbiar di daerah ini.
"Setiu mempunyai kira-kira 1,214 hektar tanah terbiar yang tidak diusahakan bagi menjana pendapatan rakyat.
"Tanah-tanah terbiar disebabkan pelbagai faktor seperti penyediaan infrastruktur keupayaan modal pemilik tanah, kemahiran teknikal dan sikap pemilik tanah itu sendiri," jelasnya.
Dalam pada itu beliau berkata, bagi menggerakkan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu, kerajaan negeri juga telah bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Setiu dan dianggotai oleh ketua- ketua jabatan yang berkaitan.
"Tugas jawatankuasa ini adalah untuk menyediakan pelan tindakan, mengenal pasti tanah-tanah untuk dimasukkan dalam program ini dan memproses permohonan- permohonan melibatkan program Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu," ujarnya.
Katanya, beliau turut berharap dengan pengisytiharan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu, akan menjadi faktor penyumbang kepada sasaran Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021 dalam meningkatkan purata pendapatan petani kepada RM3,000 sebulan bagi setiap isi rumah, meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada 10 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) serta meningkatkan jumlah guna tenaga dalam sektor pertanian daripada 42,900 orang kepada 44,000 orang.
"Semoga dengan usaha ini juga dapat mencapai sasaran kerajaan negeri pada tahun ini sebagai tahun pertanian sekali gus menjadi salah satu pemangkin kepada ekonomi negeri ini," ujarnya.
12 Jul 21
1324
Belanja RM1 Juta Bina 'Rumah Ikan'
KUALA TERENGGANU, 7 Julai – Lebih RM1 juta dibelanjakan kerajaan negeri bagi membina tukun atau rumah ikan yang berfungsi untuk perkayakan sumber perikanan di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sebanyak 45 unit tukun dibina dengan dana kerajaan Terengganu manakala 12 unit tukun bernilai RM300 ribu adalah peruntukan Kerajaan Persekutuan.
"Setiap unit tukun seberat kira-kira 17 tan, menggunakan tetulang besi seberat kira-kira 1.1 tan dengan konkrit grade 35. Target jangka hayat mampu bertahan di dasar laut untuk tempoh 50 tahun.
"Insya-Allah dijadualkan menjelang bulan Oktober, tukun-tukun ini akan dimuatkan ke atas tongkang untuk menuju ke beberapa destinasi bagi dilabuhkan di perairan Terengganu.’
"Usaha berterusan kita bagi memperkayakan lagi sumber perikanan negeri untuk manfaat para nelayan," katanya
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke tapak pembinaan tukun di Pulau Kambing, Kuala Terengganu, hari ini.
Tambahnya, tukun-tukun ini sedang dalam pembinaan di Pulau Kambing, Kuala Terengganu.
"Sekarang masih dibina, insya-Allah siap nanti kita akan labuhkan," ujarnya.
07 Jul 21
522
Terengganu Luluskan RM100 Ribu, Jeti Baharu Buat Nelayan
SETIU, 2 Julai - Cakna terhadap keluhan warga nelayan di Kampung Fikri, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM100,000 bagi pembinaan jeti baharu bagi menampung jumlah bot-bot di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, jeti sedia ada di pengkalan nelayan kampung tersebut adalah terhad buat penggiat lautan tempatan.
“Hasil perbincangan dengan warga laut tempatan, kita telah memohon peruntukan daripada pihak kewangan negeri dan ia telah diluluskan untuk dilaksanakan pihak Pejabat Daerah Setiu.
“Insya-Allah, permintaan lain kita terima dan cuba untuk laksanakan satu demi satu, peringkat demi peringkat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa kerja CSR Nelayan Pembersihan Muka Kuala Setiu di Jeti Pengkalan Bubu, Kampung Fikri, pagi tadi.
Turut hadir, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Rosli Latif.
Menurut Dr Azman, proses seterusnya akan dilangsungkan segera mungkin dan akan memberi manfaat buat komuniti nelayan Kampung Fikri, Kampung Mangkuk dan Kampung Beting Lintang dan juga dari Daerah Besut.
Terdahulu, inisiatif pemasangan lampu limpah juga dijalankan bagi mencerahkan laluan di kawasan jeti, kini telah siap dibina hasil penerimaan aduan warga setempat.
02 Jul 21
601
CSR Nelayan Bersihkan Laluan Kuala Setiu
SETIU, 2 Julai – Usaha sama Kerajaan Negeri bersama nelayan komuniti Kampung Fikri dapat menyelesaikan masalah laluan air di Kuala Setiu yang dipenuhi beberapa batang pokok rhu yang tumbang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, muka kuala yang menjadi laluan nelayan daripada daerah Besut dan Setiu dicemari dengan pokok dihanyutkan arus deras.
Dr Azman Ibrahim bersama Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif membantu kerja gotong-royong
“Ada rintihan orang kelaut menceritakan bot-bot mereka bengkok akibat terlanggar dahan di sini.
“Hakisan tanah dan pohon tumbang menyebabkan laluan pelayaran keluar masuk nelayan melalui kuala terhalang dan merbahaya kepada bot nelayan
“Oleh itu, kita ambil tindakan segera meluluskan peruntukan kerja gotong-royong yang turut dibantu komuniti setempat diikuti Majlis Daerah Setiu, Polis dan Pejabat Daerah Setiu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa kerja CSR Nelayan Pembersihan Muka Kuala Setiu di Jeti Pengkalan Bubu, Kampung Fikri, pagi tadi.
Turut hadir, Pegawai Daerah Dan Pentadbir Tanah Setiu, Rosli Latif.
Katanya, usaha tersebut dijangka selesai melalui usaha pembersihan dalam masa dua hingga tiga hari.
Beliau turut berterima kasih kepada komuniti nelayan Kampung Fikri, Kampung Mangkuk dan Kampung Beting Lintang yang turut serta dalam kolaborasi tersebut.
02 Jul 21
347