lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

Kerajaan Negeri Utamakan Pendidikan Selari Teras Induk PITAS 2030
Kerajaan Negeri Utamakan Pendidikan Selari Teras Induk PITAS 2030
 Bidang pendidikan sentiasa menjadi fokus utama kerajaan negeri dan ia selari dengan salah satu teras Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) yang memfokus pembangunan insan melalui pemantapan pendidikan.
17 Nov 24
133
Pendebat Terbaik Bahasa Arab Terima Anugerah Khas EXCO Pendidikan
Pendebat Terbaik Bahasa Arab Terima Anugerah Khas EXCO Pendidikan
KUALA TERENGGANU, 13 November - Penerima Anugerah Khas EXCO Pendidikan, Wan Amzar Izzuddin bukan sahaja pernah mencipta nama di pentas dunia sebagai peserta terbaik Kejohanan Debat Bahasa Arab Sekolah-Sekolah Antarabangsa di Qatar malah merupakan pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia. Dia merupakan antara 120 orang  yang diraikan  dalam Majlis Hafl Al-Takrim Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan STPM 2023  peringkat negeri Terengganu . Anak kepada  pasangan guru , Wan Mohd Azlan Wan Ahmad  dan  Rubiha Ali, berjaya merangkul 11A dalam SPM baru-baru ini melahirkan rasa syukur dengan kejayaan yang dikecapinya itu dan merakamkan penghargaan kepada kedua ibu-bapanya. "Di sebalik kejayaan ini sudah tentu adanya kedua orang tua saya yang mendidik saya sejak dari kecil dan memberikan pendedahan bagaimana menjadi seseorang yang berjaya. "Tiada dilupakan guru-guru yang mengajar saya di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) yang telah mentarbiad diri ini serta pihak-pihak pentadbiran sekolah khususnya kepada Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JAPINT)," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menerima anugerah tersebut pada majlis berkenaan di Dewan Utama, Al-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) di sini, semalam. Anak kelahiran Jerteh itu berkata dia kini  masih lagi belajar di SMAASZA dan akan menghadapi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun hadapan turut menjadikan kejayaan di peringkat SPM itu menjadi pencetus semangat untuknya sekali lagi berusaha menjadi pelajar terbaik. "Kini saya masih memikirkan sama ada untuk menyabung pengajian di luar negara ataupun dalam negara. "Saya menyimpan cita-cita untuk menjadi seseorang yang memiliki kepakara dalam bidang undang-undang sivil ataupun syariah bagi memastikan syariat Islam yang syumul dapat ditegakkan di dalam negara," katanya. Sementara itu katanya, peluang terpilih menjadi ADUN Belia Negeri Terengganu mewakili DUN Kota Putera membantunya untuk memastikan apa yang didebatkan setiap kali menyertai pertandingan debat dapat dipraktikkan di lapangan. "Saya juga terlibat aktif dalam Pertubuhan Bukan kerajaan (NGO) Sahabat Sejahtera yang meurpakan pihak bertanggungjawab dalam mengerakkan dakwah dalam kalangan belia dan beliawanis di negeri ini," katanya. Untuk rekod, antara pencapaian lain yang cukup membanggakan diterima olehnya ialah menjadi Tokoh Pendidikan Ulul Albab Daerah Besut juga meraih gelaran Speaker Terbaik di International School Debating Competition 2023 di Doha dan Syed Abdul Rahman Al-Junied Arabic Championship pada tahun ini di Singapura.  
13 Nov 24
619
Kerajaan Negeri Utamakan Pendidikan Selari Teras Induk PITAS 2030
Kerajaan Negeri Utamakan Pendidikan Selari Teras Induk PITAS 2030
KUALA NERUS, 13 November - Bidang pendidikan sentiasa menjadi fokus utama kerajaan negeri dan ia selari dengan salah satu teras Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) yang memfokus pembangunan insan melalui pemantapan pendidikan. Pengerusi Jawatankuasa pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, ia terbukti dengan penubuhan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Darul Iman (SMIDI). Katanya, pembangunan islam berteraskan prinsip Islam akan melahirkan masyarakat yang intelek dan berdaya saing perlu diyakini. "Saya juga berharap agar seluruh warga Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu termasuk Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, pengurusan sekolah dan guru-guru akan dapat terus memanfaatkan segala peluang yang ada bagi bekerjasama dan berusaha dengan lebih tekad. "Dengan tekad yang bulat dan semangat yang teguh, kita mampu memastikan sekolah di negeri ini akan terus melakar kejayaan dalam pelbagai bidang, sama ada akademik, ko-kurikulum mahupun bidang lain yang akan mengangkat nama Terengganu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hafl Al-Takrim Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan STPM Tahun 2023 di Dewan Utama, Al-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), di sini, semalam. Menurut Satiful, majlis yang diadakan itu merupakan satu penghargaan yang amat bermakna meraikan kejayaan 120 orang pelajar yang mencatat keputusan paling cemerlang di dalam peperiksaan terbabit. "Kita mengiktiraf kejayaan dan kecemerlangan anak-anak pelajar yang telah berusaha gigih dalam pelajaran mereka. "Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang menerima penghargaan pada hari ini. "Kejayaan ini bukan sahaja hasil usaha pelajar yang tidak pernah putus asa tetapi juga berkat doa ibu bapa serta bimbingan guru-guru yang tidak pernah jemu mendidik dan membimbing," ujarnya.
13 Nov 24
496
Norimrana, Nesalata Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UniSZA
Norimrana, Nesalata Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UniSZA
KUALA NERUS, 11 November- Norimrana Mujahid Ali, 24, dipilih sebagai penerima  Anugerah Pelajaran Diraja dalam Majlis Idul Ilmi (Istiadat Konvokesyen) Ke-16 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian itu berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.82. Selain Norimrana, turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja ialah Nesalata A/P Gunasekaran,24, iaitu graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan dengan Kepujian bersama pencapaian PNGK 3.71. Norimrana berkata, beliau menanam tekad dari awal untuk merebut angerah tertinggi universiti itu untuk dihadiahkan kepada kedua ibu bapanya. Katanya, bapa, Mujahid Ali Mohd Shafi, 58, seorang penjaja kecil manakala ibunya, Siti Noor Omar, 48, hanya suri rumah dan pengiktirafan yang diterimanya pada hari ini bukti kesungguhannya untuk mengubah nasib keluarga. "Disebabkan kedua ibu bapa saya bukan orang yang berpendidikan (buta huruf), nak baca tulis pun tidak pandai, ia menjadi pembakar semangat kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh. "Dengan kejayaan ini, ia merupakan hadiah terindah buat ibu bapa saya sekali gus membuktikan bahawa walaupun dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan namun ia bukan penghalang untuk seseorang itu meraih kecemerlangan dalam pendidikan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang pertama Majlis Idul Ilmi (Istiadat Konvokesyen) Ke-16 UniSZA di sini, semalam. Norimrana berkata, untuk mencapai kejayaan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan banyak pengorbanan. “Antara cabaran yang saya lalui adalah terpaksa memulakan pengajian semester pertama dan kedua secara dalam talian kerana kekangan pandemik Covid-19 ketika itu yang menghalang pembelajaran secara bersemuka. “Sepanjang empat tahun belajar di UniSZA, saya juga jarang balik ke kampung di Tumpat ketika cuti semesta sebab mahu memberi tumpuan terhadap pelbagai aktiviti kokurikulum dan sukan di universiti,” ujar anak ketiga dari lima beradik itu yang kini bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat terkemuka di ibu negara. Sementara itu, Nesalata A/P Gunasekaran pula berkata, berbekalkan kecemerlangan yang diraihnya itu, beliau berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sehingga Doktor Falsafah (PhD).  
11 Nov 24
278
225 Pelajar Terima Sumbangan Ke IPT
225 Pelajar Terima Sumbangan Ke IPT
BESUT,10 November - Seramai 225 pelajar telah menerima sumbangan bagi membantu meringankan beban mereka yang berjaya melanjutkan pengajian tinggi ke Institut Pengajian Tinggi Awam atau swasta (IPTA/IPTS). Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, berkata inisiatif diberikan itu sebagai peransang agar kesemua mereka yang akan menyambung pengajian tinggi itu bersungguh-sungguh menimba ilmu di menara gading. "Pendidikan adalah kunci kepada masa depan yang lebih cerah. Saya berharap agar semua pelajar dapat menggunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya dan terus berusaha mencapai kejayaan," katanya. Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada para penerima sumbangan tersebut di Dewan Sivik Kampung Baharu, di sini, baru-baru ini. Ujarnya, walaupun ada pelajar yang tidak hadir kerana telah memulakan pengajian namun bantuan itu tetap diberikan melalui ibu bapa mereka. "Saya memohon maaf diatas kelewatan sumbangan ini dan juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima atas pencapaian cemerlang dan berharap agar sumbangan ini akan dapat meringkan beban kewangan. "Serta menjadi pendorong untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang," ujarnya. Dalam pada itu Salah seorang penerima sumbangan, Ahmad Ikram Zulkefli, yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan Islam di University Sains Islam Malaysia (USIM) berkata sangat menghargai sumbangan yang diberikan itu. "Saya amat berterima kasih kepada Azbi Salleh atas sumbangan ini. Ia benar-benar membantu saya dan keluarga dalam persediaan melanjutkan pengajian. Saya akan berusaha untuk mencapai kejayaan demi membanggakan keluarga dan masyarakat,"katanya.  
11 Nov 24
175
Festival Kaligrafi Islam Kebangsaan Kembali Martabatkan Seni Khat
Festival Kaligrafi Islam Kebangsaan Kembali Martabatkan Seni Khat
Festival kaligrafi Islam yang diadakan di Terengganu mampu mengembalikan martabatkan seni khat di negara ini.
07 Nov 24
93
Karnival Tarik Minat Pelajar Tahfiz Dalam Bidang Sains
Karnival Tarik Minat Pelajar Tahfiz Dalam Bidang Sains
Penganjuran program Hari Kokurikulum dan Rehlah Sains buat julung kali di adakan di Ma'ahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman (MTT), Tok Jiring bertujuan menarik dan memperkukuhkan minat pelajar tahfiz dalam bidang sains dan teknologi.
05 Nov 24
41
Sultanah Terengganu Bangga UMT Berkembang Maju
Sultanah Terengganu Bangga UMT Berkembang Maju
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menzahirkan rasa teruja terhadap Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang menunjukkan perkembangan dan kemajuan membanggakan berdasarkan prestasi dan indikator yang digunakan dalam penarafan universiti.  
22 Oct 24
122
Kembar Yatim Raih Ijazah Kelas Pertama, Hargai Sokongan Nenek
Kembar Yatim Raih Ijazah Kelas Pertama, Hargai Sokongan Nenek
KEMAMAN, 20 Oktober -  Sepasang kembar yatim piatu, Siti Nur Masmera Dalina Muhammad Yusof dan Siti Nur Mastika Dalina Muhammad Yusof berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam Bachelor Of Manufacturing Engineering Technology (Tooling) With Honurs dengan cemerlang di UC TATI. Kejayaan kedua-dua mereka lebih manis apabila menerima Ijazah Kelas Pertama dengan pencapaian akademik yang luar biasa. Kedua-dua mereka telah dijaga dan dibesarkan oleh nenek, Wan Zaharah Ahmad yang sentiasa memberikan sokongan serta bimbingan. Pengorbanan itu menjadi pendorong utama kejayaan mereka berdua yang telah kehilangan ibu bapa ketika berusia 15 tahun. Siti Nur Masmera berkata, tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan memperolehi kejayaan cemerlang dengan meraih ijazah kelas pertama dan menyifatkan ia merupakan penghargaan yang amat bermakna. "Segala yang kami capai adalah hasil daripada sokongan tidak berbelah bahagi daripada nenek kami, Wan Zaharah dan juga melalui bantuan Biasiswa Asasi daripada UC Tati dan juga dana kewangan daripada Yayasan Terengganu dan MAIDAM (bantuan awal pengajian dan dermasiswa)," ujarnya. Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Ke-24 UC TATI, di sini, semalam. Sementara itu, Siti Nur Mastika pula berkata, rahsia kejayaan mereka adalah saling memberi semangat di antara satu sama lain untuk berjaya. "Walaupun banyak cabaran yang terpaksa kami hadapi dan tempuhi kerana kami sedar bahawa pendidikan adalah satu-satunya cara untuk keluar daripada kitaran kesusahan," ujarnya. Dalam pada itu kejayaan pasangan kembar itu mendapat perhatian daripada pihak universiti  yang melihat mereka boleh dijadikan sebagai inspirasi kepada pelajar lain untuk tidak mudah menyerah kalah. Rektor UC TATI, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata kedua-dua mereka adalah contoh terbaik kepada semua pelajar. "Bahawa kejayaan bukanlah semata-mata bergantung kepada keadaan asal kita, tetapi ia berdasarkan kepada usaha dan komitmen yang ditunjukkan," ujarnya.
20 Oct 24
242
UMT Jadi Universiti Pelaksana Program WIFIdx Pertama di Malaysia
UMT Jadi Universiti Pelaksana Program WIFIdx Pertama di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 19 Oktober -  Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi universiti pertama di Malaysia dipilih sebagai pelaksana program WIFIdx (The Women ICT Frontier Initiative) di Malaysia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Naib Canselor UMT, Profesor  Dr. Mohd. Zamri Ibrahim berkata, sehingga kini WIFIdx telah dilaksanakan di 12 negara merentasi rantau Asia Pasifik termasuklah Armenia, Bangladesh, Cambodia, India, Kyrgyzstan, Papua New Guinea, Filipina, Sri Lanka dan Thailand. "Alhamdulillah UMT amat berbesar hati dan bertuah apabila Sekretariat WIFIdx UN telah memberi mandat kepada UMT sebagai pelaksana WIFIdx di Malaysia untuk tempoh dua tahun. "Selain itu, UMT turut bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk melaksanakan program WIFIdx di seluruh negara. "Melalui usaha ini, UMT berhasrat untuk membantu meningkatkan kehidupan dan taraf ekonomi masyarakat yang  membawa manfaat besar," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pelancaran WIFIdx yang disempurnakan oleh Canselor UMT, iaitu Sultanah Terengganu Nur Zahirah, Tuanku Canselor UMT sempena majlis santapan petang di Taman Tamadun Islam di sini hari ini. Terdahulu, keberangkatan tiba baginda bersama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan kepimpinan kerajaan negeri. Jelasnya, WIFIdx merupakan singkatan kepada “United Nations Women ICT Frontier Initiative” adalah program inisiatif pengukuhan ICT wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (WIFIdx) dilancarkan pada tahun 2016 di bawah Asian and Pacific Training Centre for Information and Communication Technology for Development (APCICT), berpangkalan di Incheon, Korea Tambah beliau, WIFIdx adalah bertujuan untuk memupuk program keusahawanan wanita di Asia dan Pasifik melalui pembangunan kapasiti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Dalam majlis sama pada hari ini, turut diadakan penyampaian Cek Cura sebagai simbolik penyerahan sumbangan yang berjumlah RM1,762,213.60 yang merupakan sumbangan oleh Etiqa Family Takaful Berhad, Tabung Haji Negeri Terengganu, MAIDAM, MBSB Bank Berhad, Maybank Islamic Berhad, PETRONAS, Bank Rakyat, Maybank Islamic Berhad Kuala Terengganu dan RHB Bank Berhad. "Sumbangan dari pelbagai agensi dan syarikat korporat adalah dalam pelbagai bentuk seperti dana zakat, bantuan pendidikan dan juga geran projek. "Semua ini bagi mendokong keperluan pendidikan dan pembangunan pelajar di UMT," katanya.  
19 Oct 24
242