Artikel "Pendidikan" Terkini
Tiada Pelukan, Ibu Calon SPM Mampu Iring Anak Dari Jauh Saja
KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Keadaan begitu berbeza pada tahun ini, buat pertama kali tiada lagi iringan dan pelukan ibu dan ayah sebelum anak-anak melangkah masuk ke dewan peperiksaan bagi menghadapi ujian yang bakal menentukan hala tuju mereka selepas ini.
Mastura Mohammad.
Seorang ibu, Mastura Mohammad, 51, mengakui beliau terpaksa akur dengan keadaan tersebut ekoran wabak pandemik yang melanda seluruh dunia itu.
"Dah sebulan saya tak jumpa anak saya yang menginap di asrama sekolah. Saya maklum pihak sekolah tak benarkan kami ibu bapa masuk ke kawasan sekolah, dapat tengok anak-anak pelajar masuk ke dewan peperiksaan hari ni dari luar pagar sekolah dah cukup melegakan.
"Alhamdulillah mereka dijaga dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Saya memahami itu semua bagi menjaga keselamatan anak saya serta rakan-rakannya," ujar ibu kepada Adib Alaudin Kamaruzaman, 18, ketika ditemui pemberita di luar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato' Haji Abbas, Tok Jiring di sini pagi tadi.
Tambahnya sedikit sebak, beliau mendoakan agar Adib dan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dapat menjawab dengan tenang dan dipermudahkan segala urusan bagi anak-anak.
"Saya doakan dia moga selamat, selawat banyak-banyak, saya sebagai ibu halalkan semuanya," katanya yang juga seorang pembantu tadbir.
22 Feb 21
1507
18,743 Calon SPM Terengganu Duduki Peperiksaan Mulai Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Seramai 18,743 calon termasuk 899 calon persendirian mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di 169 pusat peperiksaan seluruh Terengganu bermula hari ini hingga 25 Mac ini.
Salim Ab Ghani.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani berkata, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut, seramai 1,427 petugas peperiksaan dilantik.
"Berlaku penambahan petugas peperiksaan berikutan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Bilik-bilik peperiksaan ditambah, begitu juga dengan petugas.
"Juga tinjauan kita di beberapa buah sekolah sebelum ini mendapati terdapat bilik-bilik yang dikhaskan dan mereka sangat akur dengan SOP yang ada. Kesemua calon serta petugas memakai pelitup muka sepanjang masa," katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media ketika lawatannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato' Haji Abbas, Tok Jiring di sini pagi tadi.
Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan yang memberi garis panduan serta SOP yang sangat jelas.
"Saya ucap terima kasih kepada kementerian yang memberi SOP yang sangat jelas serta pengetua-pengetua sekolah yang mematuhi arahan sepatutnya.
"Diingatkan agar ibu bapa calon khususnya memberi kerjasama sepenuhnya menjaga anak-anak mereka di rumah dengan mematuhi setiap arahan," jelasnya.
Semua calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusandan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0 dan SOP yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan serta mencegah penularan wabak Covid-19.
22 Feb 21
423
Cabaran Hadapi SPM Norma Baharu
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 19 Februari- Para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hendaklah menganggap kesukaran mengikuti pembelajaran ketika norma baharu akibat pandemik COVID-19 sebagai satu cabaran.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, calon SPM perlu kuat semangat serta perlu fokus untuk menghadapi peperiksaan SPM yang akan bermula 22 Februari ini.
“Sekarang ini kita berada dalam suasana pandemik COVID-19 yang merupakan satu cabaran bersifat global, bukan sahaja di negeri kita tapi di seluruh negara
‘Kalau kita nak berjaya kita tak boleh menjadikan apa sahaja alasan termasuk COVID-19 sebagai penyebab mengapa kita tak boleh berjaya, walaupun kita tidak berpeluang belajar macam biasa sebab pandemik ini.
“Saya mengharapkan itu semua adalah cabaran yang tidak boleh melemahkan kita. Anggaplah itu sebagai cabaran yang boleh menguatkan kita untuk pergi lebih jauh kerana kita ada matlamat yang lebih penting,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara atas talian dalam Program Motivasi Santai Bersama Calon SPM 2020, Sekolah Menengah Agama Ittifakiah, Jerteh, Besut di pejabat DUN Terengganu, baru-baru ini.
Beliau turut menasihati semua para pelajar yang bakal mendudui peperiksaan SPM agar menjaga kesihatan, tidur yang cukup, makan makanan berkhasiat serta menjaga prosedur operasi standard (SOP).
Selain itu, katanya para pelajar juga sentiasa ada hubungan dengan Allah SWT dan 'bangun malam' kerana ia adalah senjata utama umat Islam.
20 Feb 21
323
'Ini Hanya Tanda Koma, Bukan Titik Noktah' - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 18 Februari - "Kalau ada sekelumit atau sedikit kelemahan dalam apa-apa jua subjek ataupun keputusan peperiksaan, jangan jadikan itu sebagai suatu titik noktah, sebalikanya ia koma sahaja.
"Kita berdiri dan akan bangkit kembali. Kalau orang main tinju, tak salah kena tumbuk, itu normal, yang salah bila jatuh tak bangun-bangun.
"Walaupun kamu jatuh berkali-kali, kamu tetap perlu berdiri, percayakan diri kamu melebihi segala-galanya," ujar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi laman facebooknya hari ini.
Dalam persiapan menghadapi ujian tersebut, Menteri Besar Terengganu menyifatkan bidang menuntut ilmu dan menghadapi peperiksaan seperti SPM sebagai satu perjalanan tidak boleh dijangka.
"Walaupun dalam 10 minit lagi, kita tidak akan tahu masa depan kita, banyak kejutan bakal berlaku.
"Contohnya seperti membawa kereta ke Kuala Lumpur, seperti di lebuh raya, pelbagai halangan kita akan hadapi tanpa disangka seperti lubang atau haiwan melintas. Ada masa kita atau ayah masing-masing 'drive' elok-elok, tiba-tiba ada kereta keluar, kita tidak akan tahu.
"Maknanya kita perlu bersedia dan waspada sepanjang masa, sama seperti anak-anak yang bakal menghadapi SPM tahun ini," katanya.
Beliau turut menasihati para pelajar supaya menjadi lebih tegas dan menguatkan azam serta menyesuaikan diri kepada cabaran akan datang.
"Percaya bahawa ekspidisi kehidupan akan datang juga tidak akan ceria dan menyenangkan sepanjang masa. Kehidupan dan perancangan tidak akan selalu terjadi seperti yang kita inginkan.
"Dah fikir macam-macam, buat macam-macam, kadangkala tak dapat apa yang kita nak kerana itu adalah kehidupan dan itu sifat manusia.
"Bukan hitam atau putih semata-mata tetapi penuh dengan warna-warnil, tetapi peperiksaan ini tidak bukan penghujungnya, ia hanyala satu koma dan bukan titik noktah," katanya lagi.
Berdasarkan rekod daripada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), seramai 18,743 pelajar bakal menduduki peperiksaan SPM 2020 di Terengganu, merangkumi 837 calon persendirian, pada minggu hadapan. - Gambar fail - Hishamuddin Abdullah.
18 Feb 21
1099
PdPR : Ibu Bapa Jambatan Antara Guru Dan Pelajar
KUALA TERENGGANU, 16 Februari – Cabaran sektor pendidikan terutamanya dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlu dilihat dari sudut positif oleh semua pihak terutamanya ibu bapa agar ilmu dapat disampaikan secara berkesan dengan berkat.
Seorang guru Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh, Dr. Salbiah Mohamad Salleh berkata, disebabkan penularan COVID-19, situasi PdPR sedang dialami di seluruh dunia perlu dilihat sebagai suatu peluang.
“Bagi ibu bapa, mereka boleh memantau dan melihat sendiri proses pembelajaran anak-anak mereka yang mungkin jarang diperhatikan sebelum musim pandemik.
“Para pelajar juga berpotensi untuk membina kemahiran aplikasi digital serta belajar menggunakan pelbagai bahan online yang telah dibikin oleh pihak guru dan sekolah.
“Oleh itu, corak pemikiran ibu bapa perlu bersikap terbuka dalam memastikan PdPR berjalan lancar di rumah, jika ada sebarang masalah boleh rujuk kepada guru dan tidak perlu ‘complain’ secara terbuka dalam kumpulan ‘Whatsapp’,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini.
Sementara itu, Guru Matematik Viral, Fadli Salleh menyuarakan pendapat sama mengenai PdPR sebagai tanda pendidikan tidak akan berhenti dengan fokus kepada ibu bapa sebagai jambatan kepada ilmu antara pelajar dan pengajar.
“Rintihan dan komen ibu bapa sentiasa diteliti kerana mereka juga terlibat sebagai penyambung antara pelajar dan guru dalam memastikan pembelajaran berjalan lancar.
“Hasilnya, adaptasi dan penambahbaikan sentiasa dibuat oleh para guru terhadap PdPR berbanding dengan awal tahun lepas dimana berlaku sedikit kekalutan.
“Sedikit demi sedikit kerjasama antara dua pihak dapat mengatasi kekangan yang ada, contohnya kebanyakan anak murid telah memiliki gajet, bantuan daripada kerajaan negeri juga mendorong kepada penambahbaikan PdPR,” katanya.
Tambahnya, pendapat ibu bapa masa kini juga semakin positif dan ada di kalangan pelajar sudah mahir untuk menganjurkan ‘Google Meet’ dengan sendiri.
Menjawab tentang dakwaan kontroversi ‘cikgu makan gaji buta’, Fadli menjawab, sangkaan tersebut tidak betul dan perlu difahami situasi guru juga, ramai yang pertama kali atau belum bersedia untuk menghadapi pembelajaran online.
“Kebanyakan guru yang bagus dan ‘otai’ dalam pengajaran fizikal tetapi mengalami sedikit kejutan budaya dengan kaedah norma baharu, namun begitu, hikmah sekarangnya adalah cikgu-cikgu sekarang sudah mula kuasai teknologi dari masa ke semasa
"Tarikh menghantar kerja sekolah kini sesetengah sudah fleksibel dan guru juga perlu memainkan peranan dalam menilai faktor geografi dan kedudukan sosial pelajar dalam membentuk bahan pelajaran sama ada guna Live atau video,” tambahnya.
16 Feb 21
1085
'Cakna Didik Marang Hebak' Siri Dua Bantu 20 Pelajar Miliki Telefon Pintar
MARANG, 9 Februari - Pemberian bantuan telefon pintar untuk melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) melalui program Cakna Didik Marang Hebak diteruskan lagi untuk fasa kedua dengan melibatkan 20 pelajar kurang berkemampuan dalam kalangan keluarga B40 di daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif Pejabat Daerah Marang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Marang itu menyasarkan 100 pelajar kurang berkemampuan menerima kemudahan tersebut sebelum akhir bulan ini.
"Program ini telah dilaksanakan secara berperingkat dengan permulaan agihan sebanyak 10 unit telefon pintar dan 100 tambah nilai internet kepada pelajar kurang berkemampuan di Marang bagi fasa pertama.
“Hari ini, program diteruskan lagi dengan agihan 20 unit telefon pintar untuk diserahkan kepada pelajar yang telah dikenalpasti oleh Pejabat Pendidikan Daerah Marang terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai, SMK Seri Payong, SMK Tengku Lela Segara serta SMK Seberang Marang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Penyerahan Telefon Pintar oleh Pejabat Daerah Marang kepada Pejabat Pendidikan Daerah Marang untuk diagihkan kepada pelajar yang layak di Pejabat PINTAR, DUN Alur Limbat, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak.
Katanya, Program Cakna Didik Marang Hebak yang digerakkan menerusi hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk Pejabat Parlimen Marang, syarikat swasta serta individu itu akan diteruskan untuk fasa ketiga pada 16 Februari ini dengan agihan sebanyak 20 unit telefon pintar kepada pelajar memerlukan di setiap DUN di daerah Marang ini.
“Diharapkan ini bukan yang terakhir dan kita mengalu-alukan syarikat korporat serta orang perseorangan tampil menyumbang untuk meneruskan program yang sangat baik ini,” ujarnya.
Sementara itu, Ariffin berkata, kerajaan negeri memandang serius isu dan kesukaran yang dihadapi pelajar yang tidak berkemampuan untuk menjalani pdPR ketika ini.
“Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengumumkan Bantuan Ekonomi Rakyat 2021 (BERKAT) yang merangkumi bantuan 1,600 tablet kepada pelajar miskin serta tambah nilai internet RM100 kepada semua pelajar daripada keluarga yang berpendapatan kurang RM2,500.
“Bantuan seumpama ini akan membantu lebih ramai pelajar yang tidak berkemampuan khususnya untuk menjalani PdPR serta dapat meringankan beban ibu bapa untu kmemastikan anak-anak mereka dapat belajar dengan sempurna dalam norma baharu ini,” ujarnya.
09 Feb 21
1230
Jabatan Amal Malaysia Pantau Pembukaan PASTI
SETIU, 8 Februari - Jabatan Amal Malaysia Kawasan Setiu (JAMKS) yang diberi jolokan 'semut merah' ditugaskan memantau sesi pembukaan persekolahan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang memulakan operasinya, Sabtu lalu.
Komandan Jabatan Amal Malaysia Kawasan Setiu, Wan Mohammad Izzuddin Wan Hamzah berkata, pihak Jabatan Amal telah mengambil langkah awal dengan mengadakan operasi sanitasi yang melibatkan sebanyak 30 buah PASTI di kawasan Setiu.
Operasi sanitasi oleh Jabatan Amal Malaysia
"Langkah kedua yang kita ambil dengan membuat penaziran terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) setiap PASTI seperti penjarakan antara meja murid, panunjuk arah dan tahap kesihatan setiap murid yang hadir ke PASTI," katanya.
Sesi persekolahan bersemuka PASTI yang bermula hari ini menekankan pematuhan SOP yang ketat dengan tidak membenarkan ibu bapa atau penjaga memasuki premis dan anak-anak pelajar yang tidak sihat tidak dibenarkan mengikuti sesi persekolahan.
Tambahnya lagi, diharap kepada semua ibu bapa supaya dapat mematuhi segala garis panduan yang telah ditetapkan demi keselamatan bersama.
08 Feb 21
1154
20 Pusat Pintar Terengganu Beroperasi Ahad Depan
Bermula ahad depan, sebanyak 20 Pusat Internet Akses Rakyat (Pintar) dibuka bagi kemudahan pelajar mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) secara percuma.
04 Feb 21
982
Sasar Bantu 100 Pelajar Miliki Telefon Pintar Mudahkan PdPR
MARANG, 2 Februari - Pejabat Daerah Marang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Marang menyasarkan 100 pelajar kurang berkemampuan memiliki kemudahan peranti mudah alih atau telefon pintar sendiri agar sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara atas talian berjalan lancar.
Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak berkata, selain itu menerusi Program Cakna Didik Marang Hebak itu juga, pihaknya akan mendapatkan sumbangan bagi 1,000 lagi pelajar bagi bantuan kewangan untuk pembelian tambah nilai internet.
“Program ini bertujuan membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan, mempunyai bilangan anak yang ramai serta ibu bapa yang bekerja dan keperluan kepada telefon serta keperluan kos tambah nilai internet untuk pelajar mengikuti pembelajaran secara atas talian.
“Kita sasarkan dapat bantu 100 pelajar miliki telefon pintar menjelang akhir bulan ini dan 1,000 pelajar akan dapat manfaat bantuan kewangan secara tunai bagi pembelian data atau tambah nilai secara berperingkat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan 10 unit telefon pintar hasil sumbangan pelbagai pihak kepada Pejabat Pendidikan Daerah Marang untuk diagihkan kepada pelajar yang layak di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Sulaiman Sulong.
Katanya, program tersebut telah mendapat perhatian pelbagai pihak yang ingin turut sama membantu dengan dana permulaan yang diterima sebanyak RM5,000 untuk perolehan 10 unit telefon pintar dan simkad serta bantuan kewangan bagi pembelian tambah nilai internet.
“Sumbangan awal diterima melalui Syarikat Marang Coara Sdn Bhd dan beberapa penyumbang individu, dimana seorang penyumbang boleh membantu seorang pelajar dengan kadar RM250 satu peranti mudah alih dan RM20 untuk pembelian data.
“Justeru pihak kami sangat mengalu-alukan lebih ramai pihak untuk tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu pelajar menghadapi cabaran PdPR di kala kita semua diuji dengan pandemik COVID-19,” ujarnya.
02 Feb 21
346
PdPR Cabaran Untuk Guru Luar Bandar
DUNGUN, 28 Januari- Pelaksanaan Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menjadi cabaran kepada guru yang berada di kawasan pedalaman.
Perkara tersebut turut diakui Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tepus, Noraini Ab Hamid yang memberitahu keadaan sedemikian dialami para guru di sekolah beliau yang terletak di Hulu Dungun.
Katanya, antara masalah yang dihadapi termasuk jaringan telekomunikasi yang kurang memuaskan menjadikan proses PdPR sukar untuk dilaksanakan.
"Komitmen para pelajar memberikan tumpuan melalui proses pembelajaran ini agak payah kerana ketiadaan capaian internet.
"Menyedari hakikat kesukaran yang dialami oleh para murid dan ibu bapa kita di peringkat sekolah sentiasa mencari inisiatif termasuk dengan menyerahkan kertas latihan kepada murid yang diambil di sekolah untuk disiapkan di rumah," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Sumbangan Prihatin COVID-19 kepada 20 buah sekolah di DUN Bukit Besi, di Pusat Khidmat Masyarakat DUN (PKMD) Bukit Besi oleh Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman, hari ini.
Turut hadir Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Khaziman Khalik.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Besi, Badariah Muda berkata, para guru tiada masalah dan sentiasa bersedia untuk melaksanakan PdPR dan boleh memberikan komitmen sepenuhnya.
"Tetapi ibu bapa perlu memainkan peranan bagi memastikan proses pembelajaran demikian dapat diikuti dengan baik.
"Kita juga turut memahami bahawa tidak semua ibu bapa mampu menyediakan peranti kepada anak-anak mereka sehinggakan ada yang terpaksa menunggu ibu bapa pulang dari kerja dahulu baru berpeluang menggunakan peranti berkenaan dan melihat kepada latihan yang diberikan," ujarnya.
Sementara itu Ghazali berharap agar segala kekurangan di DUN berkenaan tidak dijadikan halangan untuk para guru terus memberikan pendidikan yang terbaik buat anak-anak di DUN Bukit Besi.
"Sebaliknya perlu sentiasa proaktif dan perlu mencari jalan bagaimana untuk mengadaptasi pembelajaran ketika pandemik melanda negara ketika ini.
"Juga kita menyarankan agar pelajar tingkatan lima di pedalaman ini diwajibkan untuk tinggal di asrama kerana mereka akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi dengan sebaik-baiknya.
"Supaya dapat memastikan mereka menumpukan sepenuhnya pada peperiksaan berkenaan tanpa ada masalah, juga diharapkan agar ibu bapa memberikan komitmen serta motivasi kepada anak-anak agar bersedia menduduki peperiksaan penting itu," ujarnya.
Katanya, sumbangan yang disampaikan sebanyak RM 10,000 kepada seluruh sekolah di DUN berkenaan iaitu 15 buah sekolah rendah dan lima buah sekolah menengah merupakan sumbangan prihatin bagi pengurusan keseluruhan sekolah berkenaan.
28 Jan 21
1316