Artikel "Pendidikan" Terkini
Pusat Bahasa Arab Pertama Terengganu Mula Operasi
KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Pusat Bahasa Arab Pertama milik kerajaan Terengganu yang bernilai sekitar RM1.5 juta mula beroperasi dua minggu lalu.
Pengarah Pusat Bahasa Arab Al-Azhar As-Syarif Darul Iman, Mohd Zaini Mohd Nor berkata, institusi di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) itu amat penting dalam meningkatkan kemahiran pelajar berbahasa arab.
“Ini akan menjadi tempat berhimpun anak-anak Terengganu untuk dididik, diasuh sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke tanah arab atau dalam negeri serta menyelesaikan trend penurunan drastik dalam penguasaan bahasa itu.
“Antara pengisian adalah program intensif Bahasa Arab kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Di samping itu, kursus bahasa arab untuk memahami al-Quran juga dibuka untuk orang awam dengan kelas pertama pada 22 Mac ini, dengan jumlah peserta berdaftar sehingga ini seramai 80 orang bermula daripada 20 hingga 60 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bangunan Pusat Bahasa Arab Terengganu di Pusat Bahasa Arab Terengganu, Ladang Tok Pelam, Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini petang semalam.
Turut hadir, Jurutera Daerah, Ir. Anuar Ngah dan Pegawai Khas Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Abdullah Suhaimi.
Tambah Mohd Zaini, kerjasama antara Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Cawangan Malaysia (WAAGM) turut diadakan dalam memastikan kelangsungan pusat tersebut.
“Dengan tenaga pengajar, empat orang dari Malaysia dan tiga orang dari Mesir, pusat ini beroperasi dan menempatkan pelajar lepasan STAM dari negeri sekitar pantai timur.
“Kos peruntukan tahunan kerajaan negeri Terengganu telah meluluskan sebanyak RM1.18 juta dengan prasarana kira-kira 5 kelas, satu kelas mampu memuatkan 30 pelajar, manakala bilik untuk seminar dan makmal bahasa turut ada dalam memastikan suasana pembelajaran kondusif," tambahnya.
Sebelum ini, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta rombongan kerajaan negeri bertemu Duta Besar Mesir, Salah Mohi Eldin Elwassimydi di kedutaan negara itu di Kuala Lumpur bagi membincangkan Pusat Bahasa Arab (Markaz Lughah).
10 Mar 21
6171
Sekolah Pondok Terima Latihan Kemahiran
BESUT, 9 Mac – Selepas Pondok Ibtida’i Ajil, Hulu Terengganu dipilih menyertai program latihan kemahiran untuk peringkat permulaan, Pondok Raudhatul Muhammadi dan Pondok Pasir Akar di Jerteh, Besut juga mengikuti program sama bagi memperkasa kebolehan para pelajar di institusi terbabit.
Timbalan Pengerusi Pelaksanaan Syariah, Pendidikan & Pengajian Tinggi Terengganu, Maliaman Kassim berkata, program itu dilaksanakan dengan pembiayaan kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu.
Menurutnya, bagi pelajar dari Pondok Raudhatul Muhammadi, dipilih menyertai program pertanian Lada Solok secara Fertigasi manakala pelajar Pondok Pasir Akar pula mengikuti program latihan kemahiran pendawaian elektrik.
“Inisiatif seumpama itu bakal diperluaskan di kesemua institusi pondok di seluruh negeri secara berperingkat bagi membolehkan setiap pelajar dilengkapi dengan latihan kemahiran sebelum mereka menamatkan pengajian sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.
"Pondok juga harus menguasai ilmu-ilmu yang pelbagai. Ilmu agama adalah menjadi tumpuan namun ilmu-ilmu bersifat keduniaan juga wajar dipentingkan. Gabungan ilmu sememangnya dituntut oleh agama. Kita dituntut untuk cemerlang di dunia dan cemerlang juga di akhirat. Ilmu Kemahiran dan segala maklumat yang ada padanya wajar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja bagi Pemantauan Program Kemahiran Pondok di Pondok Raudhatul Muhammadi dan Pondok Pasir Akar di sini, semalam.
Maliaman berkata,kerajaan negeri telah merangka beberapa usaha untuk memartabatkan institusi pondok pada tempat sewajarnya bagi memperkasakan pelajar berkenaan dalam bidang kemahiran, sekaligus membantu mereka berdikari selepas menamatkan pengajian.
"Pihak kerajaan akan sedaya upaya berusaha membantu institusi ini dalam pelbagai aspek yang difikirkan sesuai,"ujarnya lagi.
Tambah beliau, institusi pondok juga perlu menambah baik prasanana dan kemudahan pengajian, supaya suatu masa nanti sekolah pondok akan mempunyai keupayaan prasarana yang baik dan mampu menjadi contoh kepada institusi pendidikan yang lain.
08 Mar 21
937
Akademi Robotik Pertama Di Terengganu, Lahir Generasi Al-Jazari
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Kewujudan Akademi Robotik TD1303 X Jazari Robot (JAZRO) pertama dalam negeri mampu menjadi platform pembelajaran teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) berteraskan nilai kemahiran teknologi dan pembentukan sahsiah.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, selaras dengan agenda kementeriannya, pelbagai peringkat daripada kanak-kanak sehingga golongan belia boleh memanfaatkan fasiliti dalam meningkatkan penguasaan teknologi.
“Kita tidak lagi boleh bergantung semata-mata penggunaan tenaga buruh upah, melalui pendidikan robotik produktiviti yang efisien dapat diwujudkan dalam pelbagai sektor.
“Ini dapat dilihat hasil pandemik COVID-19, menyebabkan Malaysia mempercepatkan penguasaan dan penggunaan teknologi sebegini dalam pelbagai sektor.
“Contohnya seperti Robot FARMO yang diperkenalkan dalam sektor pertanian digunakan untuk kerja penyemburan racun, baja dan memetik buah-buahan,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Perasmian Akademi Robotik TD1303 X JAZRO di TD1303, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Ladang Tok Pelam, pagi semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri yang juga Pengerusi TD1303, Ariffin Deraman, Ketua Pengurus JAZRO Robotic Academy, Ir Dzulfarqeish Zainuddin.
Ketua Pengurusnya, Ir Dzulfarqeish memaklumkan, penyertaan program tersebut telah melibatkan antara 40 hingga 50 pelajar sebulan disertai pelajar berusia seawal lima tahun sehingga 17 tahun.
“JAZRO Robotic Academy komited untuk berkongsi kemahiran yang relevan dengan IR 4.0, seterusnya membolehkan warga muda di Terengganu tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital global.
“Modul disediakan bukan sahaja menekankan kemahiran teknologi semata-mata, malahan menyelitkan elemen pembentukan sahsiah melalui modul al-Jazari berteraskan nilai-nilai murni Islam,” jelasnya.
06 Mar 21
914
Ahli Parlimen Kuala Nerus Sumbang Kelengkapan COVID-19 Sempena Pembukaan Sekolah
KUALA NERUS, 3 Mac - Dalam memastikan hari persekolahan terutamanya pada hari pertama berjalan lancar tanpa mencetuskan bimbang penularan COVID-19, pihak Ahli Parlimen Kuala Nerus mengambil inisiatif berterusan dengan memberikan sumbangan kelengkapan cegah COVID-19 di sekolah sekitar Kuala Nerus.
Setiausaha Politiknya, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin berkata, antara sekolah yang disantuni pihaknya adalah di Sekolah Kebangsaan LKTP Belara di mana kelengkapan kesihatan seperti pelitup muka dan 'sanitizer' telah diagihkan buat kakitangan sekolah dan murid-murid.
"Ini adalah satu usaha Dr. Khairuddin untuk memastikan murid-murid dan guru sekolah terhindar dari jangkitan Covid-19 yang sebelum ini telah mengakibatkan pembukaan sekolah tertunda.
"Bagi hari pertama ini, ibu bapa merupakan insan yang sudah lama dan tidak sabar menunggu hari pembukaan sekolah yang dijadualkan bermula pada hari ini.
"Rata-rata ibu bapa meluahkan rasa puas hati dan berterima kasih apabila melihat anak-anak mereka disambut dengan baik walaupun dalam keadaan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya dalam satu lawatan di SK LKTP Belara, kelmarin.
Guru besar sekolah tersebut, Zaid Yusof turut menzahirkan rasa syukur dan gembira dengan kehadiran murid yang memberangsangkan walaupun hari pertama persekolahan.
"Sekolah kami merupakan sekolah yang terletak di kawasan pedalaman dan sudah tentu prestasi kehadiran anak-anak ke sekolah adalah respon positif pada kami," jelasnya.
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia, lebih lima juta pelajar mula kembali ke sekolah secara berperingkat dengan murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua sekolah rendah memulakan sesi persekolahan pada 1 Mac manakala murid Tahun Tiga, Tahun Empat, Tahun Lima dan Tahun Enam sekolah rendah akan dibuka sepenuhnya pada 8 Mac ini.
01 Mar 21
574
Murid Pra, Tahun 1 Dan 2 Mula Sekolah Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 1 Mac - Seramai 54,612 murid prasekolah, Tahun 1 dan 2 memulakan sesi persekolahan hari ini bagi sesi 2021 di 352 buah sekolah rendah seluruh Terengganu.
Jumlah tersebut membabitkan seramai 10,664 murid prasekolah, 22,348 murid Tahun 1 serta 21,600 murid Tahun 2 bagi meneruskan pembelajaran mereka setelah hampir dua bulan tiada pembelajaran secara bersemuka dibuat pada tahun ini.
Pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka selepas ia ditutup di seluruh negara mulai 9 November tahun lalu, juga menyaksikan murid dan guru menyesuaikan diri dengan norma baharu serta prosedur operasi standard (SOP).
Tidak mengambil mudah aspek SOP, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengedarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula dan Model Pengawalan Keberadaan Murid di Pintu Pagar Sekolah untuk semua sekolah di seluruh negara.
Ia mengandungi panduan pengurusan dalam pelbagai aspek merangkumi bermula murid sampai ke pintu pagar sekolah, ketika murid berada di sekolah dan SOP ketika pulang ke rumah.
Selain sekolah rendah, Kolej Vokasional juga dibuka hari ini.
Bagi murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam mereka akan memulakan sesi persekolahan pada 8 Mac, manakala sekolah menengah akan bermula pada 4 April (di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan pada 5 April bagi negeri lain.
Sekolah antarabangsa dan institusi pendidikan swasta akan dibuka semula pada 8 Mac.
01 Mar 21
423
Didik Anak Patuh SOP Norma Baharu Di Sekolah
BESUT, 1 Mac- Ibu bapa perlu mendidik anak-anak agar patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mencegah penularan pandemik COVID-19 di kawasan sekolah.
Pegawai Penyelaras DUN Hulu Besut, Mat Daik Mohamad berkata, didikan ibu bapa untuk anak patuh SOP norma baharu amat penting memandangkan sesi persekolahan untuk Pra Sekolah serta Tahun Satu dan Dua telah bermula hari ini.
" Selain mengharapkan guru, ibu bapa perlu mendidik anak mengenai amalan norma baharu bermula dari rumah lagi.
"Ini untuk memastikan anak- anak menjaga keselamatan dan kesihatan ketika berada di sekolah," ujarnya.
Katanya, anggota masyarakat juga perlu mengikuti SOP yang ditetapkan dan jangan mengambil mudah tentang wabak ini.
"Diharapkan semua penduduk DUN Hulu Besut khususnya membanyakkan berdoa serta bertakwa kepada Allah supaya wabak ini segera diangkat.
"Semoga sesi persekolah berterusan dengan lebih baik dan pelajar dapat belajar dengan semangat baru serta melakar kejayaan yang cemerlang pada masa hadapan," ujarnya.
01 Mar 21
107
UC TATI Jalin Kerjasama Dengan Ar Rayyan Optometrist Sdn. Bhd
KUALA TERENGGANU, 26 Februari- Kolej Universiti TATI (UC TATI) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Ar Rayyan Optometrist Sdn. Bhd. bagi mewujudkan pentas kolaborasi kebajikan untuk meringankan beban pelajar dan kakitangan institusi berkenaaan.
Rektor UC TATI, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, menerusi kerjasama yang ditandatangani dalam satu majlis di Bangunan Canselori, UC TATI di Kemaman, Ar Rayyan Optometrist Sdn. Bhd. bakal berperanan menjadi pembekal cermin mata kepada para pelajar dan kakitangan UC TATI.
Katanya, sumbangan menerusi kad baucer eksklusif itu bernilai RM524,000.
"Melalui kad tersebut, pemegang kad baucer eksklusif berhak menerima diskaun sehingga 40 peratus untuk pembelian bingkai dan cermin di semua cawangan Ar Rayyan Optometrist.
"Bagi pelajar golongan B40 pula, Ar Rayyan Optometrist akan memberi sumbangan cermin mata secara percuma," ujarnya.
Katanya, penularan COVID-19 memberikan impak negatif kepada kehidupan dan keperluan semua lapisan masyarakat.
"Diharapkan sumbangan ini dapat membantu pelajar meneruskan pembelajaran dengan jelas dan yakin, demi mengejar cita-cita dan seterusnya mengubah nasib keluarga," tambah beliau.
Dalam pada itu Anuar berkata, dengan penarafan 5 bintang yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, UC TATI juga ingin meningkatkan kerjasama dari segi akademik, industri dan juga kebajikan.
26 Feb 21
956
PAS-T Sedia Kemahiran Vokasional Anak Autism
KUALA TERENGGANU, 26 Februari – Terengganu kini dalam proses menyiapkan Pusat Autisme Sejahtera Terengganu (PAS-T) iaitu pusat jagaan anak-anak autism yang menyediakan pendidikan kemahiran vokasional bagi memupuk nilai berdikari.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pusat tersebut telah menelan belanja kos kira-kira RM2 juta dan dijangka bakal beroperasi pada Jun depan di Batu Buruk
“Bangunan (belakang Kuala Terengganu Specialist Hospital) tersebut telah diubahsuai daripada kuarters kerajaan lama yang mempunyai empat bangunan, melibatkan kos termasuk kos operasi, kelengkapan pembelajaran kira-kira RM2 juta.
“Kita akan menempatkan golongan sasar tersebut seawal dari umur tiga tahun.
“Kebanyakan pusat autisme tidak memfokuskan pendidikan secara menyeluruh, oleh itu, model baharu yang dirangka ini akan memfokuskan kemahiran vokasional, kelas bersama pengajar pertuturan, kelas al-Quran dan lain-lain lagi,” katanya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini.
Tambahnya, melalui kesinambungan pendidikan yang diberi secara percuma kepada golongan B40, pusat tersebut dapat melahirkan lepasan berumur 17 hingga 18 tahun dengan kemahiran melakukan kerja dan mampu membina hidup sendiri.
Terdahulu, cadangan pembangunan pusat model baharu itu telah dibentangkan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Seri Rina Mohd Harun dalam pertemuan di Putrajaya baru-baru ini.
Untuk rekod, terdapat lebih 500 kanak-kanak autism di seluruh Terengganu yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
26 Feb 21
929
Bimbingan Dan Nasihat Ramuan Kejayaan Anak-anak SPM
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Bimbingan nasihat daripada guru dan ibu bapa amat penting bagi memastikan para pelajar berada pada tahap terbaik dan sentiasa fokus ketika menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, calon SPM hendaklah memberi tumpuan sepenuhnya pada peperiksaan itu kerana ia menentukan masa hadapan.
“Saya berharap sebagaimana pertemuan di antara guru dan pelajar selepas selesai peperiksaan kertas pertama tadi, saya menasihati mereka supaya kekal bertenang menghadapi peperiksaan dalam suasana COVID-19.
“Apa yang penting, saya katakan tadi ialah mereka (pelajar) mesti fokus kepada persiapan yang telah dibuat sebelum ini,” ujarnya ketika ditemui pihak media selepas mengadakan pertemuan bersama calon SPM di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin Ladang (SMASZA), Kuala Terengganu, semalam.
Turut bersama, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), Asp Mohd Adirra Ramli, Penolong Kanan Pentadbiran, Mohd Almeida Mohd dan Pegawai Penyelidik DUN Terengganu, Mohd Khairul Nizam Suhaimi serta Pegawai Khas Speaker DUN Terengganu, Ukasyah Hasan.
Justeru itu, mewakili kerajaan negeri, beliau berdoa dan mengharapkan agar semua calon peperiksaan SPM akan mendapat keputusan terbaik.
“Saya ada bertanya beberapa orang pelajar, apa cita-cita dan apa yang mereka minat, sekiranya mereka mendapat keputusan yang cemerlang serta melayakkan mereka untuk menyambung ke institusi pengajian tinggi (IPT).
“Saya katakan kepada mereka, ia satu perancangan yang sangat baik," ujar Dato’ Yahaya.
Sementara itu, Pengetua SMASZA, Azanol Muda berkata, seramai 87 orang pelajar SMASZA menduduki peperiksaan SPM bermula hari pada 22 Februari, baru-baru ini.
Manakala, katanya seramai 10 orang petugas peperiksaan dilantik bagi memantau calon-calon peperiksaan berkenaan.
“Setakat ini kita (pihak sekolah) mengikuti SOP (prosedur operasi standard) dengan penjarakan fizikal, pelajar kita wajibkan pakai pelitup muka, penjarakan dalam kelas, jika kebiasaanya dalam kelas 30 orang namun sekarang ini hanya memuatkan 15 orang sahaja,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar para pelajar dapat menumpukan sepenuh perhatian pada peperiksaan ini hingga ke akhir penamatnya.
“Walaupun ada kekangan dan halangan serta sikit kepayahan prosedurnya, tetapi jangan jadikan itu halangan. Sebaliknya jadikan ia sebagai satu peluang untuk kita buktikan bahawa, kita sedia hadapi cabaran itu,” tegasnya.
Di Terengganu, seramai 18,743 calon SPM termasuk 899 calon persendirian mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2020, di 169 pusat peperiksaan seluruh negeri bermula 22 Februari hingga 25 Mac ini.
23 Feb 21
387
18,743 Calon SPM Terengganu Duduki Peperiksaan
Seramai 18,743 calon termasuk 899 calon persendirian mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di 169 pusat peperiksaan seluruh Terengganu bermula hari ini 22 Februari hingga 25 Mac ini.
23 Feb 21
216