lightning-solid
Berita :

Artikel "Pelancongan" Terkini

Lebih Dua Juta Pelancong ke Terengganu Suku Pertama 2025
Lebih Dua Juta Pelancong ke Terengganu Suku Pertama 2025
KUALA TERENGGANU, 18 April - Terengganu terus menjadi sebagai destinasi pelancongan utama negara apabila jumlah kehadiran pelancong dan pengunjung ke negeri ini bagi suku pertama tahun 2025 mencecah 2.03 juta orang.  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata statistik yang telah dicapai buat masa ini mengatasi jangkaan awal dan memberi isyarat positif kepada sasaran tahunan. "Bagi suku tahun pertama 2025, jumlah kehadiran pelancong dan pengunjung yang direkodkan dianggarkan sebanyak 2,032,537 orang. "Ini menunjukkan prestasi cemerlang sektor pelancongan negeri hasil usaha berterusan dalam promosi dan penambahbaikan fasiliti serta produk pelancongan. "Ini juga merupakan satu permulaan yang memberangsangkan dan memberi petunjuk positif bahawa sasaran tahunan juga berpotensi untuk dicapai atau dilepasi," jelasnya.  Perkara itu telah diumumkan oleh Razali di dalam ucapannya ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini. Menelusuri prestasi tahun sebelumnya, kehadiran pelancong dan pengunjung ke Terengganu pada tahun 2024 mencatatkan angka yang melepasi sasaran awal yang ditetapkan. "Selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, kehadiran pelancong dan pengunjung ke Terengganu pada tahun 2024 telah mencatatkan jumlah yang membanggakan, iaitu sebanyak 7.8 juta orang, melepasi sasaran asal sebanyak 4.5 juta. "Sehubungan itu, bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri telah menetapkan sasaran yang lebih tinggi, iaitu 8.5 juta (Lapan Perpuluhan Lima Juta) pelancong dan pengunjung, sebagai usaha berterusan untuk memajukan sektor pelancongan negeri ini," ujar beliau.
18 Apr 25
347
Fasa Baharu Pulau Poh
Fasa Baharu Pulau Poh
KUALA TERENGGANU, 18 April - Pulau Poh di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir kini berwajah baharu hasil pelbagai inisiatif proaktif yang dilaksanakan oleh Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (TI), selaras dengan penyerahan hak pengurusan dan pengoperasian aset pulau tersebut oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Terengganu pada Jun 2023. Pelbagai usaha penambahbaikan telah dijalankan untuk memastikan Pulau Poh beroperasi secara aktif dan mampu menarik kehadiran pelancong secara berterusan ke kawasan berkenaan. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, YB Datuk Razali Idris, antara inisiatif utama ialah penempatan semula jeti penumpang bot laju ke Dome utama Pulau Poh bagi meningkatkan akses dan keselesaan pengunjung. "Inisiatif seterusnya ialah kerja-kerja penyelenggaraan juga sedang dipergiatkan termasuk penempatan lapan orang kakitangan bagi tugas kebersihan, landskap dan penyelenggaraan elektrikal serta empat pengawal keselamatan. "Bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat, Terengganu Inc. turut melantik vendor bagi enam unit food court dan enam unit kiosk, di mana sebahagian besar daripada mereka telah mula menjalankan operasi. "Selain itu, pelbagai aktiviti sukan air turut diperkenalkan seperti Jet Ski Ride, Banana Boat, Water Bicycle dan Swan Boat. Aktiviti darat yang tidak kurang menarik seperti E-ATV, E-Scooter dan E-Bike juga ditawarkan," katanya. Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu juga menjelaskan kemudahan lain bagi camper van yang disediakan bersama surau, tandas dan bekalan elektrik. Dalam perkembangan berkaitan jelas beliau, penyerahan projek pembangunan hotel daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) kepada Terengganu Inc. telah dimuktamadkan pada 24 Disember 2024. "Ketika ini, TI berada dalam fasa akhir rundingan dengan pihak operator hotel, iaitu Tamu Hotel. "Hotel tersebut dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun 2026, sekali gus berpotensi menjadi pemangkin utama kepada peningkatan jumlah pelawat ke Tasik Kenyir, khususnya ke Pulau Poh. Hotel Pulau Poh “Insya-Allah, limpahan ekonomi yang terhasil daripada pembangunan ini akan memberikan manfaat besar kepada masyarakat setempat,” ujarnya. Razali berharap usaha bersepadu itu dapat menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa sektor pelancongan sambil memastikan manfaat ekonomi dinikmati secara inklusif oleh komuniti tempatan.
17 Apr 25
162
Jeti Pulau Tenggol RM5.8 Juta Bakal Dibina
Jeti Pulau Tenggol RM5.8 Juta Bakal Dibina
KUALA TERENGGANU, 18 April - Kerajaan Terengganu bakal membina jeti pelancongan awam ke Pulau Tenggol yang menelan belanja RM5.8 juta sekali gus menggamit lebih ramai kehadiran pengunjung.  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, projek terbabit merupakan salah satu keutamaan bagi kerajaan negeri dalam sektor pelancongan. "Ia telah dikemukakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Rolling Plan Pertama kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC)," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin di semasa Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.  Menurut Razali, projek itu membabitkan fasa pertama selama enam bulan dan fasa kedua pula akan mengambil masa selama 24 bulan. Katanya, Majlis Perbandaran Dungun akan bertindak sebagai penyelaras projek. "Objektif utama dalam pelaksanaan projek ini adalah bagi meningkatkan kemudahan sedia ada bagi menarik pelancong ke Pulau Tenggol serta kemudahan awam sedia ada di perkedaian medan ikan bakar. "Dengan adanya kemudahanya jeti pelancong ini akan wujudlah pelbagai aktiviti kemasyarakatan di kawasan Pulau Tenggol di samping membantu mewujudkan kemudahan untuk penduduk bertemu mesra apabila sebarang aktiviti dijalankan," ujarnya.
17 Apr 25
193
Lata Hot Spring, Lata Tembakah Perlu Diberi Nafas Baharu Jadi Mercu Tanda Pelancongan
Lata Hot Spring, Lata Tembakah Perlu Diberi Nafas Baharu Jadi Mercu Tanda Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 15 April - Kerajaan Terengganu digesa agar memberikan nafas baru kepada dua lokasi pelancongan di Hulu Besut iaitu Lata Hot Spring dan Lata Tembakah yang berpotensi menjadi mercu pelancongan negeri.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Hussaimi Hussin berkata, dua lokasi terbabit merupakan khazanah alam semula jadi yang mengagumkan namun kemudahan asas yang ada masih daif dan infrastruktur pelancongan belum mencapai standard yang meyakinkan. "Justeru, sudah sampai masanya kerajaan negeri memberikan keutamaan kepada menaik taraf kemudahan asas pelancongan termasuk jalan, tandas, surau, ruang rehat dan juga aspek keselamatan. "Dalam masa yang sama, perlu ada satu pelan induk lanskap pelancongan agar pembangunan tidak merosakkan alam malah memuliakan keindahan alam semula jadi yang dimiliki di Hulu Besut kerana apabila alam dihargai pelancong akan kembali.  "Apabila pelancong datang ekonomi akan berkembang," ujarnya ketika menyampaikan Ucapan Perbahasan Titah Ucapan Diraja sempena Mesyuarat Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Hussaimi juga berharap agar dilaksanakan satu kempen Hulu Besut bersih dalam menjaga khazanah alam semula jadi yang ada sebagai satu pendekatan komuniti agar kebersihan menjadi budaya hidup rakyat. "Bukan sekadar kempen bermusim, semua agensi berkaitan perlu mengambul peranan masing-masing secara aktif,"katanya.
15 Apr 25
169
Kos Baik Pulih Jalan Aring-Kenyir RM36 Juta
Kos Baik Pulih Jalan Aring-Kenyir RM36 Juta
  erja bagi membaik pulih laluan jalan yang menghubungkan Felda Aring, Gua Musang dan Tasik Kenyir akan dimulakan sebaik sahaja menerima peruntukan sebanyak RM36 juta daripada Kementerian Ekonomi.
15 Apr 25
107
Kelip-kelip Kampung Yak Yah Kembali 'Bercahaya'
Kelip-kelip Kampung Yak Yah Kembali 'Bercahaya'
Populasi kelip-kelip di Kampung Yak Yah dikhabarkan meningkat sehingga 40 peratus sejak projek pemuliharaan habitat itu dilaksanakan bermula tahun 2022 lalu. 
15 Apr 25
87
Kelip-kelip Kampung Yak Yah Kembali 'Bercahaya'
Kelip-kelip Kampung Yak Yah Kembali 'Bercahaya'
KEMAMAN, 15 April - Populasi kelip-kelip di Kampung Yak Yah dikhabarkan meningkat sehingga 40 peratus sejak projek pemuliharaan habitat itu dilaksanakan bermula tahun 2022 lalu. Direkodkan, pada tahun 2010 sejumlah 176 koloni sahaja yang terdapat di santuari itu dan merosot kepada 104 koloni pada tahun 2021. Projek Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah yang menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM5.3 juta melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu, dibangunkan Jabatan Landskap Negara (JLN) dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) serta siap pada Mac tahun 2024. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah  berkata, Santuari Kelip-kelip di Kampung Yak Yah akan menjadi satu lagi tempat yang menggamit dan menarik kedatangan warga Malaysia dan luar negara untuk menyaksikan cahaya daripada kelip-kelip. "Kita tahu dalam keadaan zaman serba membangun dan moden, tentu banyak ekosistem semula jadi kita yang terkesan dengan suasana ini. Dengan adanya satuari Kelip-kelip ini, insya-Allah generasi baru akan kenal apa itu kelip-kelip dan keindahaan cahayanya. "Ini sesuatu yang zaman dahulunya sering menjadi perhatian warga terdahulu, tetapi agak susah untuk melihatnya pada masa ini. Melalui inisiatif yang telah dilakukan, akhirnya kita dapat merealisasikan tempat khusus untuk generasi sekarang dan akan datang melihat keindahan kelip-kelip secara semula jadi. "Saya mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada pihak KPKT yang telah pun menyalurkan peruntukan untuk merealisasikan projek landskap yang agak hebat di daerah Kemaman ini," katanya selepas majlis perasmian santuari berkenaan, semalam. Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, Ketua Pengarah JLN, Mansor Mohamad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Fadli Yusof Zakaria. Aiman memaklumkan, pembangunan projek santuari kelip-kelip yang dilaksanakan bertujuan memulihara, restorasi dan rehabilitasi habitat kritikal untuk kelangsungan populasi kelip-kelip di ekosistem Sungai Chukai. "Antara inisiatif yang diambil JLN ialah menanam 200 bakau, 2,000 berembang dan 500 nipah supaya membolehkan kelip-kelip hidup dan membiak menerusi dapatan kajian arkitek landskap dan pakar entimologi (kelip-kelip). "Pusat ini akhirnya bukan sahaja menjadi daya tarikan pelancong atau sekadar santuari kepada kelip-kelip tetapi juga satu platform penyelidikan, pendidikan alam sekitar dan juga aktiviti kepada sukarelawan pemuliharaan habitat kelip-kelip yang ada di negara kita," katanya dalam sidang media selepas perasmian tersebut. Jelasnya lagi, Santuari Kelip-kelip Kg Yak Yah merupakan antara santuari utama di bawah JLN selain diiktiraf sebagai salah satu lokasi kelip-kelip terunggul di Malaysia khususnya sebagai habitat semula jadi spesies Pteroptyx tener, sejenis kelip-kelip unik yang berkeupayaan berkelip secara serentak yang menjadi tarikan kepada pelancong eko dan peminat alam semula jadi.   
15 Apr 25
173
Lemang Popular Kini Boleh Didapati Di R&R Kijal
Lemang Popular Kini Boleh Didapati Di R&R Kijal
KEMAMAN, 29 Mac - Lemang kijal yang popular dan laris setiap kali menjelang perayaan kini berpeluang untuk dirasai oleh semua pelancong serta pengunjung yang melalui Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) apabila ia dijual di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kijal. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, semalam menjadi sejarah baru apabila lapan pengusaha telah mula menjual lemang di kawasan rehat itu. Katanya, kedua-dua arah Timur dan Barat  ada dijual lemang popular itu sekali gus ia memudahkan sesiapa sahaja untuk mendapatkan Lemang Kijal. "Jadi, hari ini (semalam) merupakan hari pertama dan ia menjadi satu sejarah apabila lemang yang begitu terkenal di Kijal, sebut Kijal sahaja maka lemang mesti nombor satu yang menjadi tumpuan. "Saya dapat lihat pengunjung dah mula mengetahui lemang dah mula dijual di lebuhraya, maka orang ramai tidak perlu lagi pergi ke Kampung Darat Kijal untuk membeli lemang dan ini merupakan satu kejayaan kepada kita (kerajaan negeri) dan juga pengusaha,"jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menyempurnakan perasmian Kiosk Lemang Kijal di R&R, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut, Razali berkata pihaknya telah berkerjasama dengan Pengerusia Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman dalam usaha membawa lemang yang sinonim dengan Kijal itu dapat dijual di Lebuhraya Pantai Timur. "Pihak DUN kijal telah menyumbang kiosk dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menyumbang pemanas bagi memastikan orang ramai akan dapat merasai lemang sepertimana di Kampung Darat, kerana ia tidak boleh dibakar di sini tetap kena bakar di kampung. "Tetapi dimasak dan dibakar di Kampung Darat dan dibawa ke sini menggunakan pemanas yang disumbang oleh YPU. "Dengan usaha yang kita jalankan ini secara tidak langsung kita telah mengembangkan lagi lemang ini ke peringkat antarabangsa jadi beberapa perkara telah disampaikan kepada pengusaha supaya menjaga kualiti supaya keaslian lemang itu terpelihara serta perlu menggandakan usaha menjaga kebersihan," ujarnya.    
29 Mar 25
241
Tasik Bungkus Bakal Dikenali Kawasan Tanaman Buluh Lemang
Tasik Bungkus Bakal Dikenali Kawasan Tanaman Buluh Lemang
KEMAMAN, 29 Mac - Kerajaan negeri berhasrat menjadikan Tasik Bungkus di Kijal, sebagai kawasan untuk dibangunkan industri penanaman buluh dalam usaha memastikan ia dapat menampung keperluan pembuatan lemang yang begitu sinonim dan popular di sini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali berkata, buluh lemang itu akan diusahakan di atas tanah berkeluasan 150 ekar dan akan bermula tahun hadapan. "Sekarang ini kita cuba cari benih yang sesuai dan berkualiti serta boleh diambil dengan cepat untuk dijadikan lemang. "Dengan adanya usaha ini nanti ini saya jangka masalah kekurangan buluh untuk dijadikan lemang yang dihadapi oleh pengusaha tidak akan berlaku lagi," ujarnynya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program Peluncuran Kiosk Lemamg Kijal di Hentian Rehat dan Rawat (R&R), di sini, semalam. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman. Mengulas lebih lanjut , Razali berkata sebelum ini pihaknya menyedari masalah yang berlaku di kalangan pengusaha lemang di daerah ini adalah disebabkan kekurangan buluh untuk dijadikan lemang yang menerima permintaan begitu tinggi terutamanya menjelang perayaan. "Kesan kekurangan buluh lemang ini menyebabkan beberapa pengusaha tidak boleh lagi berniaga bukan kerana tidak laku tetapi kerana ketiadaan bahan tersebut. "Oleh itu, perkara ini dianggap serius dan kerajaan telah meneliti dan insya-Allah pada tahun hadapan kita akan mulakan projek ini," jelas beliau.
29 Mar 25
475
Harga Santan Menjelang Aidilfitri Jadi Kebimbangan
Harga Santan Menjelang Aidilfitri Jadi Kebimbangan
KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Pengguna di Terengganu tidak perlu bimbang tentang bekalan santan untuk sambutan Aidilfitri tahun ini, kerana ia dijangka mencukupi bagi memenuhi permintaan tinggi di musim perayaan. Walau bagaimanapun, harga santan yang semakin meningkat seperti baru-baru ini menjadi kebimbangan utama pihak berkuasa dan kalangan pengguna. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman, berkata pemantauan ketat akan dijalankan bagi memastikan harga santan tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2025. "Bekalan santan dijangka mencukupi, namun kita akan pantau betul-betul harga dia kerana ada peniaga yang menjual santan sehingga RM20 sekilogram. "Dalam senarai harga kawalan, harga maksimum ditetapkan pada RM17.50. Syukur, di premis seperti Sabasun, mereka tidak melebihi harga yang telah ditetapkan oleh KPDN.  Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas majlis Pelaksanaan SHMMP Aidilfitri 2025 di Sabasun cawangan Dungun semalam. "Selain santan, kelapa parut dan kelapa biji juga termasuk dalam senarai barangan kawalan SHMMP kerana bahan ini sering digunakan dalam penyediaan juadah Aidilfitri," tambahnya. Ariffin turut memberi jaminan bahawa bekalan beras tempatan dan minyak masak juga mencukupi bagi menampung keperluan pengguna sempena musim perayaan ini. Dalam pada itu, Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat, memaklumkan bahawa walaupun stok minyak masak mencukupi, pihaknya tetap menghadkan jumlah pembelian bagi memastikan bekalan dapat diagihkan secara adil kepada semua pengguna. "Stok minyak masak terhad, tetapi masih mencukupi untuk keperluan Aidilfitri. Oleh itu, pembelian dihadkan kepada dua unit bagi minyak paket dan satu botol bagi minyak botol untuk setiap keluarga," jelasnya.
25 Mar 25
109