Artikel "Pelancongan" Terkini
TIEP Sedia Sambut Kejohanan Sukan Kuda Bertaraf Global
Terengganu International Endurance Park (TIEP) yang berkeluasan 47 hektar merupakan mercu tanda kebanggaan rakyat negeri ini dalam sukan kuda lasak.
22 May 25
27
Bidong Flora Fest 2025 Dibanjiri Peminat Bunga
Penganjuran Bidong Flora Fest (BFF) 2025 yang merupakan tarikan utama Karnival Terengganu International Endurance Park (TIEP) dilihat benar-benar mendapat sambutan meriah para pengunjung.
19 May 25
43
Peruntukan RM200,000 Disalur Selesai Masalah Laluan Pejalan Kaki Pulau Kapas
MARANG, 14 Mei – Peruntukan sebanyak RM200,000 bagi membaik pulih Projek Laluan Pejalan Kaki Fasa 2 di Pulau Kapas sudah diluluskan melalui Majlis Daerah Marang (MDM).
Yang Dipertua MDM, Khairil Anuar Sheikh Mahmood berkata, projek tersebut dilaksanakan di bawah inisiatif Projek Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naiktaraf (PPUN) Negeri Terengganu dalam kadar segera.
"Kerja-kerja baik pulih merangkumi kerja awalan, pemulihan struktur laluan, pembaikan pagar keselamatan, kerja mengecat serta pemasangan plak projek.
“Selain memastikan laluan ini lebih selamat dan selesa untuk pengunjung, projek ini juga selari dengan imej Pulau Kapas sebagai salah satu destinasi pelancongan utama negeri,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja dan tinjauan projek di Pengairan Pulau Kapas baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris, serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan.
Dalam pada itu Razali berkata, Pulau Kapas yang menerima ribuan pengunjung setiap tahun memerlukan penyelenggaraan kemudahan awam yang baik bagi memastikan pengalaman pelancongan yang berkualiti.
“Projek ini dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan tempatan, selain merangsang pertumbuhan ekonomi komuniti setempat melalui peningkatan jumlah pelawat ke Pulau Kapas.
"Selain itu, ia sebagai salah satu usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh infrastruktur pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026)," ujarnya.
14 May 25
295
Program Candat Sotong Kini Bertaraf Antarabangsa
Program Mencandat Sotong Terengganu kini melangkah ke pentas antarabangsa apabila berjaya menarik penyertaan wakil luar negara seperti dari Thailand, Singapura dan Filipina.
10 May 25
75
Permit Khas Candat Sotong Diperkenal
KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Kerajaan Negeri dalam proses mengeluarkan permit khas bagi membolehkan lebih ramai pengusaha bot nelayan terlibat dalam Program Candat Sotong Terengganu, yang semakin mendapat sambutan daripada pelancong setiap kali musimnya tiba.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, isu berkaitan pengusaha bot nelayan yang tidak memiliki lesen 'Sport Fishing' telah diberi perhatian sejak tahun lalu.
"Bagi pelaksanaan Program Candat Sotong ini, kita memperkenalkan permit khas yang terhad kepada jarak tiga hingga empat kilometer dari daratan sahaja. Permit ini hanya sah sepanjang musim mencandat iaitu dari bulan April hingga Oktober," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media sempena Pelancaran Program Musim Candat Sotong yang diadakan di Bilik Jawatankuasa 1, Tingkat 6, Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan.
Beliau menjelaskan, pihak kerajaan sedang berusaha untuk memastikan permit tersebut dapat dikeluarkan dengan segera bagi memudahkan penyertaan pengusaha bot di seluruh negeri.
"Lebih daripada 4,000 bot nelayan di Terengganu dari Kemaman hingga ke Besut terlibat dalam program ini, kecuali bot laut dalam. Program ini penting kerana memberi peluang kepada nelayan menjana pendapatan sampingan dengan membawa pelancong merasai sendiri pengalaman mencandat sotong," tambahnya.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata, pada asalnya permit khas tersebut sepatutnya telah dikeluarkan, namun pelaksanaannya masih memerlukan sedikit masa kerana terdapat beberapa perkara yang perlu diperincikan bagi memastikan program berjalan dengan lancar.
"Akan diadakan satu lagi mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan isu berkaitan keselamatan bot, yang masih dalam perbincangan antara Jabatan Laut, Jabatan Perikanan serta para pengusaha," katanya.
Tambahnya lagi, sebelum ini pihaknya telah mengadakan sesi libat urus bersama lebih 3,000 pengusaha bot yang memohon untuk mendapatkan kebenaran menyertai program ini memandangkan kebanyakan daripada mereka hanya memiliki lesen bagi menjalankan aktiviti menangkap ikan secara memukat.
"Mereka yang telah memiliki lesen 'sport fishing' tidak perlu memohon permit khas kerana ia sudah termasuk dalam kebenaran mencandat sotong. Cuma bot-bot pesisir ini sahaja yang memerlukan permit khas.
"Kita wujudkan permit khas yang berbeza daripada lesen sedia ada, dan permit ini hanya terpakai untuk tempoh April hingga Oktober sahaja," katanya.
08 May 25
1313
Program Candat Sotong Kini Bertaraf Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 8 Mei – Program Mencandat Sotong Terengganu kini melangkah ke pentas antarabangsa apabila berjaya menarik penyertaan wakil luar negara seperti dari Thailand, Singapura dan Filipina.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, promosi dilaksanakan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) mendapat sambutan amat memberangsangkan, termasuk daripada peserta antarabangsa yang akan menyertai program sepanjang musim dari April hingga Oktober.
“Lebih 3,000 bot yang dikhususkan bagi aktiviti mencandat sotong akan beroperasi di seluruh perairan Terengganu, dan dijangka menarik lebih 30,000 pelancong sepanjang musim ini.
“Ia berpotensi menjana pulangan ekonomi sekitar RM7.5 juta menerusi tempahan penginapan, pakej candat, serta limpahan ekonomi kepada komuniti tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Pelancaran Program Musim Candat Sotong yang diadakan di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1, Tingkat Enam, Wisma Darul Iman, semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan.
Tambah beliau, karnival utama yang dinamakan 'Pakat Maghi Candak Sutong' akan berlangsung pada 8 hingga 11 Mei bertempat di Tempat Letak Kereta Menara Jam, Jeti Pelancongan Marang.
“Istimewanya kali ini, program ini bukan sahaja akan dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, malah turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud serta barisan EXCO Kerajaan Negeri Kelantan,” ujarnya.
Razali turut menyatakan keyakinan bahawa Program Candat Sotong bakal menjadi produk pelancongan ikonik negeri yang mampu menembusi pasaran serantau secara lebih meluas pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Razali berkata antara kelainan yang turut dilakukan bagi menggandakan kemeriahan program akan ada 14 karnival yang diadakan sepanjang program selain tiada pertandingan yang akan dianjurkan.
“Sebaliknya ditekankan elemen pelancaran musim dan keterlibatan pelbagai sektor seperti komuniti, pelancong, media dan agensi pelancongan.
“Turut serta dalam liputan ialah media perdana, media sosial serta pemengaruh dari dalam dan luar Terengganu termasuk dari Thailand yang akan membantu memperluaskan capaian program ini secara digital dan nasional,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, bagi mempergiatkan promosi dan sokongan daripada industri perhotelan, beberapa hotel utama di Kuala Terengganu akan turut memperkenalkan menu bertemakan sotong.
08 May 25
289
Terengganu Raikan Hari Penyu Sedunia: Program "Terengganu Turtles Tourism"
KUALA TERENGGANU, 24 April - Sempena sambutan Hari Penyu Sedunia yang jatuh pada 23 Mei 2025, kerajaan negeri bakal menganjurkan program peringkat negeri, 'Terengganu Turtles Tourism', bermula dari 22 hingga 24 Mei 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata program itu bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan pemuliharaan penyu, di samping mempromosikan Terengganu sebagai destinasi utama ekopelancongan negara.
"Program ini turut tersenarai dalam Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu 2025, dan dijangka dapat menarik lebih ramai pelawat serta pelabur yang menyokong agenda pelancongan lestari.
"Penyu adalah ikon khazanah semula jadi negeri yang bukan sahaja bernilai tinggi dari segi konservasi, malah mempunyai potensi besar untuk menjana ekonomi menerusi pelancongan berasaskan alam.
"Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap pentingnya pemuliharaan penyu dan menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama berkaitan konservasi penyu," katanya.
Tambahnya, program yang akan berlangsung selama tiga hari itu juga membuka potensi untuk merancakkan lagi pelancongan berasaskan alam semula jadi serta pelancongan berasaskan pendidikan.
Dalam usaha sama, Razali menjelaskan bahawa usaha kolaboratif bersama pihak badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan GLC telah dilaksanakan bagi merealisasikan konservasi reptilia marin itu.
"Di Santuari Penyu Ma’Daerah, Kerteh kita ada Kerjasama bersama Jabatan Perikanan, WWF Malaysia dan Ineos PCG Acetyls menjalankan aktiviti seperti pelepasan anak penyu, program corporate social responsibility (CSR), sarang penyu angkat, dan pencerapan penyu di habitat semula jadi.
"Pengurusan dan pemantauan pantai pendaratan penyu oleh Seatru (UMT) di Pulau Redang, Bubble Dive Resort dan Fuze Ecoteer di Pulau Perhentian serta Kapas Turtle Community Project di Pulau Kapas dan Gemia.
"Program kesedaran awam seperti Terengganu Turtle Camp dan Kem Penyu bersama Sekolah Angkat, di samping program pelepasan anak penyu yang mendapat sambutan menggalakkan," jelasnya.
Mengulas lebih lanjut, beliau juga menyentuh mengenai pembelian telur penyu daripada pemajak berlesen untuk dieramkan di tempat penetasan oleh pihak seperti WWF Malaysia, PULIHARA, Resort World Kijal dan Terengganu Silica.
"Kami berharap Terengganu Turtles Tourism dapat menjadi titik tolak kepada usaha bersepadu memelihara penyu serta mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai destinasi utama ekopelancongan negara," ujarnya.
Hari Penyu Sedunia disambut pada 23 Mei setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran global tentang ancaman terhadap penyu laut dan usaha untuk melindunginya.
Terengganu merupakan antara negeri terawal di Malaysia yang memulakan program konservasi penyu secara aktif sejak beberapa dekad lalu.
24 Apr 25
440
Kerjasama Kerajaan Negeri, Persekutuan Pacu Pembangunan Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 22 April - Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan terus menjadi pemangkin utama dalam merealisasikan aspirasi Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata sejumlah peruntukan telah diluluskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi melaksanakan 13 tapak projek pelancongan.
"Bagi tahun 2025, sejumlah RM3.98 juta telah diluluskan oleh MOTAC bagi melaksanakan 13 projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur pelancongan di seluruh negeri.
"Antara projek utama yang dikenal pasti termasuklah kerja-kerja naik taraf kemudahan di Taman Eko Pelancongan Lata Ulu Kasar, Setiu, pemuliharaan Memorial Batu Bersurat di Kuala Berang, serta menaik taraf jeti pelancongan di Bandar Marang dan kemudahan di Gunung Tebu, Besut.
"Selain itu, peruntukan ini juga akan diagihkan untuk projek menaiktaraf papan tanda pelancongan serta kerja-kerja berkaitan di Daerah Dungun dan lain-lain," jelasnya.
Dalam usaha yang sama, beliau menjelaskan bahawa projek menaiktaraf jeti di Pulau Perhentian dan Pulau Redang dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM4 juta juga telah diluluskan.
"Insya-Allah, dimaklumkan bahawa terdapat beberapa lagi projek tambahan yang dijangka akan diluluskan dalam Fasa 2 pada tahun 2025.
"Perbahasan yang telah dibangkitkan jelas menunjukkan kesungguhan semua Ahli Yang Berhormat dalam memastikan pembangunan pelancongan negeri Terengganu terus maju dan lestari.
"Termasuk aspek kebersihan lokasi pelancongan, pemuliharaan alam semula jadi serta penerokaan destinasi baharu yang berpotensi tinggi, khususnya dalam bidang ekopelancongan," jelasnya.
Razali berkata demikian di dalam ucapannya ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut akan terus memberi penekanan kepada pembangunan pelancongan berasaskan komuniti (CBT), dengan 30 lokasi yang kini aktif dan 11 lagi sedang dikenal pasti di daerah Besut, Dungun dan Hulu Terengganu.
"Dalam usaha memperkasa inisiatif ini, kerajaan akan merangka siri lawatan berfokus bagi menilai secara terperinci cadangan-cadangan pembangunan yang telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat.
"Agar pelaksanaan setiap projek nanti benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta memelihara khazanah alam semula jadi kita," katanya.
22 Apr 25
107
Pelita Raya Terengganu Bawa Pulangan Pelaburan Lebih RM400,000
KUALA TERENGGANU, 20 April - Penganjuran program Pelita Raya Terengganu pada bulan Ramadan yang lalu berpotensi membawa pulangan pelaburan sebanyak RM400,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata pencapaian sedemikian merupakan satu pencapaian yang mampu memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat setempat.
"Lebih membanggakan, penganjuran program Pelita Raya Terengganu selama empat hari ini telah mencatatkan jangkaan 'Return on Investment' (ROI) melebihi RM400,000.
"Ia merangkumi aspek seperti penginapan, gerai makanan, pengangkutan dan lain-lain.
"Ini jelas menunjukkan impak limpahan ekonomi yang ketara kepada rakyat, khususnya usahawan-usahawan tempatan yang mengambil bahagian dalam program ini," katanya.
Menurut beliau, berdasarkan catatan rujukan pulangan pelaburan daripada program yang telah termaktub sebagai acara tahunan 'Calender of Event' (COE) Terengganu itu, terdapat tiga penyumbang utama kepada pulangan tersebut.
"Pertama, kutipan tiket masuk dengan harga yang telah ditetapkan pada RM2.00 bagi individu berumur 13 tahun dan ke atas, berjaya mencecah RM52,361.00.
"Manakala hasil jualan di lokasi program pula sebanyak RM102,540.30. Selain itu, perbelanjaan lain yang melibatkan penginapan, pengangkutan dan sebagainya dianggarkan melebihi RM250,000.00.
Razali berkata demikian di dalam ucapannya ketika sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, menegaskan bahawa kejayaan yang telah dicapai melalui pelaksanaan program-program seperti ini tidak dijalankan secara bersendirian.
"Ia adalah hasil kolaborasi erat antara beberapa jawatankuasa utama yang merupakan rakan strategik utama kepada Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam pelaksanaan setiap program yang diadakan.
"Insya-Allah, kejayaan ini akan menjadi pemangkin untuk kita mengembangkan pendekatan serupa dalam pelaksanaan program utama pelancongan negeri atau 'signature events' seperti Program Candat Sotong dan Karnival Pantai Terengganu, agar terus relevan dan menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara," ujarnya.
20 Apr 25
157
Kerajaan Perkasa Pelita Raya, Tambah Baik Garis Panduan
KUALA TERENGGANU, 20 April - Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan melakukan penambahbaikan terhadap penganjuran Program Pelita Raya Terengganu dan Pesta Moreh tahun ini.
Hal ini adalah susulan kebimbangan yang dibangkitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenai kemungkinan program berkenaan mengganggu suasana ibadah sepanjang Ramadan.
Dalam reaksi balas, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata pihaknya telah melaksanakan beberapa penambahbaikan bagi memastikan program kekal selari dengan nilai-nilai Islam serta suasana Ramadan yang penuh keberkatan.
"Penganjuran Program Pelita Raya Terengganu Tahun 2025 telah melalui beberapa penambahbaikan ketara, antaranya penyediaan kemudahan solat, kawasan penganjuran yang lebih luas serta parkir yang mencukupi demi keselesaan pengunjung.
"Jika dahulu program ini dilangsungkan pada malam tujuh likur, kini penganjurannya dibuat lebih awal iaitu pada minggu kedua bulan Ramadan sebagai satu bentuk penghormatan kepada 10 malam terakhir bulan Ramadan, yang diketahui umum merupakan masa paling utama untuk memperbanyakkan ibadah.
"Penganjuran Program Pelita Raya tahun ini turut menampilkan pengisian aktiviti keagamaan seperti ceramah agama pada malam pertama, sejajar dengan pembudayaan konsep Indahnya Hidup Bersyariat yang menjadi tonggak utama pentadbiran negeri," katanya ketika sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Menurutnya, elemen kebudayaan dan keagamaan perlu digerakkan secara seiring bagi merealisasikan hasrat menjadikan Terengganu sebagai sebuah destinasi pelancongan mesra Muslim.
"Kerajaan negeri juga ingin menegaskan bahawa pelaksanaan program-program seperti ini tidak dijalankan secara bersendirian. Sebaliknya, ia adalah hasil kolaborasi erat antara beberapa jawatankuasa utama.
"Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah serta Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan merupakan rakan strategik utama kepada Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam pelaksanaan setiap program yang diadakan.
"Sehubungan itu, bagi menyemarakkan lagi pelancongan mesra syariah serta terus memartabatkan pembudayaan Indahnya Hidup Bersyariat, pihak Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan bekerjasama erat dengan Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah dalam usaha merangka satu garis panduan khusus bagi pelaksanaan program-program sempena bulan Ramadan," jelasnya.
Razali menegaskan bahawa garis panduan ini akan menjadi rujukan utama bagi memastikan semua bentuk penganjuran program kekal selari dengan nilai-nilai Islam, budaya tempatan, serta mematuhi enakmen dan garis panduan yang telah ditetapkan.
Dalam perkembangan berkaitan, program Pelita Raya Terengganu yang telah memasuki edisi kelima tahun ini berjaya mencatat jangkaan pulangan pelaburan (ROI) melebihi RM400,000.00, sekali gus membuktikan impaknya terhadap ekonomi tempatan dan sektor pelancongan negeri.
20 Apr 25
59