Artikel "Pelancongan" Terkini
100 Acara Pelancongan Menarik Tonjol Keunikan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Januari- Sebanyak 100 acara pelancongan dan kebudayaan menarik mengisi Kalendar Acara Tahunan (COE) 2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu kali ini.
Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, jumlah itu melibatkan 17 acara ikonik dan 83 acara lain yang disusun rapi oleh
Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) dalam usaha mencapai sasaran tiga juta pelancong ke Terengganu pada tahun ini.
Katanya, COE 2023 juga sebagai usaha menggandakan jumlah kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke Terengganu sekaligus menjadikan negeri ini sebuah destinasi utama percutian.
“100 acara ini dikumpulkan dari perbincangan bersama pelbagai pihak termasuk pejabat daerah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai persatuan serta kelab supaya tidak berlaku pertembungan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran COE 2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu di Paya Bunga Hotel, hari ini.
Turut hadir, Pengarah JPNT, Fadli Yusof Zakaria.
Katanya, Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (BTM) yang bakal berlangsung selama empat hari bermula 23 Februari nanti di Padang Astaka Kemaman merupakan acara pertama sebagai pembuka tirai COE 2023.
“Ia bakal disusuli dengan acara lain antaranya Konsert Cilik Gamelan, Karnival Merakyatkan Budaya, Kapas Marang Internasional Swimathon 2023, Karnival Pantai Terengganu, Fiesta Candat Sotong dan Pelita Raya Tradisi Terengganu,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta bagi memastikan industri pelancongan Terengganu pada tahun ini terus berkembang pesat.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM1 juta diperuntukkan melalui Geran Pelancongan Darul Iman (GPDI) yang membolehkan mana-mana penggiat industri pelancongan, persatuan dan NGO menganjurkan pelbagai aktiviti dan program berimpak tinggi untuk rakyat negeri ini,” katanya.
05 Jan 23
903
Kampung Budaya Terengganu Raih Anugerah Program Terbaik
KUALA TERENGGANU, 18 Disember- Kampung Budaya Terengganu terus mendapat pengiktirafan dalam industri pelancongan apabila sekali lagi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Program Pelancongan Kebudayaan Terbaik oleh Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dan Santai Travel Magazine.
Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri merangkap Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, anugerah tersebut merupakan anugerah kedua yang diterima oleh Kampung Budaya Terengganu dalam masa tiga bulan.
Katanya, sebelum ini pihaknya menerima Anugerah Emas, kategori pusat pelancongan kebudayaan baharu sempena Majlis Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia di Sarawak pada 22 Oktober lalu.
“Turut menerima anugerah adalah Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (Program Pelancongan Pendidikan Terbaik), Primula Beach Hotel (Best 4 Star Eco Green Beach Front Hotel) dan Summer Bay Lang Tengah Island Resort (Aktiviti Pelancongan Resort Pulau Terbaik).
“Anugerah tersebut telah disampaikan di majlis gilang gemilang Malaysia Tourism Industry Award di Royale Chulan Kuala Lumpur pada 16 Disember lepas,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.
Katanya, sebanyak 60 anugerah telah disampaikan kepada individu, agensi kerajaan dan penggiat industri pelancongan dan perhotelan di majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi Tourism Malaysia, Tan Sri Dr Ong Hong Peng.
18 Dec 22
262
Primula Adalah 'Best 4 Star Eco Green Beach Front Hotel'
KUALA TERENGGANU, 17 Disember - Primula Beach Hotel menerima pengiktirafan 'Best 4 Star Eco Green Beach Front Hotel', di Anugerah Industri Pelancongan Malaysia 2022 (Malaysia Tourism Industry Award 2022) yang berlangsung di ibu negara, semalam.
Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata anugerah tersebut merupakan pengiktirafan pertama yang berjaya diperolehi Primula setelah hampir 40 tahun bertapak dalam industri pelancongan di Terengganu.
"Anugerah ini juga secara tidak langsung menjadi motivasi kepada seluruh penggiat industri pelancongan dan hospitaliti untuk lebih berdaya saing saat mengharungi detik sukar semasa pandemik dan terus bertahan dalam situasi paling mencabar itu.
"Sekaligus memberi semangat untuk kami bekerja dengan lebih gigih lagi dalam mempromosikan perniagaan pelancongan sekali gus mewujudkan imej positif negeri di Malaysia dan juga peringkat Antarabangsa,"ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Menurut beliau, anugerah kemuncak industri pelancongan yang mengiktiraf semua penggiat industri Malaysia dalam menjayakan aspirasi pelancongan negara itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dan Santai Travel.
Dalam majlis tersebut, lebih 60 penggiat industri pelancongan telah dinobatkan sebagai pemenang dalam anugerah yang julung kali diadakan bagi meraikan kecemerlangan dan sokongan mereka dalam pembangunan industri pelancongan.
Tambah Suaibah lagi , tanpa sokongan tenaga kerja pihak hotel juga, mereka tidak mungkin akan sampai ke tahap tersebut dan pengiktirafan itu menjadi inspirasi untuk menjadi lebih baik dan progresif di masa akan datang.
"Kami akan terus berganding bahu serta bekerjasama dalam menjayakan aspirasi pelancongan negara untuk
memastikan sektor ini terus maju dan ia menjadi tugas bersama dalam industri secara berterusan," katanya.
17 Dec 22
342
Pasar Payang Baharu Akan Dibuka Tahun Hadapan
KUALA TERENGGANU, 27 November - Pasar Besar Kedai Payang yang menjadi lokasi utama tumpuan pelancong ke negeri ini yang dibangunkan semula pada tahun 2018 kini sudah berada pada tahap kemajuan 90 peratus dan akan dibuka kepada umum tahun hadapan.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, projek yang dibangunkan untuk memberikan keselesaan kepada peniaga dan pengunjung kini sudah berada di peringkat akhir dengan 10 peratus kemajuan lagi.
"Melibatkan kerja-kerha 'finishing' termasuk penyediaan landskap yang cantik, kemasan longkang, cat, pencahayaan dan lain-lain lagi.
"Selepas mengalami beberapa kali tempoh lanjutan, insya-Allah orang ramai akan menikmati suasana membeli belah di Pasar Payang berwajah baharu ini pada Mei depan," ujarnya sebagaimana yang dilaporkan Sinar Harian, semalam.
Antara tarikan lain yang akan terdapat di Payang Payang itu nanti, Rosli berkata akan terdapat sebuah menara jam yang dibangunkan semula di pintu masuk bagi mengamit nostalgia jam besar sekitar 50 tahun dahulu sebelum ia dirobohkan,
Katanya, kerajaan negeri berharap pasar tumpuan utama masyarakat itu akan memberikan lebih manfaat kepada peniaga dan pengunjung sekali gus dapat memacu perkembangan sektor pelancongan serta ekonomi setempat.
"Proses transformasi ini akan menjadikan Pasar Payang lebih cantik dan beri keselesaan buat semua pihak, semoga Pasar Payang akan terus menjadi destanasi ikonik yang menjadi tempat wajib singgah apabila pelancong datang ke negeri ini,"ujarnya lagi.
26 Nov 22
1104
'Jom Heboh' : Hanya Artis Lelaki Membuat Persembahan
Hanya artis lelaki dibenar membuat persembahan nyanyian dalam Karnival Jom Heboh (KJH) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus pada 7 hingga 8 Oktober ini.
04 Oct 22
406
Kumpulan Terengganu Inc Taja TSG RM2 Juta
Syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) meningkatkan nilai tajaan kepada Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) sebanyak RM2 juta pada tahun 2023, berbanding RM1.5 juta pada tahun ini.
02 Oct 22
287
Air Terjun Kenyir Keruh Bukan Kerana Pembalakan
Aktiviti pembalakan bukan menjadi punca keindahan Air Terjun Sungai Lasir di Tasik Kenyir keruh dan berkeladak.
21 Sep 22
139
Jalan Sesak, Rakyat Teruja Saksikan Perarakan Kenderaan Berhias
Ibu kota Terengganu malam 16 september baru-baru ini sesak dengan ribuan rakyat tempatan serta luar negeri menyaksikan acara ikonik kenderaan berhias setelah kali terakhir diadakan pada tahun 2015.
18 Sep 22
313
Air Terjun Kenyir Keruh Bukan Kerana Pembalakan
KUALA TERENGGANU, 14 September - Aktiviti pembalakan bukan menjadi punca keindahan Air Terjun Sungai Lasir di Tasik Kenyir keruh dan berkeladak.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata situasi itu berlaku akibat hujan lebat yang kini tidak menentu yang menyebabkan aliran deras dari bukit turun memasuki tasik dan sungai-sungai di kawasan Kenyir
"Situasi yang berlaku ketika ini tidak ada kena mengena dengan pembalakan...kalau kita masih ingat apa yang berlaku baru-baru ini (banjir buruk pada akhir Februari lalu) ada kelihatan seolah-olah kayu-kayu balak yang jatuh (dalam tasik) akibat banjir.
"Ada pihak kata ini disebabkan oleh pembalakan sedangkan penelitian Jabatan Perhutanan serta jabatan-jabatan berkaitan yang lain dan saya sendiri pergi tinjau ke kawasan berkenaan pada waktu itu, ia bukan disebabkan pembalakan.
"Namun, runtuhan bukit yang kuat ini mengakibatkan aliran air membawa sekali pokok-pokok kayu (di sepanjang laluannya), seolah olah disebabkan satu pembalakan tetapi ia tidak sebenarnya," katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Penyerahan Tunggakan Elaun Imam dan Bilal Masjid Mukim Negeri Terengganu di Damai Lounge, Wisma Darul Iman.
Dalam masa yang sama katanya, Terengganu mempunyai syarat-syaratnya yang ketat agar tiada sebarang pencemaran akibat dari pembalakan.
"Saya sentiasa berkomunikasi dengan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri sekiranya ada isu-isu baharu (yang terlepas pandang) dan buat masa ini tak ada lah," katanya.
Tambah Ahmad Samsuri, beliau telah membuat tinjauan dengan menaiki helikopter ke kawasan Kenyir bagi melihat sendiri runtuhan bukit yang berlaku.
“Saya dah lihat sendiri dan mendapati air keruh dan berkeladak di air terjun Tasik Kenyir itu tak ada kena mengena dengan pembalakan,” ujarnya.
14 Sep 22
624
Penggerak Popularkan Kembali Laluan Mat Kilau
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos- Persatuan Penggerak Rekreasi Terengganu (Penggerak) bakal menghidupkan kembali laluan asal Mat Kilau, dari Kampung Bantal di Ulu Tembeling Jerantut, Pahang ke Kampung Pasir Raja di Hulu Dungun.
Pengerusi Penggerak, Syed Mohd. Yasni Syed Yassin berkata, ekspedisi itu juga dapat membantu kerajaan Terengganu dan Pahang merancang pembangunan dan nilai tambah eko pelancongan negeri masing-masing.
Katanya, ia juga dapat membantu serta meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk setempat melalui penyediaan pakej laluan sebagai pemain industri pelancongan tempatan.
“Saya difahamkan aktiviti rekreasi mendaki gunung, menjelajah denai hutan dan menyusuri sungai yang mencabar semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.
“Justeru itu, langkah kerajaan untuk memulihara semula tinggalan sejarah ini sangat tepat kerana ia juga adalah destinasi flora dan fauna yang unik untuk pencinta alam semula jadi di negara ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, Syed Mohd Yasni berkata, Penggerak juga telah mengadakan satu ekspedisi laluan Jejak Mat Kilau itu bersama sekumpulan peminat sukan lasak dan ekstrem dari Terengganu dan Pahang, baru-baru ini.
Menurut beliau, ekspedisi laluan asal Mat Kilau mencabar ketahanan mental dan fizikal peserta melibatkan jarak sejauh kira-kira 70 kilometer dan perjalanan mengambil masa selama dua hari.
“Ekspedisi hari pertama dimulakan dari Kampung Bantal dengan menaiki bot selama tiga jam ke Kuala Lurut, kemudian berjalan kaki mengharungi beberapa sungai yang mengambil masa empat jam sebelum sampai ke tapak perkhemahan di Pokok Durian untuk bermalam.
“Hari kedua pula, peserta ekspedisi melalui denai hutan dan laluan haiwan rimba untuk menuju ke beberapa checkpoint iaitu Sungai Kemala, Bukit, Pecah Pinggang, Bukit Mandi Angin, Lata Keling dan Lata Kundang sebelum dibawa menaiki kereta pacuan empat roda untuk tiba ke Pasir Raja,” ujarnya.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Pahang untuk mengetengahkan laluan Mat Kilau sebagai produk pelancongan dua hala antara dua negeri.
Katanya, jika direalisasikan, ia mampu membawa masyarakat ke sudut sejarah yang berbeza dengan menjejaki laluan yang pernah dilalui oleh Mat Kilau semasa perjuangannya menentang British suatu masa dahulu.
29 Aug 22
737