Artikel "Kesihatan" Terkini
COVID-19 Di Terengganu Terkawal
KUALA TERENGGANU, 1 Disember – Situasi semasa pandemik COVID-19 di negeri ini dilaporkan masih terkawal dengan hanya dua kluster aktif berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sehingga 29 November.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, dua kluster aktif tersebut iaitu kluster Makekar (mukim Rasau) dan kluster Kerengge (Marang) daripada keseluruhan sembilan kluster yang telah direkodkan sehingga kelmarin di Terengganu.
“Sebahagian besar sudah tamat terutama di mukim Rasau dimana telah kembali ke zon hijau dan tiada lagi zon merah dan jingga di dalam negeri.
“Manakala Zon kuning di daerah Marang terutamanya di Merchang, Rusila dan Pulau Kerengge (kluster Kerengge) dengan 8 kes aktif berada dalam wad ditambah dengan satu lagi kes baharu pada 29 November menjadikan keseluruhan 237 kes positif COVID-19 dengan satu kematian.
“Sejak 12 Mac lalu, gelombang pertama di Terengganu merekodkan 114 kes akibat penularan daripada kluster Sri Petaling manakala gelombang kedua melibatkan 123 kes tempias daripada negeri berisiko seperti Sabah, Selangor dan lain-lain,” katanya ketika ditemubual Urus Setia Penerangan Darul Iman, pagi semalam.
Mengulas mengenai musibah banjir dalam norma baharu, beliau berkata, tiada kes dilaporkan daripada 40 lebih Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka sehingga akhir bulan november.
“Ini adalah hasil Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan garis panduan agensi dan jabatan negeri dari peringkat awal bagi membendung penularan kerana risiko kesempitan dan kesesakan di PPS perlu diatasi.” ulasnya.
Apabila ditanya mengenai kes denggi sehingga akhir bulan November, Dr Nor Azimi berkata, terdapat penurunan sebanyak 27.7 peratus berbanding kes pada tahun lepas.
“379 kes direkodkan sehingga 21 November, penurunan ini hasil daripada kawalan kendiri seperti gotong-royong oleh masyarakat dan pelbagai jabatan dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta pihak berkuasa tempatan.
“Harapan supaya usaha dan kerjasama dalam menjaga kebersihan dan pembasmian takungan air terutamanya musim hujan renyai ini terus dipergiatkan demi komuniti sejagat,” katanya lagi.
01 Dec 20
478
Terengganu Dan Norma Baru
HULU TERENGGANU, 1 November - Masyarakat di Terengganu mulai terbiasa dengan pengamalan norma baharu yang diarah oleh kerajaan dalam setiap aktiviti harian.
Dalam tinjauan baru-baru ini di lokasi Pasar Pagi Jumaat di Kampung Bukit Diman, Ajil, boleh dikatakan semua pengunjung mengenakan pelitup muka sebagai usaha mengurangkan keberjangkitan virus COVID-19.
Pengunjung Pasar Pagi Jumaat di Kampung Bukit Diman.
Seorang pengunjung yang ditemui, Wan Fauziah Wan Ali 48, berkata, ianya perlu dilakukan walaupun pada mulanya agak merimaskan bila ditanya tentang norma baharu ini.
"Ianya perlu dilakukan dan diamalkan walaupun sedikit merimaskan demi mengurangkan jangkitan virus ini.
"Kalau kita tengok pada pagi ini semua orang memakai pelitup muka, ini bermakna kesedaran oleh masyarakat sudah di tahap terbaik.
"Tapi yang masih meresahkan saya adalah jarak selamat iaitu jarak satu meter di antara setiap pengunjung masih belum dapat diamalkan," katanya.
Wan Fauziah mengharapkan agar perkara ini dapat diberi sedikit perhatian oleh pihak berkuasa dalam memerangi virus ini dan juga berharap agar pandemik itu segera berakhir.
"Kalau kita sama-sama menjaga dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan insya-Allah ianya dapat diatasi dan perbanyakkan doa semoga ianya cepat berakhir, kita jaga kita," ujarnya.
31 Oct 20
1517
Selamatkan Lapisan Ozon Tanggungjawab Bersama
Kerajaan negeri komited melaksanakan pelbagai program sempena sambutan Hari Ozon sedunia yang disambut pada 16 September setiap tahun.
06 Oct 20
109
Lagi Dua Sekolah Di Terengganu Ditutup Angkara COVID-19
Dua sekolah dalam daerah Kuala Nerus ditutup akibat penularan kes baharu koronavirus (COVID-19).
05 Oct 20
274
Waspada Penyakit Tidak Berjangkit
Masih ramai rakyat Malaysia termasuk individu di Terengganu yang tidak sedar serta memandang remeh tentang penyakit tidak berjangkit dan risiko penyakit ini terhadap kesihatan mereka.
28 Sep 20
401
Pesara Jururawat Terus Berbakti Untuk Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 24 September – Seorang pesara jururawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Fatimah Musa, 66, mengambil inisiatif mengadakan khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma di Masjid Sultan Ismail Chendering bagi membantu masyarakat.
Menurutnya, perkhidmatan tersebut telah mula dilaksanakan sejak tahun 2014 dengan bantuan pihak Masjid Sultan Ismail Chendering yang menyediakan tempat dan beberapa peralatan.
“Di sini, kita sediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan asas seperti tekanan darah, pemeriksaan BMI dan tekanan gula dalam darah. Ini mendapat sambutan menggalakkan dari kalangan jemaah.
“Tambahan pula, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dimulakan, sambutan bagi pemeriksaan kesihatan ini semakin menggalakkan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika kunjungan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Dr Farhaana Husainy Hasbullah bagi meninjau perjalanan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan tersebut.
Perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma itu diadakan pada setiap hari Isnin bermula pukul 8.00 pagi sehingga 10.30 pagi sekali gus menjadi nilai tambah kepada pengurusan masjid.
Dr. Farhaana mengunjungi tempat pemeriksaan kesihatan di Masjid Sultan Ismail Chendering
22 Sep 20
354
Wanita Perlukan Kesedaran Awal Tentang Kanser Payudara
Oleh : Akid Hafriz
KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Kanser payudara perlu dikesan di peringkat awal kerana peluang untuk sembuh lebih tinggi jika dikesan di peringkat pra kanser atau di peringkat kanser tahap awal.
Pengamal perubatan, Dr Farhaana Husainy Hasbullah menyatakan, kanser payudara merupakan kanser nombor satu dalam kalangan wanita.
Justeru, beliau menyeru agar para wanita agar tidak memandang enteng akan penyakit ini kerana kanser payudara ini boleh menjadi ‘Pembunuh Senyap’ kepada kaum wanita.
"Para wanita digalakkan untuk melakukan kaedah Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) sebulan sekali.
"Malangnya lebih 40% daripada pengidapnya hanya mengesan penyakit tersebut pada tahap lewat iaitu tahap 3 dan 4," katanya.
Beliau yang juga merupakan isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata ketika menziarahi seorang pengidap kanser payudara dalam satu program ziarah kebajikan yang diadakan oleh Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk, baru-baru ini.
Nasihatnya lagi, bagi wanita yang mempunyai sejarah kanser payudara dalam kalangan ahli keluarga terdekat disarankan untuk membuat saringan mamogram untuk mengesan kanser tersebut.
02 Jul 20
461
Berita Peniaga Durian Positif COVID-19 Palsu
KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Berita yang tular di media sosial mengenai seorang peniaga durian di Wakaf Tembesu positif COVID-19 dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) adalah palsu.
Menurut JKNT, setakat ini tiada pesakit wabak tersebut yang dirawat di HSNZ sebaliknya hospital itu hanya menerima seorang pesakit lelaki yang mengalami gejala ‘Severe Acute Respiratory Infection’ pada 20 Jun lalu.
Keputusan ujian PCR Covid-19 bertarikh 21 Jun juga menunjukkan pesakit tersebut negatif COVID-19.
02 Jul 20
64
Pejabat Kesihatan Setiu Lancar Program Perangi Aedes
Oleh : Fahmi Izzuddin
SETIU, 22 Jun – Pejabat Kesihatan Daerah ini melancarkan Program Gotong Royong bagi memerangi pembiakan nyamuk aedes walaupun Setiu hanya mencatatkan tiga kes denggi tahun ini berbanding tahun sebelumnya.
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Pejabat Kesihatan Daerah Setiu, Zainurin Abdullah berkata, meskipun berlaku penurunan terhadap kes demam denggi di Terengganu, pihaknya tetap mahu semua rakyat mengambil langkah berjaga-jaga.
“Kempen amalan kebersihan norma baharu yang dijalankan ketika ini memfokuskan kepada tempat pembiakan nyamuk aedes di persekitaran rumah masing-masing.
“Pejabat Kesihatan Daerah Setiu dan Majlis Daerah Setiu (MDS) bekerjasama sepenuhnya dalam memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk aedes di setiap kampung, sampah sarap dikumpulkan dan pihak MDS akan melakukan kutipan,” katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman di Kampung Mangkok kelmarin.
Menurutnya, program yang dijalankan secara berjadual merangkumi semua kampung itu amat penting dalam mengelakkan kes denggi menular di saat rakyat juga berdepan COVID-19.
Penduduk disarankan untuk mengambil tindakan kendiri dalam memastikan tahap kebersihan di tahap yang terbaik.
“Peranan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) digerakkan bagi menyebar luas maklumat dan hebahan semasa mengenai amalan kebersihan dalam memerangi aedes dan demam denggi,” tambah beliau.
Untuk rekod, setakat bulan Jun tahun ini, sebanyak 176 kes denggi direkodkan berbanding 318 kes dalam tempoh sama tahun lalu dengan penurunan sebanyak 44.5 peratus.
Kuala Terengganu merekodkan jumlah tertinggi dengan 99 kes diikuti Kemaman (19 kes), Kuala Nerus (17), Besut (14), Dungun (11), Marang (lapan) dan Hulu Terengganu (lima).
02 Jul 20
405
Kes Demam Denggi Di Terengganu Meningkat Pasca PKPB
KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Sebanyak 84 kes demam denggi telah didaftarkan di Terengganu dengan peningkatan ketara dapat dilihat bermula awal Mei sehingga 6 Jun sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac sehingga 6 Jun.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia berikutan terdapat peningkatan pergerakan di kalangan masyarakat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menggantikan PKP.
Katanya, sehingga 6 Jun lalu, kejadian kes denggi di negeri Terengganu adalah sebanyak 176 kes berbanding 318 kes pada tahun 2019 dalam tempoh yang sama dengan penurunan sebanyak 44.5% (142 kes).
"Berbanding tahun lepas, kes denggi menunjukkan penurunan. Namun terdapat kenaikan pada graf kes bermula awal tahun ini terutama selepas PKP berakhir dan digantikan dengan PKPB.
"Memandangkan fasa PKPB telah beralih ke fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), akan terdapat lebih banyak pergerakan di kalangan masyarakat dan kebarangkalian untuk dijangkiti denggi akan meningkat," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tinjauan ke lokaliti wabak di Lorong Seri Tanjung, Kuala Terengganu di sini hari ini.
Menurutnya, daerah yang mencatatkan bilangan kes denggi tertinggi merupakan daerah Kuala Terengganu (99 kes) diikuti dengan daerah Kemaman (19 kes), Kuala Nerus (17 kes), Besut (14 kes), Dungun (11 kes), Marang (8 kes), Hulu Terengganu (5 kes) dan Setiu (3 kes).
Semua daerah menunjukkan penurunan kes kecuali daerah Kemaman yang menunjukkan peningkatan kes berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019. Sehingga 6 Jun 2020, tiada kes kematian denggi yang dilaporkan di negeri Terengganu.
Sehingga 6 Jun 2020, beliau memaklumkan, sebanyak tiga belas (13) episod wabak telah berlaku di negeri Terengganu iaitu sepuluh (10) episod di daerah Kuala Terengganu, dua (2) episod di daerah Hulu Terengganu dan satu (1) episod di daerah Kuala Nerus.
Bagaimanapun semua wabak merupakan wabak terkawal dengan lima (5) episod wabak masih aktif dan semua wabak aktif tersebut adalah di daerah Kuala Terengganu.
Justeru katanya, orang ramai diingatkan supaya mengambil langkah-langkah pencegahan demam denggi.
"Saya ingatkan semua bahawa 'vaksin' utama denggi adalah memperkasakan tingkah laku masyarakat menjaga kebersihan rumah masing-masing. Amalkan gotong-royong kendiri di samping mematuhi Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Luangkan masa 10 minit setiap minggu untuk aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan Aedes (bekas menakung air) di dalam dan di luar rumah masing-masing serta di tempat kerja jika anda sudah kembali bertugas.
"Dan juga rumah-rumah yang telah lama ditinggalkan kerana PKP perlu dibersihkan dengan segera kerana boleh menyumbang kepada pembiakan nyamuk Aedes jika terdapat bekas-bekas yang menakung air," tegasnya.
01 Jul 20
55