Artikel "Kesihatan" Terkini
Elakkan 3C, Amalkan 3W
KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Kerajaan negeri menyeru rakyat Terengganu mematuhi saranan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya terus mengamalkan pendekatan 3W dengan mengelakkan 3C sebagai kebiasaan baharu dalam kehidupan seharian bagi mengawal penularan COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, konsep 3W merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).
Katanya, peringatan itu termasuk elak bersalaman dan bersentuhan, amalkan etika batuk dan bersin, dapatkan rawatan segera jika bergejala, duduk di rumah serta elakkan amalan kunjung-mengunjung.
"Elakkan 3C, iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang media di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut, Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal mengingatkan, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok hingga 31 Ogos ini bukan tiket kebebasan rakyat.
"Kita mengalu-alukan keputusan kerajaan memberikan lebih banyak kelonggaran kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian untuk menggerakkan semula ekonomi rakyat.
"Bagaimanapun, ia bukanlah tiket untuk rakyat bergerak bebas tanpa peraturan. Paling penting adalah kawalan kendiri dan semua pihak bertanggungjawab mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," jelasnya.
01 Jul 20
556
Bekalan Darah HSNZ Mencukupi
Oleh : Muhammad Najib Ismail
HULU TERENGGANU, 7 Jun - Bekalan darah di Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), adalah mencukupi buat masa sekarang walaupun berada dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) .
Pegawai Perhubungan Awam HSNZ, Suhaimi Yusof berkata bekalan darah di negeri ini dalam keadaan stabil dan selesa berbanding dengan negeri-negeri lain hasil kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Amal Malaysia (JAM) Terenggganu sejak beberapa bulan yang lepas dalam kempen derma darah.
"Kita mengambil pendekatan 'long term'. Kita kutip pada hari ini, bermakna tarikh luputnya adalah 36 sehingga 42 hari kemudian dan sentiasa memastikan bekalan darah kita mencukupi kerana kita tidak tahu keadaan pada masa akan datang.
"Derma darah yang pertama kali selepas Hari Raya ini diadakan di Hulu Terengganu. Selepas ini kita akan adakan program yang sama di Daerah Marang, Besut, Setiu dan seterusnya Dungun,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Markaz Tarbiah PAS Kuala Berang (Rumah Hijau), semalam.
Menurut Suhaimi yang juga merupakan Penyelia Tabung Darah Terengganu, pihaknya mendapatkan penderma melalui tiga cara iaitu melalui pendaftaran online, berhubung secara telefon dengan rekod penderma yang lepas dan melalui sebaran Jabatan Amal Malaysia sendiri.
“Keseluruhan program sangat berjaya dan sentiasa mengikut standard operating procedure (SOP) berkenaan dengan COVID-19 melalui saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri dan Pusat Darah Negara untuk menjalankan kempen derma darah.
“Alhamdulillah hari ini kita berjaya mendapatkan seramai 39 orang penderma. Terima kasih diucapkan kepada Jabatan Amal Hulu Terengganu kerana sudi bekerjasama dan membantu HSNZ dalam kempen derma darah ini,”ujarnya.
01 Jul 20
70
Taska Permata Patuhi SOP, Jalankan Sanitas
KUALA TERENGGANU, 6 Jun -Kebenaran pembukaan semula Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan pusat jagaan kanak-kanak tentunya memberi nafas lega kepada ibu bapa yang bekerja.
Taman Asuhan Kanak-Kanak TASKA di Terengganu yang bakal beroperasi 9 Jun dilihat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Penolong Pengurus 2 Taska Permata Batu Buruk, Nor Aidawati Mat Zain, berkata, aspek kebersihan diutamakan sebelum memulakan operasi.
Katanya, ini termasuk mengehadkan jumlah kanak-kanak yang dijaga daripada 265 orang kepada hanya 60 orang ketika ini.
"Pihak kami juga akan mengambil langkah pencegahan dengan menjalankan sanitasi dua hingga tiga kali sehari, mencuci barang mainan serta mengamalkan penjarakan sosial.
"Begitu juga dengan kakitangan yang akan mengamalkan SOP seperti diarahkan," ujarnya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman ( UPDI) selepas proses sanitasi taska, di sini hari ini.
Beliau turut berkata, bilik tidur yang sebelum ini memuatkan 13 kini dihadkan kepada dua hingga empat orang sahaja bergantung keluasan bilik
Sementara itu, Ketua Operasi Sanitasi Balai Bomba Kuala Terengganu, PBK11 Ismail A Wahab berkata pihaknya mendapat permohonan daripada pihak taska untuk proses nyahkuman sebelum beroperasi pada hari Selasa ini.
"Pihak kami mendapat permohonan daripada pihak taska untuk proses nyahkuman sebelum beroperasi.
"Hari ini dengan kekuatan lapan anggota, operasi ini dijalankan selaras dengan arahan bagi memastikan penularan COVID-19 dapat ditamatkan,"ujarnya.
01 Jul 20
322
Jadikan Amalan 3W Sebagai Norma Baharu - Alias
Oleh: Safwan Syakir
KUALA NERUS, 6 Jun - Orang ramai dinasihatkan supaya mengamalkan 3W iaitu Wash (Cuci), Wear (Pakai) dan Warn (Amaran) sebagai norma baharu dalam aktiviti harian.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, ia juga merupakan satu cara dalam mendidik masyarakat untuk menggelakkan jangkitan virus COVID-19.
"Alhamdulillah penularan ataupun jangkitan virus COVID-19 di Terengganu terkawal, jadi kita ingin memastikan ia tidak berulang, tidak ada kluster baharu, maka kita amalkan satu cara hidup baharu, selalu membasuh tangan, memakai mask, dan ada penjarakan sosial dalam hubungan kita seharian.
"Inilah hasrat kita sebab kadang-kadang, kita mewar-warkan dalam media massa, media cetak, media sosial dan sebagainya, kita takut ada juga golongan yang tidak sampai maklumat itu.
"Jadi atas dasar tanggungjawab sebagai wakil rakyat, saya turun khusus ke pasar hari ini untuk memastikan ia diamalkan dan menjadi suatu maklumat yang sampai kepada seluruh rakyat negeri Terengganu dan khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal ini," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas mengagihkan penutup mulut dan hidung (face mask) kepada para peniaga di pasar Batu Enam dan Bukit Tunggal hari ini.
Katanya, kempen 3W juga perlu diamalkan di setiap pasar supaya pelanggan dan juga peniaga sendiri boleh kerap membasuh, mencuci tangan utk menggelakkan jangkitan COVID-19.
Jelas beliau, hubungan dua hala antara peniaga dan pelanggan akan lebih selamat jika mengamalkan tiga elemen tersebut bagi mengurangkan risiko penularan.
01 Jul 20
140
Kematian Pertama Akibat Keracunan Puding Buih
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Mangsa keracunan puding buih yang dibeli secara atas talian pada 22 Mei lalu dilaporkan meninggal dunia pukul 10.40 pagi tadi.
Gadis berusia 25 tahun dari Marang itu menghembuskan nafas terakhir selepas menerima rawatan selama 10 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Kematiannya dipercayai berpunca daripada kegagalan multiorgan akibat kejutan sepsis.
Difahamkan beberapa ahli keluarganya turut dirawat di HSNZ kerana mengalami keracunan makanan yang sama.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak yang dihubungi sebentar tadi mengesahkan kematian pertama akibat puding terbabit.
Katanya, siasatan terperinci dan tindakan lanjut telah dikenakan ke atas peniaga puding buih berkenaan.
“Bagi pihak kerajaan negeri kami bersimpati dengan tragedi terbabit dan kita harap mereka tabah dan sabar.
“Kita ingatkan kepada orang ramai terutama peniaga dan pengendali makanan agar lebih berhati-hati kerana ia melibatkan keselamatan dan boleh mengancam nyawa,” katanya.
Tegas beliau, kerajaan juga telah merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu kepada peniaga yang menjual makanan dari rumah supaya lebih menitikberatkan aspek kebersihan kerana ia membabitkan nyawa.
“Walaupun ia merupakan kes yang berisiko kepada sesiapa sahaja ia juga boleh mengakibatkan kehilangan nyawa,” katanya lagi.
Minggu lalu, seramai 99 mangsa dikejarkan ke HSNZ apabila mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati puding buih yang dibeli secara atas talian.
01 Jul 20
124
Polis Kemaman Rampas Dadah Bernilai RM1.71 Juta
Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kemaman berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan rampasan bernilai RM1.71 juta dan dianggarkan rampasan terbesar di Terengganu bagi tahun ini.
14 Jun 20
49
Kes Demam Denggi Di Terengganu Meningkat Pasca PKPB
Sebanyak 84 kes demam denggi telah didaftarkan di Terengganu dengan peningkatan ketara dapat dilihat bermula awal Mei sehingga 6 Jun sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac sehingga 6 Jun.
11 Jun 20
68
Keracunan Puding Buih : SOP Peniaga Makanan ‘Online’ Dirangka
Susulan kejadian keracunan puding buih yang melibatkan 99 individu di Terengganu baru-baru ini, kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) untuk merangka satu prosedur operasi standard (SOP) yang baharu, bagi menangani isu berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.
02 Jun 20
43
Rakyat Terengganu Diseru Patuhi Langkah Pencegahan
Masyarakat Terengganu di seru untuk meningkatkan langkah pencegahan bagi menangani penularan COVID-19 susulan empat rakyat negeri ini yang disahkan positif wabak berkenaan.
07 May 20
40
Terengganu Bebas Koronavirus
Kerajaan negeri mengesahkan Terengganu bebas daripada sebarang kes 2019 Novel Koronavirus (2019-nCOV).
02 May 20
75