Artikel "Kebajikan" Terkini
Kerajaan Negeri Alukan NGO Jalankan Kebajikan
SETIU, 7 Februari – Kerajaan Negeri Terengganu amat terbuka malah mengalu-alukan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin terlibat dalam aktiviti kebajikan dan dakwah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, berlumba-lumba melakukan kebaikan sama ada oleh individu, NGO dan kerajaan amat digalakkan dalam Islam.
"Bidang ini terlalu luas dan golongan sasar kita sangat ramai. Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua aktivis-aktivis NGO yang aktif membantu rakyat. Jasa dan sumbangan dihargai.
"Walaupun begitu, tanggungjawab sebagai pemimpin kerajaan tidaklah serupa dengan tanggungjawab NGO kerana di samping menyantuni rakyat di lapangan, kerajaan juga perlu fokus kepada usaha untuk merangka dasar yang baik.
"Selain itu, kerajaan perlu menumpukan kerja-kerja urus tadbir negeri, memastikan semua jentera kerajaan berjalan dengan baik dan seterusnya perlaksanaan dasar-dasar kerajaan sampai kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mala katanya lagi, kerajaan juga perlu melaksanakan agenda dan program yang mungkin tidak dilihat oleh rakyat pada hari ini tetapi hasilnya memanfaatkan mereka dalam tempoh jangka masa lebih panjang,
"Kalau ada sesuatu masalah atau isu yang timbul, kita turun untuk selesaikan. Pendekatan ini sangat penting tapi sebagai kerajaan terutamanya kita harus memikir jauh lebih jauh daripada itu,
"Begitu juga penyaluran wang kerajaan ada tatacara kewangan yang perlu dipatuhi. Ia tak semudah a, b, c sebagaimana kita nak salurkan dana daripada NGO," jelasnya lagi.
Menurut Dr Azman, sebelum menjadi anggota kerajaan beliau juga pernah menjadi aktivis NGO.
"Bukan setakat dalam negara bahkan aktiviti kebajikan kita sampai ke Mindanao, Palestin, Sudan, Indonesia, India dan perbatasan Jordan-Syria. Lantaran kerana latar belakang ini membolehkan kita merasai pengalaman dan cabaran berbeza dengan matlamat yang sama iaitu nak menyumbang bakti kepada sesama hamba Allah," tambahnya.
07 Feb 21
143
Agihan 600 Kilo Daging Golongan Terjejas DUN Air Putih
KEMAMAN, 5 Februari - Umum mengetahui ramai pihak yang terkesan berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 baru-baru ini.
Ramai yang terjejas pendapatannya dan tidak kurang juga yang kehilangan mata pencarian terutamanya mereka yang bekerja sendiri seperti pengusaha restoran, peniaga pasar malam dan lain-lain.
Cakna akan situasi itu, pihak Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih mengambil inisiatif mengagihkan sebanyak 600 kilogram daging kepada mereka yang terjejas pendapatan di sekitar kawasan tersebut semalam.
Dianggarkan sebanyak 500 bekas daging berjaya diagihkan kepada penduduk setempat petang semalam yang mana setiap keluarga menerima 1 kilogram daging.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim ketika ditemui berkata, agihan itu melibatkan hampir 500 buah keluarga di sekitar DUN Air Putih.
"Di mana majoriti penerimanya adalah daripada kalangan mereka yang terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19.
“Kita juga berharap agar agihan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kegusaran ketua-ketua keluarga dalam menyediakan lauk untuk dihidangkan kepada isi rumah yang menanti,” tambah beliau yang turut turun padang membantu para petugas membungkus daging untuk diagihkan.
"Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak syarikat Dr. Daging yang sudi menaja daging-daging bagi tujuan agihan kali ini.
"Tidak dilupakan, ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pemuda, Muslimat dan Ameerah yang turut sama bertungkus lumus membantu menjayakan program agihan sumbangan ini.
"Semoga kita semua terus berusaha mengekang penularan wabak COVID-19 ini," ujarnya.
05 Feb 21
203
PKP : 150 Warga Tionghua Terima Sumbangan
KEMAMAN, 5 Januari - Seramai 150 orang peniaga warga Tionghua dan pekerjanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai menerima sumbangan wang tunai, beras dan topeng muka, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, antara yang menerima sumbangan itu adalah warga Tionghua yang berniaga di kedai jam, pakaian, kasut, basikal, peralatan memancing dan sebagainya.
"Kami memahami mereka juga turut terjejas pendapatan ketika ini. Oleh yang demikian, hari ini kami menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka.
"Moga-moga dengan sumbangan ingatan tulus ikhlas daripada kami ini, sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang sedang mereka hadapi," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Program yang bermula sejak jam 10.00 pagi itu diadakan secara pandu lalu bagi menyampaikan sumbangan kepada penerima.
Sumbangan disampaikan oleh Hanafiah yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.
05 Feb 21
702
84 Pusat Internet di Terengganu Beroperasi Bantu PdPR
Sebanyak 84 pusat internet komuniti di Terengganu akan beroperasi bermula Ahad depan bagi menampung keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pelajar-pelajar sekolah di negeri ini.
04 Feb 21
170
Pekerja Pusat Cuci Kereta Tidak Diabaikan
KEMAMAN, 3 Februari - Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan banyak pihak terjejas pendapatan. Oleh yang demikian, lebih 100 pekerja pusat cuci kereta di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai telah menerima sumbangan wang tunai, beras dan topeng muka, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk membantu meringankan beban yang sedang dihadapi oleh kebanyakan pihak yang terkesan akibat daripada PKP yang dilaksanakan itu.
"Pusat cuci kereta antara yang tidak dibenarkan beroperasi ketika ini. Sudah tentu mereka yang bekerja di sana kehilangan sumber pendapatan buat sementara waktu.
"Jadi kami memberikan sumbangan kepada mereka bagi meringankan bebanan yang dihadapi," ujarnya.
Program tersebut berlangsung dengan suasana meriah di mana mereka yang hadir menerima bantuan secara pandu lalu di pekarangan Pejabat ADUN Chukai.
Hanafiah memaklumkan, pihaknya telah menyasarkan beberapa golongan yang perlu diberikan bantuan seperti ini.
"Namun begitu, ia akan diadakan secara berperingkat mengikut kesesuaian keadaan, masa dan sebagainya," katanya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.
03 Feb 21
127
Tukang Gunting Rambut Di DUN Air Putih Dapat Perhatian
KEMAMAN, 3 Februari - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang diumumkan oleh kerajaan mulai 22 Januari yang lalu turut menjejaskan pendapatan para peniaga seperti tukang gunting rambut apabila premis mereka terpaksa ditutup sepanjang tempoh ini bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim ketika ditemui melahirkan rasa kebimbangan beliau kepada semua yang terjejas.
“Saya amat bersimpati terhadap mereka yang terjejas pendapatannya ekoran pandemik COVID-19. Pihak Pejabat DUN akan berusaha membantu mana yang termampu agar tiada pihak yang tercicir daripada mendapat bantuan," katanya.
Cakna akan kesempitan yang dihadapi oleh golongan ini, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih telah mengambil inisiatif memberikan bantuan segera kepada mereka yang terjejas.
Program yang berlangsung pada 2 Februari 2021 menyaksikan seramai 64 orang tukang gunting rambut di seluruh kawasan itu hadir bagi menerima sumbangan.
“Diharapkan semoga dengan bantuan yang tidak seberapa ini dapat mengurangkan sedikit sebanyak bebanan yang ditanggung oleh mereka ini,” tambah beliau lagi.
Rata-rata tukang gunting yang hadir melahirkan rasa kesyukuran atas kecaknaan pihak pejabat DUN terhadap kesusahan mereka. Masing-masing menerima sumbangan berupa wang ringgit dan barangan keperluan dapur.
Program agihan sumbangan itu turut mendapat kerjasama daripada Pemuda DUN Air Putih dan Jabatan Amal DUN Air Putih. Agihan sumbangan telah diadakan dengan penuh serba ringkas dan mematuhi Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan.
03 Feb 21
171
Kerajaan Negeri Tidak Abai Pesara Sukan
KUALA TERENGGANU, 3 Februari – Kerajaan negeri memberi komitmen untuk tidak mengabaikan keperluan bekas atlet selepas bersara atau tidak lagi aktif dalam karier mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, beliau memberi perhatian kepada keperluan tersebut seawal memegang jawatannya kerana umur atlet aktif kebanyakannya antara 15 hingga 35 tahun.
“Mereka masih muda jika bersara selepas itu, maka kita mengambil inisiatf tertentu untuk memberi kelegaan kepada atlet-atlet serta ibu bapa yang mungkin runsing untuk menjadikan sukan sebagai sumber pendapatan.
“Kita memperkenalkan kerjasama dengan pihak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Kolej Universiti TATI (UC TATI) bagi mengalakkan dan memberi peluang mudah untuk atlet menyambung pelajaran.
“Kemasukan dan syarat kemasukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berkenaan lebih mudah sekiranya mereka melalui program ini,” katanya katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi semalam.
Tambahnya, usaha itu dilakukan agar mereka berminat untuk melanjutkan pelajaran dan sebagai persiapan mendapat sijil bersesuaian dengan kelayakan.
“Paling kurang pesara terlibat dapat meraih sijil atau diploma untuk menempatkan kerjaya meneruskan kehidupan mereka selepas gantung kasut,” katanya lagi.
Sementara itu, Sukairi turut menjelaskan usaha seterusnya dengan mewujudkan sebuah jawatankuasa dipengerusikan timbalannya, Hishamuddin Abdul Karim, dengan melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan IPT.
“Pihak-pihak berkaitan dengan pekerjaan seperti T-JOB, Sumber Manusia, Pegawai Daerah, IPT, TEKUN, TESDEC dan sebagainya akan bekerjasama dan berbincang penyelesaian bagi atlet yang bersara atau tidak aktif.
“Jawatankuasa ini berperanan memudahkan cara mereka yang ingin menjurus kepada satu bidang pekerjaan, contohnya mereka berminat meniaga, jadi kita akan beri latihan sehingga mereka bergelar usahawan.
“Kita bukan sahaja memberi jalan tetapi juga mengusahakan keperluan mereka dalam apa jua bidang selepas tempoh beraksi selepas bergelar atlet, kita akan jaga kebajikan mereka,” jelasnya.
03 Feb 21
339
Bot Pok Umor Tenggelam
KEMAMAN, 3 Februari - Sebuah bot nelayan milik Abdul Malik Muda atau lebih dikenali dengan panggilan "Pok Umor" di salah sebuah jeti nelayan di Kampung Geliga telah tenggelam, kelmarin.
Pok Umor yang berusia 65 tahun berkata, beliau menerima berita kejadian itu apabila dimaklumkan oleh rakannya sekitar jam 11.00 pagi.
"Selepas menerima berita itu, saya segera ke jeti itu dan melihat bot saya telah tenggelam. Ketika itu, air pasang besar, jadi kami tak boleh buat apa-apa lagi.
"Pada petangnya kelihatan air surut dan kami mengikat bot itu dengan tali dan menariknya menggunakan "chain block".
"Oleh kerana keadaan bot yang telah uzur, saya mengambil keputusan untuk menarik bot ke kawasan yang lebih selamat," ujarnya.
Pok Umor yang telah menjadi nelayan sejak berusia 17 tahun telah memiliki bot berkenaan sejak tahun 1994.
"Kalau diikutkan bot ini telah didaftarkan pada tahun 1978 dan sepanjang tempoh itu ia telah berpindah milik seramai lima orang termasuk saya sendiri," katanya lagi.
Punca kejadian dan anggaran kerugian belum dikenal pasti.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat turut turun padang bagi melihat sendiri kejadian di lokasi itu, pagi semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri turut menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada Pok Umor.
02 Feb 21
277
Tukang Gunting Rambut Diraikan
KEMAMAN, 3 Februari - Seramai hampir 150 orang yang bekerja sebagai tukang gunting rambut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai diraikan apabila menerima sumbangan berbentuk wang tunai, beras dan barangan dapur, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, mereka juga antara golongan yang terjejas pendapatan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ketika ini.
"Saya memahami situasi yang sedang mereka hadapi. Sebahagian besar daripada mereka adalah golongan anak muda yang berusia sekitar 22 hingga 28 tahun.
"Ada di antara mereka yang baru berkahwin dan membina kehidupan yang baru. Apabila berlaku PKP, bukan sahaja pendapatan harian terjejas, bahkan mereka terpaksa menyelesaikan bayaran sewa kedai, bil api, bil air dan sebagainya.
"Oleh yang demikian, saya sebagai orang yang diberikan tanggungjawab di DUN Chukai ini sudah tentu berasa simpati dengan nasib mereka.
"Sebab itu hari ini, kita sampaikan sumbangan ini agar sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan mereka. Insya-Allah, semoga keadaan ini akan pulih tidak lama lagi agar kita semua dapat menjalani semula kehidupan seperti sediakala," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas selesai majlis.
Program yang dianjurkan itu berlangsung dalam keadaan yang baik apabila mereka yang layak menerima sumbangan hanya mengambilnya secara pandu lalu di pekarangan Pejabat ADUN Chukai.
02 Feb 21
318
Penderma Misteri Sumbang Mesin Basuh
SETIU, 31 Januari - Seorang penderma misteri menyumbang empat buah mesin basuh separuh automatik bagi kemudahan rakyat kurang berkemampuan.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, pihaknya sangat menghargai sifat pemurah individu terbabit.
"Mesin basuh itu telah diserahkan kepada penerima di Mukim Guntong di sini awal pagi ini.
"Sesungguhnya tangan yang di atas lebih baik daripada tangan di bawah, merujuk kepada sebuah hadis berkaitan sedekah atau sumbangan," katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Dalam pada itu, penerima yang ditemui mengucapkan syukur atas sumbangan itu dan tidak menyangka akan mendapat 'durian runtuh'.
31 Jan 21
223