Artikel "Kebajikan" Terkini
HSNZ Terima 300 PPE Rakan 1.0
KUALA TERENGGANU, 17 Februari - 300 set peralatan perlindungan diri (PPE) dan pelindung muka sumbangan Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) mula dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi membantu keperluan barisan hadapan menghadapi penularan pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penghantaran pertama tersebut merupakan sebahagian daripada jumlah 2,000 set PPE yang dibuat UBSNT dalam program Bantuan Kelengkapan Frontliner (Rakan 1.0), baru-baru ini.
"Pertama sekali, material PPE ini diproses setiap hari oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang berkerjasama dengan UBSNT dan apabila siap satu peringkat ia akan dihantar terus ke HSNZ.
"Setakat ini, target kita adalah 2,000 set, namun sekiranya situasi belanjutan, bantuan demi bantuan akan cuba kita salurkan dari masa ke masa," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyempurnakan program sumbangan 10,000 mushaf Al-Quran dan 50,000 pelitup muka ke Sabah di pejabat DUN Wakaf Mempelam, hari ini.
Turut hadir, Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razak, dan pengerusi IMAN CARE, Mohd Nasrun Abdullah.
Jelasnya, UBSNT menggerakkan usaha membantu barisan hadapan bersama Iman Care iaitu penyumbang utama serta Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), HANEES, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), TESDEC dan beberapa agensi lain.
“UBSNT, melalui Unit NGO sentiasa terbuka menerima kerjasama daripada NGO-NGO di luar sana dalam membantu menyelesaikan dan menangani pelbagai keperluan sosial," katanya.
Sumbangan tersebut disampaikan Wan Sukairi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan diterima oleh Timbalan Pengarah Perubatan II HSNZ, Dr. Mazila Mat Zin di lobi hospital berkenaan, hari ini.
17 Feb 21
273
50,000 Pelitup Muka, Al-Quran Belayar Ke Sabah
KUALA TERENGGANU,17 Februari - Urus Setia Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu Sejahtera (UBSNT) hari ini menghantar sebanyak 50 ribu pelitup muka dan 10 ribu naskhah al-Quran ke Sabah dalam usaha membantu negeri tersebut menghadapi penularan COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah memaklumkan, Program Bayu Kasih 2021 itu merupakan kerjasama UBSNT bersama Iman Care sebagai penaja utama akan menyerahkan sumbangan tersebut kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan beberapa NGO terlibat di sana untuk diagihkan.
"Barangan ini akan dihantar dengan kerjasama Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) menggunakan KD Mahawangsa yang mana rombongan ini akan bergerak ke Kota Bharu mengambil baki barangan yang bakal dibawa dan seterusnya ke Lumut untuk dinaikkan ke kapal yang terus ke Sabah.
"Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan syabas dan tahniah atas usaha ini. Mudah-mudahan segala seumbangan ini akan memberikan kelegaan dan membantu sedikit sebanyak situasi di sana yang kita sedia maklum menghadapi situasi yang agak luar biasa selain amat memerlukan keperluan ini," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyempurnakan pelepasan delegasi tersebut di pejabat DUN Wakaf Mempelam, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md. Noor serta wakil-wakil dari NGO terlibat.
17 Feb 21
451
PKPD : Penduduk Felda Tersat Terima Sumbangan Pek Makanan
HULU TERENGGANU, 16 Februari – Lebih 220 sumbangan pek makanan diagihkan kepada setiap isi rumah melibatkan 583 orang penduduk di 198 buah rumah di Felda Tersat, Ajil yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Adun Ajil menyalurkan bekalan sumbangan kepada penduduk kampung Felda Tersat.
Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid berkata, pihak kerajaan dan parti pemerintah tidak akan meminggirkan rakyat mahupun penduduk yang dikenakan PKPD khususnya dalam kawasan Hulu Terengganu ini.
“Bantuan bekalan keperluan dan makanan yang disalurkan ketika PKPD dilakukan atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab kepada rakyat serta prinsip kemanusiaan sejagat,"jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyampaikan bantuan bekalan tersebut, baru-baru ini.
Turut hadir dalam penyampaian sumbangan bekalan tersebut ialah Yang Berhormat Adun Ajil, Maliaman Kassim, Pegawai Penyelidik (Tanah Persekutuan) Pejabat Menteri Besar Negeri Terengganu, Naraza Muda, dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Terengganu, Mohd Harun Esa
Terdahulu, kerajaan telah mengumumkan dua lokaliti di daerah Hulu Terengganu ini, iaitu Felda Tersat, Ajil dan Tapak Bina Kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kuala Berang, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan PKPD yang bermula pada 14 Februari sehingga 17 Februari 2021.
Tambah Muhyidin, sumbangan yang diserahkan itu, telah diwakili oleh Pengerusi JPKK Felda Tersat untuk diagihkan bekalan makanan untuk keluarga yang dikuarantin di penempatan tersebut.
“Ia bagi memastikan semua sumbangan-sumbangan ini dapat sampai ke setiap keluarga penduduk yang merupakan sebahagiannya adalah peneroka Felda bagi kawasan ini.
“Saya berharap, dengan penyaluran bantuan sumbangan yang sedikit sebanyak ini, dapat membantu meringankan sedikit bebanan penduduk yang mana mereka ini tidak dapat keluar masuk untuk mencari bekalan ataupun keperluan yang lebih di luar sana, akibat daripada PKPD yang masih berkuatkuasa sehingga hari ini,"ujarnya lagi.
Beliau juga menegaskan bahawa kerjasama sebegini akan diteruskan dari masa ke semasa, supaya kebajikan rakyat dan masyarakat setempat terus terjaga dan terbela.
16 Feb 21
469
10 Tahun Hidup Bersumberkan Air Kotor
SETIU, 11 Februari – Sekitar 20 keluarga di pedalaman Kampung Kuala Kubang, Jabi di sini akhirnya dapat menikmati bekalan air bersih selepas projek menaiktaraf paip dengan kos RM30 ribu siap.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, gangguan bekalan air serta sumber yang kotor ketika waktu hujan itu berlaku akibat proses penyelenggaran sebelum ini tidak dilakukan dengan baik.
"Sudah berpuluh tahun saliran paip sepanjang lebih tiga kilometer dari kaki gunung ke rumah penduduk tak diselenggara dan sudah banyak yang rosak serta bocor. Kita keluarkan sedikit belanja bagi kerja-kerja penggantian paip dan beberapa peralatan lain,
"Alhamdulillah, siap akhirnya projek penyambungan paip dari Air Terjun Lata Belatan untuk bekalan air kepada hampir 20 buah rumah di Kampung Kuala Kubang,
"Pemasangan paip dari air terjun yang terletak di kaki Gunung Tebu ke kawasan penempatan sejauh 4.3 kilometer melibatkan kos lebih RM30 ribu yang dibiayai Pejabat ADUN Jabi," katanya.
Beliau berkata demikian setelah melihat hasil projek tersebut di Kuala Kubang, Jabi, semalam.
Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Sudin Awang, Penyelia Institut Modal Insan Sejahtera (I-MiTS), Norisabri Ismail, Pengerusi JPKK Jabi, Rahim dan Penolong Hal Ehwal Masyarakat (I-MiTS), Zakaria Mahmud.
Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Kubang, Aziz Rashid yang hadir sama dalam tinjauan tersebut berkata, bekalan air terputus terjadi pada setiap masa dan tidak menentu.
"Boleh dikatakan dalam tempoh sebulan ia berlaku dalam lima hingga enam kali, kadang-kadang lebih.
"Paling teruk, dua hingga tiga hari tiada air dalam seminggu kerana paip yang tersumbat, selain air kotor di musim hujan," jelasnya.
11 Feb 21
351
Wanita Terengganu Tidak Ketinggalan Bantu Pesakit COVID-19
Kaum wanita di Terengganu tidak ketinggalan untuk turut serta membantu meringankan beban dan memberi semangat kepada pesakit COVID-19 yang masih dirawat.
11 Feb 21
158
'Cakna Didik Marang Hebak' Siri Dua Bantu 20 Pelajar Miliki Telefon Pintar
Pemberian bantuan telefon pintar untuk melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) melalui program Cakna Didik Marang Hebak diteruskan lagi untuk fasa kedua dengan melibatkan 20 pelajar kurang berkemampuan dalam kalangan keluarga B40 di daerah ini.
11 Feb 21
94
MAIWP Sumbang RM1.25 Juta Untuk Mangsa Banjir Terengganu
KEMAMAN, 11 Februari - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menyumbang sebanyak RM1.25 juta untuk mangsa banjir yang terjejas pada awal tahun ini di Terengganu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP, Mohd Nizam Yahya berkata, secara keseluruhan sebanyak RM5 juta melalui dana zakat di Wilayah Persekutuan diperuntukkan untuk sumbangan itu.
"Sumbangan ini dibahagikan kepada empat negeri iaitu Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu. Setiap negeri menerima RM1.25 juta terdiri daripada bantuan barangan dan keperluan rumahtangga bernilai RM1 juta dan sumbangan kepada masjid dan surau yang terjejas dengan banjir sebanyak RM250,000.
"Manakala bantuan RM250,000 itu telah disalurkan ke akaun Majlis Agama Islam Negeri untuk pengagihan.
"Secara keseluruhan sebanyak 2,000 set bantuan diagihkan di negeri ini. 1,500 ditempatkan di daerah Kemaman, manakala 500 lagi akan ditempatkan di daerah Dungun," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Antara barangan yang disumbangkan ialah toto, dapur memasak, cerek air elektrik, periuk nasi, lampin pakai buang, sejadah, kain pelikat, kain batik, tuala, tuala wanita dan makanan kering.
Istimewa untuk negeri Terengganu, Yayasan Taqwa MAIWP telah bersetuju menyumbangkan RM20,000 secara tunai untuk disampaikan kepada penduduk-penduduk miskin di daerah Kemaman dan Dungun.
Nizam telah menyerahkan sumbangan berbentuk 1,500 set barangan dan wang tunai sebanyak RM10,000 kepada Pegawai Daerah Kemaman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar yang mewakili daerah Kemaman dalam majlis ringkas yang diadakan di Dataran Padang Astaka Kemaman, semalam.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), M.Rozi Bidin dan Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Mohd Anuar Abd Rahman.
11 Feb 21
293
Kakitangan MDI Terima Sumbangan Barangan Dapur
MARANG, 7 Februari – Persatuan Kebajikan Bukit Payong (PEKA) mengagihkan 100 barangan keperluan dapur kepada guru dan kakitangan Madrasah Darul Iman (MDI), Bukit Payong.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Bukit Payong (PEKA), Asri Abdul Aziz berkata, pihaknya berasa terpanggil untuk mengagih bantuan itu kerana memahami golongan itu turut terkesan dengan penularan pandemik Covid-19.
“Ini kerana pendapatan bulanan guru dan kakitangan MDI bergantung kepada yuran bulanan pelajar, jika tidak bersekolah, pastinya pendapatan mereka terjejas,”katanya.
"Kami sangat berharap dengan sumbangan ini dapat meringankan beban." Katanya.
Pengetua MDI, Mazlan Ibrahim juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak PEKA yang telah membantu semua staf dan kakitangan madrasah.
"Ucapan terima kasih kepada pihak PEKA yang telah bersusah payah membantu semua guru-gu dan staf disini. Semoga dengan usaha ini, PEKA terus diberikan kesenangan dan kemudahan oleh Allah s.w.t." katanya.
PEKA yang juga sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang bertempat bersebelahan dangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong ll, Kampung Titian Baru, Kedai Buloh telah dinaungi oleh Yang Berhormat Ustaz Mohd Nor Hamzah.
07 Feb 21
323
JPKK Agih 260 Bungkusan Ikan Kepada Penduduk
BESUT, 7 Februari - Cakna akan derita rakyat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Air Tawar mengagihkan 260 bungkusan ikan selayang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ramai yang terjejas pendapatan dan tidak kurang juga yang kehilangan mata pencarian terutamanya mereka yang bekerja sendiri seperti pengusaha restoran, tukang gunting rambut dan peniaga pasar malam.
"Semalam kita menghantar ikan menggunakan motosikal berbekalkan 'storage bag' supaya perjalanan lebih lancar masuk ke pelusuk kampung.
“Kita juga berharap agar agihan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kegusaran ketua-ketua keluarga dalam menyediakan lauk untuk dihidangkan kepada isi rumah yang menanti,” tambah beliau yang turut turun padang membantu para petugas menghantar sumbangan ikan selayang.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Air Tawar, Nik Mazli Mat Yusoff memberitahu, bagi tujuan itu pihaknya mengumpul dana sendiri untuk disumbangan kepada penduduk Air Tawar.
"Terima kasih kepada Tengku Harun selaku Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Besut yang turut sama bertungkus lumus membantu menjayakan program agihan sumbangan ini," jelasnya.
07 Feb 21
482
EPIC Berhad Cakna, Bantu 120 Nelayan Ditimpa Musim Tengkujuh Dan PKP
KEMAMAN, 7 Februari – Seramai 120 orang golongan nelayan dibantu oleh Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad melalui anjuran “Program EPIC Cakna dan Prihatin Edisi Khas Nelayan 2021”, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Strategik Kumpulan EPIC, Noor Tuah Jaafar memaklumkan, bantuan dalam bentuk wang tunai RM100 dan barangan keperluan asas bernilai sama telah difokuskan kepada golongan nelayan yang terjejas disebabkan oleh musim tengkujuh dan pandemiK COVID-19 yang semakin meningkat.
"Program ini adalah salah satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility) EPIC untuk membantu rakyat Negeri Terengganu yang dikategorikan sebagai golongan miskin.
"Pada hari ini, pelaksanaan program telah berjaya dijalankan dengan lancar dengan kerjasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik dan Sabasun HyperRuncit Sdn. Bhd.
"Sumbangan telah disampaikan secara pandu lalu bagi mematuhi kawalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disarankan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam satu kenyataan.
Turut hadir, ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili.
Menurut Noor Tuah, EPIC sentiasa bersedia untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan.
"Diharapkan bantuan yang disampaikan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban hidup mereka," jelasnya.
Untuk pengetahuan, EPIC Berhad merupakan sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu yang menjalankan perkhidmatan sokongan utama kepada industri minyak dan gas, pelabuhan, tenaga serta perkhidmatan sampingan yang lain.
07 Feb 21
320