Artikel "agama" Terkini
Malaysia Dalam Bahaya, DAP Pura-Pura Faham Islam
MARANG, 16 Februari - Malaysia kini berada dalam bahaya apabila parti DAP berpura-pura faham mengenai Islam sehingga seringkali dilihat berlaku percubaan mencampuri urusan umat Islam dan menuntut sesuatu yang tidak relevan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkara itu dapat dilihat melalui Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui mempertikaikan tentang hak orang Islam.
Menurut beliau, amat dikesali kerana DAP menunjukkan mereka kononnya mengambil cakna tentang Islam dan juga agama-agama selainnya pada hakikatnya jelas mengandungi agenda tersembunyi.
"Juga telah dituntut supaya mewujudkan Kementerian Hal Ehwal Agama Bukan Islam, pada hakikatnya kita perlu sedari bahawa DAP adalah sebuah parti yang tidak berlandaskan kepada agama.
"itu boleh dilihat dari Perlembagaan DAP, sebenarnya mereka memperjuangkan Malaysian Malaysia dan mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk dan Mikraj di Masjid Kampung (Kg) Rawai, di sini, kelmarin.
Tegas Khalil, tindakan DAP itu dilihat melampau melalui ucapan dan tuntutan yang sengaja menyentuh sensitiviti rakyat di negara ini terutama kepada mereka yang beragama Islam.
"Sedangkan kita sudah hidup dalam keadaan aman dan damai keranaa pengorbanan orang Melayu Islam dan juga Bumiputera yang berjiwa besar menerima masyarakat pendatang yang dibawa oleh penjajah British sebagai warganegara setelah negara mencapai kemerdekaan.
"Mereka sepatutnya menghormati Malaysia sebagai sebuah negara yang dihuni oleh majoriti masyarakat Islam dan Islam merupakan agama rasmi persekutuan diambil daripada semangat negeri-negeri di bawah Persekutuan Tanah Melayu yang menjadikan Islam sebagai agama negara.
"Sejak zaman kesultanan Melayu Islam sehingga kewujudan Malaysia apabila mencapai kemerdekaan itu dapat dilihat daripada undang-undang tubuh negeri seperti Terengganu, Johor, Selangor, Kelantan dan lain-lain,"ucap beliau.
16 Feb 25
415
Hukuman Sebat Di Luar Penjara, Terengganu Menunaikan Kewajipan
MARANG, 15 Februari - Hukuman sebat di khalayak ramai yang dilaksanakan pada penghujung tahun lalu terhadap pesalah khalwat berulang bukanlah untuk menerima sebarang respon maklum balas sama ada positif ataupun negatif.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebaliknya ia dijalankan kerana kewajipan serta tuntutan dalam agama Islam supaya ia menjadi pengajaran sekali gus mendidik masyarakat.
"Kita menyedari apabila ia dilaksanakan akan menerima pelbagai respon dan saya melihat langkah-langkah yang diambil sangat berhati-hati dan bijaksana.
"Alhamdulillah kita berjaya melaksanakannya dengan baik dan sempurna,"ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas merasmikan Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj, di Masjid Kampung Rawai, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata hukuman sebatan itu bukan perkara baru di dalam Islam sebaliknya ia sudah lama dilaksanakan.
"Tetapi kita mahu ia dilihat oleh masyarakat kerana itu kita buat di luar penjara dan menjadikan negeri pertama melaksakannya di Malaysia, Alhamdulillah,"ujarnya.
Tegas beliau, apa yang penting ialah kerajaan negeri akan terus memikirkan cara-cara seterusnya untuk memperkasakan agenda pemerkasaan syariah di Terengganu.
"Ini termasuklah dari aspek enakmen pelaksanaan hukuman dan lain-lain lagi,"katanya.
15 Feb 25
272
Monsun KIAM: Ajar Kepimpinan Holistik, Bina Jati Diri 56 Remaja
BESUT, 9 Februari – Program kepimpinan bersama 56 remaja, Monsoon KIAM: 'Kembara Al-Kahfi', anjuran Akademi Kepimpinan Al-Fateh (AKAF) berjaya mendidik generasi muda agar memiliki daya kepimpinan menerusi pendekatan holistik.
Dengan tema ‘Ini Bukan Sekadar Kem, Tetapi Satu Perjalanan’, peserta terbabit dalam pelbagai aktiviti pembangunan diri, kepimpinan dan fizikal yang dirancang untuk memperkasa minda serta memiliki semangat berpasukan.
Setiap aktiviti yang dilaksanakan menekankan elemen kepimpinan yang praktikal, merangkumi pembangunan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, serta pembentukan daya kepimpinan yang berkesan.
Peserta program, Izhamdi Abdullah berkata dia sangat bersyukur kerana berpeluang untuk menyertai program itu.
Menurut Izhamdi, program itu mengajarnya sudut pandangan baharu mengenai selok-belok kepimpinan.
"Program ini telah mengubah cara saya berfikir tentang erti kepimpinan melalui aktiviti yang mencabar seperti 'hiking' dan 'team building' benar-benar membantu saya membina keyakinan diri dan belajar pentingnya kerja berpasukan,” katanya.
Dia berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui disini, baru-baru ini.
Turut berkongsi pengalaman, ibu kepada salah seorang peserta, Asma Wahap, menyuarakan persetujuannya terhadap program yang telah dijalankan itu.
"Platform Akademi Kepimpinan Al-Fateh ni sangat bagus untuk jadi tempat anak-anak berlatih. ‘Circle’ yang menyokong sangat penting.
“Nampak dia (Aisyah) pun gembira sangat dengan kawan-kawan baru walaupun baru kenal dalam program tu," ujar Asma.
Terdahulu, program yang berlangsung di Kem Damai Beach Resort selama tiga hari dua malam itu memberi pendedahan melalui pelbagai aktiviti bersifat holistik.
Antaranya termasuk Tadabbur Surah Al-Kahfi, Jati Diri Muslim, Pembinaan Karakter Pemimpin, Ilmu Menuju Kejayaan, aktiviti team building, hiking, flying fox, dan pelbagai modul dinamik lain.
Kejayaan Monsoon KIAM mendorong AKAF untuk menjadikannya sebagai program tahunan bagi melahirkan pemimpin muda yang mampu berbakti kepada masyarakat dan negara dengan mengekalkan nilai Islam dan identiti rakyat Terengganu.
09 Feb 25
76
Terengganu Terus Didik Rakyat Selami Keindahan Syariat Islam
Kerajaan Terengganu terus mendidik rakyat negeri ini memahami syariat Islam melalui program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat yang diadakan di setiap daerah.
02 Feb 25
70
Israel Lemah, Rancangan Takluk Palestin Gagal
BESUT, 2 Februari - Zionis Israel dilihat lemah apabila segala usaha dan perancangannya untuk menakluki bumi Palestin terus gagal sehingga terpaksa berunding dengan pihak Hamas untuk memeterai perjanjian gencatan senjata fasa pertama.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, berdasarkan situasi semasa yang berlaku di Gaza pihaknya yakin Perdana Menteri negara haram Israel akan meneruskan perjanjian gencatan senjata fasa seterusnya.
"Saya mengandaikan bahawa pihak Zionis Israel akan menilai apa yang berlaku ini kerana mereka mendapati bawa semua objektif (menakluki Palestin) yang mereka gariskan tidak tercapai.
"Apa yang penting ialah kita dapat melihat bagaimana rakyat Palestin begitu cekal, mempunyai keazaman yang tinggi walapun dibom, ditembak, diruntuhkan rumah dan keperluan-keperluan asas mereka, tetapi masih tidak berganjak," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas hadir merasmikan program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat, di Masjid Al-Islah & Dewan Terbuka Kampung (Kg) Limbongan, di sini semalam.
Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata kini seluruh dunia dapat saksikan puluhan ribu rakyat Palestin tidak pernah keluar dari bumi Gaza dan kini rakyat mereka yang berada dalam tahanan zionis berpuluh tahun telah kembali ke rumah masing-masing yang telah hancur musnah diletupkan rejim negara haram itu.
"Ini menunjukkan bahawa perjuangan mereka adalah perjuangan yang sebenar, perjuangan untuk menuntut hak mereka yang dirampas oleh Zionis Israel.
"Sebenarnya Zionis Israel yang mesti dikeluarkan dari bumi Palestin, bukan rakyat Palestin yang mesti keluar dari bumi mereka sendiri sebagaimana yang disarankan oleh Presiden Amerika, Donald Trump,"katanya.
02 Feb 25
162
Jual Arak Di Premis Terbuka : Nga Kor Ming Perlu Hormati Hak Majoriti
BESUT, 2 Februari - Permintaan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menilai semula sekatan jualan arak di kawasan majoriti Islam adalah tidak wajar.
Malah ia juga disifatkan tidak menghormati hak majoriti rakyat negara beragama Islam sekali gus akan menimbulkan keadaan hura-hara serta kacau-bilau.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tidak dinafikan rakyat dalam negara terdiri daripada masyarakat majmuk namun perlu ditegaskan bahawa Malaysia adalah negara umat Islam sebagaimana termaktub di dalam perlembagaan.
"Maka masyarakat bukan Islam perlu menghormati umat Islam dalam negara ini apabila kita bercakap mengenai hak ia bukan sahaja membabitkan hak minoriti tetapi majoriti dalam negara yang merupakan umat Islam.
"Kalau kita hendak berikan kebebesan supaya arak oleh dijual secara terbuka, semua premis boleh jual arak atas orang hendak pergi beli atau tidak itu merupakan hak masing-masing jadi ia tidak kena daripada sudut 'Maqasid Syariah'.
"Jika hendak mengambil logik sebegitu, kalau kita izinkan semua orang jual dadah, ganja, pil kuda dan lain-lain, tidak perlu ada undang-undang dan peraturan yang menghalang penjualan perkara yang memudaratkan tersebut, sudah tentu masyarakat akan jadi kacau bilau, jadi sebagai masyarakat bertamadun perlu mempunyai peraturan dan undang-undang,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas hadir merasmikan Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Peringkat Daerah Besut, di Masjid Al-Islah & Dewan Terbuka Kampung (Kg) Limbongan, di sini, semalam
Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata Islam merupakan agama yang memandu kepada kehidupan bertamadun, sebab itu arak diharamkan secara jelas kerana boleh menimbulkan perkara yang memudaratkan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang ramai.
"Jadi masyarakat bertamadun adalah masyarakat yang mempunyai peraturan dan undang-undang, kadang-kadang saya pelik dengan menteri dalam Kerajaan Madani ini mereka sendiri pun tidak faham apa maksud madani.
"Madani itu maksudnya masyarakat yang memiliki undang-undang adil di situ kita lihat perlu ada di sana peraturan khusunya dalam konteks penjualan arak di premis-premis perlu ada kekangan sebagaimana yang diamalkan serta perlu diperkasakan lagi.
"Alhamdulillah, kita di negeri Terengganu menitik beratkan perkara ini dan ada Enakmen Jenayah Syariah yang meletakkan hukuman ke atas mereka yang meminum minuman kerasan dengan batasa had 356 sebagaimana yang kita maklum,"tegasnya.
02 Feb 25
192
Terengganu Terus Didik Rakyat Selami Keindahan Syariat Islam
BESUT, 1 Februari - Kerajaan Terengganu terus mendidik rakyat negeri ini memahami syariat Islam melalui program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat yang diadakan di setiap daerah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, melalui karnival yang diadakan itu ia menjadi kesungguhan kerajaan negeri untuk mendidik rakyat secara berterusan agar memahami bahawa syariat Islam bukanlah bertujuan menyusahkan kehidupan manusia sebaliknya memandu mereka ke arah yang lebih baik.
"Kita hendak mendidik rakyat Terengganu bahawa syariat Islam ini merupakan satu perkara yang indah, penting untuk diamalkan dalam kehidupan kerana ia mudah, senang, diturunkan oleh Allah untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam anggota masyarakat.
"Ia juga selari dengan dasar dan polisi kerajaan negeri yang meletakkan agenda Islam sebagai perancangan utama dalam pentabiran dan insya-Allah kita akan meneruskan karnival ini di setiap daerah yang lain serta akan disusuli di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN),"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas hadir merasmikan program karnival Indahnya Hidup Bersyariat, di Masjid Al-Islah & Dewan Terbuka Kampung (Kg) Limbongan, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjur Dr. Muhammad Khalil berkata pendidikan kepada masyarakat merupakan perkara subjektif yang perlu diusahakan secara berterusan bukan sahaja oleh pihak kerajaan tetapi melibatkan semua pihak termasuk individu, keluarga dan seluruh anggota masyarakat.
"Jadi bila kita buat (karnival Indahnya Hidup Bersyariat) ia akan menjadi satu syiar dalam masyarakat, apabila begitu dengan sendirinya akan dirasai oleh mereka bahawa negeri Terengganu ini penuh dengan program-program yang berlandaskan Islam.
"Bertujuan untuk mendidik rakyat Terengganu ke arah rakyat yang beriman dan berpegang kepada ajaran Islam,"ujarnya.
Dalam pada itu beliau menyeru agar rakyat di negeri ini untuk memberikan sokongan dan hadir beramai-ramai ke Karnival Indahnya Hidup Bersyariat di setiap daerah kerana ia sesuai untuk seluruh lapisan masyarakat sama ada kanak-kanak, wanita dan anak muda.
Pelbagai segmen yang diadakan pada karnival itu antaranya pengisian agama melalui kuliah perdana, forum, Pahlawan Subuh, selain itu adanya pameran dari agensi dan jabatan serta jualan Pasar berkat yang menawarkan segala barang keperluan dengan harga yang rendah serta berpatutan.
01 Feb 25
313
Tadabbur Al-Quran 'Resipi' Umat Cemerlang
Ayat-ayat al-Quran bukan sekadar hikmah, sebaliknya ia merupakan panduan yang membawa kesejahteraan di dunia dan Akhirat.
28 Jan 25
60
Terengganu Tubuh Akademi Al-Quran
DUNGUN, 22 Januari - Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam perancangan untuk menubuhkan Akademi Al-Quran yang bakal menjadi mercu tanda dalam memartabatkan syiar Islam secara konsisten.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, akademi itu ditubuhkan sebagai inisiatif menjadikan pendidikan berasakan al-Quran sebagai fokus utama agar dapat dihayati dengan baik.
"Akademi ini bertujuan untuk memberikan pendekatan yang lebih sistematik dan berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran.
"Sekali gus memperkukuhkan penghayatan terhadap wahyu ilahi dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Arena Square, di sini, semalam.
Mengulas mengenai tilawah dan hafazan yang diadakan bermula semalam itu, Ahmad Samsuri berkata ia merupakan manifestasi kecintaan terhadap al-Quran terhadap wahyu ilahi yang menjadi sumber inspirasi dan pedoman hidup.
"Penghayatan al-Quran, tidak seharusnya terhad kepada pembacaan atau hafazan sahaja, tetapi perlu diterjemahkan dalam bentuk amalan berkerajaan, bermasyarakat, hubungan merentasi kaum dan agama, berurus niaga, berkeluarga dan akhlak yang mulia.
"Majlis (seumpama ini) memberikan peluang kepada kita untuk lebih memahami keindahan seni bacaan al-Quran namun ia juga mengingatkan kita bahawa intipati sebenarnya adalah seruan kepada kebenaran, keadilan dan kasih sayang," jelas beliau.
22 Jan 25
518
Terengganu Rancakkan Program Indahnya Hidup Bersyariat di Setiap DUN
SETIU, 10 Januari - Kerajaan negeri serius dalam membiasakan masyarakat hidup dengan syariat di negeri ini melalui pelaksanaan program ‘Karnival Indahnya Hidup Bersyariat’.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Sri Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar sangat menekankan agenda pelaksanaan syariat.
“Pada penggal ini, kami (kerajaan negeri) membawa satu kelainan di mana kami mengetengahkan satu tema, ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ bertujuan untuk mendidik rakyat negeri Terengganu bahawa syariat Islam yang diturunkan oleh Allah SWT ke atas Nabi Muhammad SAW perlu kita laksanakan.
“Dalam tempoh setahun ini, Insya-Allah kita akan buat di peringkat DUN pula selepas ini. Dengan pengisian lain selain kuliah dan forum bagi merangkumi semua aspek-aspek yang lain supaya kita dapat menyantuni masyarakat di bawah.
“Ini juga bertujuan untuk kita membuang persepsi buruk musuh-musuh Islam yang menggambarkan syariat Islam sebagai melampau, ganas, mundur ke belakang dan lain-lain lagi perkara negatif yang seolah-olah mengekang kehidupan kita," katanya.
Muhammad Khalil berkata demikian dalam ucapan perasmiannya bagi program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM) peringkat daerah Setiu yang bertempat di Masjid Kg. Putera Jaya, Setiu semalam.
Tegasnya lagi, ajaran Islam merupakan ajaran yang fleksibel dan mudah, ia tidak sewenang-wenangnya melarang umatnya dalam melakukan sesuatu melainkan jika ia mendatangkan mudarat.
“Contohnya mengenai makan dan minum, kita hanya dilarang untuk memakan daging khinzir, minum arak, bangkai dan juga apa jua yang boleh memberikan mudarat.
“Selain daripada itu, semua boleh dimakan. Yang penting, ia halal lagi baik.
“Sama juga dalam bab pemakaian dan pergaulan. Semuanya begitu mudah untuk kebaikan manusia,” ujar beliau.
Jelas beliau, walaupun dengan keterbatasan kuasa pada masa ini, kerajaan negeri akan terus berkomitmen untuk memperkasakan syariat Islam di dalam hukum-hakam terutamanya bagi perihal berkaitan dengan perundangan.
Kerajaan negeri juga menyeru masyarakat untuk menghayati peristiwa Israk dan Mikraj sempena bulan Rejab.
Pelancaran sulung yang bertempat di daerah Setiu dan Hulu Terengganu, itu juga telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada masyarakat setempat.
Kata Dr. Muhammad Khalil, ia menunjukkan sokongan mereka yang jitu terhadap usaha kerajaan negeri dalam pembawaan tema hidup bersyariat.
“Saya dapat perhatikan kehadiran yang sangat memberangsangkan daripada masyarakat setempat dan juga penyertaan daripada jabatan dan agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba dan lain-lain lagi turut memeriahkan lagi suasana.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis perasmian program itu.
11 Jan 25
219