lightning-solid
Berita :

Artikel "agama" Terkini

Terengganu Ajak Rakyat Hayati Peristiwa Penting Nuzul Al-Quran
Terengganu Ajak Rakyat Hayati Peristiwa Penting Nuzul Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Kerajaan Terengganu mengajak rakyatnya untuk sama-sama menghayati peristiwa penting Nuzul Al-Quran serta Badar Al-Kubra yang penuh bersejarah. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bersempena dengan peristiwa agung itu maka diadakan Majlis Perasmian Nuzul al-Quran Peringkat negeri di Madinah Ramadan, semalam. Ujarnya, tema Madinah Ramadan pada tahun ini amat bertepatan dengan kedua peristiwa besar tersebut iaitu 'Ramadan Bulan Kemenangan'. "Maka hari ini teramat patut untuk setiap umat Islam mengingati peristiwa ini terutama apabila kita melihat apa yang berlaku terhadap masyarakat Islam di serata dunia. "Khususnya apa yang berlaku kepada saudara-saudara kita di Palestin, mereka diuji dengan kezaliman yang dilakukan oleh rejim zionis yahudi yang dilaknat oleh Allah SWT," ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian tersebut. Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menyempurnakan Majlis Perasmian Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Nara Setia  Dalam pada itu, Muhammad Khalil turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato' Seri Dr. Zulkifli Al-Bakri yang sebelumnya telah menyampaikan ceramah perdana bersempena sambutan Nuzul Al-Quran itu. "Akhirnya, saya mendoakan agar seluruh rakyat Terengganu dikuniakan rahmat pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini," ucap beliau.  
18 Mar 25
269
'Waspada Agenda Pluralisme Agama'
'Waspada Agenda Pluralisme Agama'
KUALA TERENGGANU, 16 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, mengingatkan umat Islam agar berwaspada terhadap agenda pluralisme agama yang semakin merebak kebelakangan ini. Menurutnya, terdapat segelintir pihak sedang giat mempromosikan konsep kesamarataan agama dengan menyatakan bahawa semua agama menyeru kepada kebaikan. "Jangan fikir sifir agama sama seperti sifir Matematik. Sebaliknya, sifir agama mestilah berpandukan petunjuk Allah, bukan sekadar akal semata-mata. "Walaupun semua agama menyeru kepada kebaikan, hakikatnya hanya agama Islam yang diterima oleh Allah sebagai agama yang benar, yang dibawa oleh semua nabi-nabi. "Islam adalah agama yang mentauhidkan Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain," ujarnya dalam satu kenyataan di sini, semalam. Beliau menjelaskan bahawa semua agama yang wujud pada hari ini pada asalnya adalah agama Islam yang dibawa oleh para nabi dalam zaman yang berbeza, namun telah diselewengkan oleh manusia sehingga Islam diperbetulkan kembali melalui ajaran Nabi Muhammad SAW. "Walaupun begitu, Islam tetap menyeru penganutnya untuk menghormati agama lain dan berhujah dengan cara yang baik. "Namun, menghormati agama lain tidak bermakna kita boleh terbabas sehingga melakukan amalan yang bercanggah dengan akidah Islam," tegasnya. Beliau turut menekankan bahawa toleransi dalam beragama tidak bermaksud umat Islam harus menggadaikan prinsip-prinsip Islam yang telah ditetapkan.
16 Mar 25
123
'Jom Meriahkan Madinah Ramadan Bersama Keluarga' - Dr Sam
'Jom Meriahkan Madinah Ramadan Bersama Keluarga' - Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengajak seluruh rakyat di negeri ini untuk memeriahkan Madinah Ramadan bersama ahli keluarga dan menikmati suasana berbuka beramai-ramai. Katanya, lokasi dipilih kali ini adalah Masjid Tengku Zaharah atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung di Kuala Ibai. Jelas beliau, Madinah Ramadan juga menyediakan juadah berbuka puasa secara percuma setiap hari ini. "Sejak 2018 lagi Madinah Ramadan diadakan di Negeri Terengganu untuk mengajak rakyat bersama-sama menghidupkan bulan mulia, Ramadan yang hanya datang setahun sekali," ujarnya melalui satu kenyataan, di facebooknya, di sini, semalam. Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pemilihan Masjid Tengku Tengah Zaharah kerana ia kawasan tumpuan orang ramai dan mempunyai akses yang mudah. "Orang ramai yang berbuka puasa di Lagun Kuala Ibai digalakkan untuk turut serta dalam aktiviti di Masjid. "Kita berharap ia menjadi satu trend seperti di Masjid Kuantan, di mana masyarakat berama-ramai berbuka di kawasan lapang berhampiran masjid kemudian bersama-sama menunaikan ibadah di masjid," ujarnya.
03 Mar 25
161
33 Premis Dalam Pantauan Ops Supik Hitam
33 Premis Dalam Pantauan Ops Supik Hitam
KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bakal melakukan pemantauan yang lebih tegas terhadap 33 buah premis perniagaan makanan menjelang Ramadan ini. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pihaknya telah meletakkan beberapa buah premis di seluruh negeri itu kerana dikenal pasti menjalankan aktiviti bertentangan syariah Islam. “Setakat ini kita dapat mengenal pasti terdapat 33 premis di seluruh negeri dan tindakan yang kita telah ambil pada masa ini ialah kita beri nasihat dahulu sebagai amaran awal. “Selepas itu, kita akan membuat pemantauan berterusan terutamanya di premis-premis ini di sepanjang bulan Ramadan,” ujarnya kepada pemberita selepas melancarkan ‘Ops Supik Hitam’ di Dewan Auditorium, JHEAT, semalam. Muhammad Khalil turut mengingatkan, pemilik premis berkenaan bahawa kegagalan mematuhi undang-undang yang khusus pada bulan Ramadan boleh dikenakan denda sepertimana termaktub dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, di bawah Seksyen 19: Tidak Menghormati Ramadan. Menurutnya, operasi yang telah dilancarkan akan dianggotai oleh pasukan penguatkuasa daripada JHEAT dan kerjasama daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). “Jumlah keanggotaan untuk operasi di bulan Ramadan ini terdiri daripada 91 orang anggota.  “Dan Insya-Allah usaha kerajaan negeri bersama pihak JHEAT ini akan dibantu bersama pihak PBT dalam menjalankan ‘Ops Supik Hitam’ ini. Menurutnya, kerjasama dan penyelarasan agensi serta jabatan-jabatan yang terlibat seperti penglibatan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melalui PBT merupakan salah satu komponen penting bagi pelaksanaan operasi tersebut. “Kesungguhan kerajaan negeri berkaitan pelaksanaan syariah ini, kita perkasakan juga dari sudut pelarasan bersama agensi dan juga jabatan lain yang berkaitan. “Khususnya MBKT kerana PBT ini di bawah MBKT. Contohnya, kita nak ambil tindakan kepada peniaga yang menjual makanan di siang hari pada bulan Ramadan, jadi penguatkuasa agama hanya boleh menangkap orang yang tidak berpuasa manakala tindakan terhadap premis di bawah PBT. “Oleh kerana itu, pentingnya kita selaraskan pelaksanaan ini (disebabkan oleh bidang kuasa yang berlainan),” katanya. 
28 Feb 25
109
Restoran Bukan Islam Dibenar Beroperasi Seperti Biasa Sepanjang Ramadan
Restoran Bukan Islam Dibenar Beroperasi Seperti Biasa Sepanjang Ramadan
KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Restoran bukan Islam dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa sepanjang Ramadan. Menurut Kenyataan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), namun begitu pengusaha dan pemilik perniagaan makanan dan minuman bukan Islam diberi peringatan agar tidak membenarkan pelanggan beragama Islam makan serta minum di premis mereka sepanjang siang hari Ramadan. "Manakala bagi pengusaha dan pemilik perniagaan makanan serta minuman beragama Islam tidak dibenarkan memulakan operasi perniagaan mereka sebelum jam 3 petang. "Mana-mana pengusaha dan pemilik perniagaan makanan dan minuman yang gagal mematuhi peraturan ini menjadi satu kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (Penubuhan Makanan) MBKT 1991. "Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenankan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan tersebut, di sini, semalam. Mengulas lanjut, menurut kenyataan itu, kedai kek, bakeri dan kedai keropok serta restoran milik peniaga Islam dibenarkan beroperasi bermula jam tiga petang dengan aktiviti jualan hanya secara bungkus sahaja. "Manakala untuk penggunaan ruang makan serta aktiviti penyediaan makanan dibenarkan beroperasi pada jam 7 petang. "Kedai serbaneka mengikut waktu operasi biasa dan dihadkan kepada aktiviti peruncitan sahaja. "Manakala bazar Ramadan serta kedai jualah kuih muih untuk aktiviti jualan secara bungkus akan bermula jam 3 petang," ujar kenyataan itu. Tambah kenyataan itu, untuk kedai makanan segera pula dibenarkan beroperasi pada jam 12 tengah hari dan hanya melibatkan aktiviti jualan secara bungkus sahaja.  
27 Feb 25
220
'Jangan Normalisasikan Perbuatan Songsang Lelaki Berpakaian Wanita'
'Jangan Normalisasikan Perbuatan Songsang Lelaki Berpakaian Wanita'
KUALA TERENGGANU, 18 Februari – Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan lelaki berpakaian menyerupai wanita atau sebaliknya seperti yang berlaku dalam acara Karpet Merah Anugerah Juara Lagu (AJL) baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi mengutuk tindakan tersebut. Katanya, isu itu tidak harus dibiar dan dinormalisasikan dalam masyarakat. “Kerajaan Negeri Terengganu memandang serius isu tular melibatkan beberapa individu lelaki yang berpakaian menyerupai wanita di acara Karpet Merah AJL baru-baru ini. “Tindakan tersebut bukan sahaja bertentangan dengan norma masyarakat dan nilai-nilai Islam, malah boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan generasi muda,” katanya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media melalui hantaran Facebook rasminya hari ini Dalam pada itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan negeri amat menitikberatkan syariat Islam dan mempunyai undang-undang yang jelas dalam mengekang perkara ini. “Terengganu sebagai sebuah negeri yang menitikberatkan syariat Islam mempunyai Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001. “Di mana Seksyen 33 memperuntukkan bahawa orang lelaki berpakaian dan berlagak seperti wanita dan Seksyen 33A  orang perempuan berpakaian dan berlagak seperti lelaki adalah satu kesalahan. “Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman sebagaimana yang termaktub dalam enakmen berkenaan. Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen dalam memastikan syariat Islam terus ditegakkan dan masyarakat kekal berpegang teguh kepada ajaran Islam. Dengan ketegasan ini, beliau berharap agar seluruh lapisan masyarakat terus memelihara nilai-nilai Islam dan menjauhi sebarang bentuk perlakuan yang boleh merosakkan moral serta pegangan agama. Sementara itu, dalam satu kenyataan media lain, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato' Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata pihaknya juga mengambil perhatian serius terhadap isu itu. "Jakim telah menghubungi dan memanjangkan perkara ini kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bertanggungjawab mengawal selia industri komunikasi dan multimedia di negara ini berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada. "Pihak JAKIM turut akan memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan mengadakan sesi perbincangan secara tertutup bagi memberikan nasihat dan bimbingan," jelasnya.
18 Feb 25
199
Terengganu Sokong Fatwa Larang Umat Islam Hadiri Ritual Agama Lain
Terengganu Sokong Fatwa Larang Umat Islam Hadiri Ritual Agama Lain
KUALA TERENGGANU, 17 Februari - Kerajaan Terengganu tampil memperkukuh pendirian dalam mempertahankan kesucian Islam dengan menyatakan sokongan penuh terhadap fatwa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang melarang umat Islam daripada menghadiri sebarang ritual keagamaan bukan Islam.  Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan keputusan ini dilihat sebagai langkah kritikal dalam memastikan umat Islam kekal berpegang teguh kepada akidah tanpa sebarang pengaruh luar yang boleh mencetuskan kekeliruan atau polemik baharu dalam Masyarakat. “Kami berdiri teguh bersama fatwa yang dikeluarkan oleh MAINJ.  “Ini bukan sekadar larangan biasa, tetapi satu tuntutan syarak untuk memelihara akidah dan mengelakkan kekeliruan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada hari ini. Beliau turut menegaskan bahawa Islam adalah agama yang jelas dalam soal batas dan pergaulan antara agama.  “Islam tidak pernah melarang kita untuk hidup dalam suasana harmoni dengan penganut agama lain, tetapi ada batas yang tidak boleh dilanggar.  “Menghadiri ritual agama lain bukan sekadar satu tindakan simbolik, tetapi boleh membawa kepada kekeliruan dan akhirnya menjejaskan keimanan seseorang Muslim,” tegasnya. Menurut Muhammad Khalil, fatwa ini bukan sahaja berlandaskan prinsip hukum syarak, malah selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. “Fatwa ini turut mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sejak Februari 2023, memperkukuh lagi ketetapan ini sebagai garis panduan rasmi yang perlu dipatuhi. “Kerajaan Negeri menegaskan bahawa garis panduan ini amat penting bagi mengelakkan umat Islam daripada dipengaruhi atau dikelirukan dengan amalan keagamaan lain yang bertentangan dengan prinsip tauhid,” jelas beliau. Tambah beliau, perkara ini juga telah ditegaskan oleh Mufti Terengganu, Dato' Dr. Mohamad Sabri Haron bahawa garis panduan bagi umat Islam yang menghadiri acara bukan Islam penting bukan sahaja menjaga seseorang Muslim, tetapi perlu dalam menjaga keharmonian negara. “Kerajaan Terengganu komited untuk terus memperkukuh dasar-dasar pemerkasaan syariah serta meningkatkan usaha pendidikan dan pemahaman masyarakat mengenai kepentingan menjaga akidah serta syariat Islam. “Meskipun Islam menggalakkan toleransi dan hubungan harmoni antara kaum, ini tidak bermaksud umat Islam boleh melibatkan diri dalam sebarang bentuk ritual agama lain yang boleh mengaburkan keimanan mereka,” ujarnya.  
17 Feb 25
157
Hukuman Sebat Di Luar Penjara, Terengganu Menunaikan Kewajipan
Hukuman Sebat Di Luar Penjara, Terengganu Menunaikan Kewajipan
Hukuman sebat di khalayak ramai yang dilaksanakan pada penghujung tahun lalu terhadap pesalah khalwat berulang bukanlah untuk menerima sebarang respon maklum balas sama ada positif ataupun negatif.
17 Feb 25
115
Malaysia Dalam Bahaya, DAP Pura-Pura Faham Islam
Malaysia Dalam Bahaya, DAP Pura-Pura Faham Islam
Malaysia kini berada dalam bahaya apabila parti DAP berpura-pura faham mengenai Islam sehingga seringkali dilihat berlaku percubaan mencampuri urusan umat Islam dan menuntut sesuatu yang tidak relevan.
17 Feb 25
109
Inisiatif MBKT Terima Pujian Ramai
Inisiatif MBKT Terima Pujian Ramai
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Inisiatif Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memasang papan tanda yang memaparkan kalimah suci membesarkan Allah SWT di jalan-jalan utama negeri ini menerima respon positif daripada masyarakat setempat. Rata-rata rakyat negeri ini menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri itu kerana secara tidak langsung apabila melihat papan tanda itu setiap orang akan turut berzikir. Usaha tersebut dilihat terus mengekalkan identiti Terengganu yang mana sebelum ini telah menarik perhatian artis terkenal tanah air, Khairil Ridzwan Anuar atau lebih dikenali sebagai Monoloque. Monoloque kagum dengan slogan-slogan dalam bahasa Melayu serta jawi yang ada di negeri ini. Sebelum ini, penyanyi itu berkongsi pengalaman ketika berada di Terengganu apabila melihat papan tanda yang menyatakan 'Berjudi dan Arak Membinasakan'. "Slogan-slogan seperti itu sudah tidak ada di Kuala Lumpur semuanya ingin menggunakan bahasa Inggeris," ujarnya. Inisiatif yang dilaksanakan oleh MBKT itu bagi menerapkan syiar Islam mula diletakkan di beberapa kawasan yang difikirkan sesuai. Terutama di pembahagi-pembahagi jalan telah pun dipasang dengan papan-papan tanda tersebut.  
16 Feb 25
1106