KUALA TERENGGANU, 9 Julai – Karya agung tafsir al-Quran, Al-Tibyan, hasil suntingan melalui kuliah tafsir lengkap 30 juzuk al-Quran oleh Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang disampaikan di Masjid Rusila sejak 1975 dijangka akan diterbitkan secara rasmi pada awal tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kitab tafsir tersebut akan diterbitkan dalam bentuk 15 jilid dan merupakan salah satu sumbangan besar dalam dunia keilmuan dan dakwah tanah air.
Menurutnya, beliau telah mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Yayasan Permata Ummah baru-baru ini bagi meninjau perkembangan semasa proses penerbitan karya tersebut.
“Alhamdulillah, kesemua 15 jilid yang merangkumi keseluruhan 30 juzuk al-Quran telah diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan sebahagian besarnya kini telah disunting,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Permata Ummah berkata, proses seterusnya adalah menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk kelulusan akhir sebelum diterbitkan secara rasmi.
“Insya-Allah ia bakal menjadi salah satu rujukan kepada masyarakat bagi memahami al-Quran dalam konteks semasa,” ujarnya.

Menurut beliau, jika segala proses berjalan lancar tanpa sebarang halangan maka cetakan pertama akan dapat direalisasikan pada awal tahun 2026.
"Doakan semoga Allah permudahkan segala urusan," ujar beliau.