lightning-solid
Berita :
Proses Pembangunan LNG 'On Track'
Proses Pembangunan LNG 'On Track'
Adli Mohamad
17 Jul 25
219

KUALA TERENGGANU, 17 Julai – Hasrat Kerajaan Negeri Terengganu untuk membangunkan kilang pembotolan Liquefied Natural Gas (LNG) kini berada di landasan yang tepat dan dijangka mula beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2028.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, meskipun pembangunan fizikal kilang itu belum bermula, projek berkenaan berjalan mengikut perancangan dan sasaran yang ditetapkan.

“Dari segi perkembangan, projek ini boleh dikatakan 'on track'. Cuma pembinaan fizikal belum bermula dan dijangka akan mengambil masa antara 28 hingga 30 bulan untuk disiapkan.

“Kita jangka kerja-kerja pembangunan fizikal akan bermula menjelang akhir tahun ini, di atas tanah yang telah dikenalpasti. Ketika ini, proses permohonan lesen daripada Kerajaan Persekutuan sedang berjalan,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Terengganu Development Centre (TESDEC), Malaysia Rail Development Corporation (MRDC) dan Sabasun HyperRuncit, di Wisma Darul Iman, semalam. 

Menurut beliau, apabila urusan pelesenan selesai kelak, pembinaan projek dijangka akan berlangsung dengan lancar.

“Insya-Allah, menjelang suku ketiga atau suku keempat tahun 2028, LNG akan ‘landing’ di Terengganu,” katanya lagi.

Terdahulu, pada tahun 2024, kerajaan negeri mengumumkan hasrat untuk mendirikan kilang LNG ketiga di Malaysia selepas Johor dan Melaka.

Kilang ini bakal memenuhi keperluan industri domestik dan pada masa sama menjadi sumber pendapatan baharu kepada negeri.

Tambah beliau, gas berkenaan akan diimport dari luar negara dan dibawa masuk melalui Pelabuhan Kemaman, dengan kerjasama syarikat ENH Sdn. Bhd.


Artikel Berkaitan