lightning-solid
Berita :
Kebocoran Paip Gas Di Kerteh Tidak Timbulkan Risiko Letupan – Bomba
Kebocoran Paip Gas Di Kerteh Tidak Timbulkan Risiko Letupan – Bomba
Ahmad Zaeem Zainudin
22 Sep 25
74

HULU TERENGGANU, 22 September – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi jaminan bahawa insiden kebocoran paip gas butana di Kerteh, Kemaman, tidak menimbulkan sebarang risiko letupan.

Ketua Pengarah JBPM, Dato’ Sri Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, meskipun bacaan gas pada jarak 400 meter dari titik kebocoran direkodkan sekitar satu peratus, ia masih di bawah paras lower explosive limit (LEL) gas butana iaitu 1.8 peratus.

“Orang awam tidak perlu bimbang. Berdasarkan penilaian kita, gas ini tidak berpotensi meletup. Jika berlaku kebakaran sekalipun, ia hanya terbakar tanpa menyebabkan letupan. Oleh itu, langkah utama yang kita ambil sekarang adalah ‘mitigation’ bagi mengurangkan risiko kepada petugas yang sedang menjalankan operasi di tapak,” katanya.

Menurut beliau, kawasan keselamatan 500 meter masih dikekalkan walaupun bacaan gas membolehkan operasi dijalankan pada jarak 400 meter.

Nor Hisham turut memaklumkan bahawa Petronas telah memasang satu unit portable flare pada jam 3.30 pagi semalam bagi membakar baki gas dalam paip sepanjang 9.6 kilometer antara injap kawalan BU103 dan BU104. Unit kedua dijangka dipasang tidak lama lagi bagi mempercepat proses pembakaran terkawal.

“Selepas pemasangan unit kedua, jangkaan minimum kita ialah sekitar 48 jam diperlukan untuk menghabiskan semua gas dalam paip tersebut. Tekanan gas juga sudah rendah, sekitar satu hingga tiga bar, maka api yang keluar daripada portable flare tidaklah tinggi,” jelasnya.

Tambahnya, selepas pemasangan kedua itu selesai, operasi nitrogen purging akan dijalankan bagi menghabiskan baki gas butana sebelum langkah susulan diambil.

Beliau berkata, peralatan khusus yang bersifat flammable resistant turut digunakan sepanjang operasi, termasuk kenderaan khas yang dibawa Petronas, bagi memastikan keselamatan anggota penyelamat dan petugas.

Nor Hisham berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Program Kolaborasi Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) bersama JBPM di Air Terjun Sekayu, Hulu Terengganu, semalam.

Pada 20 September lalu, insiden kebocoran paip gas butana milik Petronas Gas Berhad (PGB) di laluan projek ECRL, Kampung Chabang, Kerteh, menyebabkan lebih 20 penghuni sebuah pusat tahfiz dipindahkan serta penutupan sementara Jalan Kerteh–Ranggon.


Artikel Berkaitan