Artikel "Wanita" Terkini
Galak Wanita Ceburi Bidang Sains, Kejuruteraan
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Kaum wanita digalakkan untuk menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara lebih aktif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata peratus keterlibatan wanita dalam bidang tersebut jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan kaum lelaki.
Menurut beliau, data daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mendedahkan lebih 70 peratus penyelidik dalam STEM adalah lelaki manakala wanita pula kurang 30 peratus.
"Begitu juga di peringkat pengajian tinggi, direkodkan hanya 30 peratus pelajar perempuan memilih untuk menceburkan diri dalam bidang STEM.
"Saya mencadangkan agar kerajaan memanfaatkan kewujudan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dengan merangka program yang bersesuaian, yang mana kumpulan fokusnya adalah wanita dengan mengambil model daripada MOSTI untuk turut diaplikasi di PSKT.
"Suka saya mencadangkan satu insentif khas diberikan buat wanita Terengganu yang menceburi bidang ini," tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika dalam berucap dalam Perbahasan Ucapan Titah Tuanku dalam Sidang DUN di Wisma Darul Iman, sebentar tadi.
Zuraida menegaskan bahawa perlunya wujud usaha untuk menarik wanita bagi menceburi bidang STEM.
"Saya teguh dengan pendirian sepertimana yang telah dilontarkan dalam sidang yang lalu, mereka ini wajar mendapat galakan serta diberi bimbangan sebagai pemangkin untuk menceburi bidang ini," ulasnya lagi.
23 Mar 22
395
Kerajaan Digesa Tubuh Pusat Pemurnian Akidah, Akhlak
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Cadangan penubuhan Pusat Pemurnian Akidah dan Akhlak, Baitul Iman akan membantu mengatasi masalah ketiadaan pusat pelindungan kepada pesalah syariah wanita Negeri Terengganu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor, Mahkamah Syariah memerintahkan pesalah ditahan di suatu rumah kebajikan yang diluluskan oleh Majlis selama tempoh tidak melebihi enam bulan.
Namun, masalah utamanya adalah sehingga kini, masih belum ada mana-mana pusat atau rumah yang diluluskan bagi tujuan tersebut dalam Negeri Terengganu.
"Sekiranya Mahkamah Syariah Terengganu memutuskan pesalah dikenakan tahanan di pusat pemulihan atau rumah diluluskan, maka pesalah akan dihantar ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor.
"Manakala bagi pesalah lelaki, mereka akan dihantar ke Baitul Iman, Hulu Yam, Selangor," ujarnya.
Zuraida berkata demikian ketika dalam berucap dalam Perbahasan Ucapan Titah Tuanku dalam Sidang DUN di Wisma Darul Iman, pada hari ini.
Kata Zuraida Kos untuk menghantar pelatih ke sana akan ditanggung oleh pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), dengan kadar RM7,080 bagi tempoh enam bulan untuk seorang pelatih.
"Antara rasional mengapa perlunya pusat ini diwujudkan di Terengganu ialah kerana pesalah wanita akan ditempatkan ke pusat pemulihan yang terletak di Selangor yang sudah tentu akan memakan masa perjalanan yang panjang dan jarak yang jauh serta pesalah juga terpaksa dimasukkan ke lokap sebelum dibawa ke pusat pemulihan.
"Di samping itu, pesalah berhadapan dengan risiko kemalangan di jalan raya kerana menggunakan pengangkutan darat selain kos tanggungan dapat dijimatkan.
"Saya dimaklumkan bahawa kerajaan negeri di bawah Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Ustaz Satiful Bahari Mamat bercadang untuk membina pusat pemulihan akhlak dan aqidah di Marang dan saya mencadangkan agar pusat tersebut turut membawa fungsi sebagai Pusat Pemurnian Aqidah dan Akhlak untuk pesalah wanita, dengan cadangan nama Baitul Iman," katanya.
23 Mar 22
580
Beri 90 Hari Cuti Bersalin Langkah tepat
KUALA LUMPUR, 22 Mac – Melalui Rang Undang-Undang (RUU) Kerja (Pindaan) 2021yang dibentangkan diputuskan kerajaan untuk memberi cuti bersalin kepada 90 hari berbanding hanya 60 hari sebelum ini merupakan suatu langkah tepat bagi menjaga kebajikan pekerja wanita di negara ini.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata sewajarnya ia disokong dan disambut baik oleh seluruh rakyat.
“Hal ini kerana cuti bersalin jelas sekali memberi impak yang besar kepada pembentukan sesebuah keluarga, sekaligus mengurangkan kegusaran golongan wanita untuk bersama-sama berkecimpung dalam apa jua bidang pekerjaan.
“Namun begitu, yang menjadi kebimbangan saya ialah berkenaan sesetengah majikan yang mendiskriminasi golongan wanita disebabkan pemberian cuti bersalin yang agak panjang . Ini kerana sesetengah majikan lebih cenderung untuk memilih pekerja lelaki berbanding wanita kerana beralasan bahawa pekerja wanita diberi cuti bersalin yang lama.
"Adalah perlu untuk kerajaan memastikan diskriminasi pekerja wanita tidak akan berlaku walaupun setelah pindaan akta dilaksanakan selain serta memastikan akta ini turut perlu memasukan denda terhadap majikan yang memotong gaji ataupun tidak membayar gaji pekerja yang bercuti melebihi 60 hari. Hal ini kerana,terdapat kes dimana pekerja wanita diberi cuti bersalin tetapi gajinya tidak dibayar terutamanya di sektor swasta.”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan Rang Undang- undang (RUU) Kerja di persidangan Dewan Rakyat, semalam.
Dalam pada itu beliau juga menyentuh berkaitan Fasal 36 berhubung kewajipan majikan untuk mempamerkan notis bagi meningkatkan kesedaran terhadap kesedaran gangguan seksual. Isu ini amat kerap berlaku dalam kalangan pekerja kerana apabila ia menyebabkan ketidakselesaan kepada mangsa itu adalah merupakan gangguan seksual.
“Namun ramai dalam kalangan masyarakat hari ini, wanita khususnya tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap masalah tersebut. Malah kebanyakan mangsa lebih memilih untuk memendam rasa dan hanya berkongsi luahan kepada orang terdekat.
“Saya berpendapat untuk mempamerkan notis ini adalah langkah yang tepat bagi memastikan hak pekerja dilindungi dan sekaligus isu ini dapat dibendung, "tegasnya.
22 Mar 22
470
JPKK Wanita Ejen Kerajaan Negeri Bantu Kaum Ibu
Oleh : Fatimah Din
MARANG, 21 Februari - Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Biro Wanita memainkan peranan penting sebagai ejen kerajaan negeri untuk mendekati dan membantu golongan terbabit di kampung masing-masing.
Ketua Hal Ehwal Wanita Pejabat Menteri Besar, Khairiah Mokti berkata, biro berkenaan harus peka dengan setiap inisiatif dan insentif yang dilaksanakan kerajaan untuk disampaikan kepada kaum wanita.
"Contohnya kerajaan Terengganu ada menyediakan Tabung Siti Khadijah khas untuk wanita yang nak menceburi bidang perniagaan, ini membolehkan mereka ini tidak perlu bersaing dengan lelaki untuk mendapatkan pinjaman.
"Jadi, perkara sebegini wajib dihebahkan sehingga ke akar umbi," ujarnya.
Khairiah berkata demikian ketika berucap di Program Tautan Kasih Bersama ADUN Wanita di Anggulia Beach Resort baru-baru ini.
Katanya, JPKK yang 'bergelumang' di kampung sepatutnya membina hubungan lebih rapat dengan orang kampung supaya setiap permasalahan mereka dalam makluman agensi berkuasa.
"JPKK wanita sepatutnya menjadi penghubung pada masyarakat, pencetus idea, ada 'supporting group' untuk wanita kampung, biar wanita ni rasa lain apabila PAS memerintah Terengganu iaitu rasa lebih tenang," tambahnya lagi. Foto oleh - IMITS DUN Rhu Rendang.
21 Feb 22
628
Gadis Kampung Buat Duit Dengan 'Bigo Live'
MARANG, 17 Februari - Bergiat aktif sebagai pempengaruh aplikasi 'Bigo live' sejak 2021, gadis dari Kampung Jerung Surau, Syafiqah Rashid, 25, mampu meraih pendapatan hampir RM6,000 sebulan.
Katanya, dia sangat meminati bidang berkaitan media sosial dan memasang tekad untuk terus memanfaatkan kelebihan platform itu.
"Saya akui untuk sampai ke tahap sekarang bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia bukanlah menjadi satu halangan apabila ada usaha daripada kita.
"Sebelum ini saya merasakan cukup sukar untuk meraih pendapatan bulanan sedemikian, namun setelah belajar daripada beberapa 'influencer' saya mampu melangkah ke depan.
"Dulu, sukar untuk saya jadi seperti sekarang, kena kerja dari pagi sampai malam, penat lagi, nak dapat RM2,000 pun susah, dengan pendapatan sekarang, sekurang-kurang saya mempu membantu keluarga," jelasnya ketika ditemui UPDI semalam.
Syafiqah Rashid yang sedang dalam pengambaran untuk dimuat naik ke You Tube.
Menurut lulusan Diploma Pengurusan Zakat Wakaf, Kolej profesional Baitulmal itu, 'gaji' tersebut diperolehi selepas dia berjaya mengumpulkan 26 ribu pengikut.
Katanya, setiap kali bersiaran langsung di aplikasi berkenaan, dia menjadikan topik atau tips masakan kampung dan penjagaan kecantikan serta tutorial penggunaan alat solek sebagai bahan menjana wang.
"Daripada 26 ribu pengikut itu, ramai yang meminati topik berkenaan dan memberi galakan setiap kali saya bersiaran," jelasnya.
Ditanya mengenai 'Bigo live' yang mempunyai persepsi negatif dalam kalangan masyarakat kerana kandungan melampaui batas, Syafiqah berkata dia mahu merubah persepsi itu.
"Sama juga juga tik tok sebelum ini, banyak kandungan negatif kerana kurang individu yang mengetengahkan 'content' positif.
"Bagi saya, selagi kita menggunakan sesuatu platform itu untuk memberi manfaat kepada orang ramai, ia tiada masalah,
"Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pun pernah mengeluarkan kenyataan tiada masalah untuk menggunakan aplikasi itu selagi bukan bertujuan untuk melakukan kemaksiatan dan perkara yang diharamkan," tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Syafiqah turut menjelaskan dia sedang memperluaskan 'content' media sosialnya ke You Tube.
"Saya juga boleh menambah pendapatan dengan menjual biskut buatan tangan secara atas talian di dalam aplikasi shopee dan juga instagram," jelasnya.
17 Feb 22
5643
YPK Serius Bentuk Usahawan Ibu Tunggal
KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) serius mahu melahirkan usahawan daripada kalangan ibu tunggal.
Timbalan Pengarah YPKT, Kamarulzaman Awang berkata bahawa aspek disiplin sangat dititikberatkan sepanjang peserta armalah (ibu tunggal) menyertai kursus usahawan di bawah kendalian YPKT.
"Kami menyediakan sejumlah pinjaman kepada ibu tunggal yang mahu menjalankan perniagaan tetapi dengan syarat, mereka perlu melalui kursus-kursus yang telah kami tetapkan.
"Kami akan letakkan peserta-peserta secara berkumpulan, tiga orang satu kumpulan dan dari sini kita akan menilai disiplin mereka, dari segi ketepatan masa, kerjasama. Kemudian kita akan nilai bagaimana prestasi mereka." ujarnya.
Kamarulzaman berkata demikian ketika menyampaikan taklimat kepada rombongan Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat PAS Terengganu (KHAIRUNNISA') dan Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) di Kompleks Ibu Tunggal YPKT, kelmarin.
Rombongan Kunjungan Hormat daripada KHAIRUNNISA', USWa dan Pejabat ADUN Wanita.
Kunjung hormat itu diketuai oleh Timbalan Pengerusi KHAIRUNNISA', Zuraida Md Noor yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu.
Turut bersama-sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah YPKT, Wan Mohd Zaki Wan Abdullah, Setiausaha Kehormat KHAIRUNNISA' Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman dan Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Wan Nur Sakinah Din.
Zuraida menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak YPKT yang menerima kunjungan hormat daripada mereka serta berharap agar ada kerjasama yang dapat dibentuk antara pihak yang terlibat dalam program itu.
Zuraida ketika menyampaikan ucapan.
"Saya sangat tertarik dengan produk-produk YPKT seperti Taska Permata Keluarga, Klinik Kaunseling, Skim Permata Sejahtera, Baitul Urus dan lain-lain, yang saya lihat selari dengan objektif YPKT.
"KHAIRUNNISA' dan USWa juga mesti dimanfaatkan untuk menjadi ejen penerangan, berfungsi untuk menyebarkan maklumat dan hebahan mengenai program-program YPKT agar lebih ramai Rakyat Terengganu dapat merasai manfaatnya," tambahnya lagi.
06 Jan 22
1045
NISA’ Santuni Mangsa Banjir Pahang
Foto oleh: 3N NISA' Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Pertubuhan Kasih Nur Insani Terengganu (NISA’ Terengganu) turut sama-sama menyantuni rakyat sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab yang ditimpa ujian banjir, baru-baru ini.
Pengarahnya, Tengku Fatimah Tengku Hashim berkata ahli NISA’ dengan 20 anggota dari daerah Kuala Terengganu, Marang, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kemaman, Setiu dan Besut telah dihantar untuk sama-sama menyertai Misi Bantuan Pasca-Banjir Pahang dianjurkan kerajaan negeri baru-baru ini.
Sukarelawan NISA' membantu mangsa banjir.
“Tujuan kami turun misi banjir untuk misi pembersihan dan agihan barang. Kami bahagikan kepada kumpulan misi bersih dan kumpulan misi agih.
“Pengagihan Kit Keceriaan Kanak-Kanak sumbangan daripada Ikon Syabab Resorces. Paling utama agihan kami berupa bentuk pakaian dalam wanita yang sangat dinanti-nantikan oleh para wanita di sana.
“Paling seronok masa pengagihan kit keceriaan dan pakaian dalam wanita. Kami santuni anak kecik dan nampak wajah ceria apabila dapat file yang berisi alat tulis dan buku, terus mereka buka dan tulis. Untuk pakaian dalam wanita, kami bawakan beberapa bungkus untuk mereka sendiri pilih mana yang sesuai. Nampak riak gembira sebab ia merupakan bantuan yang jarang-jarang ada,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita, baru-baru ini.
Fatimah juga turut menzahirkan harapan agar seluruh anak muda wanita tidak merasa serik untuk memberikan sumbangan berupa tenaga, masa dan wang bagi membantu mereka yang berada di dalam kesusahan.
Sebahagian sukarelawan NISA'.
“Hari ini hari mereka, mungkin esok lusa hari kita. Teruskan melakukan kebajikan untuk dana pahala akhirat kelak.
“Sesiapa yang berminat melakukan aktiviti sukarelawan, boleh sahaja sertai NGO Nisa' di peringkat negeri dan daerah masing-masing,” sambungnya lagi.
04 Jan 22
240
Orang Buta Tunjuk Bakat Memasak
KUALA NERUS, 16 Disember- Ditakdirkan mengalami cacat penglihatan selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, bukan alasan bagi Sharifah Shariza Said Salleh, 41 untuk bergantung harap kepada belas ihsan suami.
Shariza yang juga suri rumah sepenuh masa, berkahwin dengan lelaki normal Sharul Shahid Mohd Sharif, 38 pada 2008, mampu menguruskan rumah tangga tanpa bantuan sesiapa termasuk memasak setiap hari.
Keupayaan tersebut mendorong ibu kepada empat cahaya mata berusia 4 sehingga 13 tahun itu menyertai Pertandingan Pencarian Blind Chef sempena Sambutan Hari OKU di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir, hari ini.
Pertandingan anjuran Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu itu disertai 13 peserta terdiri enam OKU buta dan tujuh OKU rabun di mana setiap peserta perlu menyediakan menu masakan berasaskan ayam.
Ada di antara mereka mempamerkan kebolehan memasak, kari ayam, sup ayam, singgang ayam, masak lemak cili padi, paprik ayam dan ayam goreng merah.
Shariza yang juga bekas pelajar Diploma Syariah Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) berkata, cabaran memasak tidak mendatangkan masalah baginya kerana sudah menjadi rutin harian malah dia juga pandai menjahit pakaian.
“Dalam pertandingan itu, saya pamerkan kebolehan ayam masak santan berlado. Walaupun tidak memenangi sebarang nombor, saya tetap bangga kerana mampu bersama-sama rakan senasib menyertai pertandingan itu.
“Saya berharap apa yang dilaksanakan penganjur dapat dicontohi dan diteruskan pada masa akan datang, jika boleh anjurkan pelbagai pertandingan lain, termasuk menjahit,” katanya yang sebelum ini pernah menjawat jawatan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).
Sementara itu, Pengerusi PERTIS, Mohd Fauzi Mansor, berkata pertandingan yang julung kali dianjurkan itu pasti dapat membuka mata masyarakat bahawa golongan OKU boleh melakukan semua perkara.
Katanya, jika bijak guna peluang dan serap ilmu yang ada, tidak mustahil golongan itu boleh berada setaraf dengan mereka yang berjaya.
“Pendekatan itu antara langkah awal untuk mengetengahkan bakat, menghindarkan perasaan rendah diri, mengurangkan sifat malu golongan ini ketika berdepan dengan orang ramai dan berani berdepan cabaran,”katanya.
16 Dec 21
681
Kerajaan Disaran Pertimbang Cuti Bergaji Penuh Bagi Wanita Alami Keguguran
KUALA LUMPUR, 2 Disember – Kerajaan disaran agar mempertimbangkan cuti bergaji penuh buat pekerja wanita yang mengalami keguguran dalam usaha menjaga kebajikan golongan terbabit sebagaimana yang lain.
Ahli Parlimen Setiu, Shahrizukirnain Abd Kadir berkata ia sewajarnya diberikan perhatian kerana fizikal dan mental yang dialami dalam keadaan tersebut masih lagi belum pulih sepenuhnya.
“Umum mengetahui kerajaan telah membentangkan rancangan bagi meningkatkan cuti bersalin kepada 90 hari begitu juga bagi ‘Paternity Leave’ (cuti isteri bersalin) dimana ia dinaikkan kepada tujuh hari.
“Saya kira langkah ini amat tepat bagi memastikan kebajikan para pekerja terjamin. Namun begitu undang-undang berkait dengan kebajikan pekerja masih lagi tidak mengambil kira cuti bergaji penuh bagi mereka yang mengalami keguguran.
“Hal ini kerana sokongan atau cuti buat pekerja wanita yang mengalami kehilangan anak amatlah penting. Jika terpaksa bekerja semestinya produktiviti yang akan dihasilkan akan terjejas," ujarnya.
Beliau berkata demikian di dalam ucapan perbahasannya di Dewan Rakyat, ketika membahaskan Bajet 2022 Kementerian Sumber Manusia, semalam.
Mengulas lanjut katanya, setiap perkerja termasuk golongan berkenaan sewajarnya diutamakan kebajikan mereka dengan mendapat kemudahan kebajikanm yang disediakan oleh majikan dalam setiap sektor bidang pekerjaan.
02 Dec 21
661
Dasar Wanita Terengganu Perlu Disambut Baik
KUALA TERENGGANU, 21 November - Urus Setia Wanita Negeri Terengganu (USWa) mengharapkan pelaksanaan Dasar Wanita Terengganu disambut baik oleh semua pihak di negeri ini dalam usaha kerajaan negeri memperkasakan golongan berkenaan.
Pengarahnya, Wan Nur Sakinah Din, berkata bagi memastikan dasar yang julung-julung kali diperkenalkan oleh kerajaan negeri dapat direalisasikan, semua pihak sama ada Badan Berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan anggota masyarakat dituntut untuk saling bekerjasama.
"Seminar Wanita Solehah Peneraju Bersama yang diadakan pada hari ini adalah untuk diberikan penjelasan dan penerangan apa yang akan menjadi fokus serta terkandung dalam dasar tersebut.
"Kita tampilkan semua perunding yang telah menulis tentang Dasar Wanita Terengganu ini, kepada peserta seminar yang hadir melibatkan agensi kerajaaan, badan berkanun dan NGO untuk diselaraskan bagi mencapai kefahaman bersama mengenai dasar ini yang mengandungi 11 perkara.
"Di antaranya ialah hak dan tanggungjawab wanita, juga mencakupi aspek pendidikan, pembelaan terhadap wanita yang ditindas, mengenai hak dan nafkah, pewarisan harta yang mana kesemua ini akan dibincangkan secara kolektif.
"Kita tahu bahawa wanita pada hari ini memainkan peranan penting dalam pebagai sektor pekerjaan tidak hanya menumpukan perhatian pada keluarga, jadi dasar ini bertujuan memperkasakan mereka dalam menghadapi cabaran pada hari ini yang ingin kita gerakkan mengikut syariat Islam," ujarnya .
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada Perasmian 'Seminar Wanita Solehah Peneraju Bersama', yang disempurnakan oleh Timbalan Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanit, keluarga dan Perpaduan NAsional, Alias Harun di Permai Hotel, di sini pada hari ini.
Seminar yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dengan kerjasama USWa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu dan Majlis Permuafakatan Wanita Terengganu itu telah dihadiri oleh 140 peserta wanita.
Dalam pada itu Alias berkata, besar harapan kerajaan agar dasar berkenaaan dapat dilaksanakan dengan baik.
"Saya menyeru semua pihak berpadu tenaga dalam menjayakan agenda ini agar semua wanita dapat diperkasakan secara inklusif agar lebih ramai yang mendapat manfaat dan diangkat martabatnya ke tempat yang terbaik.
"Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, kerajaan negeri telah memberi suatu fokus kepada wanita dan tahniah USWa atas desakan dan cadangan untuk keperluan, maka kerajaan negeri telah meluluskan RM400,000 bagi tujuan untuk pembangunan wanita termasuk melaksanakan dasar berkenaan," katanya.
21 Nov 21
1034